Wednesday, December 29, 2010

Di Persimpangan 'Mahu' dan 'Tahu'


Setiap individu ada peralihan hidupnya sendiri atau lebih mudah ia selalunya dikaitkan dengan perkataan 'hijrah'. Berhijrah dari keburukan kepada kebaikan, dari jahil kepada alim, dari hina kepada mulia, dari huru-hara kepada aman dan sebagainya. Bagi saya ia merupakan proses unruk mematangkan diri.

Proses kematangan diri sebenarnya berlaku hampir setiap ketika dalam diri manusia. Proses ini juga boleh dikaitkan dengan mengenal Rabb Yang Maha Esa. Sabda Rasulullah s.a.w من عرف نفسه فقد عرف ربه "Sesiapa yang mengenai dirinya, maka dia akan mengenali Tuhannya". Walaupun bagi seorang ulama besar, mufti dan sebagainya. Mereka masih tergolong dalam golongan mengenal Rabb. Ia tidak akan pernah berhenti. Sehinggakan seorang ulama pernah menyatakan 'semakin aku belajar, semakin banyak yang aku tahu yang aku tidak tahu'. Belajar juga adalah proses untuk mengenal Rabb.

Antara 'mahu' dengan 'tahu', kedua-duanya perlu sebagai batu loncatan untuk maju kehadapan. 'Mahu' dan 'tahu' perlu digandingkan kerana antara keduanya 'amal' itu lebih utama. 'Mahu' hanya sebuah keinginan. 'Tahu' pula merupakan ilmu yang ada pada akal. Jadi keinginan yang ada untuk melakukan sesuatu perkara tidak akan bermanfaat walaupun seseorang itu memiliki ilmu tentangnya. Amal pula akan menjadi sekadar ikut-ikutan andai ilmu tidak berganding dengan amal.

Antara 'mahu', 'tahu', 'amal' dan 'ilmu' terdapat satu perkara yang lebih besar lagi iaitu takwa. Besarnya perkara tersebut sehingga sebahagian ulama telah menjelaskan bahawa seandainya ilmu tanpa takwa itu menjadi ukuran sebuah kemuliaan, sudah tentu makhluk yang paling mulia di sisi Allah s.w.t adalah Iblis.

Saiydina Umar al-Khattab juga pernah menjelaskan bahawa 'perkara yang sangat aku bimbangi berlaku pada umat ini adalah akan lahirnya seorang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati'. Banyak sekali orang yang sebegini. Alim pada lisan tetapi sayang sekali, jahil pada hatinya. Sifat yang suka bercakap atau sebenarnya lebih bertujuan untuk menonjolkan dirinya untuk menyatakan kepada orang ramai bahawa 'Aku tahu. Aku lebih alim dari kamu'.

Keadaan sebegini sebenarnya boleh dirasai oleh si pendengar kerana roh tidak ikut serta dalam pertuturannya. Roh ini sebenarnya penting kerana ia memberi jiwa yang akan jatuh dalam hati si pendengar. Niat dan keikhlasan dalam menyampaikan ilmu juga penting untuk menghadirkan roh tersebut. Oleh itu, berhati-hatilah. Jangan sesekali tertipu dengan mainan syaitan.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...