Monday, March 23, 2009

Bila Kezaliman Mengatasi Keadilan

Kes penceraian di kalangan selebriti yang sering mendapat liputan media seringkali merimaskan saya. Tetapi cerita daripada Dr Jasni Sulong tentang kes penceraian yang berlaku kali ini menarik minat saya untuk berkongsi dengan anda semua…sebagai pengajaran dan seharusnya perlu ada tindakan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Kes ini berlaku apabila seorang isteri cuba meminta supaya suaminya melepaskan ikatan perkahwinan mereka. Hal ini berikutan si isteri tidak mampu lagi untuk meneruskan perkongsian hidup bersama suaminya yang seringkali memukulnya dan pelbagai lagi perkara lain yang pada fikiran saya memang menjadi hak untuk si isteri pinta supaya diceraikannya.

Tetapi apabila kes tersebut dirujuk kepada majlis agama Islam, mereka menasihatkan supaya si isteri terus bersabar dan menerima seadanya kelemahan suaminya. Sudah acap kali si isteri pergi ke majlis agama Islam tetapi jalan penyelesaiannya tetap sama…kaunseling dan kaunseling.

Suaminya pula tidak mahu menceraikannya dengan alasan masih sayangkan si isteri dan hubungan perkahwinan mereka. Keadaan ini menyebabkan Mahkamah Syariah menetapkan perkahwinan mereka masih sah dan tuntutan supaya si isteri diceraikan oleh suaminya tidak berlaku.

Akhirnya kes tersebut dibawa ke Mahkamah Sivil tetapi keputusan mahkamah tidak menyebelahinya. Akhirnya peguam si isteri menasihatkannya supaya mengistihar murtad daripada Islam. Hanya dengan murtad perkahwinan yang berlaku di antara suami dan isteri tadi akan terbatal secara automatik.

Disebabkan sikap suaminya yang sedemikian rupa, majlis agama Islam dan Mahkamah Syariah yang tidak menyebelahinya sedangkan bukti kukuh berada di pihak isteri, si isteri akhirnya menuruti cadangan peguamnya untuk mengistiharkan bahawa dirinya keluar daripada Islam. Walaupun si isteri tidak berniat untuk murtad tetapi hanya dengan cara tersebut dia boleh terlepas daripada kezaliman suaminya.

Secara automatik berlakulah penceraian antara si isteri dengan suaminya tadi. Saya tidak mahu mengulas panjang tetapi bagi saya tanggungjawab majlis agama Islam dan Mahkamah Syariah adalah menyelamatkan Si Isteri tadi daripada kezaliman Si Suami tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.

Malah Si Isteri terpaksa mempertaruhkan agamanya untuk menghilangkan kezaliman suaminya ke atas dirinya. Masih ingat lagi peristiwa Amar Bin Yassir? Bagi saya perkara yang berlaku ke atas Si Isteri tadi adalah serupa dengan peristiwa tersebut. Saya percaya Si Isteri kini masih lagi seorang muslim…

Sebenarnya terlalu banyak kes-kes yang berlaku di mahkamah yang kita sendiri tidak terfikir ia akan berlaku. Rakan sekuliah dengan saya bekas peguam dan suaminya kini masih lagi peguam. Jadi banyak kes yang berlaku di mahkamah diceritakan kepada saya. Saya pula hanya mampu mengeluh dan menggelengkan kepala mendengar ceritanya…Tetapi sampai bila…Wallahu’alam.

Friday, March 20, 2009

"Aku Merindui Ikhwanku"


Saya tercari-cari tempat duduk yang selesa untuk mendengar forum yang antara ahli panelnya ialah Prof Dr Haron Din di Masjid Negeri Pulau Pinang bersemperna Sambutan Maulidur Rasul. Pada mulanya saya ingin duduk di dalam masjid supaya pahala iktiqaf di dalam masjid turut sama saya perolehi.

Tetapi memandangkan di dalam masjid kedudukan jemaah wanita ditempatkan jauh di belakang, mana mungkin saya boleh melihat penceramah dengan kedudukan saya yang jauh di belakang. Kaca mata saya yang semakin kabur turut menghalang penglihatan saya.

Jadi saya memutuskan untuk duduk di hadapan skrin besar yang terletak di anjung masjid. Kebetulan ajk masjid memasang skrin besar untuk kemudahan pendengar ceramah yang duduk di luar masjid. Dari jauh datang kalau tidak dapat tengok wajah ulama’ satu kerugian besar bagi diri saya. Bukan senang hendak berjumpa ulama’ yang sehebat Prof Dr Haron Din. Malam itu penampilannya masih sama seperti biasa dilihat…memakai kopiyah dan jubah..semuanya berwarna putih. Ada sebentuk cincin di tangan kirinya.

Banyak sirah Baginda Nabi S.A.W Prof Dr Haron Din cuba singkap kembali. Walaupun sirah tersebut telah saya baca berkali-kali tetapi sirah yang disampaikan olehnya memudahkan pemahaman saya, bahkan telah berjaya menyentuh hati saya. Ungkapan dan ayat yang digunakan oleh Prof Dr Haron Din yang sangat mudah difahami, di samping kata-kata yang cukup teratur dan jelas. Sesejuk mata memandang…penenang hati yang gelisah…hakikatnya ia adalah disebabkan izzah yang dimiliki olehnya. Kurniaan Allah S.W.T ke atasnya.

Di dalam hati saya berbisik…seandainya orang di hadapan saya ini Rasulullah S.A.W sudah tentu mata yang memadang tidak mahu dikelipkan…hati yang gelisah akhirnya mampu disembuhkan…Tetapi mampukah saya untuk berjumpa dengannya. Andai diukur dengan amalan…mimpi pun belum tentu… bahkan mustahil.. Kita hanya mengharapkan rahmatNya dan syafaat daripada Baginda S.A.W.

Masih saya ingat lagi satu kisah yang pernah saya baca suatu ketika dahulu.

Sewaktu Rasulullah S.A.W sedang duduk bersama para sahabat, para sahabat melihat wajah Rasulullah yang sedang termenung memikirkan sesuatu. Lantas seorang sahabat bertanya “Apa yang engkau sedang fikirkan Ya Rasulullah?”
“Aku merindui ikhwanku”. Jawapan tersebut diluahkan sambil memerhatikan wajah para sahabat yang cukup setia dengannya.
“Kami lah ikhwanmu Ya Rasulullah”. Para sahabat berkata.
“Tidak kamu semua ialah sahabatku” Rasulullah menidakkannya.
“Kami lah ikhwanmu Ya Rasulullah” Sahabat menggulanginya lagi.
“Tidak, kamu semua ialah sahabatku”
“Kami lah ikhwanmu Ya Rasulullah” Sebanyak tiga kali penyataan yang diberikan oleh para sahabat tetap dijawab dengan “Tidak, kamu semua ialah sahabatku”
Kemudian Rasulullah member penjelasan tentang penafiannya tadi.
“Ikhwanku ialah umatku yang hidup selepas kewafatanku. Mereka mencintaiku dengan sebenar-benar kecintaan, mereka menggamalkan sunahku…walaupun mereka tidak pernah melihat wajahku.”

Adakah kita golongan ikhwan itu?
Tanyalah hati…tanyalah akal…kerana mereka telah ada jawapan.

Tuesday, March 10, 2009

Izzah...


“Kak Radieah, saya suka tengok perempuan yang baik-baik ni. May be sebab mereka ni solehah kot, sebab tu saya suka tengok dia walaupun dia tak cantik” Coursemate saya tiba-tiba bersuara sewaktu sedang kami makan malam bersama-sama.


“Kenapa pula macam tu?” sengaja saya memerangkapnya supaya dia lebih banyak bercerita. Saya mahu tahu lebih banyak menganai pandangan peribadinya tentang hal tersebut.
“Kalau orang cantik ni, kita tengok just sekadar cantik. Tapi perempuan yang solehah ni, kita nampak dia lebih daripada itu. Sejuk je tengok”
“Maksudnya?” Tanya saya lagi seolah-olah tidak memahami perkara yang cuba disampaikan olehnya.
“Kat school (pusat pengajian) saya dulu, saya ada ramai kawan yang cantik-cantik. Tapi bagi saya just sekadar cantik. Cantik je tak lebih daripada itu. Tapi orang yang baik-baik ni kita lihat dia lebih daripada perkataan cantik. Tak tahu lah nak cakap”.


“Yang tu bukan cantik tapi izzah (kemuliaan). Allah bagi kepada siapa yang terpilih. Pernah tengok tak kakak-kakak PMI dulu. Seronok je tengok mereka. Tenang je tengok mereka. Sebabnya mereka ada izzah yang Allah bagi pada mereka. Rahsianya jaga qiam. Itu je tak ada rahsia lain”.
“Yelah Kak Radieah, dulu kakak-kakak PMI saya suka tengok. Mereka biasa je tapi seronoklah. Sekarang dah tak terlibat dengan PMI....”


Biasanya kita tidak ambil kisah soal izzah. Saya masih ingat lagi perbualan seorang housemate sahabat saya sewaktu bertandang ke Bangi menziarainya yang sedang menyambung pengajian masternya di UKM. Sewaktu sedang menonton televisyen dia menekan button televisyen untuk melihat siaran yang lain. Dia berhenti seketika untuk mengenali penyanyi yang sedang menyanyi pada ketika itu.


“Is...dia ni, tak suka lah...” lebih kurang macam tulah reaksinya apabila melihat Mawi sedang menyanyi.
“Kenapa cakap macam tu?”. Saya mula bertanya kehairanan kerana biasanya Mawi ramai peminat. Tapi dia ni lain pula.
“Saya suka tengok orang yang baik-baik walaupun saya tak baik. Kalau dah baik janganlah jadi macam saya. Biarlah yang baik-baik terus jadi baik.” Macam tu rupanya...


Saya tidak pandai untuk mengulas panjang-panjang tentang izzah. Tetapi andai kita cari kemuliaan selain daripada Islam, Allah akan turut mencampakkan rasa kemurkaanNya kepada makhlukNya untuk turut sama membenci kita.
Izzah membuatkan manusia akan segan dan hormat dengan kita.

Perjuang Alam Maya


Bebola mata saya bergerak laju membaca barsi-barsi perkataan yang terdapat di dalam e-mail yang baru dihantar kepada saya. E-mail tersebut dihantar ke dalam Yahoo Group. Jadi sudah tentu ramai pembacanya. Hampir 400 orang tidak termasuk Yahoo Group lain* yang turut dihantar olehnya. Anggaran saya hampir 2000 orang akan membaca e-mail tersebut. Gambar-gambar yang tidak bermoral yang sudah pasti melanggar batas syariat turut dipaparkan sebagai bukti kebenaran e-mail tersebut.

Hati saya mengeluh...resah dengan reaksi penghantar e-mail tersebut. Gambar-gambar yang memaparkan aksi pelakon drama SpaQ dan beberapa pelakon yang amat menjelikkan mata yang memandang. Bila berlakon, dia seumpama malaikat...tetapi bila di luar set pengambaran.. nauzubillah...Allah sahaja yang tahu. Semoga Allah memberi hidayah kepadanya...membuka matanya...membuka pintu hatinya untuk melihat bertapa indahnya Islam itu...walaupun asing di mata semua.

Saya tidak mahu mengulas tentang gambar-gambar tersebut. Tetapi perkara yang saya mahu kongsikan bersama bait-bait e-mail yang dihantar kepada saya. ‘Mana pergi PAS yang bersungguh-sungguh membantah konset tersebut’. Begitulah antara bait e-mail yang dilakarkan pada e-mail tersebut.

Kita selalu mempersoalkan tanggungjawab orang lain sehingga kita lupa tanggungjawab kita sendiri...Di mana silapnya?

Penghantar e-mail tadi mungkin tidak tahu perkara yang seharusnya dilakukan olehnya. Sehingga dia mengharapkan orang lain untuk membantunya. Andai saya marah kepadanya takut-takut nanti perasaan marah saya mengatasi dosa yang dilakukan olehnya. Jadi saya yang lebih berdosa bukan dia. Mungkin juga perasaan marah saya tadi membuatkan Allah murka kepada saya melebihi murkaNya kepada penghantar e-mail tadi. Sebab dia tidak tahu.. sedangkan saya tahu.

Akhirnya e-mail ringkas saya hantar sebagai balasan kepada e-mail tersebut. Cuba memahami..cuba memberitahu. Siapa tahu akhir nanti Allah jadikannya seorang yang ‘amar makruf, nahi mungkar’ yang hebat di sisi Allah juga di sisi manusia.

Astaqfirllah hal a'zzim...

Tak sepatutnya orang Islam buat mcm tu kan?

Tapi kenapa PAS? Allah tak tanya pada orang PAS je..

Yang Allah tanya nanti pada semua..

Kerana kita orang Islam yang bertanggungjawab atas semua saudara kita.

"sesungguhnya orang Islam itu bersaudara" - Allah dah ingatkan pada kita semua.

Jangan tanya tugas, peranan, atau tanggungjawab orang lain... tapi tanya tugas, peranan atau tanggungjawab kita..


Siiru a'la barakatillah..

(Berjalanlah engkau dengan rahmat Allah)

Wallahu'alam...

Harapan saya hanya satu. Supaya mereka memahami akan tanggungjawab yang seharusnya kita dipikul bersama. Tetapi sekurang-kurangnya ada orang yang mula memahami apa itu perjuangan... memahami tugas sebagai khalifah..pemakmur Bumi Allah. Saya juga tahu sebentar lagi akan ada reaksi daripada mereka...mungkin marah, mungkin bersetuju, mungkin juga ada yang mahu bertanya. Biarlah saya telah biasa berjuang di alam maya... yang tidak sehebat mereka yang berjuang di alam nyata.

*Saya ingin menembusi e-mail daripada yahoo group lain. Tetapi bagaimana caranya?

Jangan Tinggal Semua


“Kalau tak boleh buat semua, jangan tinggal semua”
Kata-kata keramat itu kugenggam erat,
Bila keperluan mengatasi kemampuan,
Bila tuntutan mengatasi kudrat

Kemampuanku tidak sehebat mana,
Tidak sekuat mana...
Sering kali dipertikaikan...
Sering kali dipersoalkan...
Biarkanlah mereka berkata...
Biarpun seantero dunia berdusta..

Kutetap ingin berlari,
Biarpun rebah berkali-kali,
Kerana di dalam hati ini
Hanya adaMu Ya Ilahi

Tidak semua orang mengerti...
Tidak semua mampu memahami
Akan kepayahan ini diri ini..
Akan rahsia hidup ini...
Biarkanlah ia berlalu pergi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...