Thursday, November 24, 2011

Hidup Ini Jihad, Mati itu Istirehat


"Andai saya meninggal sekarang, apa yang awak akan ingat tentang saya?" Tanya saya bersahaja.
"Entah, nak fikir apa ye? Tak ada soalan lain ke? Soalan tu pula yang dia tanya". Jawabnya sambil masih tercari-cari jawapan terhadap soalan saya tadi.

"Tak adalah, sekadar nak memastikan supaya kubur saya nanti merupakan taman syurga bukan lubang neraka. Saya takut.."


"Oooo. Saya pun sama".

"Nampak gayanya kena berusaha lagi untuk buat baik, supaya nanti bila dah mati orang akan ingat pada saya. Maklumlah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati nama. Biarlah sebelum kita mati, orang tak ingat pada kita. Tak kenal pun kita siapa. Tapi bila dah mati baru orang tahu siapa kita".

"Emm.. terkenal waktu hidup ni payah. Payah untuk jaga hati dari sifat riak, sombong, bangga.. Tapi kalau dah mati, kita tunggu hasil apa yang telah kita tanam. Betulkan?" Tambah sahabat saya.

"Ya, mati itu tempat istirehat. Sedangkan hidup ini pula untuk kita berjihad". Saya mengiyakan.

"So sekarang apa yang awak sedang jihadkan?" Tanyanya pula.

"Entah... " Saya menjawab sambil tersenyum pahit.


---------------
Sunan Termidzi, no.2460

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إنما القبر روضة من رياض الجنة أو حفرة من حفر النار
"Sesungguhnya kubur itu adalah merupakan satu taman dari taman-taman syurga dan merupakan lubang dari lubang-lubang neraka"


Menurut al-Albani, hadis tersebut amat dhaif. Menurut Imam Abu `Isa pula hadis tersebut ghareeb dan dhaif.



Wednesday, November 23, 2011

Intellectual Puzzle

Bila orang tanya apa itu penyelidikan atau nama lainnya kajian atau dalam Bahasa Inggerisnya research? Secara mudahnya ia adalah untuk menkaji atau melakukan penyiasatan terhadap perkara yang masih belum ada jawapan secara akademik. Maksudnya ia memerlukan penyelidikan yang dilakukan dengan mencari fakta ilmiah dengan menggunakan kaedah saintifik. Kemudian ia dioalah dalam bentuk analitikal.

Jadi sekiranya perkara yang ingin dikaji tersebut telah ada jawapannya, oleh itu tidak perlulahbersusah payah mencari jawapannya lagi. Carilah isu lain yang belum ada jawapan. Jawapannya pula mestilah dikemukakan secara saintifik. Sekiranya jawapan tersebut ditemui di sembang-sembang kedai kopi ini bermakna kajian tersebut masih boleh dilakukan

Intellectual puzzle... secarah mudahnya itulah yang kita cari dalam penyelidikan. Melengkapkan puzzle yang masih tidak sempurna dan tidak memiliki sempadan. Ilmu Allah ni tiada sempadankan.. Jadi walaupun sesuatu topik telah dibincangkan oleh ramai penyelidik, percayalah topik tersebut masih mempunyai banyak pieces of puzzle yang perlu dicantumkan.

Perpustakaan Dalam Rumah


23 April 2011 yang lalu, akhbar Utusan menyiarkan bekas Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir menyarankan agar golongan berkemampuan di negara ini mewujudkan perpustakaan di kediaman mereka dan mengisinya dengan buku atau karya yang berharga. Menurut beliau, ini adalah amalan orang kaya di negara barat seperti Amerika Syarikat yang gemar membina perpustakaan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis buku lama, kemudiannya didermakan kepada perpustakaan selepas pemiliknya meninggal dunia.

Sebenarnya bukan sahaja golongan berkemampuan, golongan miskin juga boleh memiliki perpustakaan mereka sendiri. Mungkin juga kerana harga buku agak mahal. Jadi penekanan tentang memiliki perpustakaan di rumah hanya ditekankan kepada golongan berkemampuan.

Apapun menjadikan perpustakaan sebagai salah satu perkara penting yang perlu wujud dalam ruang kediaman adalah amat penting kerana ia mampu mencorak budaya pentingnya ilmu kepada penghuninya.


Melihat kepada trend hiasan dalaman rumah sama ada yang dipaparkan dalam television mahupun majalah-majalah, kebanyakannya memfokuskan kepada perkara-perkara berbentuk hiasan seperti perhiasan pingan mangkuk, kabinet dapur, ruang tamu dan sebagainya. Oleh itu, trend tersebut sepatutnya diperbaharui agar masyarakat Malaysia mula beralih kepada hiasan dalaman yang lebih memberi manfaat kepada mereka.

Akhirul kalam, pesan Lukman al-Hakim kepada anaknya,
"Wahai anakku, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin. Sesungguhnya andai kamu kaya, ilmu itu akan menjadi perhiasan buatmu. Tetapi seandainya kamu miskin, ilmu itu akan menjadi harta buatmu".

Monday, November 14, 2011

Antara Blog dan Buku

Meja saya di ISDEV

Menulis bukan kerja yang mudah. Apatah lagi andai ilham daripada Allah s.w.t terputus seketika. Taqarub (pergantungan) dengan Allah s.w.t amat perlu.

Menulis juga merupakan medan dakwah. Bagi saya medan dakwah melalui penulisan ini mampu melampaui zaman dan sempadan generasi. Tambahan pula andai kita dapat menerbitkan buku, sampai bila-bila pun buku tersebut masih ada yang akan membacanya. Selagi mana bumi ini masih dihuni oleh manusia. Berbeza sekali dengan menulis di blog, laman web dan sebagainya. Sebab medium on-line ini bergantung kepad hosting tersebut. Andai tiba-tiba ditutup, habislah semua artikel yang ditulis oleh kita.

Menerbitkan buku berbanding blog juga satu kelebihan buat kita. Bukan sahaja bayaran royalti yang dapat kita peroleh untuk menampung kehidupan kita tetapi ia juga boleh memberi manfaat kepada waris kita seandainya kita dijemput menemui-Nya. Royalti bayaran tersebut akan dibayar kepada waris sebagaimana tertulis dalam perjanjian kita dengan penerbit. Selama 50 tahun bermula tarikh kematian kita, bayaran royalti tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun waris kita. Selepas 50 tahun kematian kita, buku tersebut akan menjadi hak umum.

Apapun menulislah. Selagi bumi ini dihuni oleh manusia, sudah tentu ada yang akan membaca. Semoga apa yang ditulis menjadi amal jariah kita untuk dipersembahkan kepada-Nya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...