Thursday, December 9, 2010

Muslim Study vs Islamic Study


Muslim Study boleh jadi merupakan seorang doktor, seorang peguam, seorang pensyarah, seorang arkitek atau masyarakat awam yang tidak belajar secara mendalam mengenai bidang-bidang yang terdapat dalam bidang pengajian Islam tulen. Tetapi mereka ini berusaha sungguh-sungguh untuk memahami perkara berkaitan pengajian Islam tulen tersebut kemudian menulis, mengkaji dan sebagainya dengan mengaitkannya dengan bidang yang menjadi kepakaran mereka yang sudah tentu kepakaran tersebut bukan daripada bidang pengajian Islam tulen.

Kelemahan yang amat ketara bagi majority Muslim Study adalah kelemahan berbahasa Arab. Keadaan ini membuatkan mereka terpaksa menggunakan kitab-kitab terjemahan untuk merujuk kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama terdahulu.

Keadaan tersebut membuatkan ramai mereka yang berada dalam aliran pengajian Islam (Islamic Study) cukup tidak berpuas hati apabila rujukan yang digunakanoleh Muslim Study menggunakan kitab terjemahan. Mereka yang berada dalam bidang Islamic Study sentiasa menuntut mereka yang diluar bidang tersebut merujuk kepada kitab yang dikatakan muktabar atau rujukan asal kitab tersebut yang biasanya ditulis dalam Bahasa Arab apabila menulis perkara yang berkaitan dengan bidang pengajian Islam. Mereka berpendapat kitab terjemahan tidak mampu menyampaikan maksud sebenar penulis asal. Keadaan ini menurut mereka lagi membuatkan perkara yang diketengahkan oleh Muslim Study tidak sampai kepada maksud yang sebenar sebagaimana yang ditulis oleh penulis asal. Memang ada kebenarannya.

Kelemahan mereka yang berada dalam Islamic Study pula, mereka tidak mampu menghubungkan perkara-perkara yang bersifat semasa dengan perkara yang mereka pelajari. Keadaan ini berlaku kerana Islamic Study kebanyakannya dipelajari hanya berkisahkan ilmu fardu ain yang terdiri daripada feqah, aqidah dan tasawuf. Ilmu yang bersifat semasa yang lebih berbentuk fardu kifayah tidak dipelajari oleh mereka misalnya ilmu perubatan, perbankan, astronomi, bioteknologi dan lain-lain. Keadaan ini membuatkan hukum feqah misalnya tidak mampu berkembang seiring dengan tuntutan semasa. Keadaan sebegini akhirnya membuatkan perkembangan ilmu pengetahuan menjadi sempit dan kejumudan berlaku dalam pemikiran umat Islam kerana tidak berlakunya tajdid dalam ilmu pengetahuan.

Hakikatnya semua kita boleh menjadi Muslim Study tetapi tidak ramai daripada kita boleh menjadi Islamic Study. Apapun bagi saya tajdid perlu sentiasa berlaku. Jika tidak akan berlaku kejumudan dalam kehidupan masyarakat muslim pada ketika itu. Sama ada Muslim Study ataupun Islamic Study, janganlah jadikan kelemahan masing-masing lebih manjadi titik perbincangan berbanding memikirkan penyelesaian masalah umat pada hari ini.

Carilah titik pertemuan ataupun titik persamaan. Jangan dicari titik perbezaan kerana Rasulullah s.a.w pernah berpesan yang bermaksud “Sesungguhnya seorang muslim itu berada di atas kubu daripada kubu-kubu Islam, maka jangan sekali-kali dicerobohi dari tempatnya”. Jadi pertahankanlah Islam itu melalui kepakaran ataupun bidang masing-masing.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...