Saturday, December 20, 2008

Hati Yang Berbisik Membuatkan Akal Mula Terusik

Sepanjang hidup saya bergelar pelajar dan sehingga ke akhir hayat Insya Allah, saya mahu menjadi pelajar…telah banyak sesi motivasi, muhasabah dan program pemantapan diri telah saya lalui. Sehingga ke hari ini saya masih terus tertanya-tanya mengapa sesi motivasi, muhasabah dan pelbagai program yang saya ikuti tidak mampu membuatkan saya terus beristiqamah dalam melakukan perkara kebaikan. Mengapa tazkiyyah an-nafs (penyucian jiwa) yang diterapkan di dalam setiap program tersebut tidak berjaya menusuk hati dan fikiran saya?

Alhamdulillah…Allah tidak membenarkan saya terus tertanya-tanya. Termenung dan berfikir mencari jawapan keseorangan. Melalui sedikit bacaan, kuliah, usrah, dan juga perbualan secara tidak langsung Allah telah menemukan jawapan bagi persoalan tersebut.

Allah S.W.T bekalkan hati kepada manusia untuk menilai suatu perkara yang tidak boleh dijelaskan oleh akal fikiran. Hati adalah sangat penting untuk dijaga dan dipelihara. Hati merupakan tempat letaknya iman. Seseorang itu cepat tersentuh jika kita berjaya menyentuh hatinya.

Zaman dahulu sewaktu ibu bapa kita masih kecil, istilah pakar motivasi atau kaunselor adalah suatu istilah yang sangat asing bagi mereka. Tetapi tidak lagi pada zaman ini. Zaman tersebut telah berlalu kerana kita kini tidak lagi pandai menyentuh hati manusia di sekeliling kita. Perasaan sayang dan kasih bertukar menjadi benci dan dendam. Kita hidup dalam suasana saling dengki dan iri hati. Hidup dalam keadaan serba tidak kena.

Jadi tidak menjadi satu kehairanan kalau dahulu guru menjadi sanjungan. Ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk dididik oleh guru dengan ucapan “Cikgu didiklah anak saya ini. Buatlah apa yang cikgu rasa apa patut buat. Pukullah dia, cubitlah dia. Saya tak kesah. Asalkan anak saya pandai…mampu berdikari” Tetapi hari ini ucapan tersebut telah berubah kepada “You ajar anak I sampai pandai. Tapi ingat jangan sentuh dia…apa lagi you pukul dia. Kalau berlaku juga, see you at the court”

Malang sekali ibu bapa sekarang. Seharusnya anak-anak itu bukan sahaja dididik dengan akalnya tetapi yang paling penting adalah melentur hatinya supaya dengan hati yang berbisik akalnya mula terusik. Hati yang mula menyedari keperluannya untuk belajar dengan baik membuatkan seseorang anak itu mengetahui matlamat sebenar dia belajar. Bukan kepandaian menjadi keutamaan tetapi sumbangannya terhadap masyarakat di sekelilingnya yang harus diutamakan. Sudah tentu sumbangan itu lahir dari akal fikirannya dan tersentuh dik hati yang berbisik melihat kekacauan dunia di sekelilngnya.

Begitu juga dengan guru atau sesiapa sahaja yang menjadi pendidik baik motivator, lecturer, dai’e, ibu, ayah, kakak, abang, sahabat, pemimpin dan lain-lain karektor, bentuk pengajaran dari akal ke akal tidak boleh diguna pakai sama sekali. Hal ini kerana pembelajaran atau didikan dari akal ke akal membuatkan seseorang itu akan cepat memberontak atau paling tidak soalan yang diutarakan kepada kita bertujuan untuk menyakitkan hati kita. Jadi adalah tidak menjadi satu kehairanan kejadian yang banyak dipaparkan didada-dada akhbar menceritakan kederhakaan anak terhadap ibu bapa atau kebidapan pelajar terhadap gurunya.

Saya pinjam kata-kata daripada Ust Hasrizal Abdul Jalil “People don’t care how much you know until they know how much you care” ( Orang tidak peduli sebanyak mana kita tahu, sehinggalah mereka tahu sejauh mana kita peduli). Menunjukkan rasa peduli itulah bermula daripada hati kita. Tumpahkan dan tunjukkan rasa sayang…selebihnya Insya Allah, Dia akan aturkan untuk kita.

Hati dan akal harus dipelihara sebaik mungkin. Kedua-duanya secara tidak langsung telah saya kongsikan di dalam artikel-artikel yang telah lepas. Bacalah…tidak rugi andai kita rajin membaca.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...