Sunday, August 8, 2010

Buku vs Baju

Kertas kerja yang tidak selengkap mana dibentangkan sewaktu di persidangan

Alhamdulillah, Allah masih memberi kesempatan untuk saya berkunjung ke bumi Medan, Indonesia selama seminggu bermula dari 1 Ogos 2010 sehinggalah 7 Ogos 2010. Setahun yang lalu saya turut ke sana dengan tujuan yang sama iaitu membentangkan kertas kerja dan mengikuti seminar yang dianjurkan bersama oleh ISDEV (Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, USM) dan UMSU (Universiti Muhamadiyyah Sumatera Utara).

Bila ada yang tahu saya ke Medan, perkataan yang terkeluar dari mulut mereka pastinya “Wah, bestnya”. Ya, memang seronok sekiranya ia mampu dimanfaatkan sebaik mungkin. Tetapi alangkah ruginya seandainya bila ke sana hanya sekadar untuk berseronok-seronok atau sekadar membeli-belah.

Pasar Ikan, Medan Indonesia

Membeli-belah bukan kegemaran saya. Bila rakan-rakan yang lain balik dari membeli-belah di Pasar Ikan (saya dapat tahu, dahulunya tempat tersebut dijual ikan-ikan tetapi kini ia menjadi gedung membeli-belah kain dan segala macam pakaian) saya sering dengan mereka sering membanding-bandingkan harga yang mereka berjaya tawar untuk barang yang mereka beli. Ia menjadi perbualan utama sesama mereka.

Lain pula dengan mereka yang ke kedai buku sama ada ke Gramedia atau Wali Songo. Mereka akan sentiasa membantu antara satu sama yang lain mencari buku berkaitan, terutama kajian masing-masing. Maklum sahajalah, setiap dari kami mengetahui bidang kajian individu yang lain. Jadi tidak menjadi masalah untuk membantu rakan yang lain mencari buku dikehendaki.

“Radieah, awak dah tengok ke buku ni?” tanya Kak Shereeza sewaktu kami di Kedai Buku Wali Songo.
“Tak”. Jawab saya sepatah.
“Buku ni tentang peranan masjid basmi kemiskinan”.
“Oh, ye ke. Terima kasih”. Sungguh, saya cukup gembira menerima bantuan tersebut. Kedai buku tersebut walaupun saiznya sederhana besarnya tetapi bukanlah satu perkara yang mudah untuk mencari buku yang dikehendaki kerana jumlahnya terlalu banyak. Oleh itu, bantuan daripada rakan yang lain memudahkan pencarian masing-masing.

Tidak cukup membeli buku di Medan, gerai buku di tapak konvo USM
turut menjadi sasaran ke esokan harinya setelah kami selamat tiba di tanah air.

Buku yang banyak dibeli membuatkan ada yang bertanya “Bila masa awak baca semua ni?”.
Entahlah, saya pun tidak pasti. Tetapi setiap buku yang saya beli ia tidak pernah mengecewakan saya kerana biasanya saya tetap akan membacanya walaupun bukan dalam masa terdekat. Pernah suatu ketika dahulu (rasanya sewaktu tahun dua, undergrad), Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan promosi bukunya di USM. Saya membeli sebuah kitab terjemahan iaitu Mukadimah Ibn Khaldun. Pada ketika itu saya tidak terfikir pun untuk membaca keseluruhan kitab tersebut sebaliknya hanya pada bab-bab yang saya tertarik untuk membacanya. Tetapi sewaktu membuat master, kitab tersebutlah menjadi rujukan utama saya dalam kajian. Bagi saya setiap buku yang saya miliki ia menjanjikan kepuasan bukan kekecewaan.

Adalah suatu kepuasan yang luar biasa andai anda telah membaca buku tersebut mendahului orang lain dan anda akan merasa rugi yang teramat sangat bila orang lain menyatakan bahawa dia telah membaca buku tersebut sedangkan anda tidak membacanya. Bagi saya itulah antara perasaan yang saya miliki bila ada orang lain mendahului sesebuah buku berbanding saya. Rasanya perasaan ini tiada pada mereka yang suka membeli-belah.

Perbandingan harga pula bukanlah isu besar bagi mereka yang menyukai buku berbanding mereka yang suka membeli-belah. Walaupun ada kata menyatakan ‘kalah membeli menang memakai’, kalau sehelai ia tidak menjadi persoalan tetapi andai berhelai-helai yang itu harus difikirkan. Hakikatnya banyak mana sangatlah pakaian yang kita mampu pakai. Ada juga yang menyatakan untuk dihadiahkan kepada keluarga dan saudara mara. Apapun terpulanglah kepada kebijaksanaan masing-masing.

Antara buku yang saya beli di Medan, Indonesia dan Gerai Buku, Tapak Konvo USM

Saya suka membeli buku di Medan, Indonesia. Ada tiga sebab utama. Pertama, bukunya banyak. Rambang mata semenangnya akan berlaku. Kedua, kerana mereka (ahli ISDEV) yang ke kedai buku mempunyai minat yang sama dan saling membantu mendapatkan buku yang diperlukan sesama mereka. Ketiga, terdapat banyak buku yang murah-murah berbanding Malaysia.

Namun begitu, untuk membeli buku di Indonesia perkara utama yang anda perlu perhatikan ialah penulisnya. Hal ini kerana penulisnya berkemungkinan mempunyai pengaruh Islam Liberal. Begitu juga dengan mazhab akidah yang berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saya tidak nafikan, banyak buku yang saya ingin miliki apabila diteliti isi kandungannya ia banyak berunsur aliran Syiah. Jadi bukanlah suatu perkara yang mudah juga untuk menapis setiap buku yang kita peroleh. Namun begitu, sedikit ilmu pengetahun tentang Syiah dan Islam Liberal amat membantu anda untuk memilih buku bila ke sana nanti.

Akhir kalam, kata-kata hikmah menyatakan ilmu itu letaknya di dalam hati bukan pada helaian-helaian (Al- ilmu fi sudur laisa fi sutur) dan antara buku dengan baju, ramai yang akan pilih buku berbanding pilih baju tetapi tidak ramai yang akan beli buku berbanding beli baju. Wallahu'alam...

2 comments:

nurkina said...

Salam....
teringin nka ke sana utk membeli buku...bilalah ada peluang tu..

Radieah Mohd Nor said...

Wa'alaikumsalam.
Insya Allah. Masanya akan tiba.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...