Wednesday, June 16, 2010

Antara al-Insan dengan an-Nas


Perbincangan mengenai wahyu yang juga mukjizat agung Rasulullah s.a.w ini tidak pernah habis ilmu yang terkandung di dalamnya digali oleh manusia. Bukan sahaja dari sudut maknanya, perkataannya, hurufnya, hukumnya dan pelbagai lagi perkara lain ditemui di dalam al-Quran dengan izin Allah s.w.t. Namun, setiap perkara yang tersurat dan tersirat di sebalik mukjizat agung ini hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui perkara yang sebenar-benarnya.

Melihat kepada perkataan Ya Ayyuhan al-nas dan Ya Ayyuhal al-insan sahaja, ulama telah membahaskan maksud yang tersirat di sebalik penggunaan dua perkataan tersebut. Perkataan al-nas mengandungi sebanyak 283 kali yang diulang di pelbagai tempat di dalam al-Quran. Namun perkataan al-insan hanya terdapat sebanyak 93 kali di dalam al-Quran. Nisbah perkataan al-insan dengan al-nas adalah lebih kurang 1:3.

Ayat Ya Ayyuhal al-insan merupakan ayat makiyyah, yakni ayat-ayat yang diturunkan sebelum berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah. Sebaliknya ayat Ya Ayyuhan al-nas merupakan ayat madaniyyah yang diturunkan selepas berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w.

Perbezaan dua perkataan ini walaupun kedua-duanya bermaksud manusia tetapi manusia yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t menurut para ulama adalah berbeza. Perkataan al-nas merujuk kepada manusia yang jahat, suka melakukan maksiat, degil dan sebagainya. Berbeza dengan perkataan al-insan yang merujuk kepada manusia yang baik, suka kepada kebaikan dan sebagainya. Melihat kepada nisbah perkataan al-insan dengan al-nas adalah lebih kurang 1:3, ia turut dikaitkan dengan nisbah al-insan dengan al-nas pada hari ini. Mungkin nisbah tersebut tepat dengan nisbah manusia yang ada pada hari ini atau jumlahnya jauh lebih merosot wallahu’alam. Tetapi yang pasti, jumlah al-insan jauh lebih berganda berbanding dengan al-nas.

Melihat kepada situasi tersebut menurut Ustaz Hassan Din al-Hafiz, beliau menyarankan supaya dihidupkan kembali konsep ibu susuan kerana adalah tidak layak seorang bayi yang diciptakan oleh Allah s.w.t dengan sebaik-baik kejadian diberikan susu binatang. Katanya lagi, salah satu punca manusia hari ini berkelakuan umpama binatang bahkan lebih dahsyat lagi selain daripada pentarbiyyahan yang rapuh adalah disebabkan makanan yang dimakan yang diragui kehalalannya dan juga susu lembu yang diberikan kepada manusia.


Jadi tidak hairanlah hari ini kelakuan manusia semakin rakus dengan kes-kes yang tidak terjangkau dek akal manusia semakin menjadi-jadi. Kalau dulu di zaman Jahiliyyah bayi perempuan ditanam hidup-hidup. Tetapi di zaman ni bayi sama ada lelaki mahupun perempuan dicampak di merata tempat tanpa ada rasa belas kasihan. Zina, rasuah, rogol, buli, rompak, ragut dan pelbagai lagi jenayah dilakukan oleh manusia hari ini tidak lagi menjadi perkara yang luar biasa.

Antara Ya Ayyuhan al-nas dengan Ya Ayyuhal al-insan, terlalu ramai yang Ya Ayyuhan al-nas berbanding Ya Ayyuhal al-insan.



Sinopsis ceramah jemputan di Masjid At-Takwa, Taman Tun Sardon, Gelugor
oleh Ustaz Hassan Din al-Hafiz.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...