Tuesday, January 19, 2010

Melanjutkan Pembelajaran di ISDEV


Assalamu'alaikum w.b.t

Doa saya semoga semua sihat sentiasa. Semoga rahmat Allah sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita.Entry pada kali ini khas saya tujukan buat Junior SK (kalau dipanggil dengan nama kan lagi baik) dan sesiapa yang mahu menyambung pembelajarannya di ISDEV.

Namun begitu, harus diingat bahawa ISDEV bukanlah satu pusat pengajian tetapi ia adalah satu pusat kajian yang terletak di bawah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan. Alhamdulillah, pengajian saya di peringkat master telah pun tamat. Terlalu cepat masa berlalu. Tidak sedar pun yang ia telah sampai ke penghujungnya.

Mengenai Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam), ia merupakan kursus yang ditawarkan dalam mod campuran (mixed mode). Walaupun ia mod campur tetapi harus diingat bahawa kursus yang ditawarkan ini lebih berat ke arah penyelidikan memandangkan ia bernilai 70% untuk disertasi (tesis pendek) dan 30% kuliah.

Terdapat empat kursus major yang ditawarkan. Empat kursus major tersebut ialah Pembangunan Berteraskan Islam, Pengurusan Institusi Pembangunan Islam, Pengurusan Pembangunan Aset Islam dan Ekonomi Politik Islam. Setiap kursus tersebut terdapat dua mata pelajaran teras sepunya yang wajib diambil oleh semua pelajar dan dua mata pelajaran untuk setiap kursus major yang ditawarkan. Ini bermakna setiap pelajar yang berdaftar perlu mengikuti empat mata pelajaran dan menyiapkan disertasi dalam tempoh pengajian tersebut. Tempoh pengajian adalah selama tiga semester.

Sesi pembelajaran dijalankan menggunakan Bahasa Melayu. Namun begitu, Bahasa Inggeris turut digunakan sekiranya kelas atau kuliah tersebut dihadiri oleh pelajar atau individu yang tidak memahami Bahasa Melayu. Keadaan ini berlaku biasanya apabila terdapat program yang dihadiri oleh post-doctoral fellow, pelajar PhD atau sarjana dari luar negara. Program yang dimaksudkan di sini adalah seperti program pengajian agama yang diadakan setiap hari Selasa dan supervision bulanan ISDEV. Wacana ilmu merupakan satu program yang menjadi kemestian di ISDEV bagi meransang pelajar-palajarnya memikirkan sesuatu yang bersifat 'out of the box' tetapi masih di dalam kerangka yang dibenarkan oleh syariat. Tetapi jangan bimbang. Kebanyakannya dalam Bahasa Melayu.

Program sebegini merupakan program yang wajib diikuti oleh setiap pelajar ISDEV. Ia bertujuan untuk memudahkan penyelidikan setiap pelajar berjalan dengan lebih lancar. Secara tidak langsung program sebegini telah merapatkan hubungan silaturrahim setiap warga ISDEV. Hubungan yang terjalan dapat saya katakan telah melampaui sempadan antara seorang pensyarah dengan pelajar. Sebaliknya pensyarah di ISDEV boleh berperanan sebagai seorang bapa, ibu, kakak, abang, rakan, dan teman untuk bergurau mahupun untuk meluahkan segala kekusutan.

Di ISDEV, saya tidak dididik untuk hanya mempertajamkan akal fikiran saya. Sebaliknya lebih kepada menajamkan mata hati saya. Supaya saya lebih mengerti perkara yang bersifat makrifat berbanding yang tersurat. Berkenaan dengan makrifat dan tersurat ini, boleh baca dalam entry saya yang lepas yang bertajuk Antara Yang Tersurat dan Makrifat ataupun lebih dikenali dengan pembelajaran dari hati ke hati oleh Prof Muhammad Syukri Salleh yang merupakan salah seorang pensyarah ISDEV.

Untuk pengetahuan semua. Di sini saya diajar untuk menulis... menulis untuk menyusuli langkah ulama terdahulu yang juga mengarang banyak kitab. Saya tidak sekadar diajar untuk menulis disertasi, kertas-kertas kerja atau bahan akademik yang lain tetapi juga diajar dan dididik untuk menghasilkan bahan dakwah yang lain bermula dari menghasilkan blog, menulis artikel-artikel di majalah, akhbar dan lain-lain bahan bacaan. (Namun sehingga sekarang saya masih belum menghasilkan sebarang artikel untuk diterbitkan di mana-mana majalah dan akhbar.... Amaran. jangan tiru adegan ini !!!)

Secara ringkasnya berkenaan dengan Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam ini boleh diakses di dalam laman web ISDEV. Selain itu anda juga boleh membaca entry yang ditulis oleh Dr. Fadzila Azni Ahmad berkenaan program tersebut.

Semoga perkongsian ini memberi gambaran serba ringkas berkenaan dengan kursus yang ditawarkan di bawah Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam.
Semoga peroleh manfaat.

Wassalam.
Radieah Mohd Nor.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...