Tuesday, August 23, 2011

Setahun Lapan Bulan


Setahun lapan bulan. Lama bukan sekejap. Kalau bayi yang berusia setahun lapan bulan sudah tentu telah bebas berlari. Tidak lagi bertatih memberanikan diri untuk berjalan apatah lagi untuk berlari.

Setahun lapan bulan. Itulah tempoh masa perjalanan hidup saya yang telah saya habiskan sebagai calon doktor falsafah.

Setahun lapan bulan entah apa yang telah saya lakukan. Baru hari ini. Baru sebentar tadi. Objektif kajian PhD saya terbina. Baru terjumpa. Alhamdulillah. Berkat tahajud cinta malam tadi. Malam lailatul qadar mungkin. Entahlah saya tidak tahu. Tetapi yang saya tahu Allah telah memakbulkan doa saya supaya kajian saya dipermudahkan.

Setahun lapan bulan saya bergelumang dengan kajian berkenaan kemiskinan. Hari ini. Baru sebentar tadi Allah ilhamkan kajian yang sepatutnya saya lakukan. Berkat 23 Ramadhan 1432H.

Setahun lapan bulan bukan mudah untuk diharungi. Semata-mata untuk mencari kajian yang benar-benar 'valid' untuk dikaji. 'Valid' untuk diteliti. Tetapi baru tadi saya diilhamkan Allah objektif kajian yang panjangnya enam baris. Walaupun enam baris, enam baris inilah teras kepada kajian saya yang panjangnya nanti mungkin menjangkau 350 helai.

Setahun lapan bulan. Tempoh masa itu telah berlalu. Bagaimana pula akan datang?

Kecewa? Tidak pernah wujud rasa itu walaupun telah setahun lapan bulan berlaku baru hari ini Allah ilhamkan objektif kajian untuk tesis PhD. Kerana jihad itu menuntut kita untuk sentiasa berkorban.

Tempoh akan datang sudah tentu lagi panjang. Sudah tentu masih banyak yang perlu dikorban. Masa, wang ringgit, kudrat dan tenaga yang tidak seberapa. Semuanya harus dikorbankan untuk menyelam dilautan ilmu ketuhanan.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...