Sunday, December 21, 2008

Mentarbiyyah & Ditarbiyyah

Dari kiri Nur Aisyah Humaira Binti Zulhilmi, Mohd Iman Hakimi Bin Zulhilmi
dan Syed Amar Osman Bin Syed Hisyam

Mendidik seorang anak bukanlah bermula apabila dia mengenali huruf ABC, 123 atau ا ب ت tetapi ia bermula daripada dalam rahim si ibunya lagi. Saya masih ingat nasihat seorang guru yang mengajar mata pelajaran Insya’ (Karangan Bahasa Arab), Ust Faridzul Izzat sewaktu di tingkatan 4 Al-Farabi di Ma’ahad SAS “Tingkah laku antum semasa ini akan diwarisi oleh anak antum kelak. Jadi jaga baik-baik perbuatan antum, percakapan antum dan segala-galanya kerana ia mampu mempengaruhi zuriat antum nanti. Lebih kurang macam itulah nasihatnya kepada kami.

Saya juga masih ingat kata-kata Pengerusi Majlis Mesyuarat Jambori Nisa’ Pulau Pinang 2008 juga selaku timbalan pengarah jambori tersebut lebih kurang begini Walaupun hanya program jambori tetapi program yang dijalankan sebenarnya berjalan sebelum program. Seumpana untuk melahirkan zuriat yang baik bukan selepas lahirnya zuriat tersebut sebaliknya sebelum lahirnya zuriat. Program ini bukan sahaja untuk mendidik remaja tetapi sebaliknya mentarbiyyah ajk program itu sendiri.”

Bagi melahirkan generasi yang baik, ia bermula dari saat ini. Bermula daripada individu yang bertanggungjawab untuk mentarbiyyah individu lain menjadi individu yang baik. Mentarbiyyah dalam masa yang sama juga harus menyediakan diri untuk ditarbiyyah. Namun begitu, kebanyakan daripada kita terlalu ego untuk menerima terguran daripada individu yang dirasakan tidak layak menegur kita..mungkin kerana dia masih kecil, pakaiannya tidak sehebat kita, kedudukannya tidak standing kita dan banyak lagi alasan yang membuatkan kita merasa tidak layak untuk menerima tegurannya.

Ucapan maaf dan terima kasih juga susah untuk kita ungkapkan kepada golongan tersebut. Sama ada ungkapan maaf atau terima kasih daripada seorang ayah atau ibu kepada anaknya. Seorang yang kaya kepada yang miskin atau yang berpangkat kepada yang tidak berjawatan. Sikap sebegini akhirnya menimbulkan jurang yang besar antara ibu bapa dengan anaknya, golongan kaya dengan miskin, pemerintah dengan rakyatnya dan pelbagai golongan lain.

Kembali kepada tajuk perbincangan asal… Tarbiyyah yang terbaik adalah apabila seseorang itu turut menyediakan dirinya untuk ditarbiyyah walaupun pada ketika itu dia sedang mentarbiyyah individu lain. Saya lebih suka untuk mencari punca permasalahan yang timbul adalah disebabkan diri kita sebelum sama-sama membetulkan kesalahan individu lain. Bukan menyalahkan orang lain sekiranya kita dapati kesalahan memang bukan berpunca daripada kita…kerana harus kita ingat sahamnya (kesalahannya) kalau tidak banyak mungkin 0.01% juga berpunca daripada kita.

Saturday, December 20, 2008

Hati Yang Berbisik Membuatkan Akal Mula Terusik

Sepanjang hidup saya bergelar pelajar dan sehingga ke akhir hayat Insya Allah, saya mahu menjadi pelajar…telah banyak sesi motivasi, muhasabah dan program pemantapan diri telah saya lalui. Sehingga ke hari ini saya masih terus tertanya-tanya mengapa sesi motivasi, muhasabah dan pelbagai program yang saya ikuti tidak mampu membuatkan saya terus beristiqamah dalam melakukan perkara kebaikan. Mengapa tazkiyyah an-nafs (penyucian jiwa) yang diterapkan di dalam setiap program tersebut tidak berjaya menusuk hati dan fikiran saya?

Alhamdulillah…Allah tidak membenarkan saya terus tertanya-tanya. Termenung dan berfikir mencari jawapan keseorangan. Melalui sedikit bacaan, kuliah, usrah, dan juga perbualan secara tidak langsung Allah telah menemukan jawapan bagi persoalan tersebut.

Allah S.W.T bekalkan hati kepada manusia untuk menilai suatu perkara yang tidak boleh dijelaskan oleh akal fikiran. Hati adalah sangat penting untuk dijaga dan dipelihara. Hati merupakan tempat letaknya iman. Seseorang itu cepat tersentuh jika kita berjaya menyentuh hatinya.

Zaman dahulu sewaktu ibu bapa kita masih kecil, istilah pakar motivasi atau kaunselor adalah suatu istilah yang sangat asing bagi mereka. Tetapi tidak lagi pada zaman ini. Zaman tersebut telah berlalu kerana kita kini tidak lagi pandai menyentuh hati manusia di sekeliling kita. Perasaan sayang dan kasih bertukar menjadi benci dan dendam. Kita hidup dalam suasana saling dengki dan iri hati. Hidup dalam keadaan serba tidak kena.

Jadi tidak menjadi satu kehairanan kalau dahulu guru menjadi sanjungan. Ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk dididik oleh guru dengan ucapan “Cikgu didiklah anak saya ini. Buatlah apa yang cikgu rasa apa patut buat. Pukullah dia, cubitlah dia. Saya tak kesah. Asalkan anak saya pandai…mampu berdikari” Tetapi hari ini ucapan tersebut telah berubah kepada “You ajar anak I sampai pandai. Tapi ingat jangan sentuh dia…apa lagi you pukul dia. Kalau berlaku juga, see you at the court”

Malang sekali ibu bapa sekarang. Seharusnya anak-anak itu bukan sahaja dididik dengan akalnya tetapi yang paling penting adalah melentur hatinya supaya dengan hati yang berbisik akalnya mula terusik. Hati yang mula menyedari keperluannya untuk belajar dengan baik membuatkan seseorang anak itu mengetahui matlamat sebenar dia belajar. Bukan kepandaian menjadi keutamaan tetapi sumbangannya terhadap masyarakat di sekelilingnya yang harus diutamakan. Sudah tentu sumbangan itu lahir dari akal fikirannya dan tersentuh dik hati yang berbisik melihat kekacauan dunia di sekelilngnya.

Begitu juga dengan guru atau sesiapa sahaja yang menjadi pendidik baik motivator, lecturer, dai’e, ibu, ayah, kakak, abang, sahabat, pemimpin dan lain-lain karektor, bentuk pengajaran dari akal ke akal tidak boleh diguna pakai sama sekali. Hal ini kerana pembelajaran atau didikan dari akal ke akal membuatkan seseorang itu akan cepat memberontak atau paling tidak soalan yang diutarakan kepada kita bertujuan untuk menyakitkan hati kita. Jadi adalah tidak menjadi satu kehairanan kejadian yang banyak dipaparkan didada-dada akhbar menceritakan kederhakaan anak terhadap ibu bapa atau kebidapan pelajar terhadap gurunya.

Saya pinjam kata-kata daripada Ust Hasrizal Abdul Jalil “People don’t care how much you know until they know how much you care” ( Orang tidak peduli sebanyak mana kita tahu, sehinggalah mereka tahu sejauh mana kita peduli). Menunjukkan rasa peduli itulah bermula daripada hati kita. Tumpahkan dan tunjukkan rasa sayang…selebihnya Insya Allah, Dia akan aturkan untuk kita.

Hati dan akal harus dipelihara sebaik mungkin. Kedua-duanya secara tidak langsung telah saya kongsikan di dalam artikel-artikel yang telah lepas. Bacalah…tidak rugi andai kita rajin membaca.

"Kak Radieah, kenapa kumpulan kita tak dapat nombor satu...?"

Alhamdulillah…setelah merancang hampir berbulan-bulan Jambori Nisa’ Pulau Pinang telah berjaya diadakan. Banyak pengalaman yang kami timba, baik ahli jawatankuasa mahupun peserta. Antaranya, kami pelajari ilmu baru iaitu cara untuk menentukan masuknya waktu solat dengan melihat bayang-bayang matahari dan penentuan arah kiblat dengan melihat kulat yang tumbuh pada batang pokok. Subhanallah…Dia maha hebat…

Pengalaman solat dalam hutan

Banyak cerita dan pengalaman dikongsi bersama. Mereka mudah untuk dibentuk, mudah menerima pendapat dan banyak juga soalan diajukan kepada saya. Saya hanya berkongsi pengalaman cetik dan ilmu yang sedikit… moga-moga sedikit sebanyak dapat membantu mereka.

“Kak Radieah, kenapa kumpulan kami tak dapat nombor satu, tak jadi kumpulan terbaik?” Tanya seorang peserta kepada saya selaku fasilitator mereka.
“Kak Radieah bukan juri atau hakim dalam menentukan kumpulan yang terbaik. Kalau tak silap Kak Radieah, walaupun kumpulan awak pada keseluruhannya dapat menguasai banyak aktiviti berkumpulan tapi pemarkahan juga dinilai dari sudut individu. Pemarkahan individu dalam kumpulan lemah” jelas saya serba ringkas.
“Ooo..ye ke..” Nadanya agak kecewa. Saya hanya tersenyum melihatnya.

Kadang-kadang kita merasakan kita adalah individu yang terbaik tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Individu yang dipandang biasa, tiada keistimewaan rupanya lebih layak menerima award atau anugerah berbanding kita.

Umpama Uwais Al-Qarni, walaupun hidup pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, dia tidak pernah berkesempatan melihat Rasulullah S.A.W kerana menjaga ibunya yang sakit. Pernah satu waktu dia berkesempatan berjumpa Rasulullah S.A.W tetapi apabila sampai di rumah Rasulullah S.A.W, Saidatina Aisyah r.a mengkhabarkan bahawa baginda diwaktu itu berada di medan perang. Uwais menjadi serba salah sama ada untuk menanti kepulangan Rasulullah atau terus kembali ke negerinya memandangkan ibunya yang sakit dan sudah tentu tidak boleh ditinggalkan terlalu lama. Akhirnya Uwais mengambil keputusan untuk kembali ke kampung halamannya.

Apabila Rasulullah S.A.W kembali dari medan perang, Saidatina Aisyah r.a menyampaikan salam Uwais kepada Rasulullah S.A.W dan diceritakan keadaan Uwais kepada baginda. Rasulullah bersabda kepada Saidina Umar Al-Khattab dan Saidina Ali yang pada ketika itu ada bersama baginda, supaya apabila bertemu Uwais mintalah dia berdoakan sesuatu, kerana doanya tidak ditolak oleh Allah.

Kisah tersebut saya ceritakan berdasarkan cerita di dalam sebuah buku. Cerita selanjutnya anda boleh baca di dalam blog ini. http://ustaznaim.blogspot.com/search?q=Kisah+Uwais+Al-Qarni . Ada persamaan dan perbezaan sedikit dengan buku yang saya baca. Tetapi bukan itu yang saya mahu anda perhatikan. Perkara yang harus kita selidik dan renung bersama adalah pengajarannya.

Kita terlalu pandang apa yang orang pandang. Cukup susah untuk menjadi Uwais Al-Qarni. Tetapi berusahalah…berusaha menjadi makhluk sanjungan penduduk langit bukan penduduk Bumi...biarlah kita tidak dikenali di oleh penduduk Bumi tetapi dikenali oleh penduduk langit.

Biarlah orang membenci kita tetapi Allah menyayangi kita kerana sesungguhnya kasih sayang Allah itu membatasi kasih sayang seluruh makhluk ciptaanNya.

Tuesday, December 16, 2008

Kerana Hati...

Imam al-Ghazali ada menyatakan, “Carilah hatimu dalam tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kamu ketahui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kamu tidak ketemui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kamu tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kamu tidak mempunyai hati”

Para ulama telah membahaskan bahawa hati merupakan tempat letaknya iman. Menurut Imam al-Ghazali, hati yang dimaksudkan di sini bukanlah hati yang berbentuk fizikal tetapi hati yang berbentuk latifah rabbaniyyah…yang membawa maksud hati yang mengenal Tuhannya.

Hati tempat letaknya iman, anggota badan tempat letaknya Islam dan akal merupakan tempat letaknya ilmu. Setiap individu muslim seharusnya mampu menyeimbangi ketiga-tiga perkara tersebut (hati, anggota badan dan akal). Hal ini kerana, jika anggota badannya sahaja berfungsi, individu tersebut merupakan individu yang munafiq. Jika hatinya sahaja berfungsi, ertinya individu tersebut sesat atau pembohong dan sekiranya hanya akal sahaja ianya adalah sia-sia.

Nikmat Yang Jarang Disyukuri & Sering Dilupakan


Sudah hampir dua bulan blog ini saya tinggalkan tanpa di update dengan artikel-artikel yang baru. Jika dahulu alasan tiada wireless menjadi alasan utama tetapi sekarang alasan tersebut tidak boleh diguna pakai sama sekali memandangkan capaian wireless di kampus bertambah baik. Seluruh desasiswa telah memperolehi capaian tersebut.

Entahlah…saya cuba untuk mencari puncanya. Malas mungkin…Malas berfikir dan menulis idea-idea baru untuk dikongsi bersama. Idea maklumat atau perkongsian yang saya dengan sahabat, pensyarah, dan pelbagai individu lain sama ada melalui pembacaan, perbualan atau pengajian saya biarkan terbuku atau lebih parah berkubur dalam kotak fikiran saya…

Begitulah keadaan makhluk bergelar manusia. Pada dasarnya Allah S.W.T kurniakan kelebihan dan kekurangan bagi setiap manusia. Namun yang hanya kita lihat hanyalah kelemahan kita. Malah menjadi lebih malang apabila kekurangan atau kelemahan itu lebih kita besar-besarkan berbanding kelebihan yang merupakan satu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.

Nikmat yang jarang sekali kita syukuri, dan juga nikmat yang kita sia-siakannya.

Entahlah…kita selalu memberi alasan yang kita selalu lupa kerana kita diciptakan sebagai insan. Insan yang berasal daripada perkataan nasia yang bermaksud lupa…
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...