Thursday, July 8, 2010

Senyuman Pahit Ayah

Bola getah yang adik saya buat katanya bertahun baru siap.
Getah ini tidak sebusuk getah buku yang saya kutip bersama adik-adik saya ketika ayah sedang menoreh

Bila ada yang bertanya, "Mana lagi payah, belajar atau kerja yang payah?"
"Awak rasa?" tanya saya pula kepadanya.
"Belajar lagi payah kot" Jawabnya tanpa ada keyakinan.
"Mana awak tahu sedangkan awak tidak bekerja?". Saya persoalkan jawapannya.
"Saya teka je". Jawabnya mengalah.
"Saya pun tak tahu". Itu jawapan saya.

Tetapi yang saya selalu dengar dari ayah selain mak, "Radieah belajar rajin-rajin. Jaga kesihatan baik-baik". Sejak saya dari sekolah menengah sehinggalah sekarang. Nasihat tersebut tidak pernah lekang, sama ada dalam SMS, melalui telefon mahupun perbualan biasa.

Ayah pernah cakap, belajar ini payah berbanding kerja. Entahlah saya tidak tahu. Tetapi saya tidak pernah lihat lelaki sekuat ayah... setabah ayah... ayah tidak pernah mengadu atau merungut yang ayah letih atau ayah sibuk.

Balik sahaja dari sekolah ayah terus ke kebun. Kadang-kala ke kebun getahnya. Kadang-kala ke kebun pisangnya. Sebelah malamnya pula ayah akan keluar. Entahlah saya tidak tahu apa yang ayah buat tetapi ada sahaja projek yang dijalankan olehnya bersama rakan-rakannya. Dulu ayah kerap ke hutan, berburu di malam hari. Kancil, kijang, landak dan pelbagai hidupan liar yang halal dimakan telah biasa menjadi santapan keluarga kami. Sekarang ayah jarang-jarang ke hutan.

Berbudi pada tanah... itulah ayah. Kami juga tidak ketinggalan berkongsi hobi dengan ayah. Dulu sewaktu kami masih kecil (sekarang pun) dusun buah-buahan dan kebun getah menjadi tempat permainan kami.
Sangkar ikan ayah di Sungai Semantan yang bersambung dengan Sungai Pahang. Satu je.
Lainnya orang lain punya.


Kalau dulu sewaktu arwah aki (panggilan atuk bagi masyarakat Melayu Pahang) masih ada, selesai sahaja Solat Subuh selepas sarapan bersama atau selepas Solat Asar berjemaah kami adik beradik, sepupu, ayah mak, wan (panggilan nenek bagi masyakarat Melayu Pahang), pak cik dan mak cik segera keluar menuju ke dusun buah buahan yang terletak hanya 200 meter dari rumah aki. Berlari-larian kami berlumba ingin sampai dahulu. "Woiiiiii, jangan lari. Nanti jatuh". Teriakan daripada mereka yang dewasa kami tidak pedulikan. Yang penting siapa sampai dulu...

Kami sama-sama bersihkan kebun, walaupun pada ketika itu saya dan sebilangan besar sepupu dan adik beradik saya masih terlalu kecil tetapi di situlah tempat kami bermain, diajar memetik buah, bercucuk tanam, mengupas kelapa dan pelbagai lagi aktiviti lain. (Macam Upin & Ipin. Bila lihat animasi Upin & Ipin, ia sering mengimbau kenangan saya sewaktu kecil).

Pelik.. tetapi itulah permainan saya adik beradik tidak ketinggalan juga sepupu-sepapat saya. Ketika arwah aki masih ada, keluarga besar saya solat berjemaah bersama-sama, bertarawih bersama-sama, ke kebun bersama-sama, memancing di Sungai Pahang bersama-sama, mandi Sungai Pahang bersama-sama, maklum sajalah belakang rumah arwah aki Sungai Pahang... kebanyakan aktiviti kami lakukan bersama-sama. Tetapi kini hanya tinggal kenangan setelah arwah aki telah pergi sebab rumah tempat kami melakukan aktiviti bersama-sama dulu telah ditinggalkan. Wan tidak dibenarkan oleh anak-anaknya tinggal berseorangan. Bahaya untuknya. Kemanisan kami semua juga telah hilang bersama-sama pemergian arwah aki.

Lembu-lembu mak yang dibantu pembiakkannya oleh ayah

Saya rindu saat itu. Walaupun ayah masih mampu merasai saat tersebut, tetapi saya percaya sudah tentu tidak sama macam dulu. "Betulkan ayah?" Saya rindu nak tanam jagung bersama ayah dan rindu juga mengutip getah buku bersama ayah. Dulu saya selalu merungut akan bau getah buku "Ayah busuknya". Tetapi entah kenapa sekarang, saya terlalu rindu akan baunya.. Rindu juga bau asap sabut kelapa yang kami bakar setelah mereka yang dewasa mengupas kelapa sama ada untuk dimakan atau dijual. Bau rumput-rumput kering yang telah ditebas yang juga turut dibakar.

Di kebunlah tempat permainan saya (adik-adik dan sepupu-sepupu) dahulu. Tempat saya diajar erti berdikari, erti sebuah kehidupan. Cukup manis untuk dikenang. Bagi saya, ayah telah berjaya mendidik anak-anaknya untuk hidup berdikari. Mungkin juga disebabkan sikap ayah yang sukar untuk menghulurkan bantuan kepada anaknya jika dirasakan perkara itu remeh dan kami boleh melakukannya. Mengajar erti supaya berjimat cermat. Dahulu beg sekolah dan kasut sekolah saya, jika rosak ayah akan jahitkan atau ayah akan tampal. Bukan sebab kami susah tetapi sebab ayah hendak mengajar erti susah... erti payah...

Walaupun dulu ayah pernah cakap pada saya, belajar ini payah bagai ayah... "Ayah tengok awak makin kurus..." sambungnya lagi. Tetapi yang saya tengok ayah lagi payah berbanding saya. Ayah pun makin kurus. Bila saya kata "Ayah kena jaga kesihatan, ayah makin kurus sekarang. Ayah kata "Tak apa, ayah dah tua. Awak kena jaga diri awak, belajar sungguh-sungguh. Jaga mak". Ayah terus tersenyum. Senyuman ayah, saya telan dengan penuh kepahitan. Ya betul, saat saya semakin dewasa dan sedang mengapai cita-cita.. ayah pula semakin tua. Macam lirik lagu 'Jasa Bonda'.

Engkau semakin dewasa, Berjiwa merdeka, Sedang dia semakin tua, Membilang usia
Di saat kau berjaya, Dia tiada berdaya, Semoga kau tak lupa, Jasa bonda

Jasa Bonda - Warisan

Di saat kau lena dia berjaga
Kau bersenang dia bekerja
Untuk mu tiada terbatas
Memberi tidak minta dibalas
Ingin dibinanya untuk mu
Kehidupan yang sempurna
Punya kekuatan jiwa
Punyai maruah

(1)
Leterannya dari rasa luhur
Menegur sebelum terlanjur
Itulah yang diwarisi
Pesan ibu terpahat di hati
Beringat-ingatlah berpesan pesan
Untuk kebaikan
Marah bukan kebencian
Tapi tanda sayang

(2)
Engkau semakin dewasa
Berjiwa merdeka
Sedang dia semakin tua
Membilang usia
Di saat kau berjaya
Dia tiada berdaya
Semoga kau tak lupa
Jasa bonda

ulang 2 & 1 )

Semoga ayah berbahagia selalu di dunia mahupun di akhirat.

6 comments:

wan-niza said...

Assalamualaikum

Kak Radieah..sedihnya rasa.

Radieah Mohd Nor said...

Wa'alaikumsalam w.b.t

Yup memang sedih.
Arwah Pak Teh pernah cakap "Nanti kita tak ada kampung dah". Hari ini Kak Radieah memang kehilangannya. Arwah Pak Teh pun dah tak ada.

Orang kata 'patah tumbuh hilang berganti'. Tapi sampai kini yang hilang itu masih belum pernah berganti.

Za's said...

Beruntung bagi yang ber'ayah' lagi...

Ayah ana sudah lama menyahut seruan ilahi....

Ana tak banyak masa bersama abah sebab abah kerja jauh dari kampung..Tapi, abah ana selalu jugak pesan, "belajar rajin2..nanti dah besar, boleh jaga mak, jaga abah..."

Kami dulu takda telefon, bila dok jauh, kami tak dapat berhubung..Hanya ketika abah balik sebulan sekalilah br kami dapat memanfaatkan masa bersama...

rindu pada abah..

Radieah Mohd Nor said...

Ija,
Semoga Allah sentiasa merahmati ayah enti. Ameen...

pali said...

kak radieah,

memang zaman semasa kecil pada masa tu berbeza sungguh dengan zaman la ni.

Saya pun rindu juga dengan zaman kanak2. Duduk di kampung, macam-macam aktiviti tanpa PS3 @ indoor game.

Ya, sayang ayah bergadai nyawa. Oh, seb baik nak balik dah. :)

Radieah Mohd Nor said...

Ya.. generasi dulu terlalu berbeza dengan generasi sekarang.

Apapun, selamat pulang ke tanah air. Dan selamat juga untuk segalanya...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...