Tuesday, July 15, 2008

Pemimpin Yang Baik Tidak Minta Dihormati

"Kalau rakyatku kelaparan, aku ingin menjadi orang pertama merasainya. Kalau rakyatku kekenyangan, aku ingin menjadi orang terakhir menikmatinya" Ungkapan ini saya pinjam daripada seorang Amirul Mukminin, Saidina Umar Al-Khattab.

Malang sekali bagi umat Islam pada masa kini. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan dan tahun silih berganti. Ia berlalu dan terus berlalu. Ungkapan daripada seorang pemimpin seperti Umar Al-Khattab tidak lagi mampu didengari pada ketika ini.

Hari ini perkataan rasuah, pecah amanah, bunuh dan pelbagi lagi jenayah lain tidak menjadi suatu perkara yang luar biasa yang berlaku di kalangan pemimpin. Pemimpin tidak lagi menganggap jawatan yang disandang sebagai amanah yang terpikul. Tetapi menganggap jawatan yang disandang sebagai batu loncatan untuk mengumpul harta kekayaan dan mencari kemahsyuran.

Harus kita ingat bahawa setiap daripada kita juga adalah pemimpin. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud "Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan ditanya tentang apa yang kamu pimpin" Kalau kita seorang anak kita dipertanggungjawabkan untuk membahagiakan kedua ibu bapa kita, kalau kita seorang sahabat kita harus melapangkan kesusahan yang dialamai oleh sahabat kita, hatta sekiranya kita seorang hamba kita dipertanggungjawabkan untuk menjaga barang amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh tuan kita kepada kita.

Maka jadilah sebaik-baik pimpinan. Pemimpin yang baik bukan mahu dihormati tetapi hanya mahu diingatkan akan dosa sekiranya dia melanggar amanah yang telah dipikulnya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...