Thursday, January 27, 2011

Fenomena Bertudung


Kalau dulu hijab atau tudung lebih dikenali dengan tudung bawal, tudung labuh, entah tudung apa lagi namanya saya tidak pernah ambil kisah akan nama tudung tersebut memandangkan saya bukanlah peminaf fesyen.

Kini nama tudung telah mula dikenali dengan nama-nama artis. Seiring dengan perkembangan artis yang mula memakai tudung, begitulah juga dengan perkembangan nama tudung tersebut. Seingat saya ia bermula dengan revolusi Wardina Safiyyah memakai tudung kemudian diikuti dengan artis-artis lain, sama ada artis daripada Malaysia mahupun Indonesia.


Melihat gaya artis bertudung, ada yang betul-betul bertudung, ada yang tipu-tipu pakai tudung dan tidak kurang juga yang tudungnya tidak menepati syariat sebenar dalam pemakaian tudung. Keadaan inilah juga diikuti oleh kaum Hawa di Malaysia.


Berdasarkan fenomena tersebut, bagi saya artis merupakan antara asset penting dalam dunia dakwah. Tetapi sukar sekali untuk mencari atau menemui artis yang benar-benar berdakwah. Malah perkara yang paling ditakuti sekiranya Islam itu dipermainkan untuk tujuan glamor, mendapat nama, meraih pendapatan dan pelbagai tujuan lain yang menyimpang daripada saranan agama. Akhirnya Islam itu sekadar menjadi bahan mainan bukan untuk dihayati dan diamalkan.


Fenomena bertudung lain yang perlu diperhatikan sungguh-sungguh adalah bertudung yang menampakkan sanggul sama ada sengaja dibuat-buat atau sebaliknya. Maksud sebaliknya di sini adalah berlaku apabila rambut terlalu panjang sehingga apabila seorang wanita itu memakai tudung, ia akan menampakkan sanggulnya. Seboleh mungkin cubalah elakkan perkara sebegini terjadi kerana Rasulullah s.a.w telah berpesan sebagaimana hadith berikut;

صنفان من أهل النار من أمتي لم أرهما بعد : كاسيات عاريات مائلات مميلات على رؤوسهن مثل أسنمة البخت لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها ورجال معهم سياط مثل أذناب البقر يضربون بها عباد الله

Maksudnya;

Sabda Rasulullah (sallallahu 'alayhi wasallam): “Dua kelompok ahli Neraka daripada umatku aku belum pernah melihatnya lagi: kasiyat (wanita-wanita yang berpakaian) namun (hakikatnya) ‘ariyat (telanjang), ma’ilat (cenderung kepada maksiat; atau berjalan lenggok; atau menyisir rambut seperti pelacur) mumilat (mengajar orang lain perbuatan maksiat mereka; atau menggoyangkan bahu; atau menyisir rambut orang lain seperti rambut pelacur); Di atas kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan juga tidak akan mencium baunya; dan kaum lelaki bersama mereka cemeti-cemeti seperti ekor-ekor lembu, disebat dengannya hamba-hamba Allah.”
[Sahih Muslim dari riwayat Abu Hurairah]

Di dalam hadith lain yang bermaksud;
“Pada akhir umatku nanti akan ada wanita-wanita yang berpakaian namun (hakikatnya) telanjang. Di atas kepala mereka seperti bonggol unta. Kutuklah mereka kerana sebenarnya mereka adalah kaum wanita yang terkutuk.”

Di dalam hadith lain lagi terdapat tambahan yang bermaksud;
“Mereka tidak akan masuk syurga dan juga tidak akan mencium baunya, padahal baunya syurga itu dapat dicium dari perjalanan sekian sekian.”
[At-Tabarani dalam Al-Mujam As-Saghir hal. 232; Hadith lain tersebut dikeluarkan oleh Muslim dari riwayat Abu Hurairah. Lihat Al-Hadith As-Sahihah no. 1326]

Semoga Allah s.w.t menjauhkan kita daripada perkara yang dimurkai-Nya.

1 comments:

ummu uswah said...

entri yang bermanfaat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...