Tuesday, December 16, 2008

Kerana Hati...

Imam al-Ghazali ada menyatakan, “Carilah hatimu dalam tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kamu ketahui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kamu tidak ketemui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kamu tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kamu tidak mempunyai hati”

Para ulama telah membahaskan bahawa hati merupakan tempat letaknya iman. Menurut Imam al-Ghazali, hati yang dimaksudkan di sini bukanlah hati yang berbentuk fizikal tetapi hati yang berbentuk latifah rabbaniyyah…yang membawa maksud hati yang mengenal Tuhannya.

Hati tempat letaknya iman, anggota badan tempat letaknya Islam dan akal merupakan tempat letaknya ilmu. Setiap individu muslim seharusnya mampu menyeimbangi ketiga-tiga perkara tersebut (hati, anggota badan dan akal). Hal ini kerana, jika anggota badannya sahaja berfungsi, individu tersebut merupakan individu yang munafiq. Jika hatinya sahaja berfungsi, ertinya individu tersebut sesat atau pembohong dan sekiranya hanya akal sahaja ianya adalah sia-sia.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...