Monday, April 12, 2010

Belajar Menulis Dari Al-Quran


Waktu buat master dulu, Prof Syukri pernah tegur saya “Radieah, hentikan tulis blog. Tumpukan pada tulis disertasi. Ni saya tengok blog tulis panjang je. Lancar je. Bila tulis research kenapa melompat-lompat?”

Melompat-lompat tu maksudnya kesinambungan antara satu perenggan dengan perenggan yang lain terputus. Ataupun bila kita sedang berhujah dalam satu perenggan, nak masuk ke pereggan yang lain kita masuk tiba-tiba tanpa ada ayat yang menghubungkan dari satu perenggan atau hujah kepada hujah yang selanjutnya.

“Alah Prof, tulis blog 15 minit je. Nak tulis disertasi 15 minit tak tentu lagi saya boleh tulis panjang tu”. Saya cuba mempertahankan diri saya. Walaupun memang tidak sepatunnya dalam keadaan kritikal waktu tu saya masih menulis blog.

Hakikatnya untuk menghasilkan sebuah penulisan akademik memang payah sekiranya tidak dilatih. Tambahan pula bila ada mind set yang mengatakan “payahnya tulis research”. Ada juga junior yang bertanya bagaimana mahu menulis dengan baik. Jawapan yang saya berikan “Tulis jelah. Selagi tak tulis selagi tu tak akan dapat yang terbaik”. “Senang nye lah Kak Radieah cakap”. Balasan yang macam itu pula dilemparkan kepada saya. Nak buat macam mana, Prof Syukri pun jawab macam itu waktu saya mula belajar menulis bahan akademik.

Antara draf disertasi saya yang pada mulanya putih bersih tetapi dikembalikan oleh Prof Syukri dengan merah di sana sini. Bukan di halaman yang bercetak sahaja merah, halaman belakang yang tidak bercetak pun turut sama merah.

Menulis memerlukan latihan dan kebiasaan. Bila telah biasa menulis kita akan melihat perubahan-perubahan sewaktu mula-mula menulis sehingga kini. Kalau tidak percaya cuba lihat entry-entry awal dalam blog saya. Sekiranya anda menelitinya terdapat perubahan sewaktu saya menulis dan berhujah sewaktu mula-mula menulis blog sehingga kini. Saya sedang belajar, begitu juga saya harapkan dengan anda semua.

Bagi saya menulis adalah salah satu cabang jihad. Saya tidak mampu untuk turun ke lapangan masyarakat. Sedangkan itulah sebenarnya medan sebenar perjuangan. Tetapi firman Allah s.w.t dalam Surah at-Taubah ayat 122;

Maksudnya;

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Sebenarnya Allah s.w.t telah mengajar kita seni untuk menulis dengan baik iaitu dengan al-Quran. Melalui bahasa yang cukup diatur dan tersusun, analogi yang mudah untuk kita fahami, cerita-cerita yang suka dan seram serta pelbagai lagi unsur lain. Tiga unsur yang saya ketengahkan tadi merupakan unsur yang sangat digemari oleh manusia apabila seseorang itu sedang bercakap atau menerangkan sesuatu.

Misalnya apabila seseorang memberi ceramah, bahasa yang digunakan seharusnya bahasa yang tersusun dan mudah untuk difahami. Cerita-cerita yang menarik atau boleh memberi pengajaran perlu diselitkan kerana majority umat manusia suka apabila ada orang bercerita. Begitu juga dengan analogi yang menarik perlu digunakan supaya perkara yang ingin disampikan mudah difahami dan diikuti.

Sebab itu antara sebab mengapa al-Quran dijadikan mukjizat terbesar kepada umat akhir zaman. Sebab ketiga-tiga unsur dalam al-Quran tadi adalah unsur yang menarik minat mereka untuk menghayati sesuatu perkara. Lihat sahaja pada zaman Jahiliyyah, para penyair pada ketika itu amat disanjung tinggi sehingga syair-syair mahsyur digantung pada dinding Kabah. Begitu juga dengan masyarakat Melayu yang amat kaya dengan pribahasa, pantun, syair dan sebagainya.

Berbeza dengan umat Nabi Musa a.s yang pada ketika itu hebat dengan sihir. Jadi Nabi Musa a.s dikurniakan mukjizat bagi mengatasi sihir-sihir tersebut.

Jadi tulislah sebaik mungkin. Sekurang-kurangnya ia boleh terus menjadi bekal kita di alam kubur nanti selagi ada yang boleh mengambil manfaat daripada penulisan kita. Akhirul kalam saya ingin berkongsi beberapa rangkap pantun untuk berhibur sebagai pengakhir bicara. Wassalam

Tiang sehasta dibuat galah
Berpanjang lengan kait melati
Berjuang kita ke jalan Allah
Biar dengan sepenuh hati.

Dari Demak ke Mekasar
Bergalah perahu tidak berbaju
Maafkan hamba jika terkasar
Allah jua tempat dituju.

Pinang dusun kacip cekati
Sirih dibilas luar rumah
Saya berpantun dari hati
Tuan balas tiba dirumah.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...