Wednesday, December 30, 2009

Ukuran Sebuah Cinta

Berlaku kesalahan pada tarikh di dalam gambar tersebut.
Sepatutnya ia bertarikh 20 Disember 2009

“Em… macam mana seronok?” Tanya saya.
“Seronok”. Lazimnya jawapan tersebut yang kami terima dari setiap kumpulan yang ditugaskan untuk menyudahkan check point dalam aktiviti ‘Kembara Ilmu, Jambori Nisa’ 2009’.
“Macam mana, check point sebelum ni dapat jawab tak?”
“Ada yang dapat.. ada yang tak… yang kena denda pun ada”
“Kena denda? Kat check point mana?”
“Check point satu”.

“Ooo.. ye ke… tak pe.. tak pe. Kat check point ni tak kena denda. Insya Allah”. Lebar senyuman mereka mendengar janji saya. Setiap kumpulan yang saya tanya berkenaan kena denda… pasti jawapan kena denda di check point pertama dikhabarkan kepada saya… tak pelah. Bukan selalu… tempat yang kena denda tu biasanya paling kita ingat.

“Okeylah di check point yang ketiga ni mudah je. Kak Radieah nak minta semua bercerita. Dua hari lepas kita telah sambut tahun baru Hijrah… jadi sekarang Kak Radieah nak tahu tentang peristiwa hijrah. Kak Radieah nak semua bercakap. Tambah sorang sikit.. jadikan ia satu cerita yang lengkap. Okey boleh mula…”

Di check point saya ini, tugasan mereka mudah.. hanya bercerita berkenaan peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w bersama Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Tetapi jalan cerita yang saya terima, bagi saya ia sungguh mengecewakan.

Ada yang mengatakan Rasuluulah berhijrah ke Ta’if… ada pula yang mengatakan Saidina Abu Bakar tidur di atas riba Rasulullah s.a.w… ada juga yang mengatakan baginda bermalam di Gua Thur selama 40 malam… dan tidak kurang juga yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar bermalam di Gua Hira’… pening saya dibuatnya…

Setelah selesai sahaja mereka bercerita dan setelah saya betulkan kesilapan di dalam sirah yang mereka ceritakan, saya membuat kesimpulan dan penggulungan...

"Baiklah... sekarang secara jujurnya Kak Radieah nak tahu... dari kisah yang telah diceritakan tadi, dalam keadaan seorang kata macam tu.. yang lain kata bukan macam tu tapi macam ni... ada yang kata Rasulullah berhijrah dengan Saidina Ali... ada yang terus membisu tak bercerita apa-apa pun... dapat atau tidak, kita katakan yang kita benar-benar cinta kepada Rasulullah?... sedangkan dalam kehidupan kita, bila kita sayang sahabat kita.. kita akan tahu apa yang dia suka, apa yang dia tidak suka, segala cerita, kisah yang dilalui oleh sahabat kita tadi... kita tahu segala-galanya.. tetapi bila tiba masa kita katakan yang kita sayang... kita cinta pada Rasulullah... tetapi kita gagal menceritakan hanya tentang peristiwa hijrah yang saban tahun diulang-ulang ceritanya kepada kita".

"Sekarang cuba kita ukur cinta kita pada Rasulullah... Kak Radieah hanya bertanya tentang peristiwa hijrah, belum lagi tentang peristiwa-peristiwa lain.. bagaimana kita boleh katakan yang kita cinta pada Rasulullah sedangkan kisahnya tunggang langgang dalam fikiran kita?"

"Adakah kita benar-benar cinta pada Rasulullah?" tanya saya
"Tidak" sayup sahaja ucapan tersebt.. ada yang menggelengkan kepala... ada juga terus membisu.

"Bila kita sudah tahu kita sebenarnya masih belum cukup untuk mengatakan yang kita cinta pada Rasulullah, balik nanti.. Kak Radieah harapkan kita semua baca semua kisah Rasulullah dan ingat kisah tersebut sebab cinta kepada Rasulullah juga bererti kita cinta kepada Allah. Bila kita gagal cinta kepada Rasulullah bermakna kita juga gagal mencintai Allah..."

"Okeylah... dah lewat, kumpulan lain dah tunggu. Jangan lupa pesan Kak Radieah..


Suatu ketika dahulu saya cukup bosan untuk mendengar ceramah tentang Ma’al Hijrah kerana lazimnya penceramah akan menceritakan tentang peristiwa penghijrahan hampir saban tahun mendengar kisah yang sama. Tetapi pada hari ini… saya tidak lagi berpandangan begitu. Memang sepatutnya sirah tersebut diulang-ulang kerana masih ramai yang gagal memahami apatah lagi menghayati tentang penghijrahan dan perjuangan Rasulullah s.a.w... kita ini selalu lupa, oleh itu harus selalu diingatkan..

Pernah satu ketika, sewaktu saya di tingkatan eman di SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut, Pahang. Seorang penceramah yang dijemput untuk memberi pengisian tentang peristiwa hijrah tersebut, telah bercerita bukan sahaja tentang salasilah keturunan Rasulullah s.a.w, tetapi juga salasilah kambing yang dipelihara oleh Rasulullah yang bercantum dengan binatang korban yang dikorbankan oleh Habil bin Adam a.s, nama unta-unta dan kuda-kuda tunggangan Rasulullah, tentang nama-nama pedang baginda dan banyak lagi.

Pada ketika itu, di dalam hati saya hanya terdapat rasa kagum terhadap penceramah tersebut kerana daya ingatan beliau cukup hebat. Tetapi hari ini, saya percaya hanya individu yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w akan berusaha untuk memperolah sebanyak mungkin maklumat mengenai baginda... kerana semakin kita mengenali baginda maka akan semakin dekatlah kita terhadap baginda... dan sudah tentu mendalamnya rasa cinta kepada Rasuluulah s.a.w tadi telah menyebabkan penceramah tadi mampu mengingati kesemuanya tentang Rasulullah s.a.w.

Mengukur kecintaan kepada seseorang adalah suatu perkara yang sangat mustahil dapat dilakukan. Ukuran yang biasanya dapat dilakukan hanyalah dengan membandingkan kecintaan individu dengan individu yang lain. Namun begitu pepatah Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’ sedikit sebanyak telah mengajar kita tentang standard sebuah cinta.

Wednesday, December 16, 2009

Hadiah Tidak Bernilai


“Radieah… ada 10 kad kahwin saya terima ni. Macam mana nak pergi, banyak sangat? Semua kawan yang rapat-rapat pula tu.. aduh”. Aduan yang dibuat oleh rakan saya ini hanya saya balas dengan senyuman.
“Pergi yang dekat dengan Penang jelah” Sambungnya lagi.

Jalan penyelesaian tentang masalahnya tadi diselesaikannya sendiri tanpa perlu bantuan saya. Biasanya macam tulah… kebanyakan daripada kita tahu jalan penyelesaian. Cuma kita sekadar ingin mengadu, bukan untuk meminta jalan penyelesaian. Tetapi sekadar meminta kita menjadi teman pendengar yang setia… sekadar itu sahaja.

Jemputan untuk menghadiri majlis kenduri di waktu musim cuti sekolah memang tidak dapat dinafikan terlalu banyak. Ada yang dijemput melalui kad jemputan, ada yang melalui e-mail, sms, telefon dan pelbagai cara lagi. Namun bukan itu yang saya ingin bincangkan kini. Sebaliknya tumpuan saya adalah kepada hadiah yang kita berikan kepada pasangan pengantin baru tersebut.

Bagi sesetengah individu, hadiah menjadi kemestian untuk mereka bawa, namun ada juga yang sebaliknya. Sebagai individu yang ingin memberi hadiah, saya ucapkan tahniah kerana kemurahan hati yang anda miliki. Tetapi hadiah yang bagaimana kita harus bagi? Perkara ini adalah sangat penting untuk kita fikirkan supaya hadiah yang kita berikan kepada pasangan pengantin tidak menjadi hadiah yang tidak bernilai buat mereka.

Bagi saya sesuatu hadiah akan menjadi tidak bernilai apabila ia tidak digunakan. Misalnya sepupu saya yang telah berkahwin kira-kira lima tahun yang lalu, hadiah semasa perkahwinannya masih lagi tersimpan elok di dalam kotak di rumah ibunya sehingga sekarang. Bukan satu, dua tetapi hampir mencecah angka 30 hadiah semuanya… Hadiah yang pada asalnya bertujuan untuk mengembirakan hati individu yang menerima bertukar menjadi perkara yang menyusahkannya. Penyelesaian yang terbaik diberikan oleh sepupu saya ialah menghadiahkan pula hadiah yang tidak diperlukan olehnya kepada pasangan yang baru berkahwin yang lain. Saya juga mengalami perkara yang sama. Tetapi tidaklah sebanyak sepupu saya tadi.

Oleh itu bagi individu yang ingin memberikan hadiah, berilah yang terbaik buat individu yang ingin kita beri. Tidak kiralah sama ada hadiah semperna majlis perkahwinan, hari jadi, konvokesyen, dan lain-lain. Bagi saya hadiah yang baik tidak semestinya mahal tetapi seharusnya ia boleh digunakan semaksima mungkin oleh si penerima.

Hadiah sebenarnya adalah salah satu platform untuk seseorang itu memperoleh sebanyak mungkin pahala dan rahmat daripada Allah s.w.t kerana kita berjaya menggembirakan si penerima tersebut. Jadi ambillah peluang memberi hadiah itu dengan sebaik mungkin… Barang kali ia juga boleh menjadi sedekah yang berpanjangan daripada kita… pahalaNya…rahmatNya kita terima setiap kali hadiah tersebut digunakan.

Hadiah yang terbaik hanya dapat diberi dengan adanya kebijaksanaan anda memilih sewaktu membeli.. Memberi hadiah dengan ikhlas, insya Allah pahalanya Allah s.w.t akan berikan… tetapi andai dapat lebih kan lagi baik...

Tuesday, December 15, 2009

Pengurusan Kewangan Peribadi


Antara buku yang sering menjadi tumpuan saya satu ketika dahulu sehingga kini adalah tentang mengurus kewangan peribadi. Alhamdulillah… berkat sedikit pengetahuan yang dibaca dan perkongsian dengan emak tentang bagaimana mengurus kewangan, saya telah berjaya melangsaikan hutang pengajian saya kira-kira lima bulan yang lalu.

Jika difikirkan kembali… situasi saya yang tidak bekerja, masih lagi bergelar seorang pelajar dan baru sahaja mendirikan rumah tangga, sudah tentu situasi tersebut tidak akan mengizinkan saya untuk melangsaikan hutang tersebut. Tetapi itu semua kuasa Allah. Berkat doa dan sedikit ilmu yang diamalkan, maka perkara yang diharapkan berhasil.

Konsep saya mudah… seboleh mungkin elakkan diri daripada berhutang dan sekiranya berhutang.. bayarlah secepat mungkin. Tetapi jika difikirkan keadaan dimasa ini, tidak berhutang dikatakan suatu perkara yang mustahil berlaku. Memegang status penuntut universiti sahaja hutangnya telah mencecah lima angka… belum lagi mempunyai kenderaan, apatah lagi kediaman. Bagi saya kerajaan kini bukan sahaja mendidik masyarakatnya berhutang tetapi turut memaksa untuk berhutang. Mahu tidak mahu kita terpaksa berhutang… kerana ia merupakan keperluan yang mendesak.

Beruntunglah golongan yang cerdik pandai kerana mereka memperoleh biasiswa untuk membiayai yuran pengajian mereka… dan sudah tentu kerjaya mereka juga terjamin berbanding mereka yang terpaksa meminjam untuk membayar yuran pengajian... Maklum sajalah mereka yang memiliki biasiswa, selain daripada cerdik pandai.. mereka juga belajar dalam kursus yang pasaran kerjanya sangat terjamin seperti doktor perubatan, farmasi dan lain-lain.

Bagi golongan yang bukan cerdik pandai seperti saya, perkongsi tips daripada emak saya insya Allah boleh membantu… untuk maklumat emak saya hanya seorang guru sekolah rendah, namun sepanjang hidup saya emak saya mampu memiliki kenderaan yang dibelinya secara tunai. Emak memiliki dua kenderaan kini.. satu miliknya dan sebuah lagi diserahkan kepada adik saya… bukan kenderaan mewah tetapi Alhamdulillah ia cukup selesa digunakan… Emak juga memiliki sebuah rumah yang kini dijadikan rumah sewa. Rumah tersebut dibeli daripada pinjaman bank. Tetapi sekarang pinjaman tersebut telah habis dibayarnya.

Nasihat emak mudah sahaja… seboleh mungkin janganlah meminjam dan jangan berhutang walaupun nilannya ialah satu sen. Nasihatnya lagi simpanlah wang yang dimiliki daripada sekarang. Walaupun ia adalah wang pinjaman yang kita miliki… kerana lebihan daripada wang pinjaman tersebut boleh dikembalikan semua.. sekali gus ia akan menggurangkan jumlah pinjaman yang kita miliki. Jika kita tidak menyimpannya dari sekarang, akan datang kita akan dibebani hutang dengan berlipat kali ganda kerana tidak mempunyai wang simpanan.

Lagi satu.. rancanglah perbelanjaan dengan baik… jangan membeli perkara yang tidak perlu. Saya banyak belajar daripada sikap emak dalam berbelanja. Saya perhatikan emak jarang berbelanja di kantin sekolah… bahkan boleh dikatakan tidak pernah. Setiap hari pasti dibawanya bekal makanan untuk dijamahnya sewaktu masa rehat tiba. Walaupun bekal tersebut hanyalah beberapa keping roti dan sebotol air masak. Sebenarnya boleh dikatakan itulah bekalannya setiap hari…

Oh ye.. solat dhuha selalu amalkan.. dan jaga keberkatan wang yang kita terima… tambahan tips daripada emak…Tips yang saya kongsikan ini merupakan tips daripada emak saya. Mudah sahaja.. tetapi payah untuk dilaksana bagi yang merasakan ia payah. Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk mengurus kewangan kita.

Saya cadangkan anda membaca buku ‘Ke Mana Wang Anda?’ karya Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir dan ‘Supaya Poket Tidak Kosong Lagi’ karya Mohd Tamsir Ali dan Halimah Mohd Arsat. Bagi saya, kedua-dua buku ini berjaya mengupas tentang situasi wang yang kita belanja sehari-hari… barang yang kita rasa perlu sebenarnya tidak perlu, yang kita rasa kita sedang berbelanja dengan berhemah, rupanya kita membazir dan banyak lagi perkara yang terkandung di dalamnya…

Dua penulis yang saya cadangkan anda baca karyanya tentang mengurus kewangan selain dari Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir ialah Aziz Ali. Kedua-duanya adalah penulis buku yang baik berkenaan pengurusan kewangan peribadi.

Akhir sekali, saya doakan kita semua dijauhkan dari sikap yang suka membazir dan dijauhi daripada hutang yang tidak dapat dilangsaikan sebelum nyawa ditarik olehNya. Perkara ini ialah perkara yang sering emak saya ingatkan kepada saya dan saya kongsi untuk kebaikan bersama. Semoga ia memberi manfaat.

Wednesday, December 2, 2009

Suasana Sewaktu Haji Akbar


Maksud:" HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah hambaMu datang menyahut panggilanMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu tidak ada sekutu bagiMu ."

“… Mak, kita raya hari Jumaat kan.” Tanya saya kepada emak inginkan kepastian.
“Em.. Orang cakap bila wukuf jatuh hari Jumaat, haji tu nama Haji Akbar. Tapi ada orang cakap tak semestinya.”

“Tahun-tahun dulu… waktu wukuf yang jatuh hari Jumaat… waktu tu, ramai orang buat haji. Orang yang tinggal dekat kawasan Mekah.. Madinah pun buat haji. Sebab tu tahun tu ramai buat haji.” Ujah saya pula.
“Betul lah tu”. Jawab mak.
“Kalau bukan hari Jumaat Haji Akbar, macam mana nak tentukan. Ada cara lain ke?” Tanya saya kepada emak.
“Orang cakap waktu tu banyak cabaran… banyak musibah berlaku. Orang takut kalau Haji Akhbar tapi pahalanya berlipat kali ganda”.

“Tahun dulu-dulu, waktu haji yang ada bangunan runtuh lah.. macam-macam lah. Ada ustaz cakap sebab Allah nak bersihkan Mekah dari orang kafir. Yang terbunuh tu mungkin orang bukan Islam yang masuk tanah haram”. Terang saya pula.

“Macam mana pula boleh jadi macam tu? Kenapa nak masuk tanah haram?” Tanya emak pula.
“Orang kafir mak… macam-macam lah dia nak buat. Dalam Mastika dulu-dulu, Adiah pernah baca… seorang tu, dia bawa pembantu rumah dia untuk buat haji sekali. Tiba-tiba bila masuk tanah haram terus hilang. Sampai sekarang tak jumpa. Bila selidik, rupa-rupanya pembantu rumah dia bukan Islam… dia tak tahu pun tentang tu”.

“Kat sana bila tiba tanah haram ada signboard yang tulis laluan untuk orang bukan Islam, laluan untuk orang Islam. Ada dua sempang.. ada jalan khas untuk orang bukan Islam”.

Malam selepas perbualan kami di siang hari, berita tentang berlakunya banjir dan berpuluh-puluh jemaah haji meninggal dunia diberitakan…

“Mak betul lah mak.. apa yang mak cakap tentang Haji Akhbar petang tadi”. Ujah saya ringkas.
Mak hanya menganggukan kepala.

Tertipu Dengan Perkataan

Dr. Zahari Hamat sedang memberikan nasihat sewaktu rombongan ke Medan, Indonesia.
Gambar ini diambil sewaktu kami tiba di tempat penginapan di Danau Toba.

Antara perkara yang mengembirakan saya apabila berada di kalangan pensyarah-pensyarah ISDEV ini adalah mereka tidak lokek dengan ilmu dan nasihat untuk kita melalui liku-liku kehidupan. Saya masih ingat lagi perbualan saya dengan seorang pensyarah ISDEV. Perbualan kami lebih kurang begini,

“… antara perbuatan dan perkataan saya lebih percaya kepada perbuatan. Itu pendapat saya. Saya tak tahu pendapat awak macam mana” pandangan Dr. Zahari Hamat diluahkan kepada saya dan seorang junior ISEDEV sewaktu kami sedang menunggu di lobi Pusat Belia Antarabangsa untuk ke program seterusnya. Pada ketika itu kami (ISDEV) dijemput untuk menyertai acara penyempaian Anugerah Tesis Terbaik 2009 di Kuala Lumpur.

“Saya setuju dengan apa yang Dr katakan”. Jawab saya.

“Perempuan ni banyak sangat termakan dengan perkataan.. percaya dengan perkataan.. tertipu dengan perkataan. Sebab itu antara perkataan dangan perbuatan, saya lebih percaya dengan perbuatan. Sebab nak buat ni susah. Apatah lagi kalau nak amal dan istiqamah”. Sambungnya lagi.

Perbualan kami terhenti setakat itu kerana bas telah pun menunggu untuk ke destinasi seterusnya.

Ringkas sahaja perbualan kami dengan Dr. Zahari.Saya tidak berapa arif untuk mengulas tentang perkara yang dibincangkan oleh Dr. Zahari dan saya rasakan ia tidak perlukan ulasan yang panjang lebar kerana segalanya telah jelas. Mudah untuk difahami. Perkara yang paling penting seandainya kita mengatakan sesuatu perkara bukan sekadar perlu beramal dengannya tetapi amal tersebut harus disertai dengan istiqamah… dan jangan letakkan kepercayaan kepada perkataan tetapi letakkanlah kepercayaan itu di atas perbuatan yang istiqamah…

Sunday, November 29, 2009

Mempergunakan Musuh


Adalah agak pelik apabila seorang ahli gerakan hanya melihat musuh sebagai musuh.. sebagai lawan yang harus ditentang habis-habisan. Memang benar, lumrahnya apabila dinamakan ‘musuh’.. perang atau penentangan seharusnya dilakukan terhadap mereka.

Namun begitu, alim ulama ada menyatakan musuh juga boleh dijadikan cermin untuk diri kita… dan adalah lebih bijak lagi sekiranya kita boleh menggunakan kekuatan musuh untuk kebaikan kita… kebaikan Islam.

Cermin untuk diri bermakna menjadikan musuh untuk melihat segala kelemahan yang ada pada diri kita dan memperbaikinya kerana jarang-jarang sekali pihak yang dikenali sebagai ‘rakan’ akan menegur kita mengenai kelemahan atau keburukan kita.. atas dasar untuk menjaga hubungan baik tersebut. Walaupun alasan tersebut tidak sepatutnya dijadikan alasan.

Menggunakan kekuatan musuh pula adalah dengan menggunakan segala kelebihan yang ada pada mereka sama ada kewangan, soft skill dan sebagainya. Sebagai contoh, sekiranya kita memiliki rakan yang sentiasa melakukan perbuatan mungkar… biarkan sahaja. Tetapi jangan jauhinya. Sebaliknya gunakan kelebihan yang ada padanya untuk gerak kerja kita.. insya Allah.. suatu hari nanti dia akan berubah kerana sikap yang kita tunjukkan kepadanya.

Sebagai ahli gerakan, kita seharusnya kreatif dalam menjalankan usaha dakwah. Musuh bukan sahaja untuk di dakwah tetapi kelebihan yang ada padanya janganlah dipersiakan…

Friday, November 27, 2009

Salam Aidil Adha


Wednesday, November 25, 2009

Anugerah Tesis Terbaik


"... yang dapat anugerah kat Kuala Lumpur hari tu sape? ...Fadilah? Emak memulakan bicara. Ada tawa kecil bila emak menyebut nama tersebut. Maklum sajalah, nama tersebut sama dengan nama anak kedua bongsunya.
"Fadzila Azni.. pensyarah Adiah tu".
"..yang tua tu siapa?"
".. yang tua.. Prof Syukri. Dialah yang ajar Adiah tulis tesis".
"Mak tahu dari mana?". Tanya saya kehairanan. Maklum sajalah, ayah dan emak jarang sekali membeli akhbar. Setahu saya berita tentangnya hanya keluar di akhbar Utusan dan NST.
"Dalam berita TV3 ada.. TV1 pun ada".
"Laa.. ye ke.. Adiah tengok tak ada pun. Tak sempat nak tengok semua sebab semua dah ada kat bas nak pergi makan malam tu".
"Awak pun keluar berita. Duduk kat meja makan".
"Ala.. ruginya tak dapat tengok. Nina, awak tengok ke?" Tanya saya kepada adik saya yang bongsu.
"Tak.. ada kat dalam bilik. Alah pelakon tambahan je pun nak kecoh.. ada dua saat keluar TV". Jawab adik saya bersahaja.
"Eleh.. dia dengki.. pelakon tambahan pun masuk TV juga..."
Apapun tahniah saya ucapkan kepada Kak Sue (Dr. Fadzila Azni Ahmad) juga merupakan pensyarah saya kerana telah memperoleh Anugerah Tesis Terbaik Y.A.B Tan Sri Dato' Muhiddin Bin Haji Mohd. Yasin 2009.

Anugerah tersebut telah disampaikan sendiri oleh Tan Sri di Prince Hotel & Residence Kuala Lumpur pada 23 November 2009. Anugerah ini dikendalikan oleh Yayasan Nurul Yaqeen dan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), USM. Penyertaan anugerah ini telah disertai oleh seluruh universiti yang terdapat di Malaysia.

Untuk pengetahuan semua, Kak Sue telah dianugerahkan wang tunai sebanyak RM 5,000 dan medal emas bernilai RM10,000.

Tuesday, November 10, 2009

Pengurusan Kemiskinan Secara Islam

Kemiskinan menjadi agenda utama yang diberi penekanan oleh seluruh negara di dunia. Hal ini terbukti apabila wujudnya kategori-kategori negara yang dibahagikan mengikut pendapatan sesebuah negara. Negara-negara tersebut diklasifikasikan kepada Negara Maju, Negara Sedang Membangun dan Negara Mundur. Bagi Negara Mundur, mereka berusaha untuk mengeluarkan negara mereka menuju ke arah Negara Sedang Membangun. Bagi Negara Sedang Membangun pula, mereka berusaha menjadikan negara mereka Negara Maju. Negara Maju pula, mereka berusaha untuk mengembangkan negara mereka lebih maju daripada masa sekarang. Namun begitu, agenda ini seolah-olah tidak pernah ada penghujungnya. Kemiskinan tetap berlaku di mana-mana negara. Malah jurang di antara individu yang kaya dan individu yang miskin semakin luas.

Keadaan ini berlainan sekali berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. Hal ini kerana pada zaman Rasulullah s.a.w, tidak terdapat fakta menyatakan bahawa baginda membasmi kemiskinan yang berlaku di zaman tersebut. Begitu juga di zaman pemerintahan Khalifah Al-Rasyidin. Pada kedua-dua zaman tersebut golongan yang kaya akan sentiasa membantu golongan yang miskin. Antara individu miskin yang terdapat pada zaman Rasulullah s.a.w ialah Abu Hurairah r.a dan Bilal bin Rabah r.a . Individu yang kaya di zaman Rasulullah s.a.w pula Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Abdul Rahman bin Auf .

Pengurusan kemiskinan yang dilakukan pada masa ini dengan zaman Rasulullah s.a.w sangat berbeza kerana pada zaman ini kemiskinan dianggap suatu perkara yang harus dibasmi sedangkan pada zaman Rasulullah s.a.w perkara tersebut tidak dilakukan. Perkara sebegini menarik minat penyelidik* untuk mengkaji lebih mendalam tentang kaedah-kaedah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w untuk mengurus golongan miskin di zaman baginda.

Kemiskinan seringkali dianggap suatu perkara yang buruk. Kemunduran pula seringkali dikaitkan dengannya. Ia seolah-olah tidak langsung terselit kebaikan di dalamnya. Berlainan pula dengan kekayaan. Kekayaan seringkali digandingkan dengan pembangunan dan kemajuan.

Namun begitu, keadaan ini tidak dianggap oleh Rasulullah s.a.w dengan pengertian yang sedemikian rupa. Sebaliknya Rasulullah s.a.w mencampur adukkan golongan miskin dan kaya di dalam sebuah masyarakat. Walaupun ia kelihatan janggal pada masa ini, masyarakat Madinah pada ketika itu diketuai oleh Rasulullah s.a.w merupakan masyarakat yang harus dijadikan model ikutan sepanjang zaman.

Kejanggalan itu berlaku kerana keunikannya. Salah satu keunikan yang dimiliki oleh masyarakat Madinah pada ketika itu adalah terletak di dalam sistem mengurus kemiskinan yang digunapakai oleh Rasulullah s.a.w . Keharmonian yang terbina di antara individu yang miskin dan individu yang kaya menggambarkan bahawa kemiskinan yang berlaku bukanlah suatu perkara yang disifatkan sebagai kemunduran sepertimana yang disifatkan pada masa ini.

Oleh itu, bagi mewujudkan kembali keharmonian dan kesepaduan yang wujud di antara golongan yang miskin dan golongan yang kaya, terminologi kemiskinan harus dikaji semula mengikut definisi yang didefinisikan oleh al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w. Selain itu, sistem mengurus kemiskinan yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w juga harus dikaji bagi mengembalikan semula keharmonian yang dirasai pada ketika itu.


* Enty ini merupakan sebahagian daripada proposal saya.

Tuesday, November 3, 2009

Hidup Seorang Pelarian

Setelah penat membeli buku-buku secondhand di Bazar Chowrasta, saya dan seorang rakan saya melepaskan penat kami di bangku yang diletakkan di tingkat bawah berhadapan jalan raya di bazaar tersebut. Sementara menunggu rakan-rakan lain tiba, perkara yang memang telah kami duga berlaku.

Kami didatangi oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun menghulurkan cawan kosong yang minta untuk dipenuhkan dengan wang. Setelah permintaanya tidak dilayan kanak-kanak tersebut berlalu begitu sahaja. Tanpa diduga kanak-kanak tersebut kembali semula kepada kami dengan membawa buku kecil yang dimuatkan Surah Yassin di dalamnya.

“Adik dah makan ke belum?” Tanya rakan saya.
“Belum”. Jawabnya sepatah.
“Tunggu sini, akak pi beli makanan”. Pinta rakan saya.

Sementara membeli makanan, saya berbual-bual dengan kanak-kanak perempuan tadi.
“Nama siapa?” Tanya saya.
“Ramlahbi” Seingat saya begitulah namanya.
“Umur berapa?”
“Lapan tahun”.
“Mak dengan ayah kat mana?” Tanya saya lagi.
“Mak sakit kat rumah. Ayah dah meninggal”.
“Datang dengan siapa kat sini?”
“Datang dengan tok, dengan abang”.
“Abang mana?”.
Kebetulan abangnya lalu berhampiran kami. Lalu kanak-kanak tersebut memanggilnya dengan bahasa yang saya tidak ketahui. Sekembalinya rakan saya yang membeli makanan tadi, soalan yang sama saya dan rakan saya tujukan kepada abangnya pula. Jawapan yang sama diberikan oleh adiknya tadi turut diberikan oleh abangnya.

Abangnya yang bernama Zubir lebih fasih berbahasa Melayu berbanding adiknya. Katanya mereka merupakan pelarian Mynmar.
“Dah makan ke belum ni?” Tanya saya kepada Zubir.
“Sudah. Sudah makan dengan tok. Adik pun dah makan tadi. Makan sama-sama”.
“Adik cakap tadi dia belum makan?” Tanyaku inginkan kepastian.
“Adik tak pandai sangat cakap”. Balasnya.
“Oooo..”.
“Tinggal kat mana?” Tanya rakan saya.
“Kat Bagan Ajam”. Jawabnya.
“Bagan Ajam kat mana ?” Tanya saya kepada rakan saya.
“Entah.” Dia pun tidak pasti.
“Tadi abang datang sini naik apa?” Tanya rakanku kepada Zubir.
“Naik bas. Lepas tu naik feri ke sini.” Jawabnya.
“Dari seberanglah ni.. Ya Allah jauhnya.”
“Datang sini hari Jumaat, Sabtu, Ahad. Hari lain belajar. Ada ustaz mengajar. Baca al-Quran.. baca buku”.
“Pandai baca?” Tanya saya.
“Bahasa Burma pandai”.
“Besar nanti nak jadi apa?” Tanya saya lagi.
Buruh binaan menjadi pilihan. Katanya mereka tidak mempunyai IC jadi untuk kerja adalah lebih sukar berbending penduduk tempatan.

Daripada perbualan yang berlaku di antara kami, saya dapat melihat bahawa Zubir merupakan kanak-kanak yang bijak. Dia sangat memahami kepayahan hidup keluarganya. Tetapi keadaan memaksa dia melakukan perkara yang seharusnya bukan tanggungjawabnya. Kad kebenaran untuk menetap di Malaysia dipegang oleh nenek (tok) mereka kerana bimbang dirampas oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Begitu juga dengan wang yang diperolehi daripada belas ehsan masyarakat yang lalu lalang di Bazar Chowrasta.

“Abang kena belajar membaca. Kalau tidak nanti orang tipu abang”.
“Memang nak belajar. Tapi mahal. Sebulan kena bayar RM50. Kalau dua, saya dengan adik dah RM100. Mana ada duit. Sehari dapat RM15..RM20… tak cukup”. Luahnya.
Zubir dan adiknya mengenali abjad tetapi masalahnya tidak pandai mengeja… tetapi di dalam bahasa Mynmar Zubir pandai membaca dan menulis. Katanya emaknya yang mengajar. Membaca, menulis, sembahyang dan lain-lain.

Kami akhiri pertemuan kami dengan berjumpa dengan neneknya yang turut meminta simpati daripada orang ramai yang lalu lalang di bazaar tersebut. Zubir menjadi perantara kami untuk bercakap dengan neneknya memandangkan neneknya tidak pandai berbahasa Melayu… Ada air mata bergenang di mata neneknya… saya tidak pasti.. air mata duka mengenangkan nasibnya atau air mata gembira kerana kehadiran kami….

Sampan didayung buatan sendiri,
Berlabuh sebentar di negeri orang,
Dihalau saudara di negara sendiri,
Mengemis kasih di negara orang...

Sebuah Perhitungan



Prof Dr. HAMKA ada menyatakan "Kita dapat menghitung berapa usia kita yang telah kita gunakan. Tetapi kita tidak mampu menghitung berapa lagi usia kita yang masih tinggal"

Bi Taufiq...

Selamat Menempuh Peperiksaan..bi taufiq wa najah...

Monday, November 2, 2009

Terima Kasih

The Wedding Cake

Terima kasih kepada ISDEV kerana mengadakan majlis dan hadiah yang telah diberikan kepada kami.

Sunday, November 1, 2009

Secondhand Book di Chowrasta

“Saya nak ke bank. Awak tunggu kat sini sat na”. Pinta sahabat saya ketika kami berada di Chowrasta.
“Okeylah. Saya pi kedai bukulah sementara tunggu awak”. Jawab saya.
“Nanti bila saya dah siap saya pi kedai buku tu”.
“Okey.”

Kami menuju destinasi masing-masing. Saya ke kedai buku, rakan saya ke bank.
Memang betul kata seorang blogger “Jika mahu membiarkan aku menunggu kamu, biarkan aku menunggumu di kedai buku. Nescaya akan ku tunggumu tanpa pernah rasa jemu”.

Saya melangkah keseorangan menuju ke kedai buku yang terletak di tingkat dua Bazar Chowrasta. Walaupun sudah hampir empat tahun berada di Penang seingat saya ini adalah kali kedua saya ke kedai buku secondhand tersebut. Bukan tidak mahu pergi. Tetapi letaknya di tengah-tengah bandar yang sibuk dengan kenderaan yang bersesak-sesak menyebabkan saya tidak berani untuk ke sana seorang diri berbanding sekiranya saya ke Borders, Queensbay Mall.

Kedai buku sebegini sebenarnya menjadi pilihan utama saya memandangkan buku jauh lebih murah berbanding buku yang lain. Walaupun buku yang diperolehi bertaraf secondhand tetapi ia masih elok. Selain itu, di sana juga terdapat buku-buku baru tetapi harganya juga jauh lebih murah berbanding kedai buku biasa.

“Ye, cik nak buku apa?” Sapa pekedai buku tersebut kepada saya.
“Saya nak buku Syed Hussin Alatas. Tajuknya The Myth of the Lazy Native, ada tak?”
“Buku tu tak adalah”.
“Alah.. kat mana boleh saya dapat buku tu?” Tanya saya dengan penuh harapan.
“Dekat sini tak ada. Kat kedai biasa ada. Tapi mesti mahal”.
“Saya tahu”.
“Buku lain tak nak ke?”
“Saya nak buku yang ada kaitan tentang kemiskinan dan orang Melayu, ada tak?”
“Tunggu sekejap”.

Sebenarnya untuk membeli buku-buku di kedai buku secondhand di Bazar Chowrasta ini, anda perlu mengetahui tajuk atau bidang-bidang tertentu misalnya ekonomi, psikologi, buku motivasi, encyclopedia dan lain-lain yang anda inginkan. Jika tidak rambang matalah dibuatnya… sebab bagi pencinta buku, sudah tentu anda ingin membeli banyak buku kerana harganya yang sangat murah.

Saya masih ingat pertama kali ke kedai buku tersebut saya membeli buku John Gray 'Men are from Mars. Women are from Venus' dengan harga, seingat saya RM27.00 sedangkan harga di pasaran yang saya perolah daripada internet ialah RM36.90. Buku yang saya beli itu bukan yang secondhand tetapi firsthand. Jika yang secondhand sudah tentu lebih murah. Tetapi untuk mencari kitab-kitab lama.. kitab kuning seperti karangan Imam Al-Ghazali, Ibnu Battuta, Yusuf al-Qardhawi… anda salah tempat.. di sana tidak terdapat kitab-kitab tersebut.

Bagi pencinta buku yang ingin berkunjung ke kedai buku tersebut ada beberapa tips yang saya temui daripada sebuah blog. Harap ia memberi manfaat kepada kita semua (klik sini).

Setelah sekian lama membelik buku-buku di situ, akhirnya saya pulang dengan beberapa buah buku di tangan dengan bantuan pekedai buku tersebut. Salah satunya yang bertajuk ‘Dilema Melayu’, karya Tun Mahathir Mohamad… antara buku yang baik untuk dibaca oleh anda. Bagi yang mampu menghadap internet dalam jangka waktu yang lama kerana buku tersebut adalah setebal 222 halaman, anda boleh membaca buku tersebut melalui Wikipedia kerana keseluruhan isi kandungannya telah copy paste ke dalamnya.

Wednesday, October 21, 2009

Jenayah Akademik


Sudah lama sebenarnya saya ingin menulis entry berkenaan tajuk ini.. tetapi apabila menghadap laptop sahaja, langsung saya lupa tentangnya.. Alhamdulillah setelah membaca blog yang memuatkan tentang artikel yang ditulis oleh Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak selaku Naib Canselor USM, saya mula teringat tentangnya. Maklumat berkenaan jenayah akademik ini saya peroleh sewaktu ucaptama INGRAW oleh Prof Dr. Muhammad Syukri Salleh.

Jenayah akademik sebenarnya bukanlah suatu perkara yang asing berlaku dalam dunia akademik terutama di dalam institusi pengajian tinggi. Bahkan ia berlaku di seluruh dunia. Jadi adalah tidak menghairankan sekiranya ramai di antara kita tidak tahu langsung bahawa perkara tersebut adalah satu jenayah.

Jenayah akademik berlaku apabila seseorang pelajar melakukan penulisan tentang kajian yang dilakukan olehnya sama ada dalam jurnal, artikel, kertas kerja dan sebagainya, nama yang diletakkan di dalam kajian tersebut turut ditulis individu yang tidak terlibat untuk menulis berkenaan kajian tersebut. Biasanya para pelajar akan meletakkan nama penyelia (supervisor) mereka.

Memang benar supervisor terlibat dalam menyelia, menasihat dan memberi tujuk ajar kepada para pelajar untuk menyiapkan kajian dan penulisan para pelajar. Tetapi konsep tersebut tidak bermakna supervisor melakukan kajian serta nama mereka boleh diletakkan sebaris dengan nama pelajar yang melakukan kajian dan penulisan. Sebaliknya supervisor pada ketika itu adalah ‘pelayan pemikiran’ pelajar atau dalam istilah biasa yang diguna pakai, mereka adalah editor atau penyunting penulisan yang pelajar lakukan. Lebih malang lagi apabila terdapat kajian yang diletakkan nama supervisor di hadapan nama pelajar. Ia mengambarkan seolah-olah supervisor merupakan penulis utama kajian tersebut sedangkan yang berlaku adalah sebaliknya… dan adalah tidak salah untuk mengatakan nama supervisor pada ketika itu tidak perlu diletakkan di dalam kajian tersebut kerana mereka bukanlah author sebaliknya adalah editor.


Mungkin ada di antara kita yang mengatakan ‘alah, tak salah pun letak nama supervisor. Supervisor dah banyak tolong kita’. Memang tidak ada yang salah. Tetapi apabila ia berlaku di dalam dunia akademik ia akan menjadi satu kesalahan yang besar. Ini kerana di dalam dunia akademik, menulis adalah suatu perkara yang wajib dilakukan… semakin banyak bahan penulisan, buku-buku, jurnal-jurnal dan pelbagai lagi bahan akademik yang berjaya anda terbitkan, semakin berkembanglah ilmu anda juga semakin cepatlah pangkat anda dinaikkan… daripada gelaran Dr. kepada Prof Madya kemudian kepada Prof Dr… mungkin juga akhirnya akan memperoleh gelaran Prof Emeritus.

Cuba bayangkan anda memperoleh pangkat dan secara tidak langsung tangga gaji anda juga akan berubah seiring dengan pangkat yang anda peroleh… adakah rezeki yang kita peroleh adalah rezeki yang benar-benar daripada hasil titik peluh kita?

Saya pernah diceritakan oleh sahabat saya.. seorang penuntut di universiti lain..yang melakukan satu kajian. Beliau menulis kajian tersebut di dalam Bahasa Malaysia. Sahabat saya ini turut meletakkan nama supervisornya di dalam kajian tersebut. Kemudian supervisornya menggunakan kajian tersebut untuk dibentangkan di luar negara. Bezanya kajian sahabat saya dialih bahasa ke dalam Bahasa Inggeris. Akhirnya dengan kajian yang bersusah payah dilakukan olehnya.. supervisor tersebut memperoleh pangkat ‘Profesor’ daripada kajian tersebut….

Satu lagi kisah yang diceritakan oleh Prof Syukri sewaktu di INGRAW tersebut.. kisah ini berlaku di luar negara… melalui hasil kajian yang dilakukan oleh dua orang pelajar dengan dibantu oleh seorang supervisor.. dengan izin Allah kajian tersebut mendapat pengiktirafan dan ingin dianugerahkan pingat dan sejumlah wang. Juruhakim tidak mengiktiraf dua orang pelajar tersebut untuk menerima anugerah tersebut memandangkan mereka adalah pelajar. Jadi mereka menganugerahkannya kepada supervisor tersebut. Disebabkan hasil kajian yang dilakukan tersebut sebenarnya dilakukan oleh dua orang pelajar tadi, pelajar tersebut membuat keputusan untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.. Tetapi dengan adanya perbincangan sesama mereka di antara pelajar dan supervisor tadi, kes tersebut dapat diselesaikan di luar mahkamah. Ini kerana sekiranya kes tersebut menjadi kes mahkamah, banyak perkara buruk lain akan timbul. Misalnya nama baik universiti dan supervisor selaku pensyarah akan tercemar. Keputusnnya, mereka bersetuju untuk membahagian sejumlah wang tersebut sama rata di antara mereka.

Jenayah akademik mungkin dianggap remeh oleh kita.. tetapi sebenarnya dengan adanya jenayah yang sebegini, para akademik kini tidak lagi sehebat dulu seperti Prof Ungku Aziz, Prof Syed Hussen Alatas, Prof Dr Yusuf al-Qardhawi dan pelbagai nama besar yang lain. Mereka menulis, mengkaji.. hasil daripada pemikiran mereka sendiri … mereka menerbitkan buku mereka sendiri melalui pandangan, pengalaman dan luahan hati mereka sendiri. Berbeza dengan para akademik kini yang integritinya dan atitudenya semakin hilang kerana pangkat dan gelaran menjadi keutamaan… kesannya universiti kita kini tidak lagi dipandang sehebat dulu.. begitu juga dengan mahasiswanya.. kerana yang mendidik mereka kebanyakannya tidak lagi seikhlas dan setulus kasih pendidik-pendidik terdahulu.

Sebuah hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyai;
صنفان من أمتى اذا صلحوا صلح الناس واذا فسدوا فسد الناس الأمراء والفقهاء
Maksudnya “Dua golongan dari ummatku apabila baik mereka nescaya baiklah manusia keseluruhannya dan apabila rosak mereka nescaya rosaklah keseluruhannya. Iaitu para pemerintah dan para fuqaha (alim ulama)”.

Maksud fuqaha di dalam hadis tersebut juga merangkumi maksud yang lebih luas iaitu ahli akademik… Jadi seandainya mereka telah rosak maka sudah tentu mereka akan merosakkan yang lain pula iaitu para pelajarnya.. rosak lagi merosakkan. Seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud ‘… sesat lagi menyesatkan’.

Saya pulangkan perbincangan ini kepada anda semua terutama yang bakal menjadi ahli akademik, telah menjadi ahli akademik, ingin menjadi ahli akademik dan pelbagai status yang lain… kerana ia suatu tugas yang amat berat. Entry kali ini lebih terarah kepada disiplin ilmu dalam aliran sastera… tetapi bagi saya bezanya tidak terlampau banyak bagi disiplin ilmu dalam aliran sains… namun ia hanya pandangan saya sahaja.

Saya tidak tahu kerana saya lebih menjurus dalam aliran sastera bukan dalam bidang sains. Jadi kepada individu yang terlibat di dalam bidang sains … ia terpulang kepada anda.. Adalah lebih elok sekiranya anda dapat berkongsi maklumat dan pandangan anda berkenaan topik ini terutama bagi individu yang berada di dalam bidang sains.. tinggalkanlah komen anda... semoga ia dapat memberi manfaat kepada semua.

Tuesday, October 20, 2009

"..Janggut Sotong Atas Langit.."

“Ni duit raya banyak-banyak ni nak buat apa?” Tanya saya kepada Abang Ngah.. anak sepupu saya.. yang saya dah anggap macam anak sedara sendiri.. Maklum jelah ibunya yang merupakan sepupu saya. Ibunya adalah anak tunggal.. dah macam kakak kandung saya sendiri.

“Abang Ngah nak beli barang Abang Ngah dengan barang-barang ummi”. Jawab Abang Ngah sepontan.

Jawapan yang diberikan oleh Abang Ngah tadi amat mengejutkan saya.
“Nak beli barang ummi?” Tanya saya inginkan kepastian… tidak percaya dengan kenyataannya tadi.
“Emm.. nak beli barang ummi” Diulangi jawapannya semula dengan bersungguh-sungguh.

“Dulu, Abang Ngah ni cakap kat Kak Jita ‘nak beli barang-barang dapur untuk ummi’… adoi sedih je rasa. Dalam banyak-banyak barang, barang dapur juga yang dipilih?.. emm…” Luah Kak Jita, ummi kepada Abang Ngah. Saya yakin dia terhibur dan gembira dengan celoteh anaknya yang berusia kira-kira tiga ke empat tahun.

Saya memang biasa bertanya dengan ramai kanak-kanak kecil seusia Abang Ngah ini bila memperoleh duit raya… soalan ‘nak beli apa dengan duit banyak-banyak ni?’ adalah satu soalan yang biasa diutarakan oleh saya. Tetapi jawapan yang saya terima biasanya adalah untuk memberi barang mainan… Ultraman, Batman, playstation dan lain-lain… tetapi jawapan kali ini lain daripada kebiasaan membuatkan saya teringin untuk berkongsi kisah mengenainya.

“Emm dia ni.. bila besar nanti nak jaga ummi dia je… walid dia tak nak pun jaga”. Abang Tan, ayah kepada Abang Ngan ini pun tidak ketinggalan berkongsi cerita.
“Laa.. Abang Ngah, kenapa tak nak jaga walid bila besar nanti? Takkan jaga ummi je kot?” Sengaja saya bertanya.
“Yelah… nanti Abang Ngah jagalah walid juga.. dengan ummi juga”. Jawab Abang Ngah.
Kepetahan menyusun kata dan pelatnya yang semakin berkurang membuatkan saya tersenyum melihatnya.

Abang Ngah...

“Kak Jita peninglah fikir… bendalah Abang Ngah ni nak?... Satu hari tu Abang Ngah cakap kat Kak Jita ‘Ummi Abang Ngah dah lama nak cakap dengan ummi. Abang Ngah nak beli sesuatu.. Abang Ngah nak beli janggut sotong atas langit’… Kak Jita puaslah fikir, benda apa yang janggut sotong atas langit?.. Ha.. cuba teka apa dia?” Soalan teka-teki Abang Ngah ditujukan pula kepada kami sewaktu berkunjung ke rumahnya pada hari raya yang lepas.
Puas kami memikirkannya.. tetapi tidak temui jawapan.

“Dapat tak?... Jawapannya layang-layang. Baru je dia tahu yang janggut sotong atas langit tu layang-layang”.
Ketawa besar kami dibuatnya..

Saya tidak bercerita tentang Kak Longnya… kerana Kak Longnya telah meninggal sewaktu tujuh bulan dalam kandungan. Adiknya Abang Teh pula tidak banyak bercakap. Usianya setahun lebih kini… tetapi Abang Teh sangat berani berbanding Abang Ngah… jangan biarkan pintu rumah terbuka.. kalau terbuka, pasti Abang Teh hilang dari pandangnan.. meng’explore’ dunia yang sangat menguji rasa ingin tahunya.

Entry kali ini saya tidak akan banyak membuat kesimpulan atau rumusan.. saya biarkan anda semua memikirkannya. Hanya beberapa perkara yang saya ingin berkongsi.. yang saya yakin ia telah membentuk pemikiran Abang Ngah dan Abang Teh tadi.. pertama, pemakanannya.. Kak Jita sangat menjaga pemakanan anaknya..makanan ringan menjadi makanan larangan yang utama… Juga persekitaran Abang Ngah dan Abang Teh.. kanak-kanak ini dikelilingi oleh individu yang amat membantu perkembangan pemikirannya … selain daripada taraf pendidikan ayah dan ibu.. mereka mempunyai nenek yang turut tinggal bersama mereka... yang boleh saya katakan agak ‘sastera’ orangnya… Gaya bahasa yang sangat baik dan sekali gus membantu cucu-cucunya bertutur dan menggunakan bahasa dengan baik. Mengaji? … yang ini tidak perlu diperjelaskan kerana sekarang Abang Ngah telah menghafal Surah al-Fatihah.

Saya pernah ditanya oleh seorang kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan lima tahun. “Kak Radieah takut hantu tak?”… mengeluh saya dibuatnya.. saya tidak marah. Cuma bimbang dengan kanak-kanak ini. Lalu soalan ini saya ajukan kembali.“Hantu tu apa?”

Rasa ingin tahu menjadi satu lumrah dalam kehidupan manusia. Begitu juga dengan kanak-kanak.. tetapi antara kita kenalkan dia dengan hantu... kenapa tidak dengan Allah s.w.t yang menciptanya… kenapa hantu perlu menjadi topik perkenalan yang kita bual-bualkan dengan mereka? Boleh berbicara tentangnya tetapi jangan terlalu memberi perhatian terhadap topik tersebut.

Hati-hatilah bila berhadapan dengan kanak-kanak.. yang dunia mereka.. dunia yang serba ingin tahu. Memang seronok berbual-bual dengan mereka tetapi hati-hati kerana tugas kita adalah untuk mentarbiyyah dan memperkukuhkan aqidah mereka.

Wednesday, October 14, 2009

Catur Putih Kehilangan 'Permaisuri'


Bagi individu yang menguasai peraturan permainan catur.. sudah semestinya dia tahu bahawa buah catur ‘Queen’ adalah buah catur yang amat bermakna sama ada bagi pihak lawan ataupun sebaliknya. Ia berlaku kerana ‘Queen’ mampu bergerak dengan dua cara berbanding buah catur lain yang hanya mampu menggunakan satu cara sahaja.

Begitu juga dalam kehidupan kita... sekiranya anda mampu menguasai banyak perkara terutama berkenaan dengan softskill, kelebihannya akan berpihak kepada anda.

Zaman serba moden ini, teknologi memainkan peranan penting di dalam kehidupan individu, organisasi dan sebagainya. Masa juga menjadi amat bermakna untuk setiap individu. Bahkan kita tidak pelik sekiranya ada di antara kita yang membeli masa. Contohnya terdapat individu yang menggunakan kapal terbang sebagai pengangkutan utama mereka untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain... alasannya ‘pengangkutan yang lain lambat... buang masa’. Terdapat juga individu yang mengupah sekumpulan pekerja untuk mengutip data bagi kajian yang dilakukan olehnya... semuanya kerana untuk menyingkatkan waktu kajian yang dilakukan olehnya... wang... duit tidak lagi menjadi masalah utama tetapi masalah utama kini beralih kepada masa ... waktu.

Kembali semula kepad softskill... seharusnya setiap individu Muslim harus menguasai pelbagai bentuk softskill untuk memudahkan usaha dakwah yang semakin lama semakin mencabar. Sebagai seorang dai’e penguasaan multimedia dan teknologi amatlah penting kerana generasi muda kini menjadikan multimedia dan teknologi sebagai gaya hidup yang tidak dapat dikesampingkan.

Oleh itu, cara berdakwah juga harus bergerak seiring dengan perkembangan semasa. Jika dahulu mungkin dakwah mungkin dilakukan dalam bentuk ceramah, kuliah, forum dan turun ke lapangan masyarakat seperti yang dilakukan oleh parti gerakan Islam PAS, ABIM, Arqam, JIM dan sebagainya... tetapi cara berdakwah kini harus berubah mengikut perkembangan semasa.

Jika perkara mungkar.. maksiat boleh melakukan perubahan demi perubahan untuk lebih menarik minat masyarakat untuk terpengaruh dengnnya... mengapa tidak cara dakwah kita turut diubah untuk lebih menarik minat generasi muda mendekati Islam...

Seharusnya seorang dai’e perlu pandai mengambil peluang yang ada... jangan terlalu jumud dalam sesuatu perkara.. Islam ini terdiri daripada konsep thabat wa murunah iaitu tetap dan fleksibal. Dakwah itu adalah satu perkara yang wajib untuk kita lakukan. Hukumya adalah thabat (tetap) tetapi cara berdakwah adalah murunah (fleksibal).. terpulang kepada kita bagaimana caranya selagi tidak bertentangan dengan syarak.

Oleh itu, melahirkan individu Muslim yang menguasai banyak soft skill adalah penting. Jika tidak gerakan dakwah akan menjadi lemah, terbantut dan sebagainya kerana jumlah individu yang multi softskill sedikit.

Jangan tunggu sehingga individu tersebut hilang dik ketentuan Ilahi... kerana ia amat sukar untuk dilalui seumpama buah catur kehilangan ‘Queen’ di medan tempur.

Global Leader VS Global Player

Seharusnya kita umat Islam perlu menjadi global leader bukan global player. Maksud global leader ialah individu yang memimpin sesuatu perkara di peringkat antarabangsa. Global player pula bermaksud individu yang menjadi penggerak di dalam sesuatu perkara, juga di peringkat antarabangsa.

Dunia hari ini memerlukan umat Islam berada di barisan hadapan. Tidak sekadar menjadi penggerak di dalam sesebuah organisasi tetapi turut menjadi pemimpin di dalam organisasi tersebut. Kita memuji pemimpin-pemimpin di dalam sesebuah organisasi yang dipimpin olah non-muslim sehingga kita lupa penggerak di belakang tabirnya adalah saudara Muslim kita… yang dikerah tenaga dan akal fikiran mereka untuk menghasilkan perkara yang diingini…

Saintis-saintis, doktor perubatan dan sebagainya yang kebanyakannya terdiri daripada negara India, Pakistan dan pelbagai negara Islam yang lain termasuk Malaysia mempunyai kepakarannya yang tersendiri. Malangnya individu Muslim jarang-jarang memiliki syarikat besar yang mampu menjadi tapak kepada individu Muslim tersebut menyumbang kepakaran mereka.
Walaupun umat Islam kini telah menyumbang kemahiran mereka di peringkat dunia tetapi mereka masih lagi menjadi ‘player’nya bukan menjadi ‘leader’nya. Akhirnya kita kelihatan sering berada di belakang sedangkan kita yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan institusi tersebut.

Bagi mengelakkan situasi ini terus berlaku… kita perlu melahirkan individu yang boleh menjadi global leader seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari yang merupakan salah seorang jutawan Malaysia dan ramai lagi global leader yang lain…

Kita harus menyatukan kepakaran kita yang terdiri daripada global leader dan global player di bawah satu organisasi bagi membentuk sebuah organisasi Muslim yang bertaraf antarabangsa setanding dengan kepakaran syarikat atau institusi yang lain seperti Nestle, NASA, Kiki Lala dan Old Town's.

Monday, October 12, 2009

Boikot: Sejauhmana Kita Istiqamah Dengannya?

Tidak lama dahulu isu boikot memboikot barangan daripada Israel menjadi isu hangat diperkatakan oleh semua. Banyak barang, jenama dan sebagainya kita boikot dalam usaha untuk melumpuhkan sidikit sebanyak ekonomi Israel.

Tetapi kini isu tersebut tidak lagi menjadi sehangat dahulu. Bahkan kita mula lupa untuk memboikot barang atau jenama yang dahulunya kita boikot.

Boikot barangan dari Israel sebenarnya tidak sahaja menyelamatkan penduduk Palestin daripada serangan tentera Israel tetapi ia turut memberi peluang kepada industri tempatan terus berkembang. Bagi saya, memang hari ini kita susah untuk memperoleh barangan yang terbaik berbanding barangan perjenama yang dikeluarkan oleh Israel dan sekutunya.
Tetapi dengan memboikot barangan mereka secara tidak langsung kita telah memberi harapan kepada industri tempatan untuk berkembang. Dengan membeli barangan buatan muslim, Insya Allah suatu hari nanti barangan buatan muslim juga akan turut setanding dengan jenama mereka.

Persoalannya kini sejauhmana kita mampu untuk istiqamah dengan perkara yang telah kita mulakan dahulu? Teruskanlah memboikot barangan atau jemana daripada Israel, belilah barangan buatan Muslim yang Insya Allah… terjamin kehalalannya.

Ilmu Itu Letaknya Di Dalam Hati

Penat mengemas rumah yang bersepah dengan buku-buku, nota kuliah dan pelbagai bahan akademik lain di pagi hari masih terasa sehingga ke petang. Serba salah saya dibuatnya untuk membuang nota-nota kuliah dan handouts yang cukup banyak. “Sayang… nanti nak rujuk balik susah kalau dah buang”… dan macam-macam lagi alasan membuatkan saya tidak membuangnya.
Memang patut Imam Al-Ghazali ditegur oleh perompak “....al-ilmu fi sudur laisa fi sutur” … ilmu itu letaknya di dalam hati bukan di dalam helaian-helaian.

Bila ilmu itu letaknya di dalam kitab-kitab, buku-buku atau lembaran kertas-kertas maka jadilah seperti saya yang tidak mampu membuang catatan yang saya lakukan atau helainan yang mengandungi ilmu sehingga memenuhi ruang rumah yang sememangnya telah pun sempit.


Sunday, September 27, 2009

Pejuang Sentimental


Novel-novel berbentuk islamik mula membanjiri pasaran. Saya tidak tahu sejak bila. Adakah ia bermula selepas novel ‘Ayat-Ayat Cinta’ menjadi novel best seller? Entahlah…saya tidak pasti.. hanya sekadar menekanya..

Jika dahulu saya antara pembaca yang suka membaca novel. Tetapi sejak berada di form six novel tidak lagi menjadi unsur bacaan yang suka saya baca. Seingat saya sejak dari form six hingga kini novel yang pernah saya baca cuma ‘Ayat-Ayat Cinta’. Itupun setelah rakan-rakan sering memperkatakan tentangnya. Tetapi selepas membacanya…saya akhiri bacaan dengan penyesalan.. “Buang masa betul baca novel ni”. Itulah kesimpulan yang boleh saya buat. Mungkin membaca novel bukan lagi jiwa saya.

Begitu juga dengan nasyid… bagi saya kebanyakan nasyid yang kedengaran dicorong-corong radio kini tidak lagi mengandungi unsur tarbiyyah… tidak lagi seperti dahulu. Nasyid kini tidak ada bezanya dengan lagu-lagu yang penuh dengan unsur-unsur melalaikan. Bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan nasyid kini berselindung di sebalik nama ‘nasyid’… tidak ada beza dengan lagu biasa apabila diteliti dengan lebih mendalam kerana unsur dakwah disatukan dengan unsur yang melalikan.

Tidak keterlaluan juga untuk saya katakan novel dan nasyid kini antara punca yang meruntuhkan gerakan dakwah. Novel dijadikan bahan bacaan oleh mereka berbanding kitab-kitab haraki dan banyak bahan bacaan yang berfaedah yang lain. Begitu juga dengan nasyid yang sering kali dijadikan halwa telinga bagi menghilangkan bosan.

Saya tidak mengatakan ia salah tetapi hati-hati. Pilihlah nasyid yang terbaik. Seandainya tersalah pilih... ia boleh mendidik jiwa kita hanyut dari jiwa seorang pejuang kerana kita didik jiwa kita terlalu mengikut perasaan dengan bahan bacaan sedemikian rupa.. ditambah pula dengan nasyid yang melalaikan… dengan lirik dan irama yang mengasyikkan… yang akhirnya menjadikan kita berjiwa sentimental. Jiwa kita tidak lagi sekental pejuang-pejuang terdahulu seperti Zainab Al-Ghazali, As-Syahid Hasan Al-Bana dan As-Syahid Hasan Hudaibi.

Kerana nasyid dan novel sedemikian rupa kita lebih secocok untuk digelar pejuang sentimental.


Saturday, September 12, 2009

Memori yang Hilang

Buat seketika saya amat terkejut dengan video yang di uplord ke dalam youtiub. Bukan kerana marah… tetapi saya sangat bersyukur kerana hasil karya saya dimuatkan di dalam youtiub. Terima kasih kepada individu yang menguplord video tersebut.

Saya telah kehilangan semua video yang saya hasilkan untuk program-program Persatuan Mahasiswa Islam USM (PMIUSM) setelah laptop diserang virus hampir setahun lalu. Tidak saya sangka…di bulan yang penuh keberkatan ini saya ketemuainya kembali… bukan di dalam simpanan saya tetapi lebih bermakna saya temuinya di dalam youtiub… walaupun cuma hanya sebuah video saya temui tetapi …Alhamdulillah…

http://www.youtube.com/watch?v=qILe2PQzq04&feature=channel – Warkah Ke Syurga

Ada juga video-video lain yang dihasilkan oleh sahabat-sahabat seperjuangan turut dimuatkan di dalam youtiub… apapun semoga ia memberi manfaat kepada semua.

http://www.youtube.com/watch?v=bWccMS9e484&feature=channel – Terimalah sentuhan dari Rabbmu.
http://www.youtube.com/watch?v=pMAoLxf56gQ&feature=channel - Sambungan Terimah Sentuhan dari Rabbmu..

http://www.youtube.com/watch?v=RJoy6io06Hk&feature=fvw – Jika Aku Jatuh Cinta.

Mungkin ada banyak lagi…
Wallahu’alam…

Saturday, August 29, 2009

Menjernihkan Perkara yang Keroh

Pernah suatu ketika saya diamanahkan untuk menulis satu artikel bagi pihak individu lain (artikel ini bermakna walaupun saya yang menulis, nama individu tersebut diletakkan sebagai pengarang). Selesai saya artikel tersebut saya serahkan kepada individu berkenaan. Malangnya setelah penat membelek kamus, membaca pelbagai rujukan lain untuk dijadikan sandaran kepada artikel tersebut, saya mendapat kritikan hebat terhadap artikel yang saya tulis.

Saya tidak marah seandainya perkara yang saya tulis memang bercanggahan dengan fakta dan sebagainya. Tetapi malangnya ia hanyalah disebabkan untuk menjaga hati pihak lain dengan erti kata lain, artikel tersebut dikatakan menyentuh isu perkauman. Bahkan berita yang sampai kepada saya ada yang menyatakan “Kita bukan hendak mengetuk gendang perang”.

Artikel tersebut ditulis sempena bulan Ramadhan. Saya memilih untuk mengutarakan isu Liberalisasi yang pada ketika itu sangat hangat diperkatakan. Walaupun secara keseluruhannya artikel tersebut khas ditujukan kepada warga muslim kampus tetapi bagi saya tidak menjadi masalah sekiranya non-muslim turut membacanya. Saya menulis untuk menyedarkan umat Islam tentang bahaya liberalisasi dan sekiranya non-muslim membaca, mereka akan sedar bahawa Islam itu bagaimana ia sebenarnya.

Bila saya renung kembali peristiwa tersebut, saya dapat rasakan… kita lemah, kita dihina kerana kita sendiri takut mengetengahkan bahawa Islam itu sebenarnya bagaimana. Kita terlalu dimomokkan dengan isu perkauman sehingga kita menjaga hati non-muslim melebihi hati saudara kita (individu muslim) sedangkan menggasihi kaum muslim itu adalah wajib bagi kita.

Conference ISDEV tempoh hari (18-19 Ogos 2009) turut mengajar saya bahawa, masih terdapat individu yang berpendapat hanya individu yang benar-benar melalui sistem pendidikan pengajian Islam sahaja dikatakan layak untuk bercakap berkenaan Islam. Adakah disebabkan kelemahan kami dalam berbahasa Arab untuk memahami kitab-kitab ulama terdahulu menyebabkan kami tidak layak bercakap tentang hal yang bersangkut paut dengannya? Saya mengakuinya. Tetapi adakah Allah s.w.t akan menghukum kita disebabkan kelemahan yang telah sedaya upaya cuba kita atasi? Dan adakah individu yang melalui sistem pendidikan pengajian Islam mampu untuk mengIslamisasikan setiap ilmu yang semakin terpesong dengan tasawur Islam?

Kalau dulu Imam al-Ghazali, Ibn Taimiyyah, Al-Kindi dan sebagainya cuba untuk mengIslamisasikan ilmu falsafah (mantiq) yang sangat meluas dipelajari pada ketika itu sehingakan orang Islam turut terpengaruh dengan penggunaan akal sebagai sumber utama untuk memperoleh ilmu sedangkan sepatutnya al-Quran, hadith, ijma’ ulama dan qias adalah sumber utama tersebut. Namun, akhirnya mereka berjaya menjernihkannya ilmu falsafah yang diketengahkan oleh Plato, Aristotle dan ahli falasafah barat lain. Bahkan di sekolah menengah dan universiti kini, ditawarkan untuk mempelajari ilmu mantiq yang telah dijernihkan atau diIslamisasikan oleh ulama terdahulu.

Tetapi itu dahulu… jika dahulu ilmu falsafah menjadi ilmu yang sangat diagung-agungkan tetapi kini ilmu sains dan teknologi mengambil tempat keagungan tersebut. Siapa yang mahu menjernihkan ilmu tersebut daripada berlakunya kesyirikan kepada Allah s.w.t? Adakah mereka daripada disiplin pendidikan Islam dapat melakukan seperti ulama terdahulu?. Begitu juga dalam bidang pengurusan yang saya pelajari kini… siapa yang mahu menjernihkannya kalau bukan kami… walaupun pada hakikatnya kami bimbang untuk melakukannya… tetapi sampai bila?

Friday, August 28, 2009

Meluruskan Tulang Yang Bengkok

“Kak Radieah macam mana sekarang bergelar isteri?”
“Isss dia ni. Tak ada soalan lain dah ke?”
“Alah akak ni kongsilah dengan saya. Saya pun nak tahu juga”.
“Tak ada yang luar biasa. Semuanya biasa-biasa”.
“Kak Radieah kalau saya tanya tentang hal peribadi, susah sungguh nak bercerita”. Mukanya mula masam mencuka.
“Okeylah saya tukar soalan. Apa pandangan Kak Radieah tentang suami soleh dan isteri solehah… Macam mana nak jadi macam tu?”. Tak berputus asa nampaknya junior saya yang sorang ni.

“Mudah je. Just ikut je apa yang Rasulullah pesan dan apa yang Allah cakap”. Balasku bersahaja.
“Yang tu saya tahu”. Balasnya.
“Abis nak yang macam mana. Apa lagi yang tak cukup?”. Soalku sengaja.

“Saya tahu, Kak Radieah ada pendapat dan pandangan sendiri. Macam Ust Hasrizal, ada pandangan sendiri”.
“Kalau dah baca blog dengan buku Ust Hasrizal, apa lagi yang perlu Kak Radieah cakap. Semuanya telah dijelaskan”.

“Alah kak…” keluhnya. Melihatnya yang begitu bersungguh-sungguh, akhirnya saya bersuara.
“Suami ni tempat pergantungan sepenuhnya seorang Isteri. Lebih berat lagi, keimanan seorang isteri turut terletak pada suaminya. Macam Ust Hasrizal kata perkahwinan adalah tempat untuk memberi sebanyak-banyaknya. So seorang isteri harus beri sebanyak-banyaknya kepada suaminya. Tetapi seorang suami yang baik tidak menyusahkan isterinya dengan pelbagai perkara semata-mata dengan alasan supaya si isteri boleh kutip sebanyak-banyak pahala darinya”.

“Saya tak faham”. Berkerut dahinya cuba memahami perkara yang saya katakan tadi.

“Suami yang baik akan memudahkan perjalanan isterinya untuk ke syurga. Bukan memaksa, meminta dan pelbagai perkara lain supaya dilakukan oleh isterinya sedangkan sebelum bergelar suami, perkara tersebut merupakan rutin hariannya. Maklum sajalah, apa sahaja yang suami minta, si isteri wajib tunaikan… seolah-olah macam nak mengambil kesempatan atas hukum yang Allah tetapkan ke atas para isteri. Bukan maksud Kak Radieah tak boleh minta bantuan langsung. Tetapi bantulah si isteri tu sama. Sekarang isteri tidak lagi suri sepenuh masa. Dialah yang keluar bekerja… Dialah yang keluar berdakwah… Dialah yang melakukan tugas jemaah… Dialah yang menguruskan anak… Dialah yang menguruskan rumah tangga. Dia isteri, pendakwah, ibu, anak, majikan, pekerja, macam-macam lagilah. Tugas yang dulunya dipikul oleh kaum lelaki kini dipikul oleh seorang isteri. Agak-agak awak, tak penat ke isteri dalam keadaan di luar dia bekerjaya, di rumah menguruskan rumah tangga?”

“Penat. Kadang-kadang saya rasa, tempat isteri tu yang terbaik di rumah bukan di luar rumah”. Balasnya perlahan.

“Ya betul. Sebaiknya tempat yang baik untuk wanita solehah adalah di rumah. Tetapi tuntutan di masa ini membuatkan kita tidak boleh lagi berada di rumah sahaja. Di luar sana sangat ramai yang memerlukan kita sama ada di dalam kerjaya, dakwah dan sebagainya. Bagi Kak Radieah, isteri yang berada di luar rumah sekarang tidak lagi sekadar membantu suami mencari nafkah tetapi berperanan menutup lompang-lompang yang tidak boleh dilakukan oleh kaum lelaki. Misalnya keperluan kepada doktor perempuan untuk merawat pesakit perempuan dan melakukan dakwah yang akhir zaman ini, golongan perempuan lebih ramai dari lelaki”.

“Kalau dapat suami yang baik, ahlamdulillah. Tapi kalau dapat yang jahat?... emmm...” Ada nada keluhan di hujungnya.

“Kalau yang jahat, maknanya Allah nak bagi perempuan tu tempat yang tinggi di sisiNya dengan kesabaran yang dilalui olehnya sepanjang berada di alam rumah tangga. Macam Aisyah, isteri Firaun. Kawan Kak Radieah pernah cerita macam mana sengsaranya mak dia sewaktu hidup dengan ayahnya. Tapi dia cakap mak dia sangat tabah. Dia rasa tak ada orang setabah mak dia. Ayah dia dah ceraikan pun mak dia sekarang”.

Junior ku tadi hanya memandangku tanpa sepatah perkataan pun keluar dari mulutnya.
“Perempuan ni, Allah ciptakan dari tulang rusuk yang bengkok. Peranan seorang suami adalah meluruskannya*. Jadi nak luruskannya bukan mudah. Tak boleh terlalu kasar atau cepat-cepat.. takut nanti patah. Masalahnya biasanya kita terlalu nak cepat… tak sabar. Sehingga terlupa kalau dah tulang dah tentu tak akan lurus. Tulang hanya akan lurus dengan izin Allah.. Ikhtiar manusia? tak sampai 5% pun menyumbang kepada lurusnya tulang tadi. Kak Radieah tak ingat baca tentang ni kat mana”.

“Eh, Kak Radieah kena cepat ni. Ada hal. Nanti kalau dah jadi isteri banyakkan bersabar dengan karenah suami dan tak lupa...karenah anak-anak. Tu je…mudah je…dan jangan lupa memberi sebanyak-banyaknya. Jangan persoalkan hak yang harus kita dapat dari suami tetapi persoalkan apa yang telah dan harus kita beri kepada suami dan anak-anak awak nanti. Kak Radieah dah lewat ni... pergi dulu. Assalamu'alaikum”.

"Wa'alaikumsalam". Balasnya perlahan.


*Rasulullah s.a.w bersabda "Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu biarkan sahaja dia akan terus bengkok selama-lamanya. Justeru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan)." Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Keterangan lanjut berkenaan tulang rusuk yang bengkok sila rujuk Danial Zainal Abidin (2007). Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains. Selangor: PTS Publications.

Wednesday, August 26, 2009

Kelayakan Untuk Berhari Raya


Entry di dalam kebanyakan blog, e-mail, sms dan sebagainya, kebanyakannya mengucapkan tentang kelebihan Ramadhan... ucapan 'selamat berpuasa', dan pelbagai lagi ucapan lain yang berkaitan dengannya. Setahun telah berlalu, saya juga pernah menulis perkara yang sama tentangnya. Jadi kali ini saya putuskan untuk tidak menulis perkara yang sama berkenaan Ramadhan.

Masih terlalu awal untuk saya bercerita tentang Syawal atau hari kemenangan buat kita semua. Tetapi bagi saya, entry kali ini lebih sesuai untuk saya tuliskan lebih awal supaya ia menjadi peringatan untuk kita semua.

Entry kali ini berdasarkan sebuah kisah. Suatu hari telah datang seseorang bertanya kepada seorang a'bid (ahli ibadah) "Bila hari raya kamu?". A'bid itu menjawab "Bagi saya, hari raya adalah hari
  1. Ketika saya tidak berbuat maksiat kepada Allah s.w.t

  2. Ketika datangnya kemenangan bagi orang-orang beriman.

  3. Ketika saya kembali kepada hidayah serta bimbingan Allah s.w.t dengan memperbaiki urusan saya.

Bagi saya hari raya bukanlah hari orang berpakaian baru dan mewah melainkan orang yang mampu menjauhkan diri dari siksaan api neraka.

Jadi renung-renungkanlah... puasa yang kita lakukan, adakah boleh untuk kita berhari raya? Adakah kita telah mengecapi kemenangan daripada puasa tersebut? Baju raya yang telah siap ditempah atau dibeli sebelum tibanya Ramadhan, adakah kita layak untuk memakainya?

Semoga rahmat Allah s.w.t sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita.

Thursday, August 6, 2009

Bala yang Melanda Dunia


Pada mulanya saya tidak terlalu ambil kisah sangat dengan kes H1N1. Tetapi apabila angkanya sehingga 1476 kes dan kematian mencatat angka sehingga 12 orang, saya mula merasa bimbang. Tambahan pula, kajian WHO menjangkakan 28 000 orang rakyat Malaysia dijangka akan meninggal disebabkan jangkitan tersebut dalam tempoh masa dua tahun sekiranya tidak ditemui vaksin untuk melawan virus tersebut.

Bala dari Allah S.W.T yang kita sendiri tidak dapat elak. Seperti mana yang dikatakan oleh Dr. Haron Din. Kalau umat terdahulu, ada nabi yang boleh bagi amaran. Boleh lari dari kawasan yang bakal di timpa bala. Nabi Lut A.S, Nabi Nuh A.S, Nabi Salleh A.S dan ramai lagi nabi yang lain boleh ajak kaum yang beriman kepada Allah S.W.T lari daripada kawasan yang bakal ditimpa bala. Tetapi kita hari ini, nabi sudah tiada. Ke mana kita mahu menyelamatkan diri? Kalau perlu cari tempat selamat, di mana tempat selamat tersebut? Kalau perlu menyembunyikan diri, di mana tempat persembunyian tersebut? Kalau perlu kuarantin, berapa lama tempoh kuarantin tersebut?

Firman Allah S.W.T,
Maksudnya;
"Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). Katakanlah: "Adakanlah perjalanan di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu. Kebanyakan dari mereka itu adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah)". Oleh karena itu, hadapkanlah wajahmu kepada agama yang lurus (Islam) sebelum datang dari Allah suatu hari yang tidak dapat ditolak (kedatangannya): pada hari itu mereka terpisah-pisah."
(Surah ar-Rum, ayat 41-43)

Kita masih ada Allah S.W.T... Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang... Moga kita semua diselamatkan dari bala yang sedang melanda kini.

Pemikul Amanah


“Ada tak orang yang boleh buat kebajikan mengajar tuisyen kat Maahad Tahfiz… dalam masa yang sama mereka anak yatim?”.

“Ha, apa lagi Radieah. Nisa’ Bayan Baru lah”.

“Aduh, bukan tak nak. Nisa’ Smart Class pun kami tak berjalan dengan lancar lagi. Bukan setakat Bayan Baru je, Sungai Ara pun minta kami buat tusyen. Mana larat. Tak cukup tenaga… Tengoklah dulu. Nanti saya bincang dengan yang lain”. Ada sedikit kekesalan sedikit di situ.

Perbualan kami terhenti di situ. Tetapi saya percaya kami masih memikirkannya.

Tanggungjawab kita banyak tetapi kudrat kita tidak sebanyak mana. Amanah yang dipikul oleh bahu ini berat bahkan berkali-kali juga ia terlepas dari pikulan saya.

Seperti lima teka-teki Imam al-Ghazali dalam entry saya yang lepas. Teka-tekinya yang keempat tentang apakah yang paling berat di dunia lalu muridnya menjawab: " Besi, gajah". Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'menanggung amanah'. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.

Selalu saya ingin mengagihkannya kepada sesiapa yang mahu memikul amanah ini bersama... tetapi tidak ramai yang sudi memikulnya.

Tuesday, July 21, 2009

Memelihara Ketulenan Perjuangan

10 Muwasofat merupakan ciri-ciri utama pembinaan seorang kader dakwah

"Kita tidak berjaya mengikut satu amal bagi seorang anbiya' pun, walaupun kesemua amal kita hari ini dikumpulkan serentak. Kegopohan dan gejala ghulu' (melampau) serta isti'jal (melulu) adalah antara punca kita jauh daripada perjuangan Islam malah kita mungkin menikam kebangkitan Islam di tanah kita berdiri" kata-kata Imam Malik.

“Generasi akhir ini tidak akan baik kecuali dengan faktor-faktor yang membuatkan generasi pertama dulu baik” nukilan Imam Malik dalam kitabnya al-Muataq.

Maksudnya;

"Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah untuk didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafiq itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh sekali bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu". Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta"

(At-Taubah, ayat 42)

Monday, July 13, 2009

Disebalik Rintihan Hati Natrah

"Hukum syariah adalah untuk memelihara keamanan dan
kesinambungan peradaban" - Mukadimah Ibn Khaldun

Entry sebelum ini mengisahkan tentang pemergian Michael Jackson yang lahirnya bukan beragama Islam tetapi meninggal di dalam Islam, insya Allah. Begitu juga dengan Sheikh Fathi Yakan yang merupakan ulama terkenal yang menulis pelbagai kitab bahkan memiliki sebuah universiti yang bertujuan untuk mentabiyyah umat Islam. Tetapi entry kali ini menyentuh tentang pemergian Natrah dan cukup luar biasa tragedi yang dilalui olehnya.

Suatu ketika dahulu saya tidak mengenalinya. Tetapi apabila ada sebuah lagu nasyid yang dinasyidkan oleh sebuah kumpulan nasyid sewaktu di pertandingan sekolah menengah dahulu, saya mula merasakan perlu untuk mengetahui sejarah tentangnya. Sejarah yang disembunyikan daripada dicatatkan dalam teks-teks buku sejarah di sekolah.

Keghairahan saya untuk mengetahui sejarah tersebut membuatkan rakan sebilik saya membawa majalah-majalah lama yang menceritakan detik menyayat hati tersebut. Saya mula membelek-belek majalah tersebut. Saya tidak begitu mengingatinya.

Tetapi yang masih saya ingati, Natrah merupakan anak kepada ibu bapa yang berketurunan Belanda. Namun sewaktu penjajahan berlaku Natrah diserahkan kepada ibu angkatnya yang berketurunan Melayu. Kemudian nama asal Natrah ditukar kepada nama Islam (Natrah) yang pernah mencoret sejarah hitam kepada sistem perundangan Islam negara.

Rusuhan Natrah telah berlaku di Singapura berlaku pada tahun 12 Disember 1950 (sewaktu itu Singapura masih sebahagian daripada Malaysia) disebabkan mahkamah memutuskan Natrah perlu dikembalikan kepada ibu bapanya yang sebenar dan mereka berhak menentukan agama Natrah.

Keputusan mahkamah tersebut membuatkan orang Islam bangkit menentang keputusan mahkamah. Bahkan seorang ustaz pernah menceritakan kepada saya, pada waktu itu orang Islam sanggup mengayuh basikal daripada Terangganu ke Singapura semata-mata untuk menyelamatkan aqidah Natrah.

Kejayaan ibu bapa Natrah terhadap kes tersebut menyebabkan Natrah dibawa ke sebuah gereja yang terletak di Belanda. Lalu diberi minum holly water oleh paderi di gereja tersebut. Saya diberitahu sewaktu Natrah diisytiharkan keluar daripada Islam, seluruh gereja di Bumi ini membunyikan locengnya tanda mereka telah berjaya mengalahkan Islam.

Tetapi berita ini tidaklah terlalu digemparkan kerana bimbang mengganggu sentimen perkauman...inilah hakikat Malaysia. Antara kasih sayang Allah dengan kasih sayang manusia, Malaysia memilih untuk memperoleh kasih sayang manusia, walaupun kasih sayang Allah itu membatasi kasih sayang seluruh makhlukNya, tetapi kasih sayang manusia tetap menjadi pilihan.

Luahan hati seorang ustaz menambah mengecewakan saya. Katanya di atas meja pejabat agama Islam negeri (saya tidak ingat sama ada pejabat agama Islam atau mahkamah) terdapat ribuan borang permohonan untuk menukar agama daripada Islam kepada Kristian, Hindu dan sebagainya...yang itu yang mengisi borang.. yang tidak mengisi borang bagaimana pula? Murtad, syirik kepada Allah tidak berlaku hanya disebabkan mengisi borang. Ia cukup mudah berlaku sama ada dengan perbuatan, lidah atau hati kita...nauzubillahi minzalik..

Kita tidak lagi pedulikan isu murtad ini seperti mana kemurtadan yang terpaksa dilalui oleh Natrah. Mungkin kerana Natrah dipaksa untuk murtad membuatkan kita peduli akannya, tetapi mereka yang lain sukarela untuk murtad kita biarkan sahaja. Bahkan hari ini umat Islam sendiri menubuhkan pertubuhan-pertubuhan yang menjurus ke arah kesesatan...bahkan boleh jadi ke arah kemurtadan. Mereka berselindung di sebalik tujuan untuk menegakkan hak asasi manusia. Contohnya Sister In Islam (SIS) dan Suruhanjaya Antara Kepercayaan/Interfaith Commission (IFC).

Apa pun kata-kata mereka di bawah sebagai renungan bersama, yang saya copy paste daripada blog Akhi Muhammad Fadhullah Ismail.

William Ewart Gladstone (1809- 1898) bekas Perdana Menteri Britain zaman Queen Victoria "Selagi mereka ( umat Islam ) berpegang dengan kitab ini, selama itulah mereka bangkit dan kita tidak dapat menundukkan mereka. Oleh itu pisahkan mereka dari Kitab ini". - ( ucapan beliau sambil mengangkat Al-Qur'an dalam Parlimen Britain ketika membincangkan penentangan umat Islam terhadap penjajahan )

Theodore Hertzel - pencetus idea penubuhan negara Yahudi ( penulis buku Negara Yahudi : 1895 ) "Misi kalian bukanlah mengeluarkan mereka dari Islam, walaupun yang terakhir ini merupakan keberhasilan yang paling gemilang. Tapi lebih pada usaha bagaimana menjauhkan mereka dari Islam..jadikanlah mereka sebagai orang Islam yang tidak kenal agamanya sendiri, orang Islam yang gemar berfoya-foya, suka dengan kemaksiatan, hidup semata-mata untuk cari harta dan jabatan..jika umat Islam sudah menjadi seperti ini, maka misi kalian sudah berhasil..laksanakan dan tunaikan misi kalian ini dengan penuh kesedaran - ucapan di Persidangan Yahudi di Basle, Switzerland : 1897.

Lord Cromer - Gabernor Inggeris di Mesir & Sudan telah menulis " Bahawasanya tanah jahan yang diberi kemerdekaan itu perlu diserahkan kepada anak negeri yang dapat melangsungkan dasar-dasar dan polisi yang menjaga kepentingan dan keselamatan Barat "

Mereka telah berjaya memisahkan kita daripada Islam, maka disebakan itu kita tidak lagi ambil peduli akan isu yang melibatkan runtuhnya aqidah umat Islam si seluruh dunia. Kita telah ditimpa penyalit 'wahan' seperti mana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w... penyakit cinta akan dunia, takut akan mati...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...