Wednesday, December 7, 2011

Skeptical: Antara Islam Dengan Politik

Skeptical selalunya bersarang dalam mereka yang berjiwa kecil

Kita orang Islam selalu menganggap bila ada bukan Islam cuba mendekati Islam, sangka buruk kita mendahului rasa gembira kita terhadap penerimaan mereka. Kita selalu beranggapan mereka ada agenda disebaliknya terutama sekali apabila kebaikan mereka disandarkan kepada politik kepartian.

Kalaulah sikap skeptical sebegini wujud dalam diri Rasulullah s.a.w dan para khalifah Islam semasa mereka menyebarkan Islam melalui surat kepada raja-raja dan penguasa-penguasa, sudah tentu Islam tidak akan sampai kepada kita. Sejarah Islam telah membuktikan wujud penaklukan-penaklukan yang dilakukan oleh tentera Islam terhadap kerajaan bukan Islam tanpa melalui peperangan. Antaranya ialah kerajaan Toledo yang dikuasai oleh tentera Tariq bin Ziad semasa zaman kegemilangan Islam di Andaluis. Adakah Tariq bin Ziad melancarkan peperangan juga walaupun kerajaan Toledo telah menyerah kalah? Tidak sama sekali kerana Tariq bin Ziad memiliki jiwa yang besar. Bukan jiwa sebagaimana yang kita miliki.

Sirah Rasulullah s.a.w juga pernah murka kepada Usamah bin Zaid kerana membunuh individu yang mengucap syahadah ketika dalam peperangan. Kisahnya berlaku dalam Perang Khaibar. Mirdas bin Nuhaik yang merupakan kaum musyrikin mengejek-ejek Usamah bin Zaid dengan mencaci Islam dan Rasulullah. Usamah menyerangnya lalu lelaki itu lari. Akhirnya, Mirdas dapat ditangkap dan apabila dia hendak dibunuh, dia mengucap dua kalimah syahadah. Walau bagaimanapun Usamah tetap membunuhnya dengan mengandaikan Mirdas mengucap hanya kerana takut dibunuh. Apabila berita itu sampai kepada Rasulullah, Rasulullah memanggil Usamah lalu bertanya:
“Wahai Usamah, mengapa kamu membunuh orang yang mengucap dua kalimah syahadah?”
“Wahai pesuruh Allah! Dia mengucap kerana takut dibunuh!”
“Adakah kamu belah dadanya? Kamu tahu hatinya? Apa yang akan kamu jawab di hadapan Allah pada hari akhirat nanti dengan syahadah orang itu?”
Sikap skeptical kita terhadap golongan bukan Islam juga sebenarnya sangat banyak terjadi dalam sejarah Islam. Tidak sahaja berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w tetapi juga pada zaman khalifah-khalifah Islam lain. Antaranya yang berlaku pada zaman Umar bin Abdul Aziz. Umar bin Abdul Aziz telah menghapuskan ufti (cukai perlindungan yang dikenakan terhadap kafir zimmi) yang dikenakan terhadap golongan kafir zimmi (penduduk bukan Islam yang menetap bawah naungan kerajaan Islam yang tidak boleh diperangi) yang telah memeluk Islam. Hal ini kerana sebelum zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, ufti turut dikenakan ke atas golongan kafir zimmi yang telah memeluk Islam kerana beranggapan mereka memeluk Islam disebabkan tidak mahu membayar ufti.

Penghapusan ufti pada zaman Umar bin Abdul Aziz telah membuatkan ramai kafir zimmai memeluk agama Islam. Situasi tersebut menyebabkan ramai gabenor mengeluh kerana ia dikatakan kafir zimmi mengelak daripada membayar ufti dan sekali gus ia akan mengurangkan jumlah rakyat yang membayar ufti. Bagi menyangkal dakwaan tersebut Umar bin Abdul Aziz telah menjawab tuduhan tersebut dengan sepucuk surat sebagaimana berikut;

"Amma Ba'd. Sesungguhnya Allah SWT te
lah mengutus Nabi Muhammad s.a.w untuk menyerukan agama ini kepada seluruh manusia, bukan sebagai pemungut cukai dan ufti".
Ibn Sa’d, Muhammad. (1997). Al-Tabaqat al-Kubrà.
Beirut: Dar al Kutub al-Ilmiyya
Jadi adalah tidak menghairankan jika tindakan golongan bukan Islam mendekati Islam sering disalah ertikan kerana perjalanan dakwah sejak dari zaman Rasulullah s.a.w lagi telah menunjukkan keadaannya begitu.


Bulan Sekarang Mewakili Hati Saya

Sikap skeptical kita sebegini juga membuatkan golongan bukan Islam telah menjauhkan diri daripada kita. Akhirnya ia menyebabkan golongan bukan Islam tidak berminat kepada Islam walaupun kita telah lebih 50 tahun merdeka. Sekurang-kurangnya dengan saluran politik yang sering disalahertikan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat selaku pimpinan PAS (Parti Islam Se-Malaysia) telah berjaya memperkenalkan Islam melalui saluran politiknya. Beliau pernah berkata, kejayaan besar yang telah dimiliki oleh PAS adalah mendekatkan golongan bukan Islam kepada Islam walaupun mereka tidak Islam. Berbanding dahulu katanya, Islam dihina oleh mereka tetapi sekarang mereka percaya akan Islam walaupun masih belum menganut Islam kerana yang memberi hidayah itu adalah Allah s.w.t. Selaku manusia, tugasnya hanyalah menyebarkan dakwah.

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)".


Surah al-Qasas, ayat 56

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...