Monday, May 4, 2009

Lumpuh Dalam Perjuangan

Masa itu emas. Tetapi kalau ada emas, andai tidak tahu bagaimana
untuk menggunakannya ia akan jadi sia-sia

“Minta maaflah, saya sibuk sangat”.
“Hari ini penat sangatlah.. tak larat sangat”.
“Hari ni tak bolehlah, ada kerja kat lab yang belum selesai”
“Tengah writing ni…” (menulis tesis atau disertasi)
“Saya exam minggu depan..”

Seribu satu alasan kita lontarkan. Tidak hairanlah kenapa Allah S.W.T telah berfirman kepada kita “Dan sesungguhnya Kami telah menjelaskan berulang-ulang kepada manusia dalam Al-Quran ini dengan bermacam-macam perumpamaan. Tetapi manusia adalah memang yang paling banyak membantah”. Surah Al-Kahfi, ayat 54.

Membantah bagi saya adalah sama ertinya dengan memberi alasan. Sebab kedua-duanya bersifat menolak dan alasan pula walaupun ia seolah-olah bersifat menolak tetapi ia hampir kepada sifat ‘mengelak’….tidaklah seberat membantah atau menolak. Tetapi hati-hati sebab kita kata kita nak jadi pendakwah… mahu jadi penjuang…mujahid..mujahidah. Tetapi sayangnya sikap kita jauh sekali daripada perkara yang kita seru.

Islam itu agama yang bersifat haraki (deenul haraki – Agama yang bergerak). Ia tidak hanya terletak di masjid-masjid, ceramah-ceramah, forum ataupun sekadar menulis blog, artikel dan lain-lain. Saya tidak menafikan peranan masjid, ceramah,forum, penulisan blog dan sebagainya. Tetapi Islam itu adalah cara hidup dan peranan seorang pendakwah adalah memaparkan cara hidup. Masjid, ceramah, forum, penulisan blog… semuanya bersifat teori… teori itu mudah. Praktikal itu yang payah.

Ramai yang tahu tentang Islam tetapi disebabkan ia bersifat teori atau hanya sekadar ilmu, maka praktikalnya payah sekali untuk dilakukan. Ramai yang tahu tetapi tidak ramai yang peduli. Oleh itu tugas kita adalah supaya mereka peduli dengan perkara yang mereka tahu. Perkara yang tidak tahu kita wajib untuk beritahu.

Tetapi seandainya sikap kita yang cuba mencipta pelbagai alasan…saya bimbang yang kita sebenarnya tertipu dalam perjuangan atau perkataan yang lebih tepat Imam Al-Ghazali gunakan ‘ghurur dalam perjuangan’.

Muhasabah itu indah. Oleh itu, tanyalah diri kita sendiri, ‘hari ini perkara apa yang aku telah buat untuk Islam?’. ‘Sibuk sangatkah aku?’. Kalau sibuk kenapa kita masih sempat untuk menjamah makanan, masih sempat untuk tidur berjam-jam lamanya. Walaupun tidur dan makan merupakan keperluan kita, tetapi di antara tuntutan Allah dan tuntutan jasmani kita, kenapa jasmani itu yang menjadi misi utama?

Saidina Hassan Bin Ali K.W.H pernah berkata Agongkanlah urusan Tuhanmu, nescaya Dia akan agongkan urusanmu”. Bagi saya, kita akan jadi terlalu sibuk kerana kita bergantung kepada diri kita untuk selesaikan masalah kita, result experiment kita, exam kita, assignment kita, masalah hidup kita… kita lupa, masalah itu datang daripadaNya dan sewajarnya kita kembalikan kepadanya. Jadi agongkanlah urusan Tuhanmu, nescaya Dia akan uruskan kehidupanmu…

Alasan tiada masa, kesuntukan masa dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan masa… sebenarnya yang itu adalah salah kita. Adalah suatu perkara yang sangat tidak logik seandainya nanti Allah tanya tentang tanggungjawab yang sepatutnya kita buat tetapi kita abaikan, kita beri jawapan “Saya tidak ada masa”. Jawapan yang langsung tidak masuk akal.

Masa itu adalah suatu yang bersifat abstrak. Tidak hairan jika sahabat nabi boleh habiskan 30 juzuk al-Quran untuk satu rakaat bagi solat malamnya…Berapa rakaat sahabat nabi buat? 2, 8, 14? Tidak kesahlah, tetapi jika kita lihat melalui logik akal dalam masa satu malam untuk menghabiskan 30 juzuk Al-Quran untuk manusia seperti kita adalah mustahil sama sekali. Tetapi Allah beri kelebihan kepada sahabat dengan Allah panjangkan masa untuk sahabat tersebut.

Perkara ini tidak mustahil untuk berlaku kepada kita. Seandainya kita mahu buat kebaikan, Allah akan luaskan pintu rahmatNya. Tetapi masalah yang timbul sekarang kita terlalu banyak memberi alasan. Usah beri alasan kerana alasan itu yang membuatkan kita lumpuh dalam perjuangan.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...