Wednesday, August 27, 2008

Di Mana Letaknya Penilaian Kita Pada Setiap Perkara?

Sebelum tajuk di atas disentuh. Kita perlu memahami erti hidayah dan taufiq terlebih dahulu barulah kita mampu memahami persoalan atau penilaian yang selalu kita buat dalam kehidupan harian kita.

Selalu kita akan berdoa kepada Allah S.W.T supaya memperolehi taufiq dan hidayahNya. Tetapi tahukah kita apakah itu taufiq dan hidayah yang dimaksudkan sewaktu kita menadah tangan berdoa kepadaNya?

Hidayah ada lima bentuk iaitu hidayah tabii, hidayah pancaindera, hidayah akal, hidayah agama dan peringgat hidayah yang tertinggi dipanggil taufiq.

Kehendak tabii ataupun hidayah tabii ini semua manusia memperolehinya. Contohnya marah, lapar, cinta, dan lain-lain. Kalau lapar, manusia perlu kepada makanan supaya hilang laprnya. Kalau mengantuk manusia perlu kepada tidur supaya hilang rasa mengantuknya dan begitulah juga lain-lain perkara.

Hidayah yang kedua, hidayah pancaindera. Mata untuk melihat, tangan untuk menyentuh, lidah untuk merasa, akal untuk menilai.

Perkara yang dilalui oleh pancaindera akan ditafsirkan oleh akal. Akal dikatakan sebagai hidayah akal. Akal menilai perkara yang mata lihat. Akal juga turut menilai semua perkara yang dilalui oleh pancaindera lain. Kadang kala perkara yang dilalui oleh mata tidak dapat dibenarkan oleh akal. Contohnya mata melihat adanya air di padang pasir, tetapi akal kata ‘itu bukan air tetapi ia adalah fatamorgana’ Tafsiran akal bergantung kepada ilmu yang dimiliki oleh akal.

Namun tidak semua perkara boleh dibenarkan dengan akal kerana adanya hidayah agama yang berada di tingkat yang tertinggi berbanding hidayah akal. Akal kata ‘Tidak boleh terima hukuman potong tangan…. Ya Allah zalimnya..tak ada undang-undang lain dah ke? Tak boleh tukar ke dengan cara lain’ Tetapi disebabkan agama kata ‘Mencuri hukumnya potong tangan’ Maka wajib potong tangan walaupun akal tidak mampu menerimanya. Akal kata ‘Kita seharusnya lebih baik mencarikan pekerjaan untuk dia dan kita berikan pekerjaan itu kepadanya. Supaya dia tidak mencuri lagi’ Penilaian akal memang singkat. Masalah yang berlaku sekarang, orang yang mencuri bukan yang tidak ada pekerjaan, tidak ada gaji dan sebagainya.

Sebab itu akal duduknya di bawah penilaian agama… Jadi apabila agama kata ‘wajib buat’, maka ketaatan kepada agama harus kita patuhi. Kepatuhan kepada agama dipanggil hidayatuddin (hidayah agama). Namun hidayah agama sahaja tidak akan cukup sekiranya tidak sampai kepada peringkat hidayah yang paling tinggi yang dinamakan ‘taufiq’. Hanya dengan memperolehi taufiq, manusia akan bersetuju dengan hukum-hukum dan undang-undang Allah S.W.T.

Jadi nilailah setiap perkara dengan penilaian agama, bukan akal semata-mata. Sebab itu, jangan menilai hubungan cinta sebelum kahwin atau selepas kahwin dengan penilaian nafsu ataupun akal semata-mata. Mungkin pada akal kita berhubung sebelum kahwin itu perlu tetapi hati-hati. Kita kata ia perlu kerana di usia pertunangan ia adalah untuk saling mengenali. Tidak salah tapi dibimbangi perkara yang kita rasakan perlu rupa-rupanya dinilai melalui akal kita bukan di nilai melalui penilaian pada agama kita. Nau’zubilla himinzalik…


* Konsep hidayah tersebut diceritakan oleh Ust Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz dalam siri kuliah Tauhidnya yang bertajuk Hukum Allah

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...