Wednesday, October 13, 2010

Menjejakkan Kaki di Bumi Acheh


Perjalanan selama satu jam 45 minit daripada Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang ke bumi Acheh yang pada mulanya agak membosankan bagi saya. Entah mengapa semua assignment student yang perlu saya tanda dan buku-buku yang saya bawa saya masukkan kesemuanya ke dalam luggage, yang akhirnya luggage tersebut dimasukkan dalam kargo. Jadi untuk mengambil semula perkara yang saya inginkan tadi adalah mustahil sekali.

"Kak, ada novel tak?". Kebosanan tersebut membuatkan saya memohon kepada salah seorang pramugari sebuah novel untuk dibaca. Entah kenapa dalam banyak-banyak bahan bacaan novel pula yang saya minta. Sudah hampir lima tahun lebih saya tinggalkan bentuk bacaan tersebut. Emmm... entahlah. Boring sangat kot.
"Tak ada lah sayang". Jawapan tersebut diucapkan kepada saya. Sambil menghulurkan sebungkus kecil kacang dan biskut kepada saya. Kecewa dengan jawapan tersebut saya minta pula pada adik-adik MISDEV10 (Master ISDEV 2010) yang turut mengikuti wisata tersebut.

"Tak ada lah Kak Radieah. Buku '7 Prinsip' adalah". Jawab salah seorang daripada mereka.
Alamak, '7 Prinsip' ke?, dalam kuliah dah 7 Prinsip, tesis 7 Prinsip, mengajar pun 7 Prinsip, takkan dalam kapal terbang pun nak 7 Prinsip lagi. Mengeluh saya keseorangan.
Kebosanan tersebut membuatkan saya berdoa supaya cepat-cepat kami mendarat.

Namun kebosanan saya terubat seketika apabila sampai di ruang udara Acheh. Kami disambut dengan pantai, daratan dan sawah padi yang terbentang luas menghiasi lanskap semula jadi Acheh. Suasana di bahagian belakang Firefly yang menempatkan kami semua agak riuh rendah apabila Pak Riduan dan Pak Yasir memberikan penerangan berkenaan kawasan yang dilanda tsunami dan rumah-rumah yang dibina selepasnya hasil bantuan kewangan daripada pihak antarabangsa. Pelbagai soalan sempat saya tujukan kepada Pak Yasir yang kebetulan tempat duduknya berada di hadapan saya. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain.


Melalui udara sisa-sisa kesan tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 masih kelihatan. Terdapat sebahagian daratan yang masih menakung air dan kelihatan agak lapang. Air masin daripada laut yang sampai ke daratan sewaktu peristiwa tsunami kira-kira enam tahun lalu meniggalkan kesan pada sebahagian daratan tersebut kerana kebanyakan tumbuhan tidak dapat hidup di kawasan air masin.

Setibanya di Acheh pada 9 Oktober 2010, kira-kira jam 2.45 petang waktu Indonesia Barat atau bersamaan 1.45 tengahari waktu Malaysia, saya dan rakan-rakan turut kagum dengan lapangan terbangnya yang cantik dan bersih jika dibandingkan dengan lapangan terbang di Medan, Indonesia. Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda ini dihiasi dengan ukiran-ukiran dan bentuk-bentuk geometri yang tidak asing dalam dunia Islam. Kubah yang menghiasi bumbung lapangan terbang ini juga seolah-olah memberi tahu kami bahawa kami sekarang tiba di tanah yang cuba menegakkan syiar Islam.


Selesai sahaja urusan imigresen kami terus dibawa dengan bas ke tempat penginapan. Semasa dalam perjalanan ke tempat penginapan kami di bawa singgah ke Kuburan Masal Siron. "Assalamu'alaikum buat saudaraku yang pergi dulu mendahuluiku".

Gambar di atas saya ambil daripada blog orang lain. Saya terlupa menyimpan linknya

Kami sempat berdoa beramai-ramai di sini dengan diketuai oleh Ust Shukri. Kawasan kubur ini seumpama kawasan tanah lapang yang dilitupi rumput yang menghijau sebenarnya telah menyimpan 46 817 mangsa tsunami. Kubur yang tidak bernisan dan tidak bernama. Semoga rahmat Allah mengiringi perjalanan mereka yang pergi dulu daripada kita. Walaupun hanya tanah lapang yang dapat saya perhatikan rasa sebak di dada tidak dapat saya sembunyikan. Air bening dari kelopak mata akhirnya gugur juga.


Terdapat sebuah tugu turut dibina. Tugu yang berbentuk ombak tersebut melambangkan kejadian tsunami yang telah mengorbankan lebih 200 000 nyawa penduduk Acheh. Angka sebenar kematian tidak dapat dikenal pasti sehingga kini.

Terdapat sebuah lagi kubur besar yang menempatkan mangsa-mangsa tsunami sempat kami kunjungi akan saya ceritakan dalam entry akan datang. Insya Allah. Bagi saya kisahnya adalah lebih menyedihkan berbanding kisah ini. Namun sedih itu tiada gunanya andai kita tidak mampu mengambil pengajaran daripadanya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...