Wednesday, November 23, 2011

Perpustakaan Dalam Rumah


23 April 2011 yang lalu, akhbar Utusan menyiarkan bekas Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir menyarankan agar golongan berkemampuan di negara ini mewujudkan perpustakaan di kediaman mereka dan mengisinya dengan buku atau karya yang berharga. Menurut beliau, ini adalah amalan orang kaya di negara barat seperti Amerika Syarikat yang gemar membina perpustakaan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis buku lama, kemudiannya didermakan kepada perpustakaan selepas pemiliknya meninggal dunia.

Sebenarnya bukan sahaja golongan berkemampuan, golongan miskin juga boleh memiliki perpustakaan mereka sendiri. Mungkin juga kerana harga buku agak mahal. Jadi penekanan tentang memiliki perpustakaan di rumah hanya ditekankan kepada golongan berkemampuan.

Apapun menjadikan perpustakaan sebagai salah satu perkara penting yang perlu wujud dalam ruang kediaman adalah amat penting kerana ia mampu mencorak budaya pentingnya ilmu kepada penghuninya.


Melihat kepada trend hiasan dalaman rumah sama ada yang dipaparkan dalam television mahupun majalah-majalah, kebanyakannya memfokuskan kepada perkara-perkara berbentuk hiasan seperti perhiasan pingan mangkuk, kabinet dapur, ruang tamu dan sebagainya. Oleh itu, trend tersebut sepatutnya diperbaharui agar masyarakat Malaysia mula beralih kepada hiasan dalaman yang lebih memberi manfaat kepada mereka.

Akhirul kalam, pesan Lukman al-Hakim kepada anaknya,
"Wahai anakku, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin. Sesungguhnya andai kamu kaya, ilmu itu akan menjadi perhiasan buatmu. Tetapi seandainya kamu miskin, ilmu itu akan menjadi harta buatmu".

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...