Wednesday, August 27, 2008

Malang Sungguh Diri Kita

Kita kadang-kadang lupa yang bala ditimpakan kepada kita ada empat bentuk iaitu bala menghapuskan dosa, bala berbentuk pembalasan Allah, bala untuk meninggkatkan darjat dan bala yang terakhir ialah bala untuk uji sekuat mana iman kita kepadaNya.

Sering kali apabila datang bala, musibah, masalah, ujian, dugaan dan perkataan-perkataan lain yang seangkatan dengannya kita terlalu cepat bersedih hati, sehingga kita lupa akan hikmah disebalik ujian yang Allah timpakan kepada kita.

Susah sungguh untuk kita berbaik sangka dengan Allah S.W.T sehinggakan kita menyalahkanNya di atas segala perkara yang tertimpa ke atas kita. Kita tidak sedar yang bala itu dikurniakan ke atas kita untuk kebaikan kita.

Kita lupa yang kita banyak buat dosa kepadaNya. Lalu Allah turunkan bala untuk menghapuskan dosa yang ada pada kita.

Kita langgar perintah Allah. Walaupun Allah kata jangan, tapi yang itulah kita buat. Tetapi dengan kasih sayang Allah, Dia turunkan bala kepada kita sebagai balasan kita di atas perbuatan kita. Supaya Akhirat nanti kita tidak dibalas olehNya kerana di dunia kita telah mendapat balasan tersebut.

Kita salahkan Allah S.W.T yang menurunkan pelbagai bala bencana kepada kita. Malang sungguh diri kita. Kerana kita tidak mampu menilai bahawa bala, ujian dan dugaan yang Allah turunkan kepada kita untuk menaikkan darjat kita. Supaya kita hampir kepadaNya berbanding manusia lain di sekeliling kita.

Kita kata, kita telah beriman kepada Allah tetapi rupa-rupanya iman yang kita katakan tadi tidak sampai piawaian yang Allah tetapkan untuk kita. Kita lupa firman Allah “…adakah kamu katakan kamu telah beriman, sedangkan kamu masih belum diuji”

Malang sungguh diri kita…

* Pembahagian bala tersebut diceritakan oleh Ust Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz dalam siri kuliah Tauhidnya yang bertajuk Hukum Allah

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...