Wednesday, August 27, 2008

Perkara Yang Susah Adalah Masalah


Lamunan saya terhenti apabila bunyi handset menandakan ada SMS masuk. Kekunci handset saya tekan untuk membaca sms tersebut.

Di dalam hati terdapat kekusutan yang tidak bisa diurai kecuali dengan menghadap Allah.
Di dalam hati terdapat kesepian yang tidak bias dihilangkan kecuali dengan menyendiri dengan Allah.
Di dalam hati ada kesedihan yang tidak terhapus kecuali dengan kebahagiaan mengetahui Allah dan berinteraksi secara sungguh-sungguh denganNya.
Di dalam hati terdapat kegelisahan yang tidak bisa tenang kecuali berkumpul dan datang kepadaNya.
Di dalam hati juga terdapat keperluan yang tidak bisa dipenuhi kecuali dengan cintaNya.
Kembali kepadaNya…selalu mengingatiNya dan ikhlas keranaNya…”


Walaupun sms tadi tidak saya balas. Tidak bermakna saya tidak hargainya. Biarlah…saya pulangkan rasa kesyukuran saya….rasa terima kasih saya kepadaNya kerana mengurniakan sahabat yang cukup memahami kesulitan saya. Walaupun duduk berjauhan…. Semoga dia dirahmati Allah selalu.

Tidak dapat dinafikan. Sebagai seorang hamba yang kerdil lagi hina, kita rasa penat dengan masalah yang kita hadapi. Selalu kita menilai perkara yang susah itu adalah masalah bagi kita. Kita lupa perkara yang susah itu adalah datang daripadaNya dan hanya kepadaNya sahaja perkara yang sedemikian rupa dapat dikembalikan.

Undian Penentu Corak Pemerintahan


“Ala kak, kenapa seluruh Penang cuti ? Permatang Pauh dah lah..Saya ada kelas hari Selasa, nanti kena ganti lagi. Saya tak suka kelas ganti” keluh saya.
“Lebih baik cuti seluruh Penang sebab tak semua pengundi Permatang Pauh kerja kat Permatang Pauh. Kalau tak, susah mereka nak mengundi” Jawapan yang ringkas tetapi padat diberikan kepada saya.
“Ooo.. ye ke.. Tak terfikir pula saya”


Sistem demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia memberi peluang kepada rakyatnya memilih pemimpin yang dirasakan berkebolehan untuk memimpin mereka. Sebagai umat Islam seharusnya pemimpin yang dipilih adalah pemimpin yang mampu menjaga agama Islam. Pemimpin yang bukan sahaja mampu menjaga perkara dunia tetapi juga mampu menjaga akhirat rakyatnya.

“Ya Allah ya Tuhanku. Hambamu ini tidak lagi mampu menjaga agamaMu di bumi Kelantan ini. Kami ditekan di segenap penjuru. Ya Allah, Engkau peliharalah negeri ini seperti mana Engkau memelihara rumahMu daripada serangan tentera Abrahah” Pemimpin mana lagi yang mampu mengungkapkan doa sedemikian rupa…

Mengenal Diri

Allah menganugerahkan manusia ini pelbagai karenah. Manusia boleh dikategorikan kepada tiga sifat iaitu akal, perasaan dan fizikal. Seseorang mampu menguasai individu lain apabila dia mampu meletakkan individu tersebut dalam ketiga-tiga sifat tadi. Manusia yang seimbang adalah manusia yang yang mampu menguasai ketiga-tiga sifat tersebut. Ketiga-tiga sifat tersebut ada pada Rasulullah S.A.W. Manusia biasa sukar untuk memiliki ketiga-tiga sifat tersebut.

Manusia yang sifatnya pada akal bermaksud dia merupakan individu yang memerlukan hujah yang berfakta untuk setiap persoalan yang dikemukakan olehnya. Manusia yang sifatnya pada perasaan pula tidak memerlukan kepada hujah tetapi cukup hanya dengan menyentuh hatinya. Contohnya melalui pujukan, atau dengan bercerita mengenai kasih sayang ibu. Manakala manusia yang sifatnya pada fizikal merupakan individu yang mempertahankan hujahnya dengan perbuatan. Contohnya bergaduh dan pukul.

Begitu juga dalam memahami hati manusia. Hati adalah perasaan. Jadi utuk memahami segala persoalan yang bersangkutan dengannya tidak boleh sama sekali untuk kita mencari hujah yang berlandaskan akal fikiran dan kekuatan fizikal kecuali sekiranya ada dalil-dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Sebab itu dalam memahami kewujudan Allah S.W.T, firman Allah banyak menyuruh kita berfikir melihat ciptaannya (perasaan), mengkaji (akal) dan merjalan keseluruh pelusuk dunia (fizikal). Semuanya adalah kerana manusia tidak mampu mengenal Allah S.W.T hanya melalui akal, fizikal ataupun perasaan semata-mata.

Malang Sungguh Diri Kita

Kita kadang-kadang lupa yang bala ditimpakan kepada kita ada empat bentuk iaitu bala menghapuskan dosa, bala berbentuk pembalasan Allah, bala untuk meninggkatkan darjat dan bala yang terakhir ialah bala untuk uji sekuat mana iman kita kepadaNya.

Sering kali apabila datang bala, musibah, masalah, ujian, dugaan dan perkataan-perkataan lain yang seangkatan dengannya kita terlalu cepat bersedih hati, sehingga kita lupa akan hikmah disebalik ujian yang Allah timpakan kepada kita.

Susah sungguh untuk kita berbaik sangka dengan Allah S.W.T sehinggakan kita menyalahkanNya di atas segala perkara yang tertimpa ke atas kita. Kita tidak sedar yang bala itu dikurniakan ke atas kita untuk kebaikan kita.

Kita lupa yang kita banyak buat dosa kepadaNya. Lalu Allah turunkan bala untuk menghapuskan dosa yang ada pada kita.

Kita langgar perintah Allah. Walaupun Allah kata jangan, tapi yang itulah kita buat. Tetapi dengan kasih sayang Allah, Dia turunkan bala kepada kita sebagai balasan kita di atas perbuatan kita. Supaya Akhirat nanti kita tidak dibalas olehNya kerana di dunia kita telah mendapat balasan tersebut.

Kita salahkan Allah S.W.T yang menurunkan pelbagai bala bencana kepada kita. Malang sungguh diri kita. Kerana kita tidak mampu menilai bahawa bala, ujian dan dugaan yang Allah turunkan kepada kita untuk menaikkan darjat kita. Supaya kita hampir kepadaNya berbanding manusia lain di sekeliling kita.

Kita kata, kita telah beriman kepada Allah tetapi rupa-rupanya iman yang kita katakan tadi tidak sampai piawaian yang Allah tetapkan untuk kita. Kita lupa firman Allah “…adakah kamu katakan kamu telah beriman, sedangkan kamu masih belum diuji”

Malang sungguh diri kita…

* Pembahagian bala tersebut diceritakan oleh Ust Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz dalam siri kuliah Tauhidnya yang bertajuk Hukum Allah

Kejayaan Itu Pemberian Allah, Usaha Itu Milik Kita


“Manusia ni macam-macam kak. Saya sendiri pun tak sangka. Lepas pergi camping hari tu, baru saya tahu pentingnya saya ada kat situ” Luah hati seorang junior kepada saya.

“Kenapa cakap macam tu, Kak Radieah tak faham?” tanya saya inginkan penjelasan.

“Mula-mula berat sangat hati nak pi. Tapi sebab kena penuhi syarat paper jadi terpaksalah pi. Tapi bila saya pi, saya rasa bersyukur sangat. Pergaulan tak payah cakaplah memang dah bebas tapi sekurang-kurangnya bila ada kami benda tu terkawallah sikit”

“Betul tu Kak Radieah. Saya pun rasa macam tu. Manusia ni macam-macam. Ada yang solat, ada yang tak kesah. Ada yang saya jumpa seorang sahabat ni, cukup jaga solat dia. Solat awal waktu, kalau orang lain lambat solat dia akan tegur. Kalau nak tidur dia akan ambil wuduk. Saya pun malu dengan dia. Tapi masalahnya dia tak pakai tudung. Entahlah..bagi saya mungkin solat yang dia tunaikan tak mampu lagi mencegah dia daripada melakukan perkara mungkar. Solat dia tak masuk ke dalam hati dia. Em...” Cerita seorang junior lain yang turut pergi di akhiri dengan keluhan kecil dihujungnya.

“Sama lah juga macam Kak Radieah pun. Ada sorang junior ni, setiap hari solat dhuha. Kak Radieah pun tak solat macam dia. Tapi pakaian tak berapa nak kena. Entahlah..”

Kata orang banyak udang, banyak garam, banyak orang, banyak ragam. Apa pun kalau tak boleh nak buat semua jangan tinggal semua. Sebab Allah tak menilai kejayaan kita tetapi yang Allah nilai usaha kita. Kejayaan itu pemberian Allah, usaha itu milik kita.

Percaturan Hidup


Konsep Imam As-Syafie dalam menentukan hukum-hukum fiqh adalah berat sedikit berbanding dengan mazhab fiqh yang lain. Ia berlaku kerana sikap hati-hati dan menjauhkan sifat ragu-ragu dalam menjalani ibadah telah membuatkan hukuman sedemikian rupa dijatuhkan terhadap sesuatu perkara. Contoh yang paling mudah ialah hukum bersentuhan antara kulit lelaki dan permpuan yang anjabi sama ada secara sengaja ataupun sebaliknya dihukumkan membatalkan air sembahyang. Namun menurut mazhab lain ia tidak membatalkan air sembahyang kecuali timbulnya syahwat.

Imam As-Syafie mengakui perkara tersebut kerana adanya hadis yang sahih berkenaan hal tersebut. Tetapi persoalan yang ditimbulkan oleh Imam As-Syafie dalam menentukan bagaimana untuk mengetahui timbulnya syahwat kerana perkara tersebut subjektif, jadi untuk menjauhkan perasaan ragu-ragu Imam As-Syafie telah menjatuhkan hukum batalnya air sembahyang. Perasaan ragu-ragu adalah mainan syaitan dalam kehidupan harian manusia terutama sewaktu melakukan ibadah. Hukum yang telah ditentukan oleh Imam As-Syafie telah menjauhkan umat Islam daripada bisikan syaitan yang tidak pernah putus asa dalam menyesatkan kita.

Hidup ini adalah satu percaturan. Sering kali akan timbul perasaan ragu-ragu, curiga dan sebagainya dalam kehidupan kita. Oleh itu, berusahalah untuk menjauhkan diri kita dari perasaan ragu-ragu. Perasaan ragu-ragu dapat di atasi dengan memberatkan sedikit sesuatu perkara yang membuatkan kita ragu-ragu seperti mana yang dilakukan oleh Imam As-Syafie.
Perasaan ragu-ragu selain dari mengganggu kita sewaktu melakukan ibadah, ia juga sering mengganggu kita sewaktu dalam perhubungan antara muslimin dan muslimat. Sebab itu, untuk menghilangkan perasaan tersebut, beratkanlah hubungan tersebut. Maksud memberatkan hubungan di sini ialah tidak perlulah selalu berhubung sama ada sewaktu bergerak kerja, sewaktu proses pembelajaran ataupun dalam usia pertunangan. Berhubung hanya pada perkara yang perlu. Janganlah pula dipersoalkan perkara yang perlu itu, perkara yang semacam mana. Sebab kita sebenarnya akan merumitkan lagi keadaan seperti mana peristiwa Nabi Isa A.S dan Bani Israel sewaktu baginda memerintahkan menyembelih seekor lembu. Apabila mereka terlalu banyak mempersoalkan tentang lembu tersebut, mereka hampir tidak dapat menemui lembu yang dimaksudkan.

Saya hanya melemparkan cadangan. Bukan untuk ikutan kerana saya bukanlah arif dalam hal yang sedemikian rupa. Bagi saya konsep ikhtilat itu mudah, tetapi kita merumitkan keadaan. Percaturan hidup kita tidak sukar sekiranya kita mampu menghilangkan perasan ragu-ragu, ditambah dengan ilmu yang kita amal untuk menempuh hidup yang Allah S.W.T tentukan sebagai medan perjuangan. Akhirat nanti perjuangan kita Allah akan tentukan sama ada kita berjaya atapun kecundang.

Alahai...Pak Cik Polis

Bila duduk berkumpul sudah tentu banyak cerita yang keluar. Ada saja perancangan yang ingin dibuat memandangkan Pulau Pinang diistiharkan cuti sempena pilihan raya (PR).
“Jomlah kita pi Darul Salam. Kat situ banyak buku. Kalau nak pi, ana bawa satu motor enti bawa satu motor”
“Yelah tu. Banyak buku nak beli? Pitih nak korek mana?. Nak bawa motor, ana mana ada lesen. Dahlah polis banyak jaga waktu PR ni. Enti tak dengar cerita ke ana kena tahan dengan polis?”
“Haa, ye ke?”
“Yelah…ana pi dengan Jannah. Jannah bawa motor. Jannah ada lesen tapi ‘L’. Tak sangka pula kena tahan. Bila kena tahan dengan polis, polis tu suruh bawa keluar lesen. Kami dah pucat dah. Bawa keluar lesen pun perlahan je…”
“Abis tu polis buat ape?”
“Jannah cakap, tengah buat lesen tapi tak dapat lagi. Polis tu cakap ‘kena saman dah ni, kena saman dah’ banyak kali dia ulang perkataan tu. Lepas tu polis tu tanya kami ni student ke?
“Lepas tu dia cakap ‘ha, ni nak motor ni baca doa tak? Jannah cakap, dia baca ‘Cuba baca sikit nak dengar’ Jannah pun bacalah ‘Subhannallazi…..’ sampai habis..dalam hati ana kata ‘biar betul polis ni, betul-betul k,e main-main?’ Ana takut pun ada, nak gelak pun ada masa tu, ada ke patut tanya macam tu, yang Jannah pula dok layanlah polis tu. Lepas tu polis tu tanya lagi Ha, terjemah maksud ‘alhamdulillahi rabbil ‘alamin……(Surah Al-Fatihah, ayat 2) Lepas tu Jannah macam pening-pening sikit nak jawap. Yelah dahlah tengah ketaq, tanya pula benda macam tu. Lepas tu Jannah kata ‘Ha..ingat dah, ingat dah.. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam’ Polis tu cakap ‘Emm..segala puji bagi Allah’ dia tekan sungguh lah suara dia kat ‘segala puji bagi Allah’ tu. Lepas tu dia lepas kami. Tak kena saman…adoi..lawa betul”
Kami semua menahan ketawa kerana geli hati dengan kisah yang berlaku.
“Muka polis tu macam mana? Boleh dia tanya soalan macam tu?” tanya seorang sahabat.
“Muka dia serius. Tapi tulah..ana pun pelik..takut pun ada nak gelak pun ada bila dia tanya soalan macam tu. Tapi tahan jelah, takkan nak gelak kot”

Banyak perkara yang berlaku sebenarnya berlaku di luar jangkaan kita. Kita rasa sepatutnya perkara yang akan berlaku begitu dan begini tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Kita selalu meramal perkara yang akan berlaku di masa hadapan tetapi kadang kala ramalan kita betul, kadang-kadang sipi-sipi, kadang-kadang tidak tepat langsung. Hakikatnya kita merancang, Allah juga merancang. Tetapi perancangan Allah membatasi perancangan manusia….wallahu’alam.

Di Mana Letaknya Penilaian Kita Pada Setiap Perkara?

Sebelum tajuk di atas disentuh. Kita perlu memahami erti hidayah dan taufiq terlebih dahulu barulah kita mampu memahami persoalan atau penilaian yang selalu kita buat dalam kehidupan harian kita.

Selalu kita akan berdoa kepada Allah S.W.T supaya memperolehi taufiq dan hidayahNya. Tetapi tahukah kita apakah itu taufiq dan hidayah yang dimaksudkan sewaktu kita menadah tangan berdoa kepadaNya?

Hidayah ada lima bentuk iaitu hidayah tabii, hidayah pancaindera, hidayah akal, hidayah agama dan peringgat hidayah yang tertinggi dipanggil taufiq.

Kehendak tabii ataupun hidayah tabii ini semua manusia memperolehinya. Contohnya marah, lapar, cinta, dan lain-lain. Kalau lapar, manusia perlu kepada makanan supaya hilang laprnya. Kalau mengantuk manusia perlu kepada tidur supaya hilang rasa mengantuknya dan begitulah juga lain-lain perkara.

Hidayah yang kedua, hidayah pancaindera. Mata untuk melihat, tangan untuk menyentuh, lidah untuk merasa, akal untuk menilai.

Perkara yang dilalui oleh pancaindera akan ditafsirkan oleh akal. Akal dikatakan sebagai hidayah akal. Akal menilai perkara yang mata lihat. Akal juga turut menilai semua perkara yang dilalui oleh pancaindera lain. Kadang kala perkara yang dilalui oleh mata tidak dapat dibenarkan oleh akal. Contohnya mata melihat adanya air di padang pasir, tetapi akal kata ‘itu bukan air tetapi ia adalah fatamorgana’ Tafsiran akal bergantung kepada ilmu yang dimiliki oleh akal.

Namun tidak semua perkara boleh dibenarkan dengan akal kerana adanya hidayah agama yang berada di tingkat yang tertinggi berbanding hidayah akal. Akal kata ‘Tidak boleh terima hukuman potong tangan…. Ya Allah zalimnya..tak ada undang-undang lain dah ke? Tak boleh tukar ke dengan cara lain’ Tetapi disebabkan agama kata ‘Mencuri hukumnya potong tangan’ Maka wajib potong tangan walaupun akal tidak mampu menerimanya. Akal kata ‘Kita seharusnya lebih baik mencarikan pekerjaan untuk dia dan kita berikan pekerjaan itu kepadanya. Supaya dia tidak mencuri lagi’ Penilaian akal memang singkat. Masalah yang berlaku sekarang, orang yang mencuri bukan yang tidak ada pekerjaan, tidak ada gaji dan sebagainya.

Sebab itu akal duduknya di bawah penilaian agama… Jadi apabila agama kata ‘wajib buat’, maka ketaatan kepada agama harus kita patuhi. Kepatuhan kepada agama dipanggil hidayatuddin (hidayah agama). Namun hidayah agama sahaja tidak akan cukup sekiranya tidak sampai kepada peringkat hidayah yang paling tinggi yang dinamakan ‘taufiq’. Hanya dengan memperolehi taufiq, manusia akan bersetuju dengan hukum-hukum dan undang-undang Allah S.W.T.

Jadi nilailah setiap perkara dengan penilaian agama, bukan akal semata-mata. Sebab itu, jangan menilai hubungan cinta sebelum kahwin atau selepas kahwin dengan penilaian nafsu ataupun akal semata-mata. Mungkin pada akal kita berhubung sebelum kahwin itu perlu tetapi hati-hati. Kita kata ia perlu kerana di usia pertunangan ia adalah untuk saling mengenali. Tidak salah tapi dibimbangi perkara yang kita rasakan perlu rupa-rupanya dinilai melalui akal kita bukan di nilai melalui penilaian pada agama kita. Nau’zubilla himinzalik…


* Konsep hidayah tersebut diceritakan oleh Ust Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz dalam siri kuliah Tauhidnya yang bertajuk Hukum Allah

"Takkan kita nak jaga agamaNya, Allah tak beri kemudahan untuk kita?"

Telalu banyak email, buku-buku, ceramah dan sebagainya menceritakan tentang persoalan hati dan perasaan. Namun ia dirasakan masih tidak mempunyai jalan penyelesaian apabila terlalu banyak antara kita bertanya tentang ‘bercinta sebelum kahwin’.

Bagi saya, saya tidak bimbang dengan persoalan bercinta sebelum kahwin. Perkara yang saya bimbang bercinta selepas kahwin. Sebelum kahwin usianya sangat singkat. Mungkin dua bulan, lima bulan, satu tahun dan yang paling lama saya pernah dengan usia pertunangan pensyarah saya, lima tahun. Tetapi Alhamdulillah, dia mampu menjaga keluarganya dengan begitu baik walaupun sibuk.

Bagaimana pula dengan kita? Andai kata kita tidak mampu menjaga hubungan kita sebelum kahwin, yang usianya tidaklah terlalu lama, bagaimana kita ingin lalui usia perkahwinan kita, mempertahankan masjid yang kita bina?. Kita mengharapkan redha Allah tetapi sayang.. kita tidak mampu menilai hubungan kita dengan agama…dengan pandangan Allah. Tetapi kita nilai dengan pandangan manusia. Kita diuji kerana Allah ingin tahu tahap keimanan kita sedalam mana kepadaNya.

Tanggungjawab selepas kahwin itu lebih besar berbanding sebelum kahwin. Bagi saya janganlah terlalu memikirkan hubungan sebelum berkhwin. Sibukkan diri dengan program-program yang berfaedah, bergaul dengan individu yang mampu memberi manfaat di dunia dan akhirat. Supaya kita tidak terlalu memikirkannya.

Jagalah hubungan dengan Allah…Insya Allah, Dia akan menjaga hubungan kita sesama manusia. Kalaupun manusia tidak dapat memahaminya…berdoalah supaya Allah memberi kefahaman kepadanya. “Takkan kita nak jaga agamaNya, Allah tak beri kemudahan untuk kita?” Persoalan ini Prof Syukri selalu lemparkan kepada kami, student master of Islamic Development Management. Sabarlah… “Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar” Takkan kita tak mahu Allah bersama dengan kita?

Wednesday, August 6, 2008

Kalaulah...

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud "Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap orang mempunyai kebaikannya (imannya) Oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas dan; sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata ''Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini'', tetapi katalah "Allah telah takdirkan" kerana perkataan 'kalau' itu membuka jalan kepada hasutan syaitan" (Hadis Riwayat Muslim. No.hadith : 4816)

Kalaulah aku kaya...

Alhamdulillah, akhirnya Allah izinkan juga saya bertemu dengan hadis yang telah lama saya cara. Semoga perkongsian saya pada kali ini memberi manfaat kepada semua. Saya akan menjelaskan maksud hadis yang tidak jelas. Bagi maksud hadis yang jelas nilailah dengan kebijaksanaan masing-masing.

Pada awal hadis Rasulullah S.A.W ada menggunakan perkataan yang bermaksud 'kuat', dalam hadis lain yang bermaksud "Tidak dikatakan seseorang itu kuat pada tubuh badan tetapi yang dikatakan kuat apabila dia mampu menahan marah" hal ini bermakna perkataan 'kuat' yang dimaksudkan dalam hadis bukan bermakna kekuatan tubuh badan dan menurut hadis ini juga setiap manusia mempunyai kekuatannya yang tersendiri, mungkin dalam satu aspek dia lemah tetapi dalam aspek yang lain dia mempunyai kelebihan.

Seperti mana dalam hadis ada menyatakan bahawa kita tidak boleh menggunakan perkataan 'kalau' kerana ia membawa kepada terbukanya jalan hasutan syaitan. Namun begitu adakah perkataan 'kalau' turut digunakan di dalam firman Allah, Surah Al-Anbiya, ayat 22 yang bermaksud "Kalaulah ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, nescaya kedua-duanya akan rosak binasa....." dan di dalam hadis juga ada menggunakan perkataan ini, seperti mana hadis yang bermaksud "Kalaulah tidak menjadi keberatan bagi umatku, nescaya akan aku wajibkan mereka bersugi sebelum sembahyang"

Persoalan yang timbul, adakah sabda Rasulullah tadi bercanggahan dengan firman Allah S.W.T dan sabda Rasulullah yang lain..Sebenarnya ini mustahil sama sekali. Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 156 menjelaskan penggunaan perkataan 'kalau' yang sebetulnya "Hai orang-orang beiman, janganlah kamu seperti orang-orang kafir (orang-orang munafik) itu, yang mengatakan kepada saudara-saudara mereka apabila mereka mengadakan perjalanan di muka bumi atau mereka berperang, "Kalaulah mereka tetap bersama-sama kita tentulah meraka tidak mati dan tidak dibunuh" Akibat (dari perkataan dan keyakinan mereka) yang demikian itu, Allah menimbulkan rasa penyesalan yang sangat di dalam hati mereka. Allah menghidupkan dan mematikan. Dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan"

Berpandukan firman Allah dalam Surah Ali Imran ini, Allah menerangkan kepada kita penggunaan perkataan 'kalau' sering digunakan oleh orang kafir atau munafik. Perkataan ini tidak boleh digunakan bila mana wujudnya unsur-unsur penyesalan, kesedihan, kekecewaan dan perkara-perkara yang lain seangkatan dengannya. Contoh perkataan yang sering kita ucapkan "Kalaulah saya berusaha bersungguh-sungguh sudah tentu saya akan berjaya" Pada ayat tersebut ada unsur penyesalan dan dengan menggunakan perkataan tersebut Allah menimbulkan penyesalan yang teramat sangat dalam diri individu yang mengucapkannya.

Pintu-pintu kepada hasutan syaitan ini banyak antaranya apabila seseorang itu terlalu sedih, terlalu stress dan terlalu gembira. Tidak hairanlah berlakunya histeria kerana kita telah membuka jalan kepada hasutan syaitan. Jadi berusahalah untuk menutup pintu-pintu syaitan tadi. Semoga dengan usaha itu, dengan izinNya kita terhindar daripada hasutan syaitan yang tidak pernah berputus asa menghasut kita.

Titik Perubahan

"Cuba tengok gambar Ina ni. Kening dia dah lebat dah. Hari tu waktu putus dengan Mawi, dia cukur kening. Lepas kahwin dengan Suhaimi dah berubah dah dia. Kening dah tak cukur, pakai stokin lengan" Kawan saya cuba menerangan perubahan Ina yang satu ketika dahulu pernah dilanda kontroversi selepas ikatan pertunangannya dengan Mawi terputus.

"Ye ke? Em… Berubah kerana lelaki" Lancang mulut saya melemparkan tuduhan.

"Ya, memang dia berubah kerana lelaki. Tapi sekurang-kurangnya dia mampu untuk berubah. Tak boleh kita lemparkan tuduhan macam tu. Yelah…sikap dan hati manusia siapa tahu" Penjelasan yang ringkat tetapi padat membuatkan saya terdiam mendengarnya.

Memang salah saya. Sungguh tidak patut untuk melemparkan kata-kata yang sedemikian rupa kepada individu yang mahu berubah. Kita hanyalah hambaNya. Diuji untuk Allah menilai kekuatan iman kita. Dugaan yang dilalui oleh Ina telah berjaya diharunginya tetapi siapa tahu dugaan yang sama suatu hari nanti bakal menimpa kita.

Kepada kaum Adam, nasihat saya bimbinglah kaum Hawa yang berada di bawah tanggungjawab anda. Sama ada tanggungjawab anda sebagai seorang suami, ayah, anak, adik, abang, bapa saudara dan lain-lain ikatan. Sekuat mana pun mereka, mereka perlukan anda untuk membimbing mereka menuju keredhaanNya. Seperti mana hadis daripada Rasulullah S.A.W yang bermaksud "Hawa dijadikan dari rusuk kiri Adam bukan dari kepala untuk dijunjungi, bukan dari kakinya untuk dijadikan pengalas, melainkan dari sisinya untuk dijadikan teman hidup, dekat pada lengannya untuk dilindungi dan dekat dihatinya untuk dicintai"*

* Hadis tersebut adalah marjuh kerana mengandungi unsur-unsur Israiliyyat dan tidak pula disokong dari Al-quran. Oleh itu, hadis ini tidak boleh dijadikan hujah atau mengambilnya sebagai sumber hukum tetapi untuk pengiktibaran ia dibolehkan.

Monday, August 4, 2008

Warkah Seorang Teman

Assalamu'alikum.w.b.t...
Salam rindu ana ucapkan kepada semua sahabat seperjuangan. Moga-moga rahmat Allah selalu memayungi kita semua. Doa ana semoga kesihatan tubuh badan turut diberikan oleh Allah S.W.T supaya setiap langkah kalian dalam medan perjuangan tiada cacat celanya dek masalah kesihatan yang juga mehnah dalam perjuangan hidup kita semua.

Perjuangan memang memenatkan tetapi dalam kepenatan Allah telah menjanjikan kemanisan. Jadi janganlah putus asa walaupun penat kerana ada bayaran yang Allah akan bayar atas setiap kepenantan. Rindu ana membuatkan ana terpanggil untuk menulis warkah ini untuk antum semua. Moga-moga dengan adanya warkah ini ia mampu mengubat rindu ana dan antum semua pada kenangan-kenangan yang telah kita cipta bersama.

Kita mula melangkah ke medan perjuangan yang lebih luas. Mehnah dan tribulasinya juga berbeza. Kalau dulu kita mampu menangis dan bersama-sama tetapi tidak lagi kini. Namun jangan dibuang kenangan itu kerana ia pengubat rindu, jangan dicampak memori itu kerana ia pemaut kasih, kerana di antara kita yang terpisah ikatannya hanyalah kenangan.

Realiti dalam perjuangan akan timbul pelbagai percanggahan. Cara kita berbeza, penerimaan kita berbeza tetapi janganlah cari yang berbeza sebab dalam perbezaan sebenarnya ada persamaan. Memang selalu berlaku dalam ikatan ukhuwwah yang tersimpul wujud ketidak serasian pendapat, "cara ana berbeza, cara enti berbeza" tapi janganlah sedih dengan perbezaan… carilah titik persamaan dalam perbezaan. Indahnya ikatan yang terbina antara kita kerana wujudnya perbezaan yang cuba kita ukir supaya ia menjadi satu persetujuan.

Cukuplah sampai di sini dahlulu nukilan ana untuk kali ini. Maafkan ana andai kata di sepanjang usia perkenalan kita, wujud perkara yang menguriskan hati antum. Terima kasih kerana sudi membawa warkah ini. Jika diizinkan Allah, Insya Allah kita bersua lagi…kalau tidak di sini di syurga nanti.

Sekian, terima kasih. Wassalam

Saya Bukan Rasulullah...

"Dahlah Kak Laa, jangan buat macam tu. Saya bukan Rasulullah, tak ada musuh pun yang akan membunuh saya. Tak ada manfaat pun musuh nak bunuh saya". Begitulah lebih kurang dialog saya dengan sahabat saya, Ajlaa atau panggilan mesranya Kak Laa, salah seorang sahabat seperjuangan di SMKA TAHAP dulu, sama-sama menuntut ilmu.

Sahabat saya yang asyik mengelilinggi saya sebentar tadi tidak lagi mengelilingi saya sepertimana tadi. Bukan saya tidak senang dengan gurauannya cuma takut terjatuh daripada tangga yang sedang kami turuni.


Sewaktu sahabat saya mengelilingi saya sewaktu sedang menuruni tangga, sebenarnya saya teringat kepada peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W. Kebimbangan Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah membuatkan beliau mengelilingi baginda sewaktu berjalan di tengah padang pasir.

Ada kalanya Saidina Abu Bakar berada di hadapan Rasulullah, ada kalanya beliau berada di belakang dan ada kalanya berada di kanan ataupun kiri Rasulullah. Keadaan yang berterusan ini membuatkan Rasulullah bertanya kepada Saidina Abu Bakar akan hal tersebut. Jawab Saidina Abu Bakar "Saya berbuat demikian kerana saya bimbang akan kedatangan musuh yang akan membuatkan tuan cedera ataupun terbunuh. Saya berada di hadapan kerana saya merasakan musuh sedang mara dari hadapan tuan, saya berada di belakang tuan kerana saya merasakan musuh sedang mara di belakang tuan. Begitu jugalah halnya di kiri dan kanan tuan, saya akan berada sama ada di kiri ataupun kanan tuan andai kata saya merasakan musuh sedang mara daripada arah tersebut. Sekiranya musuh ingin membunuh atau mencederakan tuan, yang akan tercedera atau terbunuh bukan tuan tetapi saya"

Hari ini kita melihat pelbagai propa ganda daripada pihak musuh. Melukis gambar Rasulullah dengan sehina-hina lukisan, memfilemkan kisah yang seolah-oleh hinanya Islam yang Rasulullah bawa, pertikaian yang berlaku di mahkamah-mahkamah atas alasan bahawa berlaku ketidakadilan dalam syariat yang Rasulullah bawa, nama Allah dan Rasulullah menjadi hiasan di kasut-kasut, bangunan yang sengaja didirikan menyerupai Kabah tetapi di dalamnya dipenuhi arak-arak yang pelbagai jenama dan kualiti serta banyak lagi kehinaan-kehinaan kepada Islam yang akhirnya kita tidak lagi mengendahkannya.

Harga diri kita semakin rendah. Semakin tiada. Bahkan tidak salah kalau saya katakan maruah diri kita sebagi orang Islam telah tergadai akibat sikap kita. Kalau Saidina Abu Bakar dan para sahabat yang lain mampu melindungi Rasulullah kerana kecintaan mereka kepada baginda, bagaimana pula dengan kita? Bagaimana kita melindungi baginda bagi membukitkan kecintaan kita kepada baginda kerana cinta kepada Rasulullah bererti cinta kepada Allah. Semoga persoalan saya tadi kepada kita semua tidak berakhir dengan perkataan ''entahlah…''

Kerana Dia Manusia Biasa

Lama sudah saya simpan e-mail bertajuk 'Kerana Dia Manusia Biasa' yang di forward kepada saya oleh seorang sahabat yang kini telah pun bekerja di ibu kota. Semoga Allah merahmatinya selalu. Akhirnya saya putuskan untuk kisah ini dipublishkan di dalam blog ini.

Bagi saya e-mail ini mempunyai maknanya yang tersendiri. Saya pulangkan kepada anda semua selaku pembaca untuk menilainya. Moga-moga ia memberi manfaat kepada kita semua.


* * * * * * * * * * * *


Ass Wr Wb, Semoga bermanfaat.. .... baik utk yang melamar atau pun yg dilamar, ataupun bagi yang sudah berumah tangga......Renungan buat yang sedang mencari pasangan hidup ataupun yang sedang mengemudibahtera rumah tangga..Mengapa? Kerana Dia Manusia Biasa ......


Kerana Dia Manusia Biasa ..


Setiap kali ada sahabat yang ingin menikah, saya selalu mengajukan pertanyaanyang sama. Kenapa kamu memilih dia sebagai suami/isterimu? Jawabannya ada bermacam- macam. Bermula dengan jawapan kerana Allah hinggalah jawapan duniawi.


Tapi ada satu jawaban yang sangat menyentuh di hati saya. Hingga saat ini saya masih ingat setiap detail percakapannya. Jawapan dari salah seorang teman yang baru saja menikah. Proses menuju pernikahannya sungguh ajaib.Mereka hanya berkenalan 2 bulan. Kemudian membuat keputusan menikah. Persiapan pernikahan mereka hanya dilakukan dalam waktu sebulan saja. Kalau dia seorang akhwat (saudara perempuan), saya tidak hairan. Proses pernikahan seperti ini selalu dilakukan. Dia bukanlah akhwat, sebagaimana saya. Satu hal yang pasti, dia jenis wanita yang sangat berhati-hati dalam memilih suami.


Trauma dikhianati lelaki membuat dirinya sukar untuk membuka hati. Ketika dia memberitahu akan menikah, saya tidak menganggapnya serius. Mereka berdua baru kenal sebulan. Tapi saya berdoa, semoga ucapannya menjadi kenyataan. Saya tidak ingin melihatnya menangis lagi.


Sebulan kemudian dia menemui saya. Dia menyebutkan tarikh pernikahannya. Serta meminta saya untuk memohon cuti, agar dapat menemaninya semasa majlis pernikahan. Begitu banyak pertanyaan dikepala saya. Sebenarnya.. ..!!!Saya ingin tau, kenapa dia begitu mudah menerima lelaki itu. Ada apakah gerangan? Tentu suatu hal yang istimewa. Hingga dia boleh memutuskan untuk bernikah secepat ini.


Tapi sayang, saya sedang sibuk ketika itu (benar-benar sibuk) . Saya tidak dapat membantunya mempersiapkan keperluan pernikahan. Beberapa kali dia menelefon saya untuk meminta pendapat tentang beberapa perkara. Beberapa kali saya telefon dia untuk menanyakan perkembangan persiapan pernikahannya. That's all......Kami tenggelam dalam kesibukan masing-masing.


Saya menggambil cuti 2 hari sebelum pernikahannya. Selama cuti itu saya memutuskan untuk menginap dirumahnya.Pukul 11 malam sehari sebelum pernikahannya, baru kami dapat berbual -hanya-berdua. Hiruk pikuk persiapan akad nikah besok pagi, sungguh membelenggu kami.


Pada awalnya kami ingin berbual tentang banyak hal. Akhirnya, dapat juga kami berbual berdua. Ada banyak hal yang ingin saya tanyakan. Dia juga ingin bercerita banyak perkara kepada saya.


Beberapa kali Mamanya mengetok pintu, meminta kami tidur."Aku tak boleh tidur." Dia memandang saya dengan wajah bersahaja. Saya faham keadaanya ketika ini. "Matikan saja lampunya, biar disangka kita dah tidur.""Ya.. ya." Dia mematikan lampu neon bilik dan menggantinya dengan lampu yang samar.


Kami meneruskan perbualan secara berbisik-bisik. Suatu hal yang sudah lama sekali tidak kami lakukan. Kami berbual banyak perkara, tentang masa lalu dan impian-impian kami. Wajah keriangannya Nampak jelas dalam kesamaran. Memunculkan aura cinta yang menerangi bilik ketika itu.


Hingga akhirnya terlontar juga sebuah pertanyaan yang selama ini saya pendamkan. "Kenapa kamu memilih dia?" Dia tersenyum simpul lalu bangkit dari baringnya sambil meraih HP dibawah bantalku. Perlahan dia membuka laci meja hiasnya. Dengan bantuan lampu LCD HP dia mengais lembaran kertas di dalamnya.


Perlahan dia menutup laci kembali lalu menyerahkan sekeping envelop kepadasaya. Saya menerima HP dari tangannya. Envelop putih panjang dengan cop surat syarikat tempat calon suaminya bekerja. Apa ni. Saya melihatnya tanpa mengerti. Eeh..., dia malah ketawa geli hati.


"Buka aja" Sebuah kertas saya tarik keluar. Kertas putih bersaiz A4, saya melihat warnanya putih. Hehehehehehe. .......


"Teruknya dia ni." Saya menggeleng-gelengkan kepala sambil menahan senyum. Sementara dia cuma ketawa melihat ekspresi saya. Saya mula membacanya. Saya membaca satu kalimat di atas, di barisan paling atas. Dan sampai saat ini pun saya masih hafal dengan kata-katanya. Begini isi surat itu…......


************ ********* ********* *********


Kepada Yth ......... Calon isteri saya, calon ibu anak-anak saya, calon menantu Ibu saya dan calon kakak buat adik-adik saya


Assalamu'alaikum Wr Wb


Mohon maaf kalau anda tidak berkenan. Tapi saya mohon bacalah surat ini hingga akhir. Baru kemudian silakan dibuang atau dibakar, tapi saya mohon, bacalah dulu sampai selesai.


Saya, yang bernama ............ ... menginginkan anda ............ ... untuk menjadi isteri saya. Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya manusia biasa.Buat masa ini saya mempunyai pekerjaan. Tetapi saya tidak tahu apakah kemudiannya saya akan tetap bekerja. Tapi yang pasti saya akan berusaha mendapatkan rezeki untuk mencukup ikeperluan isteri dan anak-anakku kelak.


Saya memang masih menyewa rumah. Dan saya tidak tahu apakah kemudiannya akan terus menyewa selamannya. Yang pasti, saya akan tetap berusaha agar isteri dan anak-anak saya tidak kepanasan dan tidak kehujanan.


Saya hanyalah manusia biasa, yang punya banyak kelemahan dan beberapa kelebihan.Saya menginginkan anda untuk mendampingi saya. Untuk menutupi kelemahan saya dan mengendalikan kelebihan saya.


Saya hanya manusia biasa. Cinta saya juga biasa saja. Oleh kerana itu. Saya menginginkan anda supaya membantu saya memupuk dan merawat cinta ini, agar menjadi luar biasa.


Saya tidak tahu apakah kita nanti dapat bersama-sama sampai mati. Kerana saya tidak tahu suratan jodoh saya. Yang pasti saya akan berusaha sekuat tenaga menjadi suami dan ayah yang baik.


Kenapa saya memilih anda? Sampai saat ini saya tidak tahu kenapa saya memilih anda. Saya sudah solat istiqarah berkali-kali, dan saya semakin mantap memilih anda. Yang saya tahu, Saya memilih anda kerana Allah. Dan yang pasti, saya menikah untuk menyempurnakan agama saya, juga sunnah Rasulullah.


Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, saya hanya berusaha sekuat mungkin menjadi lebih baik dari sekarang ini. Saya memohon anda sholat istiqarah dulu sebelum memberi jawaban pada saya. Saya beri masa minima 1 minggu, maksima 1 bulan. Semoga Allah redha denganjalan yang kita tempuh ini. Amin


Wassalamu'alaikum Wr Wb


************ ********* *********


Saya memandang surat itu lama. Berkali-kali saya membacanya. Baru kali ini saya membaca surat 'lamaran' yang begitu indah.Sederhana, jujur dan realistik. Tanpa janji-janji yang melambung dan kata yang berbunga-bunga. Surat cinta biasa.


Saya menatap sahabat disamping saya. Dia menatap saya dengan senyum tertahan.


"Kenapa kamu memilih dia......?"


"Kerana dia manusia biasa....... " Dia menjawab mantap. Dia sedar bahawa dia manusia biasa. Dia masih punya Allah yang mengatur hidupnya.


"Yang aku tahu dia akan selalu berusaha tapi dia tidak menjanjikan apa-apa. Soalnya dia tidak tahu, apa yang akan terjadi pada kami kemudian hari. Entah kenapa, justeru itu memberikan kesenangan tersendiri buat aku."


"Maksudnya?"


"Dunia ini fana. Apa yang kita punya hari ini belum tentu besok masih ada. betuI tak? Paling tidak.... Aku tau bahawa dia tidak akan frust kalau suatu masa nanti kami jadi miskin."


"Ssttt...... ." Saya menutup mulutnya. Khuatir kalau ada yang tahu kami belum tidur. Terdiam kami memasang telinga.


Sunyi. Suara jengkering terdengar nyaring diluar tembok. Kami saling berpandangan lalu gelak sambil menutup mulut masing-masing.


"Udah tidur. Besok kamu mengantuk, aku pula yang dimarahi Mama" Kami kembali berbaring. Tapi mata ini tidak boleh pejam. Percakapan kami tadi masih terngiang terus ditelinga saya.


"Gik.....?"


"Tidur...... Dah malam." Saya menjawab tanpa menoleh padanya. Saya ingin dia tidur, agar dia kelihatan cantik besok pagi.


Rasa mengantuk saya telah hilang, rasanya tidak akan tidur semalaman ini.Satu lagi pelajaran dari pernikahan saya peroleh hari itu. Ketika manusia sedar dengan kemanusiannya. Sedar bahawa ada hal lain yang mengatur segala kehidupannya.


Begitu juga dengan sebuah pernikahan. Suratan jodoh sudah terpahat sejak ruh ditiupkan dalam rahim. Tidak ada seorang pun yang tahu bagaimana dan berapa lama pernikahannya kelak. Lalu menjadikan proses menuju pernikahan bukanlah sebagai beban tetapi sebuah 'proses usaha'.


Betapa indah bila proses menuju pernikahan mengabaikan harta, tahta dan 'nama'.


Status diri yang selama ini melekat dan dibanggakan (aku anak orang ini/itu),ditanggalkan.


Ketika segala yang 'melekat' pada diri bukanlah dijadikan pertimbangan yang utama. Pernikahan hanya dilandasi kerana Allah semata. Diniatkan untuk ibadah. Menyerahkan segalanya pada Allah yang membuat senarionya. Maka semua menjadi indah.


Hanya Allah yang mampu menggerakkan hati setiap hambaNYA. Hanya Allah yang mampu memudahkan segala urusan. Hanya Allah yang mampu menyegerakan sebuah pernikahan.


Kita hanya boleh memohon keridhaan Allah. MemintaNYA mengurniakan barakah dalam sebuah pernikahan. Hanya Allah jua yang akan menjaga ketenangan dankemantapan untuk menikah.


Jadi, bagaimana dengan cinta? Ibu saya pernah berkata, Cinta itu proses. Proses dari ada, menjadi hadir,lalu tumbuh, kemudian merawatnya.Agar cinta itu dapat bersemi dengan indah menaungi dua insan dalam pernikahanyang suci. Cinta tumbuh kerana suami/isteri (belahan jiwa).


Cinta paling halal dan suci. Cinta dua manusia biasa, yang berusaha menggabungkannyaaga r menjadi cinta yang luar biasa.


Amin.


Wallahu 'alam

* * * * * * * * * *


Bagaimana pandangan anda dengan kisah tadi? Bagi saya, kita selalu mencari yang luar biasa, sehingga kita lupa, kita sebenarnya manusia biasa. Kita selalu mengharapkan kesempurnaan, sehingga kita lupa bahawa yang sempurna hanyalah milikNya. Jangan cari kesempurnaan tetapi carilah kerehdaan kerana dalam keredhaan Allah akan kurniakan kesempurnaan.

Friday, August 1, 2008

Hanya Kerana Cinta

Manusia dilahirkan secara fitrah mempunyai rasa ingin dicintai dan mencintai. Tetapi adalah sukar untuk kita meletakkan cinta kita kepada seseorang hanya semata-mata kerana Allah, sepertimana kata-kata Imam Nawawi "Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu." Kerana kasih sayang Allah itu membatasi kasih sayang seluruh makhlukNya.

Bila seorang sahabat mengadu kepada saya bagaimana dia ingin menasihati roommatenya yang semakin lama semakin jauh dengan Allah S.W.T. Sembahyang tidak lagi menjadi rutin kehidupannya. Bahkan rutin tersebut diganti dengan keluar bersama teman lelakinya sehingga balik ke bilik di waktu orang muslim bangun beribadah di malam harinya.


Terdiam saya buat seketika. Saya bukanlah seorang yang pandai memberikan nasihat apatah lagi memberi tunjuk ajar dalam masalah yang sedemikian rupa. Diam-diam dalam hati saya mengatakan "Mulia sungguh hatinya" Keriasuan pada roommatenya membuatkan dia cuba untuk menyelesaikan masalah roommatenya tadi sehingga masalah tadi diadukan kepada saya.

Mungkin ada yang mengatakan masalah ini adalah masalah biasa. Tetapi harus kita ingat, apabila masalah ini terjadi kepada orang yang seagama dengan kita, adalah tidak patut untuk kita membiarkannya. Bimbang nanti di akhirat kelak dia akan menyalahkan kita akibat sikap kita yang tidak ambil pedulinya.

Sifat manusia yang sukar untuk difahami kadang kala membuatkan kita kebingungan memikirkannya. Memang tidak salah pada ungkapan yang mengatakan 'cinta itu buta' Tetapi haruskan seorang muslim itu menyerahkan segalanya hanya kerana cinta. Bagi saya cinta pada seseorang itu akan berkekalan sekiranya Allah turut mencintai individu yang kita cintai. Tetapi cinta itu tidak akan berkekalan andainya cinta yang kita berikan itu kepada insan yang Allah murkai. Jadi pandai-pandailah dalam memberi cinta. Agar cinta yang kita berikan memperoleh redha Allah S.W.T bukan kemurkan daripadaNya.

Abu Yazid Al-Bustami Mengajar Muridnya

Abu Yazid Al-Bustami merupakan seorang ahli sufi yang tinggal di Bahgdad. Suatu hari Abu Yazid didatngi oleh 'abib yang telah beribadah. Ibadahnya yang selama 400 tahun telah membuatkannya mahsyur di seluruh Baghdad.

"Tuan, saya memerlukan pertolongan daripada tuan" kata 'abib itu. "Saya beribadah kerana terpaksa. Setiap hari saya melakukannya kerana saya memaksa diri saya. Bagaimana harus saya melakukan ibadah tetapi dengan penuh keseronokan, dengan penuh ketenangan, dengan penuh aman damai dan dengan penuh kegembiraan dengan ibadah yang saya lakukan?"

Kata Abu Yazid "Tukar pakaianmu. Kamu pakai pakaian yang compang-camping dan galas sebuah guni. Guni tersebut kamu isi dengan buah-buah yang telah busuk. Kemudian dengan membawa guni tesebut kamu minta pertolongan daripada orang ramai. Sambil itu kamu agihkan buah-buah yang ada di dalam guni kamu tadi kepada mereka".

"Tidak mungkin tuan. Saya seorang yang dikenali di Baghdad dapat melakukan perkara yang sedemikian rupa. Masyarakat akan memandang serong kepada saya, bahkan mungkin juga mereka akan mengatakan bahawa saya sudah tidak lagi siuman" kata ahli iabadah itu.

"Itulah penghalang kamu untuk kamu merasa nikmat dengan ibadah yang kamu lakukan. Keegoan kamu membuatkan nikmat dan keseronokan yang seharusnya kamu nikmati tetapi tidak dapat kamu nikmati"

Disebabkan keegoan yang tidak mampu diatasi oleh 'abib, akhirnya dia terus beribadah tetapi malangnya dia tidak memperolehi keseronokan daripada ibadah yang dia lakukan.

Malang sama sekali bagi 'abib tadi. Beribadah sekian lama tetapi semuanya sia-sia. Sebagaimana kata Imam Al-Ghazali "Adalah lebih baik jika seseorang itu bangun di pagi hari, kemudian menyesal kerana tidak bangun (beribadah) di malam harinya, berbanding seorang yang bangun di malam hari tetapi di pagi harinya berbangga dengan ibadah yang dilakukan olehnya"

Allah mengutuskan kita untuk menjadi pengurus kepada kehidupan kita. Bukan sahaja mengurus manusia di sekeliling kita tetapi juga mengurus diri kita sendiri. Mengurus diri ertinya mengurus sifat mahmudah (sifat baik) supaya sifat itu lahir tanpa wujudnya perasaan riak, ego, sombong, u'jub dan sebagainya serta mengurus sifat mazmumah (sifat buruk) supaya ia tiada lagi di dalam diri kita. Kalau pun kita tidak berjaya tetapi sekurang-kurangnya kita telah berusaha. Sesungguhnya Allah tidak bertanya kepada kejayaan kita tetapi perkara yang Allah tanya tentang usaha kita.

p/s : Nasihat ini merupakan tazkirah daripada Prof Muhammad Syukri Salleh. Tradisi di ISDEV, pensyarah akan berikan tazkirah sebelum memulakan kuliah. Insya Allah di lain waktu dan ada kesempatan saya publish lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...