Tuesday, March 10, 2009

Jangan Tinggal Semua


“Kalau tak boleh buat semua, jangan tinggal semua”
Kata-kata keramat itu kugenggam erat,
Bila keperluan mengatasi kemampuan,
Bila tuntutan mengatasi kudrat

Kemampuanku tidak sehebat mana,
Tidak sekuat mana...
Sering kali dipertikaikan...
Sering kali dipersoalkan...
Biarkanlah mereka berkata...
Biarpun seantero dunia berdusta..

Kutetap ingin berlari,
Biarpun rebah berkali-kali,
Kerana di dalam hati ini
Hanya adaMu Ya Ilahi

Tidak semua orang mengerti...
Tidak semua mampu memahami
Akan kepayahan ini diri ini..
Akan rahsia hidup ini...
Biarkanlah ia berlalu pergi.

Monday, February 16, 2009

"Hai..saya Upin. Ini adik saya Ipin.."


“Saya Upin, ni adik saya Ipin…Em, betul, betul, betul” (Yang mana satu abang atau adik, saya tidak pasti)
Saya percaya masyarakat Malaysia mula menyukai dan mengemari animasi Upin & Ipin tidak kira peringkat usia, tua atau muda… semua tidak mahu ketinggalan menonton filem animasi tersebut.

Namun begitu, saya bukanlah bertujuan untuk mengulas jalan cerita animasi filem tersebut. Namun begitu, jujur saya katakan kepada semua yang terlibat dalam pembikinan animasi tersebut…tahniah saya ucapkan. Biasanya filem-filem atau animasi kartun dan sebagainya saya akan mengkritik dari pelbagai sudut walaupun hakikatnya saya bukanlah seorang pengkritik filem.

Terdapat filem yang bertetangan dengan aqidah walaupun nampak Islamik tanpa kita sedari. Kalau sentuh lelaki perempuan tu dah semestinya. Walaupun pelakonnya memakai tudung tetapi jangan terpedaya dengan penampilan tersebut. Perhatikan betul-betul perkara yang diucap atau perbuatannya sama ada bertentangan dengan syarak atau tidak…Hakikatnya itulah realiti dunia perfileman sekarang.

Seharusnya perfileman Islam harus bangkit memaparkan wajah-wajah kehidupan Islam sebenar. Mungkin ada yang merasakan ia akan membosankan penontot. Tetapi filem animasi Upin & Ipin telah mengeluarkan kita dari acuan biasa yang digunakan dalam filem. Tidak memerlukan aksi yang berat, cukup hanya memaparkan suasana kampung yang hidup berjiran yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Malah lebih hebat apabila suasana yang berlaku di dalam bulan Ramadhan dipaparkan. Secara tidak langsung, kanak-kanak tidak melihat animasi kartun tersebut sebagai animasi yang kosong tetapi terdapat nilai agama (aqidah) di dalam filem tersebut.

Hakikatnya umat Islam harus bangkit dari segenap sudut. Dornal Duck, Mickey Mouse, dan banyak lagi karekter kartun barat yang lain telah meracuni fikiran anak-anak kecil Islam. Kelihatan macam tidak ada yang bertentangan dengan syarak. Tetapi bagi saya, ikon itik (Dornal Duck) tikus (Mickey Mouse) dan pelbagai ikon binatang lain yang telah diangkat sama taraf dengan manusia adalah satu perkara yang bertentangan sekali dengan nas Al-Quran yang mengatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik ciptaan. Kartunis barat telah mengangkat ikon tersebut dengan meletakkan ikon-ikon kebanggaan kanak-kanak sekarang, hampir sama dengan kehidupan manusia. Bezanya ikon tersebut tidak berwajah manusia.

Ikon yang berwajah manusia pula, kadang-kala mengajar kanak-kanak suatu perkara yang seharusnya tidak patut dilakukan. Contohnya Sincan (How to spell) saya perhatikan kelalukannya yang biadab kepada ibunya membuatkan kanak-kanak ketawa…termasuk juga orang dewasa yang menontonnya. Apa yang mereka ketawakan??

Nilailah sesuatu perkara dengan akal fikiran dan hati kita. Hati-hati dengan perkara yang berlaku di sekeliling kita. Terlalu banyak dakyah yang berlaku, malangnya kita tidak sedari. Kartun animasi yang kita import daripada Barat dan Jepun amat berbahaya kepada akidah Islamiyyah. Melalui tulisan ini saya tidak menyentuh tentang hukum sama ada ia dibolehkan atau tidak…Jika tidak, bagaimana cara yang boleh…jika boleh kita tidak harus melepaskan peluang ini. Saya juga tidak menyentuh waktu tanyangan dan filem animasi Upin & Ipin yang baru ditayangkan. Semoga ia mampu memaparkan syariat Islam yang sebenar…sejauh mana? Wallahu’alam…

Friday, February 13, 2009

Apabila Ombak Menghempas Pantai...

Saya masih teringat sewaktu Ust Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan kuliahnya di Surau Rantau Printis, Bandar Jengka (Kini dikenali sebagi Bandar Tun Razak), Pahang. Seorang lelaki mengadu padanya bahawa dia terlalu penat berjuang. Terlalu banyak yang dilakukannya tetapi tetap kalah. Jawapan yang mudah diberikan oleh Ust Tuan Ibrahim “Biarlah kita kalah, kalau dengan kalah itu Allah merahmati kita, berbanding kalau kita menang dengan tipu daya dan sebaginya…keranan nanti akan Allah murka pada kita. Di sisi manusia mungkin kita kalah…tetapi di sisi Allah sama ada kita menang atau kalah kita tetap menang”. Lebih kurang begitulah jawapannya.

Kemelut politik di Perak membingungkan kita. Bagi saya percaturan politik yang berlalu adalah soal kedua. Tetapi ujian yang diberikan oleh Allah yang sedang dihadapi kini harus kita selidiki. Adakah ini ujian ataupun kemurkaan Allah pada kita? Saya pun tidak tahu. Saya tidak menjumpai puncanya. Kemelut yang berlaku sekarang datang dari Allah dan sudah tentu jalan penyelesainannya juga dari Allah. Kalau dulu sebelum pilihan raya kita boleh datang bermunajat beramai-ramai…selepas menang kita juga tidak lupa bermunajat. Dan sekarang….kita juga harus bermunajat.

“Janganlah jadi macam budak-budak…” begitulah kata MB Perak kepada MB Perak (maklumlah ada dua MB sekarang) yang tersiar di dalam Berita Utama TV3. Banyak lagi kata-kata yang lain yang tersiar. Bagi saya selaku rakyat biasa, kata-kata tersebut adalah tidak sesuai dilontarkan oleh seorang pemimpin. Runtuh sifat kepimpinannya di hadapan rakyat.

Ucapan atau kata-kata memainkan peranan penting. Contoh paling mudah, Jepun datang ke Tanah Melayu dulu dengan semboyan ‘Asia Untuk Asia’ bagi meruntuhkan pengaruh British. Begitu juga dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Satu ketika sewaktu mula-mula menjadi Perdana Menteri, beliau pernah menyuarakan slogan ‘Jangan bekerja kerana saya tetapi bekerjalah bersama saya’. Slogan dan semboyan yang ditiupkan sangat memainkan peranan yang penting.

Di dalam Al-Quran juga banyak slogan-slogan yang berbentuk amaran, ingatan dan nasihat kepada kita contohnya, ‘….janganlah bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita’. Jadi bagi saya MB yang baru dilantik telah memalukan dirinya sendiri. Kata-kata sering kali mampu mengambarkan peribadi walaupun kadang-kala tidak tepat apa yan digambarkan. Jadi hati-hati dalam setiap ucapan kita. Ia bukan sahaja dinilai pahala atau dosa tetapi dengannya juga orang bertindak dekat atau menjauhi kita.

Bagi MB Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, saya teringat akan peristiwa pembukaan Kota Konstentinopal. Mungkin belum masanya untuk Islam bertapak di sana. Jika dilihat di dalam hadis Rasulullah S.A.W bersabda bahawa kota tersebut dibuka oleh raja yang baik, tenteranya yang baik dan rakyat yang baik. Saya suka mengkiaskan keadaan yang berlaku di Perak sekarang seperti keadaan yang disabdakan Rasulullah. Datuk Seri Ir Nizar seorang yang berkepimpinan. Seorang pemerintah yang baik..jika dikiaskan melalui hadis ‘seorang raja yang baik’ tetapi mungkin tentera dan rakyatnya masih belum baik, jadi hanya sementera sahaja Islam berjaya bertapak di sana.

Apapun saya sangat bersetuju dengan pandangan Ust Hasrizal tentang keadaan di Perak. Perak adalah hak Islam jadi sebagai seoarang Muslim kita harus pertahankan hak kita. Nasihat saya kepada semua pejuang, jangan kita lemas apabila ombak menghampas kita di tepi pantai. teruskanlah perjuang kerana kemenngan itu sangat dekat. Itu janji Allah kepada kita...

Thursday, February 12, 2009

Biarlah Yang Berlalu Terus Berlalu...

Terlalu banyak yang ingin saya kongsikan bersama. Tetapi masa yang ada membataskan saya untuk meneruskan hajat tersebut. Rasulullah ada berpesan supaya menghargai masa lapang sebelum datangnya kesibukan. Hakikatnya kita selalu menagguh-nangguhkan kerja kita. Sehingga bila sampai satu ketika kita akan tertekan dengan kerja yang bertimbun-timbun yang terpaksa kita siapkan.

Pengurusan masa sangat penting. Jangan tangguhkan kerja kerana malam itu datang bertimpa-timpa. Maksudnya di sini, kegelapan malam akan datang pada kita sedikit demi sedikit. Semakin lama kegelapannya semakin pekat sehingga jika kita tidak dibantu oleh cahaya lampu kita tidak dapat melakukan sebarang kerja.

Begitulah juga dengan kerja yang kita lakukan dengan bertangguh-tangguh. Siapkan kerja secepat mungkin. Tetapi kerja yang kita lakukan itu seharusnya yang terbaik dan berkualiti kerana Rasulullah S.A.W bersabda “Sesungguhnya Allah menyukai seseorang itu, apabila dia melakukan sesuatu kerja dia lakukannya dengan bersungguh-sungguh”.

Lecturer saya selalu berpesan, supaya kami membuat assignment dengan bersungguh-sungguh dengan melekakkan target supaya assignment tersebut boleh dipublishkan sama ada di dalam jurnal, majalah atau boleh dijadikan kertas kerja untuk dibaca di conference-conference. Adalah rugi sama sekali jika kita tidak mengambil peluang menyiapkan assignment dengan hanya menulis dan bertujuan untuk mendapat markah tertinggi sedangkan assignment tersebut boleh dikongsi dengan masyarakat umum.

Selama tiga tahun berada di undergrad saya adapat merasakan bahawa masa saya banyak terbuang dengan menghasilkan assignment terbaik dengan bertujuan untuk mendapat markah tertinggi. Walaupun dalam masa yang sama saya dapat banyak maklumat dan ilmu tentang sesuatu perkara, tetapi malangnya ilmu tersebut tidak dapat saya kongsikan dengan masyarakat umum. Saya mampu berkongsi dengan pensyarah yang membaca assignment saya, ahli usrah dan rakan-rakan yang bernasib baik. Bagi saya ia adalah satu kerugian yang sangat besar dalam hidup saya.

Biarlah yang berlalu terus berlalu...saya tidak mahu lagi menjadi orang yang rugi seperti di masa lalu. Saya insan biasa. Banyak kelemahan...malah selalu juga lalai walaupun telah diperingatkan selalu. Akhirul kalam...buatlah yang terbaik. Jangan jadi macam saya.

Wednesday, January 14, 2009

Revolusi Dalam Perjuangan


Secara mudahnya, revolusi bermaksud suatu perkara yang berlaku dalam tempoh yang amat singkat. Antonim kepada perkataan revolusi ialah evolusi. Contoh revolusi yang pernah berlaku ialah Revolusi Perindustrian manakala perkataan evolusi pula, sering dikaitkan dengan Teori Evolusi yang diperkenalkan oleh Charles Darwin.

Revolusi juga boleh dikaitkan dengan reformasi. Menurut M.Hatta (2007) dalam artikelnya yang bertajuk ‘Sistem Ekonomi Neoliberalis Kapitalis dalam Perspektif Nilai-Nilai Etik Islam’. Secara ringkasnya reformasi ialah sesuatu kejadian yang berlaku di bahagian permukaan tetapi revolusi ialah sesuatu kejadian dasar.

Menurut M.Hatta lagi,
“Kalangan ‘reformis’ mengatakan, bahawa kehancuran yang terjadi hanyalah diakibatkan dari persoalan-persoalan manajemen dan sifatnya tekhnis saja. Oleh karena itu, solusi yang mereka tawarkan pun tidak lebih dari hal tersebut. Dengan kata lain, yang dilakukan adalah cukup dengan melakukan perbaikan saja, dengan cara “tambal sulam”. Membuat sistem yang ada dan telah diterapkan menjadi lebih humanis, tanpa harus merubah keseluruhan.

Adapun kalangan ‘revolusionis’ beranggapan, bahwa segala persoalan yang terjadi saat ini adalah diakibatkan oleh permasalahan yang sangat mendasar, yakni permasalahan sistem yang bobrok. Mereka yakin, bahwa ini semua terjadi akibat dari penerapan sistem yang nyata-nyata salah, …”

Suatu masa dahulu saya pernah bersetuju supaya di dalam perjuangan harus wujud perubahan-perubahan secara revolusi dengan alasan masa kita ada tidak panjang…usia kita pendek. Namun, kini saya mengakui kesilapan tersebut. Sesungguhnya revolusi yang ingin dilakukan dalam sesuatu perjuangan tidak mungkin dapat bertahan lama. Mungkin kita berjaya dengan teori revolusi perjuangan yang telah kita laksanakan. Tetapi malang sama sekali kerana ia mampu musnah dalam sekelip mata. Mungkin lebih parah daripada sebelumnya. Ibarat kata perpatah ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

Seharusnya dalam setiap perkara yang ingin kita laksanakan, harus ada matlamat jangka panjang, jangka pendek dan jangka sederhana. Matlamat jangka panjang seharusnya diutamakan berbanding matlamat jangka pendek. Namun malang sama sekali, manusia secara lumrahnya suka kepada perkara-perkara yang berbentuk segera. Contoh paling mudah..mee segera, ketupat segera dan skim cepat kaya…sehingga mampu memudaratkan kesihatan dan membuatkan kita menjadi papa. Lebih parah lagi, andainya perkataan segera tersebut turut melibatkan aqidah kita dan secara tidak langsung memberi peluang kepada wujudnya ajaran-ajaran sesat yang menjanjikan ganjaran berbentuk segera atau dengan cara yang lebih mudah. Contoh sembahyang cukup hanya dengan niat, jaminan syurga dengan hanya perlu membayar dengan wang ringgit dan pelbagai perkara lain lagi yang tidak masuk akal fikiran yang waras. Tetapi peliknya, manusia yang terlibat itu semuanya yang waras.

Sedar atau tidak sebenarnya bentuk segera tersebut telah mula menular dalam perjuangan kita. Perjuangan yang dahulunya lalui oleh generasi terdahulu dengan darah dan linang air mata. Jauh sekali untuk kita bandingkan perjuangan kita dengan mereka.

Kesimpulannya, hati-hati dengan perkara yang kita rancang… dengan perkara yang kita putuskan. Kita merancang, Allah juga merancang. Tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang.

Antara Hak Dan Tanggungjawab


Pilihan Raya Kampus (PRK) USM telah bermula. Saat ini bukan istilah ‘bahangnya mula terasa’ digunakan sebaliknya istilah ‘maraknya membakar’ lebih bertepatan dengan situasi yang dialami kini. Walaupun master student’s tidak dibolehkan menggundi, saya turun untuk merasai bahang marakkan api PRK pada kali ini. Maraknya mungkin sama dan mungkin juga tidak. Saya cuba membezakannya dengan sidang-sidang akademik yang telah lepas. Entahlah…saya tidak pasti.

Tetapi yang pasti mahasiswa semakin lama semakin hilang jiwa kepimpinannya. Ucapan-ucapan yang diberikan kebanyakannya tidak mampu menunjukkan kemampuan generasi intelektual ini menggantikan generasi pimpinan sekarang. Malang sama sekali. Majoriti calon mengetengahkan isu perpaduan dan APEX University.

Bagi saya isu perpaduan bukanlah isu yang baik untuk diketengahkan walaupun isu itu isu yang penting. USM isu perpaduan tidak langsung menjadi masalah di sini. Tetapi bangsa Melayu semakin ketinggalan bukan kerana perpaduan sebaliknya kerana sikap mereka. Jika bangsa Melayu dapat membuktikan kehebatan mereka dari semua sudut terutama keintelektualan dan kepimpinan, saya percaya bangsa Melayu akan lebih dihormati dan dipandang tinggi. Identiti bangsa Melayu semakin hilang buktinya mata pelajaran Sains dan Matematik diajar di dalam Bahasa Inggeris alasannya supaya generasi muda terutamanya bangsa Melayu lebih fasih berbahasa Inggeris. Aaah…sungguh ramai yang tidak menyedarinya.

Isu APEX University pula, isu yang langsung tidak patut disentuh oleh student undergrad kerana APEX University bukan untuk undergrad sebaliknya untuk postgrad. Mereka selaku student undergrad hanya boleh berbangga berada di USM selaku APEX University… hanya merasai tempias APEX. Proposal APEX University bukan ditulis untuk memajukan bidang penyelidikan dengan kajian-kajian yang dilakukan oleh student undergrad sebaliknya individu yang sangat banyak menyumbang kepada kejayaan USM menjadi peneraju APEX University ialah student postgrad dan para pensyarah.

Jangan salah sangka terhadap penyataan saya tadi. Saya menulis berdasarkan fakta. Tanpa student undergrad mustahil akan muncul student postgrad. Tanpa melalui zaman undergrad mustahil sama sekali student postgrad boleh berfikiran matang dan belajar dari kesilapan sewaktu postgrad dahulu. Saya tidak mahu anda menjadi seperti saya. Saya sering belajar dari kesilapan dan pengalaman saya. Tetapi saya mahu anda semua belajar menjadi lebih matang daripada sedikit pengalaman diri saya yang jahil ini.
Kepada student undergrad anda perlu lebih matang dalam setiap tindakan, pertuturan mahupun fikiran anda. Kerana dengan kematangan, fikiran anda, pertuturan anda, tingkah laku anda akan melahirkan perkara yang anda sendiri tidak menyangkakan ia daripada anda.

Akal fikiran manusia tidak akan boleh diukur berlandaskan sijil, postgrad, undergrad atau pangkat yang dia miliki. Tetapi kematangan dalam tindakan, pertuturan dan fikiran menentukan kematangan anda dalam menilai sesuatau perkara. Student postgrad juga tidak akan bermakna walaupun anda ada master atau PhD sekirannya anda tidak mampu berbakti untuk Islam yang sedang kita julang tinggi. Insya Allah.

Kembali kepada perbincangan kita sebentar tadi. Seharusnya isu yang disentuh ialah bagaimana student undergrad boleh turut memberi sumbangan besar dalam memajukan bidang pendidikan dan penyelidikan supaya tidak dipandang sebelah mata oleh pihak pentadbiran universiti. Ada apa pada kebanggaan jika kita bukan penyumbang perkara yang harus dibanggakan? Ayuh bangunlah...anda juga setaraf dengan student postgrad. Mampu memberi sumbangan yang hebat, bahkan lebih hebat daripada student postgrad jika anda mampu memikirkan perubahan-perubahan yang harus dilaksanakan.

Bagi saya isu yang utama ialah isu menggembalikan ke’gah’an mahasiswa. Bagaimana mahasiswa dapat memberi sumbangan dalam pentadbiran universiti dan dalam masa yang sama mencorak perubahan-perubahan masyarakat. Kita berada di universiti dengan duit subsidi yang diberi oleh kerajaan. Tetapi duit subsidi tersebut sebenarnya datang daripada masyarakat. Mereka membayar cukai-cukai tetapi sayang mahasiswa tidak dapat mengeluarkan masyarakat daripada belengu kesusahan… belengu kemiskinan … belengu penindasan.

Sebaliknya mahasisiwa kini, apabila tamat pengajian, mereka menjadi barah kepada masyarakat. Masyarakat atau kerajaan terpaksa menyediakan tempat untuk mereka bekerja. Sedangkan sepatutnya mahasiswa yang perlu menyediakan masyarakat peluang-peluang pekerjaan. Mahasiswa agen perubah. Mahasiswa nukleus masyarakat.

Tetapi title ‘maha’ yang berada di pangkal nama mereka, semakin hilang taringnya… semakin pudar atau mungkin telah pun hilang. Mahasiswa perlu kembalilah kepada masyarakat. Mereka akan tahu bahawa masyarakat amat perlukan mereka. Mahasiswa tidak harus memperjuangkan kebajikan mahasiswa sahaja kerana itu adalah tanggungjawab pihak pentadbiran universiti… itu hanyalah kerja sambilan anda selaku mahasiswa.
Satu ketika dahulu sewaktu undergrad, saya juga berkata kita seharusnya memperjuangkan hak mahasiswa … kebajikan mahasiswa. Tetapi kini saya tahu… saya salah. Pihak pentadbiran telah penuhi majoriti hak kita selaku mahasiswa…mungkin kita tidak menyedarinya, kurang maklumat atau emosi menggatasi kewarasan fikiran kita.

Dr Zakaria, pensyarah saya pernah mengatakan “Jangan terlalu meminta hak kita supaya dipenuhi, takut-takut, nanti kita lupa tanggungjawab yang harus kita laksanakan”. Antara hak dan tanggungjawab…tunaikanlah tanggungjawab anda dahulu. Barulah anda berhak untuk mengatakan soal hak anda yang telah diabaikan.
Saya menunggu kebangkitan anda selaku mahasiswa...seperti mana laungan 'student power' yang berjaya menggerunkan semua pihak sewaktu Rapat Umum Pilihan Raya Kampus Sidang Akademik 2008/2009.

Tahniah saya ucapkan. Tetapi ucapan tahniah ini tidak bermakna andai kita tidak mampu buktikan kemampuan kita. Jangan bimbang akan jumlah kita yang sedikit. Kerana Allah telah berfirman telah banyak golongan yang sedikit menggatasi golongan yang banyak. Takbir !!! Takbir !!! Takbir !!!

Thursday, January 8, 2009

"...Tiga Empat Kali Kemas Tempat Yang Sama"


“Cabaran sungguhlah…. lepas kahwin ni”

"Kak Nora dah keluarkan satu statement yang membuatkan saya takut nak kahwin". Komen saya ringkas.

“Betul…penat sangat lepas kahwin. Bab baju je…kutip baju kotor…lepas tu basuh..jemur. Kalau hujan kena berkejar angkat kain..lepas tu jemur balik.. penat. Lepas tu kena gosok baju pula... Sebab tulah nabi pesan, kalau boleh carikan isteri, seorang pembantu. Tapi kalau tak ada pembantu* setiap benda yang isteri pegang semuanya pahala.”

Saya menganggukkan kepala tanda setuju.


“Aiman macam mana?” Tanya saya ringkas tentang keadaan anaknya.


“Aiman batuk sikit sekarang. Tak berapa nak sihat. Sekarang ni dia mula nak berjalan. Habis semua barang yang dia dapat capai berterabur kat lantai. Tempat bedak… alat make up.. setiap kali Kak Nora kemas lepas tu mesti berterabur balik. Sehari tiga empat kali kemas tempat yang sama. Ustaz pula, selalu tak ada kat rumah. Dia sibuk sangat balik sekolah..hampir pukul 3.00 petang baru balik. Lepas tu, pukul tiga keluar balik. Nanti nak maghrib baru balik rumah. Lepas solat Isya’ keluar balik… tengah malam karang baru sampai rumah. Kak Nora mengadu kat ust … Kak Nora tak ada orang pun nak bersembang kat rumah. Nasib baiklah kita ni faham… tapi dalam faham-faham pun kadang-kadang berleter juga. Nanti kalau dah kawin ingat balik niat nak kahwin tu sebab apa… Syaitan ini jahat sungguh”


Saya hanya tersenyum mendengar kisah hidupnya. Kisah telatah dua individu yang begitu dekat dihatinya. Semoga dikurniakan keluarga yang sakinah…semoga rahmat Allah S.W.T mengiringi kalian sekeluarga.


“…..Nanti kalau dah kahwin ingat balik niat nak kahwin tu sebab apa… Syaitan ini jahat sungguh” Saya copy paste balik kata-kata Kak Nora tadi supaya menjadi peringatan untuk kita semua. Hakikatnya muslimin dan muslimat itu berbeza…walaupun mereka adalah manusia. Macam karya John Gray yang bertajuk “Men Are From Mars, Women Are From Venus”. Bacalah buku tersebut. Tidak rugi andai anda membacanya.


* Ada pembantu atau tidak… semua benda yang disentuh oleh seorang isteri akan dapat pahala. Cuma yang berbeza sikit atau banyak. Semuanya diukur atas kesabaran seorang isteri. Kak Nora tahu…Cuma bila bercakap dengan saya…dia tidak perlu jelaskan dengan panjang lebar. Begitu juga dengan saya. Sebenarnya saya tidak perlu menulis nota kaki ini. Tetapi individu yang membaca blog ini terdiri daripada pelbagai kategori pembaca. Jadi perlu untuk saya menulis nota kaki ini supaya tidak berlaku salah anggap terhadap perbualan saya dan Kak Nora tadi.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...