Tuesday, May 4, 2010

Usaha Di Sini, Matlamatnya Di Sana


Kajian berkenaan ketamadunan yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w, Khulafa ar-Rasyidin dan tamadun-tamadun selepasnya memerlukan seorang pengkaji seperti saya menyemak kitab-kitab ulama terdahulu yang banyaknya mungkin. Jika orang lain perlu semak kitab tersebut sahaja. Tetapi untuk saya perlu semak tiga kali ganda daripada mereka yang arif berbahasa Arab. Untuk saya, satu kitab asal, satu kitab terjemahan dan satu lagi kamus. Tiga kali ganda kerja saya berbanding orang lain. Hal ini antara sebab jumlah rujukan saya banyak.

Pernah seorang sahabat saya sewaktu melihat disertasi yang telah selesai dijilid berkata kepada saya "Banyaknya Radieah reference awak. Berapa banyak ni?" Sambil membelek-belek bahagian rujukan di halaman belakang disertasi tersebut.
"Tebal pula tu, agak-agak PhD nanti tebal manalah. Berapa helai ni?" tambahnya lagi apabila melihat ketebalan disertasi tersebut.
"Ami, bidang kita berbeza. Awak sains. Saya art. Art memerlukan banyak rujukan berbanding sains". Jelas saya.

Bidang yang berbeza juga membuatkan rujukan saya bertimbun berbanding pengkaji lain. Saya rasa pelajar ISDEV semua macam saya. Dahsyat daripada saya pun ramai. Jadi jangan pelik.

"Tengah buat apa tu?" tanya emak suatu malam sewaktu menelefon saya.
"Buat kertas kerja untuk perbentang kat seminar". Jelas saya.
"Tentang apa?" tanya emak lagi.
"Tentang macam mana Rasulullah uruskan muallaf miskin pada waktu tu".
"Banyak rujukan ke?" tanyanya lagi.
"Ada banyak mak. Taip je kat internet, berlambak keluar". Jawab saya lagi.
"Abis tu kena baca semua lah?"
"Mana larat Adiah nak baca semua mak. Ada cara dia. Bila dah biasa dengan internet kita pandailah nak tapis buku yang mana ok, mana tak ok".

Pengukuhan sesuatu teori yang telah ada pula sebagaimana yang dilakukan dalam disertasi saya yang lalu (mengukuhkan Prinsip-Prinsip Pengurusan Pembangunan Islam) adalah lebih mudah berbanding membentuk teori baru atau mencabar teori yang sedia ada sebagaimana yang saya lakukan sekarang (membentuk teori pengurusan kemiskinan).

Tetapi tidaklah terlalu sukar sekiranya kita meminatinya. Banyak atau kurang rujukan bukan masalah. Masalahnya adalah kita pandai menggunakan bahan tersebut menjadikannya bahan yang berguna untuk kajian kita.

"Radieah, apa khabar dengan data PBB awak?" tanya sahabat saya.
"Saya tengah tenggelam sekarang. Lemas pun ye juga". Jawab saya. Jawapan tersebut membuatkan dia ketawa.
"Perlu CPR tak?" guraunya.
"Boleh juga...".

Tetapi itulah hakikatnya. Biasanya bila terlalu banyak data kita akan tenggelam dalam data tersebut. Apapun cepat-cepatlah timbul semula.

Tambah pula, saya mengkaji tentang teori atau lebih tepat untuk mengukuhan sesuatu teori, ia memerlukan rujukan yang banyak berbanding kajian yang mengkaji tentang perlaksanaan sesuatu teori kerana perlaksanaan hanya perlu melihat kegagalan atau kejayaan teori tersebut sahaja. Berbeza dengan membentuknya.

Seumpama membina sebuah rumah. Plan sesuatu rumah sangat sukar untuk dihasilkan berbanding membina rumah itu sendiri. Plan tersebut adalah teori. Membina rumah pula adalah perlaksanaan terhadap teori tersebut. Sekiranya ukuran pada plan salah, maka sengetlah rumah tersebut.

Seumpama kata pujangga menyatakan 'Apabila kita gagal merancang, sebenarnya kita merancang untuk gagal'. Walau bagaimanapun, kita merancang, Allah juga merancang. Tetapi perancangan Allah itu lebih hebat daripada perancangan kita. Jadi janganlah terlalu letakkan kayu ukur yang tinggi dalam kajian yang ingin dilakukan. Sekadar untuk memahai dan lebih mendekatkan kita kepada Allah s.a.w serta menambah kasih sayang kita kepada baginda Rasulullah s.a.w, bagi saya telah lebih dari cukup.

Memerah keringat untuk sebuah kajian bukan tujuan untuk segulung ijazah tetapi segalanya untuk di sana*. Kita lakukan segalanya di sini** tetapi matlamatnya di sana. Kita terkejar-kejar dengan masa di sini kerana untuk menghabiskan segenap ruang masa yang ada di sana. Kita berpenat lelah di sini untuk kita berehat-rehat di sana. Jadi janganlah putus asa di sini. Takut-takut kita akan menyesal di sana. Nauzubillah...

Apapun, Insya Allah semoga sukses selalu...


*Syurga
**Dunia

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...