Wednesday, April 13, 2011

Blog Telah Bersawang


Status diri yang telah berubah menjadi seorang ibu membuatkan tanggungjawab saya juga semakin banyak. Tanggungjawab yang semakin banyak ini juga membuatkan blog ini semakin bersawang. Tidak sempat dikemas kini entrynya.

Sebenarnya status diri tidak berubah tetapi ia semakin bertambah. Walaupun ia sebuah anugerah tetapi bersama-sama anugerah itu, ia diiringi sebuah tanggungjawab. Sama ada sedar atau tidak, mahu tidak mahu pengurusan terhadapnya perlu dilakukan dengan bijak. Sebijak Nabi Sulaiman a.s yang ditaklifkan menjadi raja. Bukan seorang raja yang biasa-biasa tetapi raja yang luar biasa kerana baginda menjadi raja kepada semua makhluk ciptaan-Nya.

Satu tanggungjawab yang cukup besar diamanahkan kepada Nabi Sulaiman a.s. Menyedari akan beratnya amanah tersebut, Nabi Sulaiman a.s telah berdoa supaya hanya baginda seorang sahaja dianugerahkan kerajaan yang sedemikian rupa.

Mencari ibrah di sebalik amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas Nabi Sulaiman a.s, seharusnya beratnya amanah yang sedang dipikul oleh setiap daripada kita, tidak seharusnya menjadikan kita terlupa untuk mengingati-Nya. Kerana setiap yang berlaku itu harus diikuti dengan zikir (ingat kepada Allah). Namun untuk menghadirkan zikir ia hanya akan lahir daripada manusia yang mampu berfikir.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...