Tuesday, August 9, 2011

Anak: Antara Perhiasan Dunia Atau Bekal Untuk Akhirat


Dikala si ibu menunaikan sembahyang si anak menangis minta dilayan karenahnya. Bukan kerana lapar tetapi sekadar minta ditemakannya bermain bersama. Tangisan manja tersebut berterusan sedangkan si ibu masih belum selesai menunaikan sembahyang. Si anak masih tidak berhenti cuba. Daripada tangisan kemudian si anak merangkak perlahan-lahan sambil menangis lalu berbaring dalam keadaan meniarap dengan meletakkan kepalanya dikaki si ibu yang sedang berdiri tegak bersembahyang.

Sudah tentu kekusyukan sembahyang si ibu makin tergugat. Usai sahaja sembahyang si ibu terus memanggil anaknnya sambil memeluk erat. Tangisan si anak terus hilang. Senyuman manja dihadiahkan kepada si ibu.

"Anak ummi, ummi kan tengah sembahyang. Janganlah menangis. Orang tengah sembahyang tak boleh menangis". Tidak putus-putus si ibu memberi nasihat buat anaknya yang masih kecil. Anak yang belum mumaiyyiz. Belum mengerti apa-apa.

Menjadi ibu kepada si kecil yang masih mahu dibelai manja membuatkan sering kali kita akan terlupa bahawa Allah s.w.t telah mengingatkan kepada kita bahawa anak itu walaupun ia adalah anugerah ia mampu bertukar menjadi fitnah.

Antara tanggungjawab kita/saya sebagai hamba dengan tanggungjawab kita/saya sebagai ibu, sukar sekali untuk diseimbangkan kedua-duanya. Jadi tidak hairanlah mengapa Allah s.w.t telah mengingatkan kita selaku hambanya tentang anak dan harta.

"Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu adalah fitnah dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (Al-Anfal: 28)

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”, (Al-Kahfi: 46)

Terdapat dua ayat yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran yang menjelaskan bahawa harta dan anak itu adalah fitnah. Fitnah bagi mereka yang tidak mampu menguruskannya dengan baik. Tetapi bagi mereka yang mampu menguruskan harta dan anak dengan baik, fitnah tersebut mampu bertukar menjadi anugerah dan rahmat dari-Nya.

Namun bukan mudah untuk menukar fitnah menjadi anugerah. Kegembiraan atau kesenangan berdamping dengan harta dan anak membuatkan kita selaku manusia biasa akan sering lalai daripada melaksanakan tanggungjawab kita kepada-Nya.

Menukarkan fitnah menjadi pahala bukan mustahil. Tetapi perlu disertai dengan mujahadah.

"Mujahadah itu perlu. Muhasabah itu selalu" - Fadhil Atari

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...