Tuesday, July 22, 2008

Hatinya Satu Kasihnya Beribu

Seperti biasa selepas solat Isya', saya memulakan tugasan saya untuk terus membaca bahan-bahan ilmiah sebagai persediaaan untuk menulis desitasi (tesis pendek) sarjana saya. Disebabkan rasa bosan saya membuat keputusan untuk mendengar lagu. Tajuk lagu 'Buatmu Ibu' menjadi pilihan saya di samping beberapa lagu lain. Entah mengapa lagu tersebut telah membuatkan saya terlintas untuk menelefon emak saya di kampung. Mungkin kerana rindu…entahlah saya kurang pasti.

"Waalaikumsalam mak" saya memulakan bicara selepas mendengar salam diberi dihujung talian.
"Mak apa khabar, sihat?"
"Macam biasa, sihat ke… tak ke, kena pergi sekolah juga" Itulah jawapan yang selalu emak berikan setiap kali soalan tentang kesihatannya saya ajukan. Moga-moga keikhlasanya mengajar akan dirahmati Allah.
"Makan dah ke belum ni?" Tanya emak.
"Tak, malas nak turun. Kafe jauh sangat. Baru-baru ni demam tapi dah baik dah. Cuma ada batuk-batuk sikit"
"Dah pergi klinik dah?"
"Dah" Jawab saya sepatah
"Kenapa tak pergi makan. Pergi makan. Nanti tinggal tulang je. Dah lah kurus. Pergi makan"
"Yelah..yelah" Memang setiap kali saya menelefon emak, soalan wajib yang akan ditanya olehnya adalah tentang makan sebab emak tahu anaknya yang sorang ni tidak kesah sangat tentang makan.

Setelah agak lama berbual akhirnya saya mengakhiri berbualan saya.
"Mak, jangan lupa doakan Adiah tau" pinta saya kepada seorang ibu yang amat saya harapkan keredhaannya.
"Mak selalu doakan anak-anak mak. Tapi tak tahulah anak mak buat apa kat sana" perkataan yang terkeluar daripada mulut emak tadi membuatkan saya sedikit terkejut.
"Belajarlah rajin-rajin" pesannya pada saya.
"Insya Allah" Jawabku

Sesungguhnya kasih seorang ibu tidak boleh sama sekali kita nilai walau dengan apa jua sekalipun. Walaupun kadang kala kata-katanya bersahaja tetapi ia mempunyai seribu makna.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...