Thursday, April 28, 2011

Gelombang Pesta Buku

Sambutan pesta buku yang amat mendapat tempat sejak kebelakangan ini membuatkan saya percaya kajian yang menyatakan masyarakat Malaysia kurang membaca satu ketika dahulu akan menjadi tinggal sejarah.

Saya sangat gembira akan gelombang ini. Semoga ia akan menjadi batu loncatan untuk masyarakat Muslim khususnya berfikir di luar kotak fikiran biasa yang akhirnya akan mampu mengentarkan seluruh umat manusia.


Fenomena ini seharusnya diisi dengan baik para penulis sama ada dalam bentuk penulisan umum mahupun penulisan akademik. Semoga idea atau pandangan yang para penulis lontarkan menjadi nukleus kepada cetusan momentum kepada reformasi pemikiran ummat Nabi Muhammad s.a.w.

Wednesday, April 20, 2011

Jangan Khianati Walau Sesaat


Satu ketika kira-kira sepuluh tahun yang lalu di kaca television pernah menyiarakan satu siaran secara langsung yang membincangkan tahap pendidikan masyarakat Malaysia. Menurut tetamu undangannya, walaupun ramai pelajar wanita berjaya mencapai tahap pendidikan yang tinggi tetapi jumlahnya semakin berkurang pada peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Fakta yang dinyatakan oleh tetamu undangan tersebut membuatkan adik lelaki saya merasa bangga kerana kaum lelaki lebih ramai berpendidikan lebih tinggi berbanding wanita. Pada ketika itu, saya hanya mendiamkan diri. “Biar jelah. Tak penting pun”. Begitulah agaknya apa yang bermain dalam fikiran saya pada ketika itu. Rancangan tersebut saya tonton hanya seketika. Bosan…

Tetapi pada hari ini saya mula menyedari akan kebenarannya. Memang benar fakta tersebut. Beban, amanah dan tanggungjawab yang terlalu banyak dan amat memenatkan membuatkan seorang wanita tidak mampu mengharunginya. Tambahan pula, sekiranya wanita tersebut seorang isteri dan memiliki anak seorang, dua atau seterusnya.

Dua tahun yang lalu ketika sedang belajar pada peringkat sarjana, saya pelik. “Mengapa Kak Shereeza selalu tertidur dalam kelas? Mungkin terlampu letih”. Keadaan Kak Shereeza pada ketika itu kini saya alami. Adakalanya saya juga akan tertidur. Tidak sengaja.

Walaupun seorang wanita itu sedang menyiapkan tesisnya, fikirannya tidak mampu ditumpukan 100% pada komputer riba di hadapannya. Sebaliknya dalam fikirannya teringat akan tugasan di rumah yang ditinggalkannya terbengkalai.
“Balik ni nak masak apa?”
“Baju tak sempat nak sidai di ampian lagi”.
“Lantai tak bersapu lagi”.
Banyaknya tugas.

Teringat juga pada anak yang terpaksa ditinggalkan di pusat asuhan kanak-kanak.
“Menangis ke dia sekarang atau sedang lena tidur?”
“Bolehkah dia tinggal di nursery?”
“Macam mana layanan yang diterima, okey ke?”

Sebenarnya kesukaran menjadi pelajar sarjana atau calon doktor falsafah, bukan terletak pada sukarnya mata pelajaran yang sedang kita telaah. Tetapi kesukaran tersebut adalah terletak pada bagaimana untuk mengawal emosi kita. Sebagaimana dalam kitab تعليم التعلم طريق التعلم menjelaskan bahawa untuk seorang pelajar itu menuntut ilmu hendaklah dia sabar dan tetap pada apa yang dipelajari dan gurunya.

Bagi memperoleh sabar sebenarnya cukup payah. Begitu juga dengan tetap dengan perkara yang sedang dipelajari. Kadang kala sebagai manusia biasa, kita akan rasa bosan, malas dan sebagainya. Jadi ukuran segulung ijazah, sarjana atau doktor falsafah, bagi saya bukan terletak pada nilai manusia letakkan pada sijil tersebut. Tetapi bagaimana sepanjang proses pembelajaran kita, kita mampu mendidik rasa sabar dan mengawal emosi kita.

Tanggungjawab seorang isteri dan ibu bagi seorang wanita yang sedang belajar juga sudah semestinya akan terganggu. Oleh itu, bagi saya jangan khinati kepercayaan yang telah diberikan oleh suami dan anak kita walau sesaat. Walaupun si anak itu tidak mengerti apa-apa. Semoga Allah permudahkannya. Ameen.

Wednesday, April 13, 2011

Blog Telah Bersawang


Status diri yang telah berubah menjadi seorang ibu membuatkan tanggungjawab saya juga semakin banyak. Tanggungjawab yang semakin banyak ini juga membuatkan blog ini semakin bersawang. Tidak sempat dikemas kini entrynya.

Sebenarnya status diri tidak berubah tetapi ia semakin bertambah. Walaupun ia sebuah anugerah tetapi bersama-sama anugerah itu, ia diiringi sebuah tanggungjawab. Sama ada sedar atau tidak, mahu tidak mahu pengurusan terhadapnya perlu dilakukan dengan bijak. Sebijak Nabi Sulaiman a.s yang ditaklifkan menjadi raja. Bukan seorang raja yang biasa-biasa tetapi raja yang luar biasa kerana baginda menjadi raja kepada semua makhluk ciptaan-Nya.

Satu tanggungjawab yang cukup besar diamanahkan kepada Nabi Sulaiman a.s. Menyedari akan beratnya amanah tersebut, Nabi Sulaiman a.s telah berdoa supaya hanya baginda seorang sahaja dianugerahkan kerajaan yang sedemikian rupa.

Mencari ibrah di sebalik amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas Nabi Sulaiman a.s, seharusnya beratnya amanah yang sedang dipikul oleh setiap daripada kita, tidak seharusnya menjadikan kita terlupa untuk mengingati-Nya. Kerana setiap yang berlaku itu harus diikuti dengan zikir (ingat kepada Allah). Namun untuk menghadirkan zikir ia hanya akan lahir daripada manusia yang mampu berfikir.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...