Thursday, April 29, 2010

Aktifkan Dirimu Mahasiswa Dai'e


Sesuatu yang biasa dilakukan oleh manusia seharusnya perlu menjadi luar biasa untuk seorang mukmin. Kita selalu melakukan perkara yang biasa dilakukan oleh individu lain tetapi jarang-jarang sekali kita memikirkan tentang impaknya. Akhirnya perkara yang kita lakukan menjadi yang sia-sia walaupun sebenarnya ia boleh menjadi suatu yang luar biasa. Impak di sini maksudnya bukan ukuran berjaya atau sebaliknya. Tetapi ia lebih kepada keberkataan setelah tiadanya kita di dunia.

Mengaktifkan diri untuk menjadi manusia yang berguna tidak sahaja kepada diri sendiri tetapi turut bermanfaat kepada orang lain bukanlah suatu perkara yang mudah. Menjadikan umur yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t buat kita menjadi barakah juga payah.

Kita selalu menyakatan bahawa sesaat itu tidak lama, seminit itu sementara, setahun itu pejam celik, pejam celik akan kunjung tiba. Bila difikirkan kembali sebenarnya sesaat itu cukup lama, seminit itu mampu meresahkan jiwa, setahun itu mungkin tidak akan kunjung tiba. Jika tidak diizinkan olehNya.

Sirah yang selalu kita baca sebenarnya cukup banyak mengajar kita. Sehinggakan ahli salaf pernah menyatakan “Sesiapa yang ingin mencontohi seseorang, maka ambillah contoh daripada mereka yang telah mati kerana orang yang hidup masih belum terjamin kesudahan hidupnya”.

Sejarah kegemilangan Islam sewaktu pemerintahan Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab telah pun menjadi hafalan dan ingatan kita. Begitu juga dengan Umar Abdul Aziz sehinggakan beliau diberikan gelaran Khalifah ar-Rasyidin kelima. Tetapi sedarkah kita bahawa tempoh pemerintahan mereka cukup singkat tetapi mampu mengerunkan dunia.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq misalnya hanya memerintah selama dua tahun tiga bulan. Umar al-Khattab pula memerintah negara Islam dengan agak lama tempohnya iaitu selama 10 tahun. Tetapi Umar Abdul Aziz pula tempoh pemerintahan beliau adalah lebih kurang sama dengan Saidina Abu Bakar as-Siddiq iaitu selama dua tahun lima bulan. Memerintah merupakan tanggungjawab pemerintah. Suatu perkara yang biasa tetapi mereka melakukannya dengan penuh luar biasa.

Sebagai contoh, suka untuk saya mengulas pemerintahan yang dilakukan oleh Umar Abdul Aziz kerana beliau dilantik dalam keadaan sistem politik negara pada ketika itu dalam keadaan kucar-kacir kerana ketidakjujuran khalifah sebelum beliau. Tetapi dengan tempoh pemerintahan yang hanya dua tahun lima bulan atau 852 hari Umar Abdul Aziz telah mengembalikan kegemilangan sistem pemerintahan Islam dengan sebaiknya.

Tempoh pemerintahan yang begitu singkat tetapi telah mampu melakar sejarah yang cukup hebat di mata dunia sehingga kini bukan suatu perkara yang mudah melainkan hanya jiwa-jiwa yang benar-benar ikhlas keranaNya mampu melakukannya.

Jadi jangan kita sangka saat itu hanya seketika, setahun itu adalah sementara kerana ada nilai berharga di dalamnya yang harus kita penuhi tuntutannya. Tuntutan terhadap diri kita selaku hamba Allah juga khalifaNya. Mengurus kehidupan dunia dengan bijaksana.

Oleh itu, apapun title anda, sama ada mahasiswa, guru, pelajar, adik, pemerintah dan sebagainya, kita perlu mengaktifkan diri kita. Masa itu bukan seketika tetapi ia cukup lama.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...