Monday, May 4, 2009

Merendah Diri Itu Sifat Nabi

Insya Allah, kita semua tahu, sebaik-baik ikutan adalah Muhammad Rasulullah S.A.W. Terlalu banyak ikutan yang mesti kita ikut kerana ia adalah sunnah. Moga-moga dengan mengikut sunnahnya, kita mendapat perlindungan di hari yang tiada perlindungan kelak (di Padang Mahsyar). Seperti yang saya janjikan sewaktu artikel sebelum ini, saya akan menulis untuk post kali ini berkenaan dengan sifat rendah diri Nabi Muhammad S.A.W dan ulama, pewaris para nabi.

Pertama bagaimana sifat rendah diri seorang nabi.. Banyak kisah yang kita tahu. Tapi kisah yang saya ingin ceritakan ini, jarang-jarang kita tahu. Cerita ini diceritakan oleh Prof Haron Din sewaktu forum di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Suatu ketika Allah S.W.T bertanya kepada empat orang rasulNya iaitu Nabi Ibrahim A.S, Nabi Musa A.S, Nabi Isa A.S dan Nabi Muhammad S.A.W. “Wahai Ibrahim, engkau mahu dikenali sebagai apa?” Tanya Allah S.W.T kepada Nabi Ibrahim A.S. “Ya Allah, aku mahu dikenali sebagai khalilullah (orang yang rapat dengan Allah)". Soalan yang sama ditanya oleh Allah S.W.T kepada Nabi Musa A.S dan jawab baginda “…aku mahu dikenali sebagai Kalimullah (orang yang bercakap dengan Allah). Begitu juga dengan Nabi Isa A.S “…aku mahu dikenali sebagai Ruhullah”.

Kemudian Allah S.W.T bertanya kepada Rasulullah S.A.W “Wahai Muhammad, engkau mahu digelar sebagai apa, ya Muhammad?”, “Ya Allah, aku mahu dikenali sebagai orang yang miskin dan anak yatim”. Kemudian Allah S.W.T membalas, “Wahai Muhammad, sesungguhnya engkau adalah kekasihku (habibullah)”. Gelaran habibullah Allah berikan kepada Rasulullah S.A.W…nabi tidak minta tetapi Allah yang kurniakan. Sudah tentu lebih berharga daripada yang diberi tanpa diminta daripada yang diberi sebaliknya dengan meminta.

Berpandukan artikel saya yang lepas. Kalaulah kita bersikap macam itu sudah tentu ucapan sebegini akan keluar daripada mulut kita.. “La..orang tahulah awak tu yatim, miskin..tak payah lah nak besar-besarkan benda tu. Orang nak bagi ambik jelah”. Sebab yang cakap itu Rasulullah S.A.W kita tidak merasa pelik..tetapi kenapa bila manusia biasa gunakan perkataan “..saya hanya insan kerdil..saya insan lemah, …siapalah saya …pandangan dari insan yang dhaif..” Kita cukup marah. Tasawwur kita hilang sebenarnya. Kita tidak ada tasawwur…dengan kata lain kita tidak kenal akhlak kita…kita tidak pandai mencorak akhlak …peribadi kita sendiri… Sayang, seni dalam kehidupan kita, kita tidak mampu ukir, kita tidak mampu lukis yang terbaik..

Sekali lagi nasihat saya, jangan nilai sesuatu perkara dengan akal kita sahaja sebaliknya nilailah ia dengan hati kita. Insya Allah, Dia akan buka hijab kita untuk memahami perkara yang tersirat disebalik yang tersurat.

Seterusnya saya akan ceritakan sedikit kisah tentang renda diri seorang ulama. Saya ambil contoh Yusuf al-Qardhawi. Seandainya kita ingin baca buku, kitab dan sebagainya, jangan lupa baca muqaddimahnya atau kata pengantar pengarang tersebut. Anda akan mendapati satu kitab yang hebat yang dirujuk oleh begitu ramai ummat manusia, tetapi dipersembahkan oleh pengarang tersebut dengan penuh rasa rendah diri dan keinsafan.

Sebagai contoh, saya petik daripada Kitab Fiqh Aulawiyyah karangan Yusuf al-Qardhawi. ‘Saya tidak mendakwa bahawa kajian ini telah sempurna dan lengkap, tetapi ianya hanyalah merupakan suatu usaha awal dan permulaan sebagai pembuka jalan bagi mereka yang lain untuk melakukan kajian-kajian yang serupa…”

Bahkan saya cukup tersentuh dengan tulisannya apabila ulama besar ini mengakhirinya dengan sepotong ayat al-Quran yang dirakam daripada ucapan Nabi Syuaib A.S sepertimana saya tulisnya dalam blog saya di bahagian atas sebelah kanan blog…supaya saya selalu mengingatinya dan begitu juga saya mengharapkan anda semua turut mengingatinya.

Maksudnya, “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku, dan tidaklah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadanya jualah aku kembali.” Surah Hud, ayat 88.

Yusuf al-Qardhawi juga belajar cara merendah diri daripada seorang nabi, Nabi Allah Syuib A.S. Jadi belajar-belajarlah cara ulama dan nabi merendah diri. Wallahu’alam.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...