Sunday, July 6, 2008

Atas Nama Cinta..


Menyelah kehidupan manusia yang mempunyai banyak ragam dan karenah membuatkan diri ini kadang-kala terfikir "Ada juga manusia macam ni?" Tetapi betullah apa yang dikatakan orang bahawa cinta itu buta. Tapi betul ke kita hidup semata-mata kerana cinta?


Susah juga bila kita bercakap dengan orang yang faham agama tetapi berserah seluruh kehidupannya atas nama cinta. Bahkan lebih parah lagi apabila dia mengaku yang dia sukar untuk bahagia sekiranya dia membuat pilihan tersebut "....tak apa lah, sekurang-kurangnya sepanjang hidup saya ada masa yang saya akan rasa bahagia walaupun seketika"


Mengeluh panjang saya mendengarnya. Apa lagi nasihat yang boleh saya sampaikan supaya dia tidak terlalu pasrah terhadap apa yang berlaku ke atasnya. "Ya Allah, semoga pilihannya pada hari ini yang pada pandangan saya adalah amat tidak sepatutnya berlaku dalam hidupnya akan berubah menjadi anugerah yang paling berharga untuknya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat"


Cinta itu dikatakan buta apabila kita tidak mampu menilai yang mana permata dan yang mana kaca. Hakikatnya Rasulullah telah menggariskan untuk kita membuat pilihan yang terbaik dalam memilih pasangan yang bakal sama-sama membantu kita menuju ke syurgaNya. Pilihan sama ada harta, paras rupa, keturunan dan agama telah Rasulullah sabdakan supaya kita memilih agamanya.


Islam yang menjadi ukuran kita untuk memilih pasangan hidup akan membuatkan hartanya yang sedikit menjadi banyak, rupanya yang sederhana menjadi sesejuk mata memandang dan keturunannya menjadi mulia disebabkan akhlak yang dimiliki olehnya.


Moga-moga cinta itu tidak menjadi buta kerana kita yang membutakannya. Cinta akan menjadi mulia kerana ia kurniaan Yang Maha Esa.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...