Showing posts with label Siapa Kita. Show all posts
Showing posts with label Siapa Kita. Show all posts

Wednesday, December 30, 2009

Ukuran Sebuah Cinta

Berlaku kesalahan pada tarikh di dalam gambar tersebut.
Sepatutnya ia bertarikh 20 Disember 2009

“Em… macam mana seronok?” Tanya saya.
“Seronok”. Lazimnya jawapan tersebut yang kami terima dari setiap kumpulan yang ditugaskan untuk menyudahkan check point dalam aktiviti ‘Kembara Ilmu, Jambori Nisa’ 2009’.
“Macam mana, check point sebelum ni dapat jawab tak?”
“Ada yang dapat.. ada yang tak… yang kena denda pun ada”
“Kena denda? Kat check point mana?”
“Check point satu”.

“Ooo.. ye ke… tak pe.. tak pe. Kat check point ni tak kena denda. Insya Allah”. Lebar senyuman mereka mendengar janji saya. Setiap kumpulan yang saya tanya berkenaan kena denda… pasti jawapan kena denda di check point pertama dikhabarkan kepada saya… tak pelah. Bukan selalu… tempat yang kena denda tu biasanya paling kita ingat.

“Okeylah di check point yang ketiga ni mudah je. Kak Radieah nak minta semua bercerita. Dua hari lepas kita telah sambut tahun baru Hijrah… jadi sekarang Kak Radieah nak tahu tentang peristiwa hijrah. Kak Radieah nak semua bercakap. Tambah sorang sikit.. jadikan ia satu cerita yang lengkap. Okey boleh mula…”

Di check point saya ini, tugasan mereka mudah.. hanya bercerita berkenaan peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w bersama Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Tetapi jalan cerita yang saya terima, bagi saya ia sungguh mengecewakan.

Ada yang mengatakan Rasuluulah berhijrah ke Ta’if… ada pula yang mengatakan Saidina Abu Bakar tidur di atas riba Rasulullah s.a.w… ada juga yang mengatakan baginda bermalam di Gua Thur selama 40 malam… dan tidak kurang juga yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar bermalam di Gua Hira’… pening saya dibuatnya…

Setelah selesai sahaja mereka bercerita dan setelah saya betulkan kesilapan di dalam sirah yang mereka ceritakan, saya membuat kesimpulan dan penggulungan...

"Baiklah... sekarang secara jujurnya Kak Radieah nak tahu... dari kisah yang telah diceritakan tadi, dalam keadaan seorang kata macam tu.. yang lain kata bukan macam tu tapi macam ni... ada yang kata Rasulullah berhijrah dengan Saidina Ali... ada yang terus membisu tak bercerita apa-apa pun... dapat atau tidak, kita katakan yang kita benar-benar cinta kepada Rasulullah?... sedangkan dalam kehidupan kita, bila kita sayang sahabat kita.. kita akan tahu apa yang dia suka, apa yang dia tidak suka, segala cerita, kisah yang dilalui oleh sahabat kita tadi... kita tahu segala-galanya.. tetapi bila tiba masa kita katakan yang kita sayang... kita cinta pada Rasulullah... tetapi kita gagal menceritakan hanya tentang peristiwa hijrah yang saban tahun diulang-ulang ceritanya kepada kita".

"Sekarang cuba kita ukur cinta kita pada Rasulullah... Kak Radieah hanya bertanya tentang peristiwa hijrah, belum lagi tentang peristiwa-peristiwa lain.. bagaimana kita boleh katakan yang kita cinta pada Rasulullah sedangkan kisahnya tunggang langgang dalam fikiran kita?"

"Adakah kita benar-benar cinta pada Rasulullah?" tanya saya
"Tidak" sayup sahaja ucapan tersebt.. ada yang menggelengkan kepala... ada juga terus membisu.

"Bila kita sudah tahu kita sebenarnya masih belum cukup untuk mengatakan yang kita cinta pada Rasulullah, balik nanti.. Kak Radieah harapkan kita semua baca semua kisah Rasulullah dan ingat kisah tersebut sebab cinta kepada Rasulullah juga bererti kita cinta kepada Allah. Bila kita gagal cinta kepada Rasulullah bermakna kita juga gagal mencintai Allah..."

"Okeylah... dah lewat, kumpulan lain dah tunggu. Jangan lupa pesan Kak Radieah..


Suatu ketika dahulu saya cukup bosan untuk mendengar ceramah tentang Ma’al Hijrah kerana lazimnya penceramah akan menceritakan tentang peristiwa penghijrahan hampir saban tahun mendengar kisah yang sama. Tetapi pada hari ini… saya tidak lagi berpandangan begitu. Memang sepatutnya sirah tersebut diulang-ulang kerana masih ramai yang gagal memahami apatah lagi menghayati tentang penghijrahan dan perjuangan Rasulullah s.a.w... kita ini selalu lupa, oleh itu harus selalu diingatkan..

Pernah satu ketika, sewaktu saya di tingkatan eman di SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut, Pahang. Seorang penceramah yang dijemput untuk memberi pengisian tentang peristiwa hijrah tersebut, telah bercerita bukan sahaja tentang salasilah keturunan Rasulullah s.a.w, tetapi juga salasilah kambing yang dipelihara oleh Rasulullah yang bercantum dengan binatang korban yang dikorbankan oleh Habil bin Adam a.s, nama unta-unta dan kuda-kuda tunggangan Rasulullah, tentang nama-nama pedang baginda dan banyak lagi.

Pada ketika itu, di dalam hati saya hanya terdapat rasa kagum terhadap penceramah tersebut kerana daya ingatan beliau cukup hebat. Tetapi hari ini, saya percaya hanya individu yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w akan berusaha untuk memperolah sebanyak mungkin maklumat mengenai baginda... kerana semakin kita mengenali baginda maka akan semakin dekatlah kita terhadap baginda... dan sudah tentu mendalamnya rasa cinta kepada Rasuluulah s.a.w tadi telah menyebabkan penceramah tadi mampu mengingati kesemuanya tentang Rasulullah s.a.w.

Mengukur kecintaan kepada seseorang adalah suatu perkara yang sangat mustahil dapat dilakukan. Ukuran yang biasanya dapat dilakukan hanyalah dengan membandingkan kecintaan individu dengan individu yang lain. Namun begitu pepatah Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’ sedikit sebanyak telah mengajar kita tentang standard sebuah cinta.

Tuesday, November 3, 2009

Sebuah Perhitungan



Prof Dr. HAMKA ada menyatakan "Kita dapat menghitung berapa usia kita yang telah kita gunakan. Tetapi kita tidak mampu menghitung berapa lagi usia kita yang masih tinggal"

Wednesday, October 14, 2009

Global Leader VS Global Player

Seharusnya kita umat Islam perlu menjadi global leader bukan global player. Maksud global leader ialah individu yang memimpin sesuatu perkara di peringkat antarabangsa. Global player pula bermaksud individu yang menjadi penggerak di dalam sesuatu perkara, juga di peringkat antarabangsa.

Dunia hari ini memerlukan umat Islam berada di barisan hadapan. Tidak sekadar menjadi penggerak di dalam sesebuah organisasi tetapi turut menjadi pemimpin di dalam organisasi tersebut. Kita memuji pemimpin-pemimpin di dalam sesebuah organisasi yang dipimpin olah non-muslim sehingga kita lupa penggerak di belakang tabirnya adalah saudara Muslim kita… yang dikerah tenaga dan akal fikiran mereka untuk menghasilkan perkara yang diingini…

Saintis-saintis, doktor perubatan dan sebagainya yang kebanyakannya terdiri daripada negara India, Pakistan dan pelbagai negara Islam yang lain termasuk Malaysia mempunyai kepakarannya yang tersendiri. Malangnya individu Muslim jarang-jarang memiliki syarikat besar yang mampu menjadi tapak kepada individu Muslim tersebut menyumbang kepakaran mereka.
Walaupun umat Islam kini telah menyumbang kemahiran mereka di peringkat dunia tetapi mereka masih lagi menjadi ‘player’nya bukan menjadi ‘leader’nya. Akhirnya kita kelihatan sering berada di belakang sedangkan kita yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan institusi tersebut.

Bagi mengelakkan situasi ini terus berlaku… kita perlu melahirkan individu yang boleh menjadi global leader seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari yang merupakan salah seorang jutawan Malaysia dan ramai lagi global leader yang lain…

Kita harus menyatukan kepakaran kita yang terdiri daripada global leader dan global player di bawah satu organisasi bagi membentuk sebuah organisasi Muslim yang bertaraf antarabangsa setanding dengan kepakaran syarikat atau institusi yang lain seperti Nestle, NASA, Kiki Lala dan Old Town's.

Thursday, April 16, 2009

Tamadun Yang Beransur Hilang

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburan Parlimen
Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi
Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya
Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah sebelum lidahmu jadi bisu


Puisi Keranda 152 karya Usman Awang ini ditulis rentetan daripada perjuangan Bangsa Melayu terdahulu meletakkan Bahasa Melayu di tempat selayaknya. Keranda 152 yang dimaksudkan oleh Usman Awang ialah merujuk kepada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bagi Negara Malaysia.

Isu PPSMI yang pernah menjadi isu hangat diperkatakan oleh banyak pihak, saya mengharapkan bahangnya dirasai selagi mana PPSMI tidak dimansuhkan walaupun selepas Dato Seri Hisyamuddin tidak lagi dilantik menjadi Menteri Pelajaran.

UNESCO dalam laporannya yang dimuatkan dalam laporan Bank Dunia pada tahun 1997, menyimpulkan bahawa sesuatu pembelajaran menjadi matlamat, termasuklah pembelajaran bahasa kedua (Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Mandrin dan bahasa lain yang digunakan di Malaysia), penggunaan bahasa ibunda seseorang pelajar itu penting sebagi medium pembelajaran di awal-awal tahun persekolahnnya.

Memetik daripada sumber tersebut, adalah tidak wajar sekiranya Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar untuk pelajaran sains dan matematik di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Pada tahap tersebut mereka masih belajar untuk mengenali dan menyukai mata pelajaran tersebut. Tetapi adalah wajar bahasa pengantar mata pelajaran tersebut menggunakan Bahasa Inggeris di peringkat pengajian yang lebih tinggi kerana pada waktu ini tugas mereka adalah mengkaji dengan lebih mendalam dan menghasilkan penemuan-penemuan baru.

Memetik penyataan UNUSCO daripada ‘Education For All : Policy Lessons Form High-Achieving Countries (Staff Working Papers, New York, Unicef)’, “Dalam keadaan di mana ibu bapa itu buta huruf, jika medium pengajaran di sekolah bukan bahasa pertuturan di rumah, tambahan pula dengan masalah pembelajaran dalam suasana kemiskinan, maka peluang untuk berlaku keciciran dalam pembelajaran akan meningkat dengan mendadak”.

Pada ketika ini sama ada sedar atau tidak kita telah kehilangan tulisan jawi yang satu ketika dahulu merupakan tulisan yang digunakan pada Batu Bersurat, surat-surat, undang-undang, hikayat-hikayat, kitab-kitab pada Zaman Kesultanan Melayu satu ketika dahulu dan terus digunakan untuk satu ketika.

Namun khazanah yang cukup besar kita hapuskan. Hak milik kita...warisan bangsa kita...yang menandakan dekatnya kita dengan Tamadun Islam...walaupun bahasanya berbeza tetapi tulisannya sama...dan pada hari ini setelah kehilangan tulisan jawi kita ingin hilangkan bahasanya pula...

Mempelajari bahasa satu kemestian sebagai mana hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum itu, dia akan terselamat daripada tipu helah mereka[1] dan hadis yang lainnya bermaksud “Pelajarilah bahasa orang Yahudi kerana aku tidak merasa aman mereka menulis untuk kita”.

Peranan bahasa telah Rasulullah jelaskan seperti dua hadis di atas, bukan untuk cemerlang seperti bangsa tersebut tetapi menyelamatkan kita daripada tipu helah dan supaya kita tahu perkara yang sedang mereka lakukan ke atas kita.

Persoalannya sekarang kita mendalami Bahasa Inggeris seolah-olah untuk mencedok ketamadunan mereka kerana dikatakan apabila seseorang itu tidak menguasai bahasa tersebut dia akan ketinggalan di belakang. Secara tidak langsung kita sebenarnya menjadi penyambung ketamadunan Barat yang entah sampai bila kesudahannya.




[1] Albani berkata “Aku tidak menemui hadis ini dengan lafaz tersebut dan tidak ada seorang pun yang menulis mengenai hadis yang sering disebut oleh orang awam yang menyebutnya. Seolah-olah hadis ini disebarkan sejak kebelakangan ini. Tetapi hadis ini mempunyai makna yang sama dengan hadis yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi (bukan berkata hadis ini Hassan Sahih), Hakim, Abu Daud dan Ahmad.

Hadis riwayat Ibn. Ishaq secara mursal. Albani berkata “Hadis seperti ini diriwayatkan oleh Hakim dan beliau berkata “Sanadnya sahih dan Az-Zahabi bersetuju.

Hadis riwayat Ahmad. Ibn. Khathir berkata, “Sanadnya Jayyid Qawiyy”.

Hadis riwayat Abdullah Ibn Ahmad Ibn Hanbal dalam ‘Zawaid al-Musnad’, Al-Hafiz al-Sakhawi berkata, “Hadis ini diriwayatkan oleh ad-Dailami juga dan kedua-dua sanadnya lemah tetapi ia mempunyai banyak syawahid.

Thursday, February 12, 2009

Biarlah Yang Berlalu Terus Berlalu...

Terlalu banyak yang ingin saya kongsikan bersama. Tetapi masa yang ada membataskan saya untuk meneruskan hajat tersebut. Rasulullah ada berpesan supaya menghargai masa lapang sebelum datangnya kesibukan. Hakikatnya kita selalu menagguh-nangguhkan kerja kita. Sehingga bila sampai satu ketika kita akan tertekan dengan kerja yang bertimbun-timbun yang terpaksa kita siapkan.

Pengurusan masa sangat penting. Jangan tangguhkan kerja kerana malam itu datang bertimpa-timpa. Maksudnya di sini, kegelapan malam akan datang pada kita sedikit demi sedikit. Semakin lama kegelapannya semakin pekat sehingga jika kita tidak dibantu oleh cahaya lampu kita tidak dapat melakukan sebarang kerja.

Begitulah juga dengan kerja yang kita lakukan dengan bertangguh-tangguh. Siapkan kerja secepat mungkin. Tetapi kerja yang kita lakukan itu seharusnya yang terbaik dan berkualiti kerana Rasulullah S.A.W bersabda “Sesungguhnya Allah menyukai seseorang itu, apabila dia melakukan sesuatu kerja dia lakukannya dengan bersungguh-sungguh”.

Lecturer saya selalu berpesan, supaya kami membuat assignment dengan bersungguh-sungguh dengan melekakkan target supaya assignment tersebut boleh dipublishkan sama ada di dalam jurnal, majalah atau boleh dijadikan kertas kerja untuk dibaca di conference-conference. Adalah rugi sama sekali jika kita tidak mengambil peluang menyiapkan assignment dengan hanya menulis dan bertujuan untuk mendapat markah tertinggi sedangkan assignment tersebut boleh dikongsi dengan masyarakat umum.

Selama tiga tahun berada di undergrad saya adapat merasakan bahawa masa saya banyak terbuang dengan menghasilkan assignment terbaik dengan bertujuan untuk mendapat markah tertinggi. Walaupun dalam masa yang sama saya dapat banyak maklumat dan ilmu tentang sesuatu perkara, tetapi malangnya ilmu tersebut tidak dapat saya kongsikan dengan masyarakat umum. Saya mampu berkongsi dengan pensyarah yang membaca assignment saya, ahli usrah dan rakan-rakan yang bernasib baik. Bagi saya ia adalah satu kerugian yang sangat besar dalam hidup saya.

Biarlah yang berlalu terus berlalu...saya tidak mahu lagi menjadi orang yang rugi seperti di masa lalu. Saya insan biasa. Banyak kelemahan...malah selalu juga lalai walaupun telah diperingatkan selalu. Akhirul kalam...buatlah yang terbaik. Jangan jadi macam saya.

Wednesday, January 14, 2009

Antara Hak Dan Tanggungjawab


Pilihan Raya Kampus (PRK) USM telah bermula. Saat ini bukan istilah ‘bahangnya mula terasa’ digunakan sebaliknya istilah ‘maraknya membakar’ lebih bertepatan dengan situasi yang dialami kini. Walaupun master student’s tidak dibolehkan menggundi, saya turun untuk merasai bahang marakkan api PRK pada kali ini. Maraknya mungkin sama dan mungkin juga tidak. Saya cuba membezakannya dengan sidang-sidang akademik yang telah lepas. Entahlah…saya tidak pasti.

Tetapi yang pasti mahasiswa semakin lama semakin hilang jiwa kepimpinannya. Ucapan-ucapan yang diberikan kebanyakannya tidak mampu menunjukkan kemampuan generasi intelektual ini menggantikan generasi pimpinan sekarang. Malang sama sekali. Majoriti calon mengetengahkan isu perpaduan dan APEX University.

Bagi saya isu perpaduan bukanlah isu yang baik untuk diketengahkan walaupun isu itu isu yang penting. USM isu perpaduan tidak langsung menjadi masalah di sini. Tetapi bangsa Melayu semakin ketinggalan bukan kerana perpaduan sebaliknya kerana sikap mereka. Jika bangsa Melayu dapat membuktikan kehebatan mereka dari semua sudut terutama keintelektualan dan kepimpinan, saya percaya bangsa Melayu akan lebih dihormati dan dipandang tinggi. Identiti bangsa Melayu semakin hilang buktinya mata pelajaran Sains dan Matematik diajar di dalam Bahasa Inggeris alasannya supaya generasi muda terutamanya bangsa Melayu lebih fasih berbahasa Inggeris. Aaah…sungguh ramai yang tidak menyedarinya.

Isu APEX University pula, isu yang langsung tidak patut disentuh oleh student undergrad kerana APEX University bukan untuk undergrad sebaliknya untuk postgrad. Mereka selaku student undergrad hanya boleh berbangga berada di USM selaku APEX University… hanya merasai tempias APEX. Proposal APEX University bukan ditulis untuk memajukan bidang penyelidikan dengan kajian-kajian yang dilakukan oleh student undergrad sebaliknya individu yang sangat banyak menyumbang kepada kejayaan USM menjadi peneraju APEX University ialah student postgrad dan para pensyarah.

Jangan salah sangka terhadap penyataan saya tadi. Saya menulis berdasarkan fakta. Tanpa student undergrad mustahil akan muncul student postgrad. Tanpa melalui zaman undergrad mustahil sama sekali student postgrad boleh berfikiran matang dan belajar dari kesilapan sewaktu postgrad dahulu. Saya tidak mahu anda menjadi seperti saya. Saya sering belajar dari kesilapan dan pengalaman saya. Tetapi saya mahu anda semua belajar menjadi lebih matang daripada sedikit pengalaman diri saya yang jahil ini.
Kepada student undergrad anda perlu lebih matang dalam setiap tindakan, pertuturan mahupun fikiran anda. Kerana dengan kematangan, fikiran anda, pertuturan anda, tingkah laku anda akan melahirkan perkara yang anda sendiri tidak menyangkakan ia daripada anda.

Akal fikiran manusia tidak akan boleh diukur berlandaskan sijil, postgrad, undergrad atau pangkat yang dia miliki. Tetapi kematangan dalam tindakan, pertuturan dan fikiran menentukan kematangan anda dalam menilai sesuatau perkara. Student postgrad juga tidak akan bermakna walaupun anda ada master atau PhD sekirannya anda tidak mampu berbakti untuk Islam yang sedang kita julang tinggi. Insya Allah.

Kembali kepada perbincangan kita sebentar tadi. Seharusnya isu yang disentuh ialah bagaimana student undergrad boleh turut memberi sumbangan besar dalam memajukan bidang pendidikan dan penyelidikan supaya tidak dipandang sebelah mata oleh pihak pentadbiran universiti. Ada apa pada kebanggaan jika kita bukan penyumbang perkara yang harus dibanggakan? Ayuh bangunlah...anda juga setaraf dengan student postgrad. Mampu memberi sumbangan yang hebat, bahkan lebih hebat daripada student postgrad jika anda mampu memikirkan perubahan-perubahan yang harus dilaksanakan.

Bagi saya isu yang utama ialah isu menggembalikan ke’gah’an mahasiswa. Bagaimana mahasiswa dapat memberi sumbangan dalam pentadbiran universiti dan dalam masa yang sama mencorak perubahan-perubahan masyarakat. Kita berada di universiti dengan duit subsidi yang diberi oleh kerajaan. Tetapi duit subsidi tersebut sebenarnya datang daripada masyarakat. Mereka membayar cukai-cukai tetapi sayang mahasiswa tidak dapat mengeluarkan masyarakat daripada belengu kesusahan… belengu kemiskinan … belengu penindasan.

Sebaliknya mahasisiwa kini, apabila tamat pengajian, mereka menjadi barah kepada masyarakat. Masyarakat atau kerajaan terpaksa menyediakan tempat untuk mereka bekerja. Sedangkan sepatutnya mahasiswa yang perlu menyediakan masyarakat peluang-peluang pekerjaan. Mahasiswa agen perubah. Mahasiswa nukleus masyarakat.

Tetapi title ‘maha’ yang berada di pangkal nama mereka, semakin hilang taringnya… semakin pudar atau mungkin telah pun hilang. Mahasiswa perlu kembalilah kepada masyarakat. Mereka akan tahu bahawa masyarakat amat perlukan mereka. Mahasiswa tidak harus memperjuangkan kebajikan mahasiswa sahaja kerana itu adalah tanggungjawab pihak pentadbiran universiti… itu hanyalah kerja sambilan anda selaku mahasiswa.
Satu ketika dahulu sewaktu undergrad, saya juga berkata kita seharusnya memperjuangkan hak mahasiswa … kebajikan mahasiswa. Tetapi kini saya tahu… saya salah. Pihak pentadbiran telah penuhi majoriti hak kita selaku mahasiswa…mungkin kita tidak menyedarinya, kurang maklumat atau emosi menggatasi kewarasan fikiran kita.

Dr Zakaria, pensyarah saya pernah mengatakan “Jangan terlalu meminta hak kita supaya dipenuhi, takut-takut, nanti kita lupa tanggungjawab yang harus kita laksanakan”. Antara hak dan tanggungjawab…tunaikanlah tanggungjawab anda dahulu. Barulah anda berhak untuk mengatakan soal hak anda yang telah diabaikan.
Saya menunggu kebangkitan anda selaku mahasiswa...seperti mana laungan 'student power' yang berjaya menggerunkan semua pihak sewaktu Rapat Umum Pilihan Raya Kampus Sidang Akademik 2008/2009.

Tahniah saya ucapkan. Tetapi ucapan tahniah ini tidak bermakna andai kita tidak mampu buktikan kemampuan kita. Jangan bimbang akan jumlah kita yang sedikit. Kerana Allah telah berfirman telah banyak golongan yang sedikit menggatasi golongan yang banyak. Takbir !!! Takbir !!! Takbir !!!

Monday, January 5, 2009

"Soalnya, di Palestin Sekarang Sedang Berperang"


Selesai sahaja kami yang bersolat jemaah Maghrib di Masjid AL-Malik Khalid, USM...kami diminta oleh imam masjid iaitu Ust Zamrus Bin Mohd Ali untuk sama-sama mendirikan solat hajat setelah selesai solat rawatib untuk memohon kepada Allah S.W.T menyelamatkan saudara-saudara kita di Gaza, Palestin.

Sewaktu duduk tahiyyat akhir bagi menyempurnakan solat sunat, perbualan gadis-gadis kecil di belakang saya menyentuh jiwa saya sekali gus membuatkan solat saya terganggu dik perbualan mereka.

“Tadi, imam minta kita semua solat hajat”
“Mengapa ya?”
“Soalnya, di Palestin sekarang sedang berperang”
“Berperang dengan siapa ?”
“Dengan Yahudi”
“Yahudi itu jahat ya?”
“Iya, tentu sekali”

Dari perbualan tersebut saya dapat meneka bahawa anak-anak kecil ini dari tanah seberang, Indonesia. Selesai sahaja saya memberi salam, saya menoleh kebelakang untuk mengenali siapakah gerangan anak-anak kecil tadi.

Daripada kaca mata saya, saya menganggarkan usia kedua-dua kanak-kanak tersebut adalah 10 dan 6 tahun. Ingin sekali saya berbual dengan mereka tetapi saya membatalkan niat saya kerana iman telah mula mengangkat takbir untuk menunaikan solat hajat. Gadis-gadis kecil tersebut juga, saya lihat sedang memenuhkan saf untuk sama-sama mendirikan solat hajat.

Terdetik di fikiran saya “Siapa ibu bapa mereka?. Dalam usia yang masih kecil mereka telah diajar erti kasih sayang sesama muslim...sudah tahu erti pengorbanan...sudah tahu erti perjuangan... sudah tahu apa itu Palestin dan Yahudi. Kalau di Malaysia, kanak-kanak seusia mereka hanya arif tentang permainan mereka...mungkin ada yang seperti kanak-kanak Indonesia tadi...ya mungkin ada.

Jangankan kanak-kanak, remaja, dewasa dan mungkin juga yang tua...tidak pernah merasakan perang yang tercetus di Palestin juga merupakan tanggungjawab kita untuk bersama-sama dengan umat Islam di sana. Sambutan tahun baru di Malaysia disambut dengan letusan bunga api dan turut disertai dengan perta-pesta yang menjelikkan.

Kalau di sini sambutan tersebut disambut dengan letusan bunga api yang mampu membuatkan kita kagum kerana kecantikan bunga apa tersebut tetapi di sana saban hari letusan peluru, senapang, dan sebaginya kedengaran...yang hanya mampu membuatkan hati berasa bimbang, sedih dan seringkali diselimuti perasaan ketakutan. Takut anak-anak jadi yatim...takut anak-anak hilang ibu...takut anak-anak yang tidak berdosa menjadi makanan peluru yang tidak mengenal mangsanya.

Sepatutnya di Malaysia, kita juga harus bimbang. Malah lebih bimbang berbanding penduduk Islam di Palestin. Serangan pemikiran yang berlaku di Malaysia telah menampakkan hasilnya. Generasi muda telah mula meninggalkan agamanya...couple, arak, dadah, pil-pil khayal, zina, anak luar nikah, mat rempit, gotic, punk, i-Dance dan macam-macam lagi perkara telah berjaya menghancurkan aqidah generasi muda umat Islam di Malaysia.

Daripada mana serangan ini datang? Daripada Yahudi yang telah sekian lama merancang.
Bila ia akan berakhir? Ulama mengatakan bila aqidah umat Islam semakin kuat, bila ukhuwah umat Islam semakin kukuh dan bila perkara material (perkara duniawi. Contoh wang, kekayaan, strategi peperangan) umat Islam semakin banyak.

Saturday, December 20, 2008

"Kak Radieah, kenapa kumpulan kita tak dapat nombor satu...?"

Alhamdulillah…setelah merancang hampir berbulan-bulan Jambori Nisa’ Pulau Pinang telah berjaya diadakan. Banyak pengalaman yang kami timba, baik ahli jawatankuasa mahupun peserta. Antaranya, kami pelajari ilmu baru iaitu cara untuk menentukan masuknya waktu solat dengan melihat bayang-bayang matahari dan penentuan arah kiblat dengan melihat kulat yang tumbuh pada batang pokok. Subhanallah…Dia maha hebat…

Pengalaman solat dalam hutan

Banyak cerita dan pengalaman dikongsi bersama. Mereka mudah untuk dibentuk, mudah menerima pendapat dan banyak juga soalan diajukan kepada saya. Saya hanya berkongsi pengalaman cetik dan ilmu yang sedikit… moga-moga sedikit sebanyak dapat membantu mereka.

“Kak Radieah, kenapa kumpulan kami tak dapat nombor satu, tak jadi kumpulan terbaik?” Tanya seorang peserta kepada saya selaku fasilitator mereka.
“Kak Radieah bukan juri atau hakim dalam menentukan kumpulan yang terbaik. Kalau tak silap Kak Radieah, walaupun kumpulan awak pada keseluruhannya dapat menguasai banyak aktiviti berkumpulan tapi pemarkahan juga dinilai dari sudut individu. Pemarkahan individu dalam kumpulan lemah” jelas saya serba ringkas.
“Ooo..ye ke..” Nadanya agak kecewa. Saya hanya tersenyum melihatnya.

Kadang-kadang kita merasakan kita adalah individu yang terbaik tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Individu yang dipandang biasa, tiada keistimewaan rupanya lebih layak menerima award atau anugerah berbanding kita.

Umpama Uwais Al-Qarni, walaupun hidup pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, dia tidak pernah berkesempatan melihat Rasulullah S.A.W kerana menjaga ibunya yang sakit. Pernah satu waktu dia berkesempatan berjumpa Rasulullah S.A.W tetapi apabila sampai di rumah Rasulullah S.A.W, Saidatina Aisyah r.a mengkhabarkan bahawa baginda diwaktu itu berada di medan perang. Uwais menjadi serba salah sama ada untuk menanti kepulangan Rasulullah atau terus kembali ke negerinya memandangkan ibunya yang sakit dan sudah tentu tidak boleh ditinggalkan terlalu lama. Akhirnya Uwais mengambil keputusan untuk kembali ke kampung halamannya.

Apabila Rasulullah S.A.W kembali dari medan perang, Saidatina Aisyah r.a menyampaikan salam Uwais kepada Rasulullah S.A.W dan diceritakan keadaan Uwais kepada baginda. Rasulullah bersabda kepada Saidina Umar Al-Khattab dan Saidina Ali yang pada ketika itu ada bersama baginda, supaya apabila bertemu Uwais mintalah dia berdoakan sesuatu, kerana doanya tidak ditolak oleh Allah.

Kisah tersebut saya ceritakan berdasarkan cerita di dalam sebuah buku. Cerita selanjutnya anda boleh baca di dalam blog ini. http://ustaznaim.blogspot.com/search?q=Kisah+Uwais+Al-Qarni . Ada persamaan dan perbezaan sedikit dengan buku yang saya baca. Tetapi bukan itu yang saya mahu anda perhatikan. Perkara yang harus kita selidik dan renung bersama adalah pengajarannya.

Kita terlalu pandang apa yang orang pandang. Cukup susah untuk menjadi Uwais Al-Qarni. Tetapi berusahalah…berusaha menjadi makhluk sanjungan penduduk langit bukan penduduk Bumi...biarlah kita tidak dikenali di oleh penduduk Bumi tetapi dikenali oleh penduduk langit.

Biarlah orang membenci kita tetapi Allah menyayangi kita kerana sesungguhnya kasih sayang Allah itu membatasi kasih sayang seluruh makhluk ciptaanNya.

Tuesday, October 28, 2008

Muhasabah Itu Indah

Solat semakin tidak khusyuk…solat yang selalunya di awal waktu semakin lama semakin jarang diperolehi…solat jemaah di masjid pula jarang-jarang sekali. Sepatutnya semakin banyak nikmat Allah yang diperolehi sepatutnya semakin dekat kita denganNya tetapi sebaliknya yang terjadi.

Bila solat…ingatan kita pada assignment yang bertimbun masih belum disiapkan… kita resah memikirkan assignment yang dirasakan tidak sempurna…tetapi kita tidak resah kepada solat kita…ibadah kita yang kita tidak buat bersungguh-sungguh seperti mana assignment yang kita siapkan.

Kita sibuk merancang itu dan ini... meeting yang terpaksa kita hadiri kadang kala bertindinh-tindih…usrah yang kita gerakkan bukan satu malahan tiga, empat usrah dalam seminggu kita terpaksa hadiri dan yang kita handle…tetapi perancangan yang kita atur untuk diri kita tidak sesempurna perancangan yang kita atur di dalam meeting dan sebagainya…

Hati ini terdetik adakah kesibukan ini..., nikmat نقمة ) ( ataupun ni’mat ( نعمة )?. Kalau ni’mat alhamdulillah…tapi kalau nikmat, nauzubillah…Ni’mat itu ialah kurniaan Allah S.W.T kepada hambaNya yang menjadikan hambaNya semakin dekat denganNya. Tetapi nikmat pula ialah kurniaan Allah S.W.T kepada hambaNya sebaliknya untuk menjauhkan diri daripadaNya.

Sepatutnya kita ikut resmi padi…semakin berisi semakin tunduk…tetapi kebanyakan daripada kita, semakin tinggi jawatan, tinggi taraf pendidikan, semakin kaya, hidup bahagia bersama keluarga…makin kita lupa pada pemberiNya.

Muhasabah itu indah…andai kita sentiasa melakukannya dan supaya kita tidak lupa kepadaNya…

Monday, August 4, 2008

Saya Bukan Rasulullah...

"Dahlah Kak Laa, jangan buat macam tu. Saya bukan Rasulullah, tak ada musuh pun yang akan membunuh saya. Tak ada manfaat pun musuh nak bunuh saya". Begitulah lebih kurang dialog saya dengan sahabat saya, Ajlaa atau panggilan mesranya Kak Laa, salah seorang sahabat seperjuangan di SMKA TAHAP dulu, sama-sama menuntut ilmu.

Sahabat saya yang asyik mengelilinggi saya sebentar tadi tidak lagi mengelilingi saya sepertimana tadi. Bukan saya tidak senang dengan gurauannya cuma takut terjatuh daripada tangga yang sedang kami turuni.


Sewaktu sahabat saya mengelilingi saya sewaktu sedang menuruni tangga, sebenarnya saya teringat kepada peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W. Kebimbangan Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah membuatkan beliau mengelilingi baginda sewaktu berjalan di tengah padang pasir.

Ada kalanya Saidina Abu Bakar berada di hadapan Rasulullah, ada kalanya beliau berada di belakang dan ada kalanya berada di kanan ataupun kiri Rasulullah. Keadaan yang berterusan ini membuatkan Rasulullah bertanya kepada Saidina Abu Bakar akan hal tersebut. Jawab Saidina Abu Bakar "Saya berbuat demikian kerana saya bimbang akan kedatangan musuh yang akan membuatkan tuan cedera ataupun terbunuh. Saya berada di hadapan kerana saya merasakan musuh sedang mara dari hadapan tuan, saya berada di belakang tuan kerana saya merasakan musuh sedang mara di belakang tuan. Begitu jugalah halnya di kiri dan kanan tuan, saya akan berada sama ada di kiri ataupun kanan tuan andai kata saya merasakan musuh sedang mara daripada arah tersebut. Sekiranya musuh ingin membunuh atau mencederakan tuan, yang akan tercedera atau terbunuh bukan tuan tetapi saya"

Hari ini kita melihat pelbagai propa ganda daripada pihak musuh. Melukis gambar Rasulullah dengan sehina-hina lukisan, memfilemkan kisah yang seolah-oleh hinanya Islam yang Rasulullah bawa, pertikaian yang berlaku di mahkamah-mahkamah atas alasan bahawa berlaku ketidakadilan dalam syariat yang Rasulullah bawa, nama Allah dan Rasulullah menjadi hiasan di kasut-kasut, bangunan yang sengaja didirikan menyerupai Kabah tetapi di dalamnya dipenuhi arak-arak yang pelbagai jenama dan kualiti serta banyak lagi kehinaan-kehinaan kepada Islam yang akhirnya kita tidak lagi mengendahkannya.

Harga diri kita semakin rendah. Semakin tiada. Bahkan tidak salah kalau saya katakan maruah diri kita sebagi orang Islam telah tergadai akibat sikap kita. Kalau Saidina Abu Bakar dan para sahabat yang lain mampu melindungi Rasulullah kerana kecintaan mereka kepada baginda, bagaimana pula dengan kita? Bagaimana kita melindungi baginda bagi membukitkan kecintaan kita kepada baginda kerana cinta kepada Rasulullah bererti cinta kepada Allah. Semoga persoalan saya tadi kepada kita semua tidak berakhir dengan perkataan ''entahlah…''

Saturday, July 5, 2008

Cantikkan?


Syariat yang Allah turunkan untuk kaum hawa supaya bertudung sebenarnya tidak membebankan kaum hawa bahkan untuk memudahkan kaum hawa. Hakikatnya kita boleh lihat sendiri di papan-papan iklan di Kelantan dan baru-baru ini di Sungai Petai, Kedah. Cantikkan mereka bertudung ?

Rambut itu dikatakan mahkota wanita, jadi sebab itulah ia perlu dilindungi dan disembunyikan daripada dilihat oleh individu yang tidak berhak melihatnya. Syariat yang diturunkan untuk kita untuk memudahkan kita, bukan untuk menyusahkan kita. Tidak perlulah kita mempersoalkan banyak perkara, sebab Allah tahu keperluan kita selaku makhluk ciptaan.

Orang Yang Paling Membenci Saya

"…yelah macam mana saya nak berehat. Siang saya bekerja, malam perlulah berjuang". Luah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS.

"Doktor saya selalu menasihatkan saya supaya mempunyai tidur yang cukup dan makan yang teratur supaya kesihataan saya tidak terganggu… dia memang membenci saya kerana saya tidak dapat memenuhi permintaannya"


Benci kerana sayang…hakikatnya itulah perasaan seorang doktor peribadi kepada pesakitnya. Tambahan pula, dia bertanggungjawab ke atas kesihatan seorang menteri besar yang disanjungi rakyat, disayangi rakan dan disegani lawan.

Jika sekadar menteri besar sudah tentu doktor ini tidak terlalu bimbang akan pesakitnya tetapi terlalu banyak tanggungjawab yang digalas di bahu pesakitnya membuatkan doktor ini juga merasakan tanggungjawab yang sama dipikul olehnya.

Kita selalu mengatakan kita sibuk. Tetapi setakat mana sebenarnya kesibukan kita..perkara apa yang telah membuatkan kita merasakan yang kita sibuk…bila masa yang kita rasa kita tidak akan sibuk...Rasulullah ada bersabda dalam satu hadisnya yang bermaksud "Masa rehatku adalah masa solatku" Tetapi bagaimana pula dengan kita..

Sama ada masa kita banyak ataupun sikit itu bukanlah ukurannya tetapi ukuran yang sebenar pada masa adalah bagaimana kita hendak menggunakan masa yang kita ada sebaiknya. Umur yang ada bukan menandakan panjangnya usia kita sebaliknya ia menandakan semakin pendeknya masa yang kita ada. Prof HAMKA ada mengatakan " Kita boleh menghitung usia kita yang telah kita gunakan tetapi kita tidak boleh menghitung usia kita yang masih tinggal" Jadi gunakanlah usia yang masih berbaki itu untuk sebik-baik perkara agar kita tidak menyesal di pengakhiran usia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...