Thursday, August 25, 2011

Selamat Menyambut Hari Kemenangan

Tahniah kepada mereka yang telah berjaya berpuasa khususan khusus (puasa orang yang khusus lagi khusus) kerana telah berjaya melakukan ibadah puasa dengan tidak sahaja mampu menahan lapar dan dahaga tetapi juga menjaga keseluruhan anggota zahir (mata, telinga, tangan dan lain-lain) dan batin (hati) daripada melakukan maksiat.

Mereka inilah yang lebih layak berhari raya berbanding mereka yang hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan tidak meninggalkan berkelakuan dusta (berdusta dengan anggota), maka Allah s.w.t. tidak akan memberikan apa-apa ganjaran ke atas keletihannya meninggalkan makan dan minum (berpuasa)". Hadis riwayat Bukhari

Dalam riwayat yang lain, sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi dari puasanya itu selain daripada lapar dan dahaga". Hadis riwayat Ibn Majah, Ahmad dan Al-Baihaqi

Sebab itu penilaian ibadah puasa hanya Allah s.w.t yang menentukan. Allah s.w.t yang memberi ganjarannya berbanding ibadah yang lain. Sebagaimana hadis berikut.

كل عمل ابن آدم يضاعف الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف، قال الله تعالى: إلا الصوم (فضله) ، فإنه لي، وأنا أجزي به، يدع شهوته وطعامه من أجلي، للصائم فرحتان : فرحة عند فطره، وفرحة عند لقاء ربه. ولخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك، والصوم جنة، وإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولا يصخب ، فإن سابه أحد أو قاتله، فليقل: إني امرؤ صائم

Petikan di atas adalah sepotong hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, mafhumnya:

“Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya; satu kebaikan diberikan pahala antara 10 hingga 700 kali ganda. Allah berfirman: kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku. Aku akan memberi balasan puasa itu. Dia (anak Adam) mengetepikan syahwatnya dan meninggalkan makanannya kerana-Ku. Untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: kegembiraan ketika dia berbuka dan kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya. Dan sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada haruman kasturi. Puasa itu perisai. Pada hari salah seorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata yang buruk dan membuat fitnah. Jika dia dicela oleh seseorang atau diperangi, maka hendaklah dia berkata: sesungguhnya aku orang yang berpuasa!”

Jadi beruntunglah mereka yang benar-benar Allah beri ganjaran kepada mereka berupa hari raya kerana pada ketika itu mereka berada dalam keadaan fitrah seumpama bayi yang baru dilahirkan tanpa dosa. Tahniah kerana ganjaran tersebut.

Tetapi malangnya kita hari ini, baju raya dah berli siap-siap sebelum tibanya bulan Ramadhan bahkan warna temanya juga telah ditentukan belumpun syawal tahun sebelumnya berlalu. Menang ke kita? Seronok dan bergembira di mata manusia tetapi di sisi Allah s.w.t lain pula penilaiannya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...