Thursday, April 30, 2009

Tanggungjawab Kita Banyak Berbanding Masa Yang Kita Miliki



“Kak Radieah bila nak update blog?” Soalan ini sering kali diajukan kepada saya.
“Maaflah. Kak Radieah tak ada masa… tak sempat nak update”. Jawapan saya tetap sama.
Tetapi malam ini saya cuba untuk menulis serba ringkas tentang kisah saya…untuk kita fikirkan bersama.

Baru tadi saya dan rakan-rakan balik daripada Nisa’ Smart Class. Kami diamanahkan oleh kira-kira 20 orang lebih ibu bapa untuk membantu anak-anak mereka memahami pelajaran yang tidak difahami mereka. Tetapi bukan kisah itu yang ingin saya ceritakan…sebaliknya kisah ini…kekecewaan saya dan kebimbangan saya.

“Eh…abang, sebelum ni tak pernah tengok pun? Siapa nama?” Saya memulakan bicara.
Selepas memberitahu namanya. Kakaknya yang turut mengikuti kelas tersebut menambah,
“Sebelum ni dia selalu pergi masjid. Tapi hari ni abah tak bagi. Abah suruh pergi kelas”.

Jawapan tersebut agak mengejutkan saya. Kenapa begitu pula jadinya? Kalau anak yang seusia lapan tahun sudah mula suka untuk berada di masjid kenapa ditahan keinginannya? Keadaan ini membuatkan saya merasa serba salah. Bukankah sembahyang itu seharusnya diutamakan berbanding ke kelas tambahan?

Walaupun setiap kali sebelum memulakan kelas, soalan sudah sembahyang maghrib selalu saya tanyakan kepada mereka… ada yang sembahyang..ada juga yang tidak. Tidak kurang juga yang langsung tidak pandai membaca bacaan di dalam sembahyang.

Sedang saya membantu mereka memahami soalan yang dibekalkan…tiba-tiba saya dikejutkan oleh sepasang kembar seiras.. “Ustazah…ustazah, dia tidur” Sambil menunjukkan jari telunjuknya kepada individu yang dimaksudkan. Segera saya memerhatikan siapa yang dimaksudkan. Saya dapat mengenalinya dengan baik. Adik yang baru mendaftar masuk tadi…yang ayahnya tidak membenarkan dia untuk ke masjid.
“Biarkan dia. Dia penat tu” jawapan itu saya berikan kepada mereka supaya mereka tidak menggangunya.

Saya tidak kisah seandainya soalan yang saya bekalkan tidak dapat dijawab oleh mereka dengan baik. Bahkan saya juga tidak kisah seandainya mereka tidak mampu membaca. Tetapi yang saya kisah..yang saya bimbang soalan yang Allah tanya kepada mereka nanti tidak dapat dijawab dengan baik…dan saya juga akan dipertanggungjawabkan kerana saya adalah guru mereka…

Pertemuan kami hanya dua seminggu dan hanya memakan masa sejam setengah membuatkan masa yang kami miliki amat terbatas. Tapi mahu tidak mahu…kami perlu lakukan..kerana bagi kami..ia bukan amanah ibu bapa mereka, sebaliknya amanah Allah ke atas bahu kami… yang bakal ditanyaNya nanti.

2 comments:

Khairul Onggon said...

Kitalah yg brtanggongjawab mencorakkan mereka... mereka ibarat kain putih... :)

Nini Muhammad said...

salam...nak p jugak nanti kalu diberi peluang....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...