Monday, July 6, 2009

Hakikat Sebuah Penulisan


Pena saya dirasakan terhenti seketika. Idea saya tidak mampu dicurahkan seperti dahulu. Entry saya sejak akhir-akhir ini dirasakan tidak mencapai maksud sebenar tujuan penulisan saya. Entah di mana silapnya. Saya menulis berdasarkan rasa hati saya.. menulis untuk memperingati diri yang sering tergelincir daripada landasan yang ditetapkanNya, supaya dapat kembali ke landasanNya semula. Bak kata Akhi Fadhli Athari, ‘muhasabah itu perlu, mujahadah itu selalu’.

Hakikatnya bukan mudah untuk menulis. Terpulang kepada niat masing-masing. Bagi saya, ilmu sahaja tidak cukup untuk kita menggarap satu penulisan yang baik untuk dibaca… dan sebenarnya yang paling sukar menjadikan tulisan tersebut terkesan di dalam jiwa si pembaca.

Kepada anda yang bercita-cita untuk menjadi penulis atau yang telah pun menjadi penulis, sama ada di majalah, buku, blog dan medium bacaan lain, tulislah entry anda dengan rasa hati anda. Tulislah sesuatu mengikut naluri yang disandarkan kepada Pencipta. Insya Allah, tulisan yang anda hasilkan mudah untuk difahami kerana anda sandarkan kefahaman tersebut kepada Maha Pencipta.

Jangan sekali-kali menulis sebab anda ingin menulis. Sebab bila kita rasa kita ingin menulis, secara automatik kita akan menulis berdasarkan apa yang kita rasa…apa yang kita mahu…yang secara tidak sengaja didasarkan atas kehendak akal kita..bukan hati kita. Entry-entry saya yang telah lepas ada menyatakan tentang perbezaan akal dan hati.

Saya masih ingat akan kata-kata Ustazah Hasnah di salah satu program Nisa’. Katanya lebih kurang begini “Selaku seorang dai’e, kita tidak mahu lagi menggunakan akal sebagai ukuran dalam setiap perbuatan. Sebaliknya kita perlu gunakan hati kita. Kerana akal hanya untuk individu yang baru mengenal Islam. Kita sudah lama kenal Islam. Kita berbeza dengan mereka…”. Akal tempat letaknya ilmu sedangkan hati tempat letaknya iman.

Akhirul kalam, semoga sukses dalam penulisan, juga dalam kehidupan. Saya turut doakan agar anda semua bertemu hakikat sebuah penulisan.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...