Kes penceraian di kalangan selebriti yang sering mendapat liputan media seringkali merimaskan saya. Tetapi cerita daripada Dr Jasni Sulong tentang kes penceraian yang berlaku kali ini menarik minat saya untuk berkongsi dengan anda semua…sebagai pengajaran dan seharusnya perlu ada tindakan oleh pihak yang bertanggungjawab.
Kes ini berlaku apabila seorang isteri cuba meminta supaya suaminya melepaskan ikatan perkahwinan mereka. Hal ini berikutan si isteri tidak mampu lagi untuk meneruskan perkongsian hidup bersama suaminya yang seringkali memukulnya dan pelbagai lagi perkara lain yang pada fikiran saya memang menjadi hak untuk si isteri pinta supaya diceraikannya.
Tetapi apabila kes tersebut dirujuk kepada majlis agama Islam, mereka menasihatkan supaya si isteri terus bersabar dan menerima seadanya kelemahan suaminya. Sudah acap kali si isteri pergi ke majlis agama Islam tetapi jalan penyelesaiannya tetap sama…kaunseling dan kaunseling.
Suaminya pula tidak mahu menceraikannya dengan alasan masih sayangkan si isteri dan hubungan perkahwinan mereka. Keadaan ini menyebabkan Mahkamah Syariah menetapkan perkahwinan mereka masih sah dan tuntutan supaya si isteri diceraikan oleh suaminya tidak berlaku.
Akhirnya kes tersebut dibawa ke Mahkamah Sivil tetapi keputusan mahkamah tidak menyebelahinya. Akhirnya peguam si isteri menasihatkannya supaya mengistihar murtad daripada Islam. Hanya dengan murtad perkahwinan yang berlaku di antara suami dan isteri tadi akan terbatal secara automatik.
Disebabkan sikap suaminya yang sedemikian rupa, majlis agama Islam dan Mahkamah Syariah yang tidak menyebelahinya sedangkan bukti kukuh berada di pihak isteri, si isteri akhirnya menuruti cadangan peguamnya untuk mengistiharkan bahawa dirinya keluar daripada Islam. Walaupun si isteri tidak berniat untuk murtad tetapi hanya dengan cara tersebut dia boleh terlepas daripada kezaliman suaminya.
Secara automatik berlakulah penceraian antara si isteri dengan suaminya tadi. Saya tidak mahu mengulas panjang tetapi bagi saya tanggungjawab majlis agama Islam dan Mahkamah Syariah adalah menyelamatkan Si Isteri tadi daripada kezaliman Si Suami tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.
Malah Si Isteri terpaksa mempertaruhkan agamanya untuk menghilangkan kezaliman suaminya ke atas dirinya. Masih ingat lagi peristiwa Amar Bin Yassir? Bagi saya perkara yang berlaku ke atas Si Isteri tadi adalah serupa dengan peristiwa tersebut. Saya percaya Si Isteri kini masih lagi seorang muslim…
Sebenarnya terlalu banyak kes-kes yang berlaku di mahkamah yang kita sendiri tidak terfikir ia akan berlaku. Rakan sekuliah dengan saya bekas peguam dan suaminya kini masih lagi peguam. Jadi banyak kes yang berlaku di mahkamah diceritakan kepada saya. Saya pula hanya mampu mengeluh dan menggelengkan kepala mendengar ceritanya…Tetapi sampai bila…Wallahu’alam.
Teknik UTAMA untuk menghafaz Al-Quran
1 day ago