Wednesday, August 6, 2008

Kalaulah...

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud "Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap orang mempunyai kebaikannya (imannya) Oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas dan; sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata ''Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini'', tetapi katalah "Allah telah takdirkan" kerana perkataan 'kalau' itu membuka jalan kepada hasutan syaitan" (Hadis Riwayat Muslim. No.hadith : 4816)

Kalaulah aku kaya...

Alhamdulillah, akhirnya Allah izinkan juga saya bertemu dengan hadis yang telah lama saya cara. Semoga perkongsian saya pada kali ini memberi manfaat kepada semua. Saya akan menjelaskan maksud hadis yang tidak jelas. Bagi maksud hadis yang jelas nilailah dengan kebijaksanaan masing-masing.

Pada awal hadis Rasulullah S.A.W ada menggunakan perkataan yang bermaksud 'kuat', dalam hadis lain yang bermaksud "Tidak dikatakan seseorang itu kuat pada tubuh badan tetapi yang dikatakan kuat apabila dia mampu menahan marah" hal ini bermakna perkataan 'kuat' yang dimaksudkan dalam hadis bukan bermakna kekuatan tubuh badan dan menurut hadis ini juga setiap manusia mempunyai kekuatannya yang tersendiri, mungkin dalam satu aspek dia lemah tetapi dalam aspek yang lain dia mempunyai kelebihan.

Seperti mana dalam hadis ada menyatakan bahawa kita tidak boleh menggunakan perkataan 'kalau' kerana ia membawa kepada terbukanya jalan hasutan syaitan. Namun begitu adakah perkataan 'kalau' turut digunakan di dalam firman Allah, Surah Al-Anbiya, ayat 22 yang bermaksud "Kalaulah ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, nescaya kedua-duanya akan rosak binasa....." dan di dalam hadis juga ada menggunakan perkataan ini, seperti mana hadis yang bermaksud "Kalaulah tidak menjadi keberatan bagi umatku, nescaya akan aku wajibkan mereka bersugi sebelum sembahyang"

Persoalan yang timbul, adakah sabda Rasulullah tadi bercanggahan dengan firman Allah S.W.T dan sabda Rasulullah yang lain..Sebenarnya ini mustahil sama sekali. Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 156 menjelaskan penggunaan perkataan 'kalau' yang sebetulnya "Hai orang-orang beiman, janganlah kamu seperti orang-orang kafir (orang-orang munafik) itu, yang mengatakan kepada saudara-saudara mereka apabila mereka mengadakan perjalanan di muka bumi atau mereka berperang, "Kalaulah mereka tetap bersama-sama kita tentulah meraka tidak mati dan tidak dibunuh" Akibat (dari perkataan dan keyakinan mereka) yang demikian itu, Allah menimbulkan rasa penyesalan yang sangat di dalam hati mereka. Allah menghidupkan dan mematikan. Dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan"

Berpandukan firman Allah dalam Surah Ali Imran ini, Allah menerangkan kepada kita penggunaan perkataan 'kalau' sering digunakan oleh orang kafir atau munafik. Perkataan ini tidak boleh digunakan bila mana wujudnya unsur-unsur penyesalan, kesedihan, kekecewaan dan perkara-perkara yang lain seangkatan dengannya. Contoh perkataan yang sering kita ucapkan "Kalaulah saya berusaha bersungguh-sungguh sudah tentu saya akan berjaya" Pada ayat tersebut ada unsur penyesalan dan dengan menggunakan perkataan tersebut Allah menimbulkan penyesalan yang teramat sangat dalam diri individu yang mengucapkannya.

Pintu-pintu kepada hasutan syaitan ini banyak antaranya apabila seseorang itu terlalu sedih, terlalu stress dan terlalu gembira. Tidak hairanlah berlakunya histeria kerana kita telah membuka jalan kepada hasutan syaitan. Jadi berusahalah untuk menutup pintu-pintu syaitan tadi. Semoga dengan usaha itu, dengan izinNya kita terhindar daripada hasutan syaitan yang tidak pernah berputus asa menghasut kita.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...