Tuesday, November 3, 2009

Hidup Seorang Pelarian

Setelah penat membeli buku-buku secondhand di Bazar Chowrasta, saya dan seorang rakan saya melepaskan penat kami di bangku yang diletakkan di tingkat bawah berhadapan jalan raya di bazaar tersebut. Sementara menunggu rakan-rakan lain tiba, perkara yang memang telah kami duga berlaku.

Kami didatangi oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun menghulurkan cawan kosong yang minta untuk dipenuhkan dengan wang. Setelah permintaanya tidak dilayan kanak-kanak tersebut berlalu begitu sahaja. Tanpa diduga kanak-kanak tersebut kembali semula kepada kami dengan membawa buku kecil yang dimuatkan Surah Yassin di dalamnya.

“Adik dah makan ke belum?” Tanya rakan saya.
“Belum”. Jawabnya sepatah.
“Tunggu sini, akak pi beli makanan”. Pinta rakan saya.

Sementara membeli makanan, saya berbual-bual dengan kanak-kanak perempuan tadi.
“Nama siapa?” Tanya saya.
“Ramlahbi” Seingat saya begitulah namanya.
“Umur berapa?”
“Lapan tahun”.
“Mak dengan ayah kat mana?” Tanya saya lagi.
“Mak sakit kat rumah. Ayah dah meninggal”.
“Datang dengan siapa kat sini?”
“Datang dengan tok, dengan abang”.
“Abang mana?”.
Kebetulan abangnya lalu berhampiran kami. Lalu kanak-kanak tersebut memanggilnya dengan bahasa yang saya tidak ketahui. Sekembalinya rakan saya yang membeli makanan tadi, soalan yang sama saya dan rakan saya tujukan kepada abangnya pula. Jawapan yang sama diberikan oleh adiknya tadi turut diberikan oleh abangnya.

Abangnya yang bernama Zubir lebih fasih berbahasa Melayu berbanding adiknya. Katanya mereka merupakan pelarian Mynmar.
“Dah makan ke belum ni?” Tanya saya kepada Zubir.
“Sudah. Sudah makan dengan tok. Adik pun dah makan tadi. Makan sama-sama”.
“Adik cakap tadi dia belum makan?” Tanyaku inginkan kepastian.
“Adik tak pandai sangat cakap”. Balasnya.
“Oooo..”.
“Tinggal kat mana?” Tanya rakan saya.
“Kat Bagan Ajam”. Jawabnya.
“Bagan Ajam kat mana ?” Tanya saya kepada rakan saya.
“Entah.” Dia pun tidak pasti.
“Tadi abang datang sini naik apa?” Tanya rakanku kepada Zubir.
“Naik bas. Lepas tu naik feri ke sini.” Jawabnya.
“Dari seberanglah ni.. Ya Allah jauhnya.”
“Datang sini hari Jumaat, Sabtu, Ahad. Hari lain belajar. Ada ustaz mengajar. Baca al-Quran.. baca buku”.
“Pandai baca?” Tanya saya.
“Bahasa Burma pandai”.
“Besar nanti nak jadi apa?” Tanya saya lagi.
Buruh binaan menjadi pilihan. Katanya mereka tidak mempunyai IC jadi untuk kerja adalah lebih sukar berbending penduduk tempatan.

Daripada perbualan yang berlaku di antara kami, saya dapat melihat bahawa Zubir merupakan kanak-kanak yang bijak. Dia sangat memahami kepayahan hidup keluarganya. Tetapi keadaan memaksa dia melakukan perkara yang seharusnya bukan tanggungjawabnya. Kad kebenaran untuk menetap di Malaysia dipegang oleh nenek (tok) mereka kerana bimbang dirampas oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Begitu juga dengan wang yang diperolehi daripada belas ehsan masyarakat yang lalu lalang di Bazar Chowrasta.

“Abang kena belajar membaca. Kalau tidak nanti orang tipu abang”.
“Memang nak belajar. Tapi mahal. Sebulan kena bayar RM50. Kalau dua, saya dengan adik dah RM100. Mana ada duit. Sehari dapat RM15..RM20… tak cukup”. Luahnya.
Zubir dan adiknya mengenali abjad tetapi masalahnya tidak pandai mengeja… tetapi di dalam bahasa Mynmar Zubir pandai membaca dan menulis. Katanya emaknya yang mengajar. Membaca, menulis, sembahyang dan lain-lain.

Kami akhiri pertemuan kami dengan berjumpa dengan neneknya yang turut meminta simpati daripada orang ramai yang lalu lalang di bazaar tersebut. Zubir menjadi perantara kami untuk bercakap dengan neneknya memandangkan neneknya tidak pandai berbahasa Melayu… Ada air mata bergenang di mata neneknya… saya tidak pasti.. air mata duka mengenangkan nasibnya atau air mata gembira kerana kehadiran kami….

Sampan didayung buatan sendiri,
Berlabuh sebentar di negeri orang,
Dihalau saudara di negara sendiri,
Mengemis kasih di negara orang...

7 comments:

wan-niza said...

bertuahnya kita ni kan...tak perlu jadi pelarian, tahu membaca tahu mengira..ada peluang belajar tinggi2

Shaikh Mohd Hizami said...

'Tiada keindahan dalam sebuah kehidupan tanpa merasai kepahitan dan tiada bunga-bunga kebahagiaan dalam sebuah kepahitan tanpa menyemai benih-benih kesabaran serta tiada keberkatan pada sebuah pertemuan jika tiada kesyukuran yang bertapak di jiwa insan'. Besyukurlah di atas segala kurniaan Allah s.w.t terhadap diri kita dan ringankan tangan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan..

Radieah Mohd Nor said...

Memang bertuah jadi rakyat Malaysia. Tapi sayang sekali tak ramai di antara kita yang mampu bersyukur

MU'ALLIMAH said...

salam..:)
nak tye..canne letak lagu 'suratan atau kebetulan' kat post ni..hihi..menarik..

Radieah Mohd Nor said...

First, download video 'suratan atau kebetulan' guna real player dari youtube. Kemudian bila nak letakkan dalam entry blog, macam biasa... caranya macam kita upload gambar ke dalam entry blog kita. Cuma click button video bukan button picture.. kemudian ikut arahan yang diberikan...

Nurul Izza said...

assalamualaikum..

menjadi silent reader dan skg nk tonjolkan diri.;)

sedih je bila bc entry ni. mmg ptt kt syukur atas apa yg diberi. kita yg harus membandingkan diri dgn org2 yang kurang uapaya mcm ni.

kat US ni, esp nebraska adalah tempat pelarian dr Iraq, Iran, palestin, Afganistan, Amerika selatan, bila jumpa di masjid..dan dgr cerita mereka ini..mmg sedih dlm ms yg sama bersyukur walaupon tidakla semewah datuk dan datin2..tapi alhamdulillah makan, pakai semuanya cukup.tak perlu lari utk mendapatkan makan n pakai serta kasih dan syg.

sesungguhnya Allah maha penyayang ;)

*speechless*

Radieah Mohd Nor said...

Wa'alaikumsalam...

Akhirnya tonjolkan diri juga Kak Izza. Saya tak kenal Kak Izza. Tetapi selalu juga baca pengalaman Kak Izza kat luar negara.

Apapun kongsi-kongsilah selalu pengalaman Kak Izza pada kami kat sini. Sebab saya tahu pengalaman Kak Izza akan bawa pengajaran untuk saya dan semua.

Semoga berbahagia selalu.
Wassalam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...