Sunday, December 21, 2008

Mentarbiyyah & Ditarbiyyah

Dari kiri Nur Aisyah Humaira Binti Zulhilmi, Mohd Iman Hakimi Bin Zulhilmi
dan Syed Amar Osman Bin Syed Hisyam

Mendidik seorang anak bukanlah bermula apabila dia mengenali huruf ABC, 123 atau ا ب ت tetapi ia bermula daripada dalam rahim si ibunya lagi. Saya masih ingat nasihat seorang guru yang mengajar mata pelajaran Insya’ (Karangan Bahasa Arab), Ust Faridzul Izzat sewaktu di tingkatan 4 Al-Farabi di Ma’ahad SAS “Tingkah laku antum semasa ini akan diwarisi oleh anak antum kelak. Jadi jaga baik-baik perbuatan antum, percakapan antum dan segala-galanya kerana ia mampu mempengaruhi zuriat antum nanti. Lebih kurang macam itulah nasihatnya kepada kami.

Saya juga masih ingat kata-kata Pengerusi Majlis Mesyuarat Jambori Nisa’ Pulau Pinang 2008 juga selaku timbalan pengarah jambori tersebut lebih kurang begini Walaupun hanya program jambori tetapi program yang dijalankan sebenarnya berjalan sebelum program. Seumpana untuk melahirkan zuriat yang baik bukan selepas lahirnya zuriat tersebut sebaliknya sebelum lahirnya zuriat. Program ini bukan sahaja untuk mendidik remaja tetapi sebaliknya mentarbiyyah ajk program itu sendiri.”

Bagi melahirkan generasi yang baik, ia bermula dari saat ini. Bermula daripada individu yang bertanggungjawab untuk mentarbiyyah individu lain menjadi individu yang baik. Mentarbiyyah dalam masa yang sama juga harus menyediakan diri untuk ditarbiyyah. Namun begitu, kebanyakan daripada kita terlalu ego untuk menerima terguran daripada individu yang dirasakan tidak layak menegur kita..mungkin kerana dia masih kecil, pakaiannya tidak sehebat kita, kedudukannya tidak standing kita dan banyak lagi alasan yang membuatkan kita merasa tidak layak untuk menerima tegurannya.

Ucapan maaf dan terima kasih juga susah untuk kita ungkapkan kepada golongan tersebut. Sama ada ungkapan maaf atau terima kasih daripada seorang ayah atau ibu kepada anaknya. Seorang yang kaya kepada yang miskin atau yang berpangkat kepada yang tidak berjawatan. Sikap sebegini akhirnya menimbulkan jurang yang besar antara ibu bapa dengan anaknya, golongan kaya dengan miskin, pemerintah dengan rakyatnya dan pelbagai golongan lain.

Kembali kepada tajuk perbincangan asal… Tarbiyyah yang terbaik adalah apabila seseorang itu turut menyediakan dirinya untuk ditarbiyyah walaupun pada ketika itu dia sedang mentarbiyyah individu lain. Saya lebih suka untuk mencari punca permasalahan yang timbul adalah disebabkan diri kita sebelum sama-sama membetulkan kesalahan individu lain. Bukan menyalahkan orang lain sekiranya kita dapati kesalahan memang bukan berpunca daripada kita…kerana harus kita ingat sahamnya (kesalahannya) kalau tidak banyak mungkin 0.01% juga berpunca daripada kita.

Saturday, December 20, 2008

Hati Yang Berbisik Membuatkan Akal Mula Terusik

Sepanjang hidup saya bergelar pelajar dan sehingga ke akhir hayat Insya Allah, saya mahu menjadi pelajar…telah banyak sesi motivasi, muhasabah dan program pemantapan diri telah saya lalui. Sehingga ke hari ini saya masih terus tertanya-tanya mengapa sesi motivasi, muhasabah dan pelbagai program yang saya ikuti tidak mampu membuatkan saya terus beristiqamah dalam melakukan perkara kebaikan. Mengapa tazkiyyah an-nafs (penyucian jiwa) yang diterapkan di dalam setiap program tersebut tidak berjaya menusuk hati dan fikiran saya?

Alhamdulillah…Allah tidak membenarkan saya terus tertanya-tanya. Termenung dan berfikir mencari jawapan keseorangan. Melalui sedikit bacaan, kuliah, usrah, dan juga perbualan secara tidak langsung Allah telah menemukan jawapan bagi persoalan tersebut.

Allah S.W.T bekalkan hati kepada manusia untuk menilai suatu perkara yang tidak boleh dijelaskan oleh akal fikiran. Hati adalah sangat penting untuk dijaga dan dipelihara. Hati merupakan tempat letaknya iman. Seseorang itu cepat tersentuh jika kita berjaya menyentuh hatinya.

Zaman dahulu sewaktu ibu bapa kita masih kecil, istilah pakar motivasi atau kaunselor adalah suatu istilah yang sangat asing bagi mereka. Tetapi tidak lagi pada zaman ini. Zaman tersebut telah berlalu kerana kita kini tidak lagi pandai menyentuh hati manusia di sekeliling kita. Perasaan sayang dan kasih bertukar menjadi benci dan dendam. Kita hidup dalam suasana saling dengki dan iri hati. Hidup dalam keadaan serba tidak kena.

Jadi tidak menjadi satu kehairanan kalau dahulu guru menjadi sanjungan. Ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk dididik oleh guru dengan ucapan “Cikgu didiklah anak saya ini. Buatlah apa yang cikgu rasa apa patut buat. Pukullah dia, cubitlah dia. Saya tak kesah. Asalkan anak saya pandai…mampu berdikari” Tetapi hari ini ucapan tersebut telah berubah kepada “You ajar anak I sampai pandai. Tapi ingat jangan sentuh dia…apa lagi you pukul dia. Kalau berlaku juga, see you at the court”

Malang sekali ibu bapa sekarang. Seharusnya anak-anak itu bukan sahaja dididik dengan akalnya tetapi yang paling penting adalah melentur hatinya supaya dengan hati yang berbisik akalnya mula terusik. Hati yang mula menyedari keperluannya untuk belajar dengan baik membuatkan seseorang anak itu mengetahui matlamat sebenar dia belajar. Bukan kepandaian menjadi keutamaan tetapi sumbangannya terhadap masyarakat di sekelilingnya yang harus diutamakan. Sudah tentu sumbangan itu lahir dari akal fikirannya dan tersentuh dik hati yang berbisik melihat kekacauan dunia di sekelilngnya.

Begitu juga dengan guru atau sesiapa sahaja yang menjadi pendidik baik motivator, lecturer, dai’e, ibu, ayah, kakak, abang, sahabat, pemimpin dan lain-lain karektor, bentuk pengajaran dari akal ke akal tidak boleh diguna pakai sama sekali. Hal ini kerana pembelajaran atau didikan dari akal ke akal membuatkan seseorang itu akan cepat memberontak atau paling tidak soalan yang diutarakan kepada kita bertujuan untuk menyakitkan hati kita. Jadi adalah tidak menjadi satu kehairanan kejadian yang banyak dipaparkan didada-dada akhbar menceritakan kederhakaan anak terhadap ibu bapa atau kebidapan pelajar terhadap gurunya.

Saya pinjam kata-kata daripada Ust Hasrizal Abdul Jalil “People don’t care how much you know until they know how much you care” ( Orang tidak peduli sebanyak mana kita tahu, sehinggalah mereka tahu sejauh mana kita peduli). Menunjukkan rasa peduli itulah bermula daripada hati kita. Tumpahkan dan tunjukkan rasa sayang…selebihnya Insya Allah, Dia akan aturkan untuk kita.

Hati dan akal harus dipelihara sebaik mungkin. Kedua-duanya secara tidak langsung telah saya kongsikan di dalam artikel-artikel yang telah lepas. Bacalah…tidak rugi andai kita rajin membaca.

"Kak Radieah, kenapa kumpulan kita tak dapat nombor satu...?"

Alhamdulillah…setelah merancang hampir berbulan-bulan Jambori Nisa’ Pulau Pinang telah berjaya diadakan. Banyak pengalaman yang kami timba, baik ahli jawatankuasa mahupun peserta. Antaranya, kami pelajari ilmu baru iaitu cara untuk menentukan masuknya waktu solat dengan melihat bayang-bayang matahari dan penentuan arah kiblat dengan melihat kulat yang tumbuh pada batang pokok. Subhanallah…Dia maha hebat…

Pengalaman solat dalam hutan

Banyak cerita dan pengalaman dikongsi bersama. Mereka mudah untuk dibentuk, mudah menerima pendapat dan banyak juga soalan diajukan kepada saya. Saya hanya berkongsi pengalaman cetik dan ilmu yang sedikit… moga-moga sedikit sebanyak dapat membantu mereka.

“Kak Radieah, kenapa kumpulan kami tak dapat nombor satu, tak jadi kumpulan terbaik?” Tanya seorang peserta kepada saya selaku fasilitator mereka.
“Kak Radieah bukan juri atau hakim dalam menentukan kumpulan yang terbaik. Kalau tak silap Kak Radieah, walaupun kumpulan awak pada keseluruhannya dapat menguasai banyak aktiviti berkumpulan tapi pemarkahan juga dinilai dari sudut individu. Pemarkahan individu dalam kumpulan lemah” jelas saya serba ringkas.
“Ooo..ye ke..” Nadanya agak kecewa. Saya hanya tersenyum melihatnya.

Kadang-kadang kita merasakan kita adalah individu yang terbaik tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Individu yang dipandang biasa, tiada keistimewaan rupanya lebih layak menerima award atau anugerah berbanding kita.

Umpama Uwais Al-Qarni, walaupun hidup pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, dia tidak pernah berkesempatan melihat Rasulullah S.A.W kerana menjaga ibunya yang sakit. Pernah satu waktu dia berkesempatan berjumpa Rasulullah S.A.W tetapi apabila sampai di rumah Rasulullah S.A.W, Saidatina Aisyah r.a mengkhabarkan bahawa baginda diwaktu itu berada di medan perang. Uwais menjadi serba salah sama ada untuk menanti kepulangan Rasulullah atau terus kembali ke negerinya memandangkan ibunya yang sakit dan sudah tentu tidak boleh ditinggalkan terlalu lama. Akhirnya Uwais mengambil keputusan untuk kembali ke kampung halamannya.

Apabila Rasulullah S.A.W kembali dari medan perang, Saidatina Aisyah r.a menyampaikan salam Uwais kepada Rasulullah S.A.W dan diceritakan keadaan Uwais kepada baginda. Rasulullah bersabda kepada Saidina Umar Al-Khattab dan Saidina Ali yang pada ketika itu ada bersama baginda, supaya apabila bertemu Uwais mintalah dia berdoakan sesuatu, kerana doanya tidak ditolak oleh Allah.

Kisah tersebut saya ceritakan berdasarkan cerita di dalam sebuah buku. Cerita selanjutnya anda boleh baca di dalam blog ini. http://ustaznaim.blogspot.com/search?q=Kisah+Uwais+Al-Qarni . Ada persamaan dan perbezaan sedikit dengan buku yang saya baca. Tetapi bukan itu yang saya mahu anda perhatikan. Perkara yang harus kita selidik dan renung bersama adalah pengajarannya.

Kita terlalu pandang apa yang orang pandang. Cukup susah untuk menjadi Uwais Al-Qarni. Tetapi berusahalah…berusaha menjadi makhluk sanjungan penduduk langit bukan penduduk Bumi...biarlah kita tidak dikenali di oleh penduduk Bumi tetapi dikenali oleh penduduk langit.

Biarlah orang membenci kita tetapi Allah menyayangi kita kerana sesungguhnya kasih sayang Allah itu membatasi kasih sayang seluruh makhluk ciptaanNya.

Tuesday, December 16, 2008

Kerana Hati...

Imam al-Ghazali ada menyatakan, “Carilah hatimu dalam tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kamu ketahui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kamu tidak ketemui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kamu tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kamu tidak mempunyai hati”

Para ulama telah membahaskan bahawa hati merupakan tempat letaknya iman. Menurut Imam al-Ghazali, hati yang dimaksudkan di sini bukanlah hati yang berbentuk fizikal tetapi hati yang berbentuk latifah rabbaniyyah…yang membawa maksud hati yang mengenal Tuhannya.

Hati tempat letaknya iman, anggota badan tempat letaknya Islam dan akal merupakan tempat letaknya ilmu. Setiap individu muslim seharusnya mampu menyeimbangi ketiga-tiga perkara tersebut (hati, anggota badan dan akal). Hal ini kerana, jika anggota badannya sahaja berfungsi, individu tersebut merupakan individu yang munafiq. Jika hatinya sahaja berfungsi, ertinya individu tersebut sesat atau pembohong dan sekiranya hanya akal sahaja ianya adalah sia-sia.

Nikmat Yang Jarang Disyukuri & Sering Dilupakan


Sudah hampir dua bulan blog ini saya tinggalkan tanpa di update dengan artikel-artikel yang baru. Jika dahulu alasan tiada wireless menjadi alasan utama tetapi sekarang alasan tersebut tidak boleh diguna pakai sama sekali memandangkan capaian wireless di kampus bertambah baik. Seluruh desasiswa telah memperolehi capaian tersebut.

Entahlah…saya cuba untuk mencari puncanya. Malas mungkin…Malas berfikir dan menulis idea-idea baru untuk dikongsi bersama. Idea maklumat atau perkongsian yang saya dengan sahabat, pensyarah, dan pelbagai individu lain sama ada melalui pembacaan, perbualan atau pengajian saya biarkan terbuku atau lebih parah berkubur dalam kotak fikiran saya…

Begitulah keadaan makhluk bergelar manusia. Pada dasarnya Allah S.W.T kurniakan kelebihan dan kekurangan bagi setiap manusia. Namun yang hanya kita lihat hanyalah kelemahan kita. Malah menjadi lebih malang apabila kekurangan atau kelemahan itu lebih kita besar-besarkan berbanding kelebihan yang merupakan satu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.

Nikmat yang jarang sekali kita syukuri, dan juga nikmat yang kita sia-siakannya.

Entahlah…kita selalu memberi alasan yang kita selalu lupa kerana kita diciptakan sebagai insan. Insan yang berasal daripada perkataan nasia yang bermaksud lupa…

Tuesday, November 11, 2008

Time Is Money..

"Come on Kwami, time is money"
Saya masih ingat lagi perkataan yang diucapkan oleh Donald Trump sewaktu final Apprentice I. Kata-kata tersebut diucapkan oleh Donald Trump sewaktu Kwami ditugaskan untuk menjayakan program di sebuah kasino milik Trump. Saya percaya, bagi sesiapa yang menggikuti program ini..mereka akan mengingati perkataan yang diucapkan oleh Donald Trump tadi.

Kita selalu diingatkan tentang masa. tetapi biasanya ucapan atau nasihat tersebut seolah-olah hanya layak untuk masuk ke telinga kanan dan kemudian keluar melalui telinga kiri. Kita langsung tidak mengindahkannya. Cikgu Roslan (guru matematik saya sewaktu di Ma'ahad SAS. Beliau juga seorang enginner) pernah menceritakan kepada kami peristiwa di Jepun apabila seorang student Malaysia lewat dua minit masuk ke dewan kuliah.

Pelajar itu meminta maaf kepada pensyarah tersebut.."Sorry sir..I'm late...saya lewat dua minit"

"It's okey...never mine. Tetapi di Malaysia mungkin kamu lewat dua minit tetapi di sini kamu sebenarnya kamu lewat dua bulan" balas pensyarah tersebut. Satu ucapan yang amat memalukan.

Perkataan 'janji Melayu' tidak lagi menjadi perkataan asing bagi kita. Kita menganggapnya perkataan biasa...sehingga kita lupa bahawa perkataan tersebut sebenarnya merupakan satu bentuk kehinaan bagi kaum Melayu. Lebih malang lagi apabila kaum Melayu dikaitkan dengan Islam...Melayu Islam. Secara tidak langsung perkataan 'janji Melayu' bukan sahaja menjadi suatu bentuk kehinaan kepada kaum Melayu tetapi juga kepada Islam...

"...Islam iti tinggi tiada yang tinggi selain daripadanya" Tetapi sayang, tanpa kita sedari janji yang tidak kita tepati menjadi satu fitnah bagi agama kita sendiri. Selalu kita menganggap mudah tentang banyak perkara tanpa kita sedari bahawa perkara yang kita anggap mudah itu adalah perkara yang besar yang tidak boleh kita remehkannya...

Tuesday, October 28, 2008

"Kak Long..tertib tu ape?"

Apabila azan Maghrib berkumandang sahaja barulah adik-adikku sibuk menuju bilik air untuk mengambil air sembahyang. Semuanya menunggu giliran untuk mengambil air sembahyang.
“Chik Lah, tolonglah baca. Nina tak pandai”. Pinta adik bongsu kami. Usianya pada ketika itu baru sahaja empat tahun.

Pada dinding yang bertentanggan dengan pintu bilik air rumah kami, ayah gantungkan white board padanya. Pada white board tersebut juga emak tuliskan cara mengambil air sembahyang untuk panduan anak bongsunya. Walaupun pada ketika itu dia baru sahaja mengenal huruf, baru sahaja pandai mengeja.

“Chik Lah, cepatlah” pinta Nina sekali lagi apabila permintaannya tadi tidak dilayan.
“Yelah..yelah. Haaa, cepat...” Kak Chik Lah merupakan adik kedua bongsu saya. Chik Lah membaca satu persatu cara mengambil air sembahyang tadi.
“Basuh muka pula...jangan lupa baca niat” Chik Lah cuba mengingatkan Nina.
“Yelah, Nina tahulah”. Sememangnya pada usia empat tahun lagi Nina telah menghafal lafaz niat wuduk. Malah dia juga menghafal doa naik kenderaan, menghafal Surah Tahaa, ayat 1 sehingga 5 dan banyak lagi ayat-ayat lazim yang lain. Semuanya kerana kesan pentarbiyyahan yang perolehinya di PASTI.

“Basuh kaki pula...”
“Dah siap”
“Okey last sekali, tertib”
“Haa, tertib tu ape?” Tanya Nina sedikit terkejut kepada Chik Lah. Mungkin dia tidak pernah dengar perkataan itu.
“Tertib itu adalah sejenis belalang”
“Haa, mufti mana yang ajar tertib tu belalang?” Saya yang tadinya hanya mendengar dari dalam bilik tiba-tiba bersuara. Chik Lah hanya tersengih memandang saya. Mustahil best student tidak tahu tertib tu apa. Saja dia ingin kenakan adiknya. Sepantas kilat Chik Lah masuk ke dalam bilik air. Mungkin tidak mahu mendengar bebelan saya.
“Kak Long, tertib tu ape?” Soalan yang tadinya diajukan kepada Kak Chik Lah diajukan pula kepada saya. Bersungguh benar dia ingin tahu. Saya menghampirinya.

“Tertib tu bila kita ambil air sembahyang kita tak boleh ikut suka hati kita je nak buat yang mana dulu. Mesti ikut turutan. Kalau mula-mula kita ambil air sembahyang kita kena basuh tangan lepas tu kita berkumur sampilah kita basuh kaki, macam tulah kita kena buat. Tak boleh kita basuh kaki dulu, lepas tu basuh muka, lepas tu basuh tangan. Mesti ikut turutan daripada yang mula-mula sampailah yang akhir”. Saya cuba menerangkannya menggunakan white board yang tertulis cara-cara mengambil air sembahyang tadi, supaya dia mudah faham.

“Oooo..” Muncung bibirnya sambil mengangguh-angguhkan kepala tanda memahami perkara yang ditanya olehnya tadi. Saya hanya tersenyum dengan telatahnya.

“Cepat pergi sembahyang, ayah dah nak sembahyang”. Ujah saya kepadanya. Terus sahaja dia berlari meninggalkan saya keseorangan.

Sememangnya usia yang sekecil itu terlalu banyak perkara yang ingin diketahuinya.
“Rindu tu ape, Kak Long?” Soalan sebegini pernah ditanya oleh adik bongsu saya ini sewaktu Hari Raya Aidil Adha. Waktu itu emak kami sedang menunaikan haji. Lalu saya ajukan soalan sama ada dia merindui emak, setelah dia mengatakan bahawa emak kami tentu berada di Masjid al-Haram kerana pada waktu tersebut, takbir hari raya di dalam televisyen memaparkan suasana di Masjid al-Haram.

“Kak Long, Allah tu kat mana?”
“Kak Long, kenapa bulan tu tak jatuh-jatuh pun. Nina tak nampak tali pun tergantung kat bulan tu?”

Soalan sebegini agak memenatkan saya untuk menjawabnya..Lebih penat daripada menjawab soalan exam di universiti yang lamanya tiga jam. Bagaimana untuk memahamkan kanak-kanak yang seusia ini untuk sesuatu perkara yang semestinya bersangkut paut dengan akidahnya...hendak kaitkan ilmu sains? Astronomi? Tarikan graviti? Hadis? Al-Quran? Mantik?..semuanya bergantung kepada kita... tetapi mahu tidak mahu, perlu untuk kita menjawabnya. Kerana jawapan yang kita berikan akan membuatkan mereka merasai kewujudan Allah di sisinya.

Muhasabah Itu Indah

Solat semakin tidak khusyuk…solat yang selalunya di awal waktu semakin lama semakin jarang diperolehi…solat jemaah di masjid pula jarang-jarang sekali. Sepatutnya semakin banyak nikmat Allah yang diperolehi sepatutnya semakin dekat kita denganNya tetapi sebaliknya yang terjadi.

Bila solat…ingatan kita pada assignment yang bertimbun masih belum disiapkan… kita resah memikirkan assignment yang dirasakan tidak sempurna…tetapi kita tidak resah kepada solat kita…ibadah kita yang kita tidak buat bersungguh-sungguh seperti mana assignment yang kita siapkan.

Kita sibuk merancang itu dan ini... meeting yang terpaksa kita hadiri kadang kala bertindinh-tindih…usrah yang kita gerakkan bukan satu malahan tiga, empat usrah dalam seminggu kita terpaksa hadiri dan yang kita handle…tetapi perancangan yang kita atur untuk diri kita tidak sesempurna perancangan yang kita atur di dalam meeting dan sebagainya…

Hati ini terdetik adakah kesibukan ini..., nikmat نقمة ) ( ataupun ni’mat ( نعمة )?. Kalau ni’mat alhamdulillah…tapi kalau nikmat, nauzubillah…Ni’mat itu ialah kurniaan Allah S.W.T kepada hambaNya yang menjadikan hambaNya semakin dekat denganNya. Tetapi nikmat pula ialah kurniaan Allah S.W.T kepada hambaNya sebaliknya untuk menjauhkan diri daripadaNya.

Sepatutnya kita ikut resmi padi…semakin berisi semakin tunduk…tetapi kebanyakan daripada kita, semakin tinggi jawatan, tinggi taraf pendidikan, semakin kaya, hidup bahagia bersama keluarga…makin kita lupa pada pemberiNya.

Muhasabah itu indah…andai kita sentiasa melakukannya dan supaya kita tidak lupa kepadaNya…

Wednesday, October 22, 2008

Apabila ada yang bertanya tentang cinta...

Seronok bermusafir dengan postgrad, undergrad, staf dan lecturers ISDEV kelihatan di wajah masing-masing. Cerita tentang diri, anak dan pelbagai pertanyaan bermula dari assignment sehinggalah pertanyaan yang agak sensetif dihujani oleh setiap individu yang menyertai program lawatan ke Wisma Darul Aman, Alor Setar Kedah yang bertujuan untuk melihat pentadbiran di Kedah setelah PAS berjaya mengambil alih pemerintahan pada Pilihan Raya Umum 12 yang lalu.

Memang diakui bahawa pembentukan ukhwah yang diprogramkan secara tidak formal adalah lebih berkesan berbanding secara formal. Peluang waktu makan, membeli belah di Pekan Rabu, di dalam bas (maklumlah dalam bas ada mikrofon) dan lain-lain tempat digunakan sepenuhnya oleh kami.


“Macam mana kita nak kenal lelaki tu sesuai untuk kita atau tak?” Fiza bertanya.

“Pertama, cara dia approach kita…adabnya macam mana, memaksa atau sebaliknya…yang lebih baik ada orang tengah yang telah berumah tangga. Orang tengah tu sampaikan kepada kita. Pihak lelaki akan sampaikan kepada si suami. Kemudian suami akan sampaikan kepada isterinya…lepas tu isteri tadi akan sampaikan hasrat tersebut kepada kita, pihak perempuan. Buat macam tu penting malah lebih baik sebab boleh elak macam-macam benda tak elok. Contoh, tak adalah borak-borak dalam telefon atau sms…ikhtilat lebih terjaga…Dua, mintalah pada Allah, Dia lebih kenal lelaki tadi sesuai atau tak dengan kita. Jangan terburu-buru buat keputusan. Sebab kita akan hidup dengan lelaki tadi bukan sehari dua atau setahun dua..tetapi selama-lamanya..sehinggalah masuk syurga pun dia masih jadi suami kita. Bila dah buat keputusan cepat-cepat bagi tau mak dan ayah. Biar mak dan ayah yang uruskan yang selebihnya”

“Tapi kalau istiqarah tak nampak pun macam mana?” tanyanya lagi.

“Saya pun tak pandai nak cakap…tapi berat hati kita tu macam mana?...Kadang-kadang Allah dah bagi hint tapi kita tak sedar. Tapi berat hati tu kena tengok juga…takut-takut syaitan atau nafsu yang beratkan…sebab tulah jangan bercinta sebelum kahwin..”

“Mustahillah tak bercinta sebelum kahwin?, tak kan tak berborak langsung kot…sms ke?..telefon tu maybe lah…” Fiza menyatakan kepelikannya kepada saya.

“Pasal apa pula pelik..tak ada yang pelik pun.” Jawapan yang ringkas saya berikan kepadanya.

“Ya lah Radieah…macam mana tak bercinta sebelum kahwin tu?” Wawa juga mengajukan soalan yang sama kepada saya.

“Kawan saya pernah cakap… semakin manis sebelum kahwin, makin tawarlah selepas kahwin…so nak manis yang mana satu?” saya ajukan kembali pertanyaan kepada mereka.

“Memanglah Kak Radieah…kalau boleh nak lah yang macam tu” Macam kecewa pun ada luahan hati Niza tadi.
“Kalau nak yang macam tu…bermula dari kita dulu” spontan jawapan tersebut keluar dari mulut saya.

“Niza tak pernah bercoupel ye…” balasnya kembali.
“Tak kisahlah bercouple atau tak…yang penting macam mana kita jaga hubungan kita dengan lelaki yang anjabi..selamba ke?…malu-malu ke?…cuba elak ke? ...terpulanglah…. pilihlah yang terbaik” Nasihatku.

“Iss..susah tu..” Siapa entah yang cakap macam tu tak perasan pula saya.
“Tulah mujahadah namanya…dahlah, saya bukan Dr. Cinta, Tanya orang lain lebih baik berbanding tanya saya” Mereka semua tersengih memandang saya.

Kadang-kadang menasihati orang yang mula-mula nak belajar lebih baik berbanding yang telah faham tetapi tidak lakukan perkara yang difahami olehnya…Emm..yang menasihati ini pun belum tahu lagi mujahadahnya macam mana…

Friday, October 17, 2008

Hidupkan Rasa Beraqidah, Suburkan Rasa Kehambaan


Soalan yang ditanyakan oleh seorang kakak sewaktu lunch bersamanya tengahari tadi masih teringat-ingat sehingga ke malam hari.

“Apa yang diingini oleh seorang remaja?” tanyanya pada saya.
“Saya tak faham?” soalan yang diajukan dibalas dengan soalan kerana saya tidak memahami inti pati sebenar yang ingin ditanyanya.
“Yelah..awak kan belajar tentang benda-benda macam ni”
“Ooo..” saya mula memahami maksud pertanyaannya.
“Sebenarnya ia terpulang kepada tasawwur (worldview) seseorang tu. Macam adik saya…waktu dia masuk lif nak pi bilik saya dia cakap ‘banyaknya peraturan’. Dalam lif kat Saujana tu ada tertampal peraturan. Saya cakap ‘memanglah peraturan tu memudahkan kita’ adik saya balas ‘tak langsung’…ada orang anggap peraturan untuk memudahkan tetapi ada juga orang yang anggap peraturan tu menyusahkan” cerita saya berkenaan tasawwur adik saya terhadap peraturan.

“Saya belajar secara keseluruhannya macam yang akak pergi program Management Qalbu. Macam mana kita nak mengurus hati kita…supaya pandangan kita, worldview kita atau tasawwur kita pada sesuatu perkara berlandaskan apa yang Islam kata. Bahkan ada student pHd buat research tentang Tazkiyyah An-Nafs (penyucian jiwa) berlandaskan Management Qalbu yang akak pergi hari tu.” Sambung saya lagi berkenaan perkara yang saya belajar.
“ Akak rasa kita selalu ada kuliah tazkiyyah an-nafs tak pernah tinggal setiap kali program tapi kenapa tak pernah berkesan? Macam kita solatlah…sepatutnya solat mencegah kita daripada perbuatan keji dan mungkar tapi sebaliknya yang berlaku. Sepatutnya jisnya (how to spell?) kita dapat”
“Mungkin sebab waqi’e mereka?” saya memberikan pandangan.
“Ye..tapi sampai bila kita nak bergantung pada waqi’e, sedangkan nanti bila dah keluar, dah berkahwin, berkeluarga…?..Bagi akak sebab individu tu sendiri”

Perbualan kami tentang perkara tersebut terhenti setakat itu sahaja. Masih tiada jalan penyelesaian. Saya mengakui perkara yang diperkatakan kakak tadi. Sebab diri kita…bukan sebab orang lain. Bahkan banyak dalil-dalil dalam Al-Quran dan hadis menyatakan perkara tersebut…menyuruh kita berfikir “….apakah kamu tidak berfikir”

Firman Allah S.W.T yang bermaksud,
“Allah tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri” Surah Ali-Imran, ayat 117.


Oleh itu, hidupkanlah rasa beraqidah…suburkanlah rasa kehambaan.
Mana mungkin kita boleh merasa kita ini adalah seorang hamba andai kata aqidah masih diawang-awangan…perkara dasar iaitu aqidah harus diselesaikan terlebih dahulu dan insya Allah yang selebihnya akan menyusul..(rasa kehambaan, akhlak, worldview dan lain-lain)

Menurut Imam Al-Ghazali penyucian jiwa kita akan berlaku melalui tiga perkara iaitu takhalli (mengosongkan jiwa daripada sifat mazmumah), tahalli (memasukkan sifat mahmudah), dan tajalli (perbuataan baik akhirnya dilakukan kerana sudah sebati dalam diri).

Ada pendapat yang mengatakan ‘saya tak mahu buat qiam sebab saya rasa tak ikhlas’ Saya tidak menafikannya tetapi jika kita lihat konsep Imam Al-Ghazali sendiri..sifat mazmumah kita cuba seboleh mungkin tidak dilakukan oleh kita dan dalam masa yang sama kita cuba lakukan perbuatan baik. Memang susah tetapi itulah mujahad an-nafsi. Fitrah manusia, Allah jadikan suka buat sesuatu perkara yang baik…jadi insya Allah, perbuatan yang pada mulanya tidak ikhlas dilakukan oleh kita..akhirnya menjadi darah daging kita..


Bermula dengan paksaan akhirnya menjadi suatu perkara yang ikhlas kita lakukan. Namun semuanya bergantung kepada diri kita…segala-galanya bermula dari dalam diri kita. Kita ada kekuatan tetapi sayang kita tidak gunakan..

“…syaitan pun dia boleh yakinkan” Tun Mahathir Mohammad



Pencarian pucuk pimpinan Malaysia kembali bermula setelah rakyat mula kecewa dengan sikap Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jika dilihat senario politik Malaysia, rakyatnya masih tercari-cari pemimpin sebenar yang mampu memimpin mereka.

Melihat kepada era kebangkitan Tun Mahathir Mohammad semasa mula-mula dilantik sebagi Perdana Menteri Malaysia. Kajian mendapati dua tahun pertama pemerintahannya, beliau lebih bersikap terbuka..memberi kebebasan kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan dan kritikan. Namun selepas dua tahun memegang tampuk pimpinan tertinggi di Malaysia beliau mula mengamalkan dasar kediktatorannya. Beliau mula menggunakan akta-akta untuk mengelakkan rakyat bersuara. Akta ISA, AUKU, Akta Hasutan dan mengawal media massa digunakan olehnya bagi menggunci suara-suara mereka yang mengkritik pemerintahnnya. Pemerintahan beliau mula dicemuh oleh banyak pihak.

Selepas Tun Mahathir meletak jawatan. Penggantinya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mendapat sokongan yang padu daripada rakyat Malaysia. Slogan yang digunakan olehnya, “Bekerja bersama saya, bukan bekerja untuk saya” dan “Cemerlang, gemilang, terbilang” membawa tuah kepadanya. Buktinya semasa pilihanraya pada tahun 2004, Barisan Nasional di bawah pimpinannya telah berjaya menguasai hampir semua kerusi yang dipertandingkan. Islam Hadhari yang dipelopori oleh beliau telah dicanang seluruh pelusuk dunia. Rakyat mula menilai bahawa beliau memang layak menggantikan Tun Mahathir. Malang sekali kerana usia pemerintahnnya tidak lama. Terlalu banyak cemuhan dan kritikan daripada pelbagai pihak sama ada daripada pihak pembangkang mahupun kerajaan telah dilemparkan kepada beliau.

Dalam keadaan terdesak dan suasana tekanan daripada pelbagi pihak Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa meletakkan jawatan dan beliau memilih Dato’ Seri Najib Tun Razak menggantikan tempatnya. Scandal yang melanda Dato’ Seri Najib Tun Razak dirasakan tidak baik untuknya menjadi pemimpin negara menggantikan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Imejnya yang tidak bersih dirasakan akan membuatkan rakyat akan lebih cepat memberontak berbanding zaman pemerintahan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Imejnya yang boros membelanjakan wang rakyat semasa menjadi Menteri Pendidikan kerana membina sekolah-sekolah tanpa mengikut keperluan dan kapasiti pelajar di sesebuah kawasan menyebabkan wang rakyat banyak dibazirkan olehnya. Sewaktu menjadi Menteri Pertahanan pembelian kapal selam, jet pejuang, Altantuya…semuanya menimbulkan persoalan.

Masyarakat mula melihat bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim mampu menyelesaikan semua kemelut kepimpinan yang berlaku kini. Rakyat mula mendambakan kepimpinan yang berwibawa dan berkarisma untuk menjadi pemimpin mereka. Karisma yang terdapat pada Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuatkan semakin ramai menjadi penyokong kuat beliau. Tun Mahathir pernah berkata bahawa “…syaitan pun dia boleh yakinkan”. Apakah yang dimaksudkan oleh Tun Mahathir? Adakah rakyat akan kembali kecewa seperti mana kecewanya mereka kepada kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi? Di mana silapnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim?
Saya tahu walaupun kurang pasti…Anda semua bagimana?

“Prof, kenapa kita tak jemput Yusuf Al-Qardhawi?”

Master dalam bidang Pengurusan Pembangunan Islam membuatkan saya perlu banyak membaca buku-buku tulisan ulama contemporary terutama tulisan Yusuf Al-Qardhawi berkenaan fatwa-fatwanya. Tetapi saya tidak pernah mengenaili ulama tersebut. Hanya yang saya tahu dia adalah ulama besar yang mampu mencorah perubahan dunia yang kini bermacam mehnah dan tribulasi menimpa umat Islam.

Majalah i, yang saya baca sebentar tadi mengisahkan serba ringkas kehidupanya. Ya..memang patut Allah kurniakan kemuliaan ke atasnya..Saya teringat perbincangan kami semasa usrah ISDEV beberapa minggu lepas. Waktu itu USM baru sahaja menerima pengiktirafan untuk menjadi Apex University.

USM berpeluang untuk jemput siapa sahaja tokoh akademik di seluruh dunia. Jika dahulu semasa USM jadi Research University, pihak universiti galakkan bakal pensyarah USM keluar negara untuk buat pHd tetapi sekarang adalah sebaliknya…tokoh akademik akan dibawa masuk ke USM. Ini kerana pihak USM tidak mahu pelajar akan terpengaruh dengan budaya luar sebaliknya mereka mahu bakal penyarah USM berfikir untuk memajukan Negara Dunia Ketiga mengikut acuan USM bukan acuan Negara Dunia Pertama.

Contoh paling mudah kalau dulu Negara Maju berkembang dengan bioteknologinya. Kemudian untuk mengikut arus tersebut USM turut sama mempelajarinya…tetapi sayang kita mengatakan kita semakin maju dengan bioteknologi tetapi bagi negara Eropah telah beralih kepada nanoteknologi akhirnya kita tetap ketinggalan dibelakang.

Jadi untuk memajukan bidang penyelidikan kajian dan penyelidikan akan dibuat berdasarkan keadaan Negara Dunia Ketiga. Contoh, USM menjadikan pisang sebagai bahan kajian. Setiap pusat pengajian di USM akan memikirkan bagaimana produk pisang mampu diketengahkan atau dikomersialkan..sama ada dari sudut ubat ubatan oleh School of Pharmacy, pemasaran oleh Ekonomi (School of Social Science), bahan untuk binaan oleh HBP (School of Housing Building & Planning), menghasilkan produk pisang yang terbaik oleh School of Biology dan pelbagi produk lain melalui pisang oleh pelbagai school (pusat pengajian) di USM. Malah kini produk tepung pisang telah mula dipasarkan hasil daripada kajian pensyarah di USM.


Jadi disebabkan itu tokoh akademik daripada luar negara akan dibawa masuk ke USM. Prof Muhammd Syukri dalam usrah tersebut menyebut tokoh-tokoh daripada seluruh dunia yang bakal dijemputnya..

Namun satu nama yang tidak disebutnya..
“Prof, kenapa kita tak jemput Yusuf Al-Qardhawi?” saya menyuarakan pendapat saya kerana ingin benar saya menjadi salah seorang daripada anak murid tokoh ulama itu.

“Bukan tak mahu bawa..tapi Yusuf Qardhawi adalah antara pencorak politik di Malaysia. Sewaktu Anwar dituduh liwat..Yusuf Qardhawi yang tidak mengizinkan Anwar berikan DNA untuk dianalisis. Kita tak mahu terlibat dengan isu politik. Sebab nanti susah..”

Jawapan yang diberikan oleh prof mengecewakan saya. Prof tidak salah yang salah adalah mereka yang lebih berkuasa. Disebabkan politik bidang akademik menjadi mangsa keadaan. Kadang-kadang kita tidak dapat membezakan antara isu politik dan isu agama. Walaupun politik dan agama suatu perkara yang sama tidak boleh dipisahlan dan seharusnya seiringan tetapi janganlah disebabkan kebenaran perkara tersebut menjadi halangan kepada kebenaran yang seterusnya berlaku…

Friday, October 10, 2008

I’m a lion king..

Hari ini kita cerita tentang anak singa yang baru dilahirkan tetapi ditakdirkan oleh Allah S.W.T ibu singa tersebut mati dan takdir Allah S.W.T juga mengurniakan anak singa tersebut dengan ibu angkatnya yang baru tetapi bukan dikalangan singa sebaliknya kambing.

Anak singa tersebut tidak merasa janggal kerana makhluk pertama yang dilihatnya setelah membuka mata adalah ibu kambing. Jadi hiduplah anak singa tadi dikalangan keluarga kambing. Kehidupannya seperti kehidupan seekor kambing sehinggalah kepada makanannya malah suaranya juga seperti kambing.

Pada suatu hari…sedang anak singa tadi bermain-main dengan adik beradik angkatnya tiba-tiba mereka didatangi oleh seekor serigala. Pada mulanya serigala tersebut takut kerana melihat adanya anak singa di situ. Tetapi apabila melihat kelakuan anak singa tersebut seperti kambing, serigala tadi merasakan anak singa tersebut tidak akan mampu mencederakannya.


Kemudian takdir Allah S.W.T salah seekor adik beradik angkatnya diterkam oleh serigala itu. Ibu angkatnya sangat marah kepada anak singa tadi kerana tidak melawan serigala tersebut. Patuhnya arahan daripada ibu angkatnya tadi membuatkan si anak singa cuba melawan. Anak singa cuba menendang-nendang serigala tadi tetapi tidak berjaya dan akhirnya terbunuh anak kambing yang diterkam oleh serigala tadi.


Peristiwa tersebut berulang kembali. Tetapi kini yang diterkam oleh serigala tersebut ialah ibu kambing. Ibu kambing sekali lagi meminta anak singa tersebut berlawan dengan serigala. Tetapi setelah berlawan dengan serigala tersebut, anak singa tadi cedera parah. Ditakdirkan Allah juga tiba-tiba di puncak bukit terdengar bunyi ngauman seekor singa yang sangat kuat. Bunyi tersebut menyebabkan serigala tadi terus lari.


Anak singa tadi merasa pelik..”kenapa aku tidak boleh buat macam tu?”
Singa yang mengaum tadi menghampiri anak singa tadi “You are lion..but what happen to you? You are a king in the jungle” (singa pandai cakap Bahasa Inggeris …jangan main-main)
“I don’t know..saya tak tahu pun saya singa” memanglah anak singa tadi tidak tahu sebab dia tak pernah tengok rupa dia. Yang dia tengok muka mak dan adik beradik angkat dia yang semuanya kambing.
Akhirnya singa tadi membawa anak singa tersebut ke tepi sungai. Di tepi sungai barulah anak singat tadi tahu yang dia adalah seekor singa.


Kita umat Islam sebenarnya telah diberi kekuatan seperti anak singa tadi. Kita tahu yang kita ada kekuatan. Kalau anak singa tadi dia tak tahu yang dia ada kekuatan. Selepas dia tahu dia cuba berlawan dengan serigala tetapi tidak berjaya sehingga hampir-hampir membunuhnya. Sebab apa berlaku macam tu? Sebab anak singa tadi walaupun dia tahu dia tidak ada strategi untuk berlawan dengan musuhnya.

Kita ada Allah…golongan bukan Islam tidak ada Allah..tetapi mengapa mereka lebih kuat daripada kita. Dalam segala bidang mereka nombor satu…orang Islam agak-agak nombor berapa?


Kita tahu yang kita ada kekuatan tapi kita tidak menggunakan kekuatan yang kita ada. Strategi yang kita atur selalunya tidak tepat. Tidak kena pada sasaran..golongan bukan Islam menyerang minda orang Islam dengan pelbagai cara dan dakyah…tapi kita?…apa yang kita buat untuk lawan kembali. Selalunya kita sentiasa duduk di bahagian pertahanan jarang sekali kita menyerang.


Bukti sekeliling kita telah nyata bahawa kita lemah…tetapi kita hanya mengikut arus lemahnya kita tadi. Contoh paling mudah..pelajar bukan Islam selalu berada di golongan pelajar yang cemerlang. Tetapi kita biarkan golongan tersebut terus menguasai title itu…sampai bila? Mungkin antara kita ada berpendapat..”Tak apelah, akhirat nanti kita akan menjadi golongan yang paling mulia” ya..memang betul tapi kita harus ingat. Kita terdiri daripada sudut-sudut Islam..jadi kita harus mempertahankan Islam itu dari sudut kita. “…Islam itu tinggi, tiada yang tinggi selainnya”.

KEMUNCUP DALAM PERJUANGAN : “Sejarah tidak pernah berulang. Sebaliknya yang berulang adalah kesilapan manusia…” Mahfuz Omar

Alhamdulillah saya berpeluang mendengar cerita pengakuan Ust Nasarudin Mat Isa berkenaan isu muzakarah yang hangat diperkatakan dahulu. Walaupun isu ini telah lama berlalu sengaja saya ambil kesempatan ini untuk kita bermuhasabah.

Sewaktu program Management Qalbu diadakan di Perak pada 19-21 September 2008, Ust Nasaruddin adalah VIP yang menghadiri majlis tersebut (saya tidak pasti untuk majlis perasmian atau penutup, saya tidak berkesempatan untuk menghadiri program tersebut tapi diceritakan oleh sahabat saya yang berpeluang untuk menghadiri program itu). Ust ada menceritakan perkara sebenar yang berlaku.


Bagi saya memang patut ust mengatakan bahawa tidak ada muzakarah yang berlaku. Kerana pertemuan yang berlaku adalah secara tidak disengajakan. Pertama, ust ditugaskan oleh pimpinan PAS ke Putrajaya kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Tetapi urusan tersebut bukanlah dengan PM sebaliknya apabila tiba di Putrajaya, ust dijemput untuk bertemu PM. Disebabkan memang ust ditugaskan untuk berhubung dengan kerajaan, ust merasakan tiada masalah sekiranya berjumpa terus dengan PM.

Pertemuan kedua berlaku secara tidak disengajakan di dalam lif dan pertemuan ketiga kalau tidak salah saya berlaku di lobi Parlimen. Sebelum pertemuan seterusnya (kalau tidak salah saya pertemuan ketiga) ust telah meminta kebenaran daripada Tuan Guru Nik Abd Aziz dan Tuan Guru mengizinkannya. Perkara yang dibincangkan oleh ust dengan PM tidak ada sangkut paut dengan kerjasama politik. Tetapi salah satu pertemuan tersebut ust telah ditawarkan untuk menjawat jawatan dalam kerajaan. Namun ust menolak tawaran tersebut. (Maaf saya tidak dapat memperincikan banyak perkara kerana hal ini telah lama diceritakan kepada saya).

Peristiwa yang menimpa Ust Nasaruddin seharusnya diambil iktibar oleh semua. Kadang kala kita terlalu cepat melatah…mengatakan orang ini salah…orang itu salah… “tak patut dia buat macam tu”… “dia tak layak pegang jawatan”… “aku lagi baik dari dia walaupun ibadah aku tak sehebat dia”… macam-macam lagilah perkataan yang terkeluar dari mulut kita.

Siapa kita sebenarnya? Kita kata kita turut sama berjuang …. kadang-kadang sikap kita tidak seperti pejuang…tapi jadi kemuncup dalam perjuangan…Saya masih ingat kata-kata Ust Ramadhan Fitri. “Jemaah kita ini dianggotai oleh manusia. Bila manusia yang menganggotainya sudah tentu ada cacat cela”… “Be a part in solution. Not be a part in problem” …Selalunya bila ada lubang yang terjadi kita tidak berusaha untuk menutup lubang tersebut. Sebaliknya kita korek lubang itu makin dalam atau makin luas..akhirnya lubang yang kita korek tadi membuatkan ramai orang lain turut sama jatuh macam kita…

Em…entahlah… Keluhan ini bukan sekadar keluhan…tetapi keluhan ini adalah satu ingatan untuk kita tidak mengulanginya. “Sejarah tidak pernah berulang. Sebaliknya yang berulang adalah kesilapan manusia…” Mahfuz Omar

Tuesday, September 23, 2008

Suatu Hari Kita Akan Pergi Keseorangan

“Radieah, rugi tak pergi program Management Qalbu tu…best sangat. Tak pernah akak pergi program motivasi macam tu” Kakak yang sentiasa menjadi pemandu saya walau ke mana saya pergi tiba-tiba bersuara.

“La..kak. Nak buat macam mana banyak sangat assignment kena siapakan” saya meluahkan kekecewaan.

“Tak pelah mungkin tak ada rezeki. Actually, program tu biasa je tapi mungkin orang Indonesia yang buat modul mereka lain daripada kita. Slot muhasabah yang paling akak tak lupa”

“Kenapa?” tanya saya inginkan kepastian.

“Mula-mula dia tutup mata kita. Lepas tu bila buka mata…cuba bayangkan depan kita ada batu nisan tapi daripada papan batu nisan tu. Pada batu nisan tu lengkap semua maklumat…ada nama kita, nama mak kita…yang tak ada tarikh kematian. Bersirap darah akak bila tengok batu nisan tu…susunan keadaan kami semua disusun ikut macam susunan kubur….berbaris cantik”

“Oooo..macam tu ke?” Saya mengakuinya. Kalau saya ada tempat akak tu pun maybe pengsan sekejap kot.

Ye…hakikatnya suatu hari nanti kita akan pergi keseorangan. Sama ada cukup bekalan waktu itu nanti kita semua belum pasti. Saya tidak pasti keadaan saya…begitu juga anda semua. Perkara yang pasti….kita akan pergi

Friday, September 19, 2008

'Permudahkanlah jangan menyusah-nyusahkan..."

“Saya serba salah sebenarnya”
“Kenapa tiba-tiba cakap macam tu?” Tanya saya kehairanan.
“Tadi dalam lab kawan-kawan saya semua cakap yang Yani (bukan nama sebenar) tak boleh nak bagi kerjasama. Dia buat ikut kepala dia je. Memang saya pun mengakuinya”



“Saya tak faham” penyataan tersebut keluar dari mulut saya kerana saya tidak memahami tugasan yang mereka lakukan di lab tersebut. Maklum sajalah, saya orang sastera bukan sains. Lab saya di lapangan masyarakat. Lab mereka di dalam bangunan. Emm…


“Tak adalah..kerja kami macam teamwork. So setiap yang kita lakukan kita bertanggungjawab atas apa yang kita buat. Kalau buat main-main nanti semua akan timbul masalah. Nak buat kerja mesti tepat label, kuantiti, formula macam-macam lagilah”
“Oooo…” baru saya faham.
“Habis tu, apa masaalahnya?” tanya saya.

“Saya serba salah nak bagi tahu Yani dan serba salah dengan kawan-kawan saya. Semua tak puas hati dengan Yani. Macam mana saya nak cakap dengan kawan-kawan saya..macam mana pula nak cakap dengan Yani?” rasa serba salahnya diluahkan kepada saya.
“Kalau awak luahkan pada saya pun, sebenarnya saya tak dapat tolong…macam mana saya nak tolong ya?”

Entahlah…saya pun tak tahu nak tolong macam mana. Sehingga ke saat ini saya tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk menolongnya.

Tazkirah pagi tadi Dr Suekainah (Nama lain Dr Fadzilah Azni) yang berikan. Dr. pesan dalam kehidupan kita jangan sekali-kali kita ambil sikap ‘tak pe’. Sebab mungkin kita yang rasa ‘tak pe’ tapi masalah akan timbul dipihak orang lain yang merasakan perkara itu perlu diambil berat.

Contoh paling mudah tentang ketepatan waktu kita. Kita selalu berjanji pada waktu sekian-sekian tetapi kita selalu lewat pada masa yang kita janjikan. Mungkin kita rasa ‘tak pe’ tetapi bagi orang lain mungkin dia akan risau keadaan kita. Tertanya-tanya mengapa kita lewat..sakit ke dia?..berlaku kemalangan ke?

Jangan buat orang susah hati kerana kita. Tetapi buatlah orang lain mudah dan senang hati mendampingi kita. Itukan lebih baik…

Hadis Rasulullah ada menyatakan yang bermaksud “Permudahkanlah jangan menyusah-nyusahkan dan sampaikanlah berita gembira janganlah disembunyikan”

Islam ini mudah…janganlah kita susah-susahkan. Sama ada dalam kita melakukan ibadat ataupun dalam hubungan kita dengan manusia. Hablum’minallah wa hablum’minan’nas. Jagalah hubungan dengan Allah..tapi jangan lupa kita juga perlu jaga hubungan kita dengan manusia.

Tidak Rugi Andai Memuji

Rasa penat sewaktu menyiapkan assignment seolah-olah hilang apabila Prof Muhammad Syukri dan Dr Fadzilah Azni memberikan pujian sewaktu menyampaikan perbentanagn terhadap assignment Pengurusan Pembangunan Islam.

“Ni saya nak kena bagi berapa ni? Nak bagi ‘A’ ….macam kena bagi ‘B’” Usik Prof selepas perbentangan selesai.
“Alah prof, bagilah ‘A’. Nak dapat 3.5 ni. Senang sambung pHD” saja saya pancing hati prof supaya assignment tersebut kami perolehi gred terbaik. Itulah yang sepatutnya orang Islam dapat dan harus untuk cuba dapatkan…yang terbaik.
“Boleh…tapi dengan syarat. Assignment yang nak hantar nanti tulis dengan baik. Olahan ayat mesti buat orang tertarik untuk baca…..” tipis-tips diberikan oleh Prof dan Dr. Penerangan dan penambahbaikan terhadap assignment kami membuatkan kami bersemangat semula untuk menulis assignment yang lintang pukang kerana olahan ayat yang tidak begitu menarik untuk dibaca.

Hakikatnya memang kami penat. Tapi bila pujian dan semangat yang diberikan oleh Prof dan Dr membuatkan rasa penat itu hilang dalam diri kami. Saya teringat kata-kata Ust Syed Nazir (Guru Bahasa Arab saya sewaktu di Tingkatan Enam) “Manusia ini suka pada pujian. Pujilah mereka pada tempatnya. Jangan berlebih-lebihan. Pujilah…tak rugipun kalau antum puji mereka”


Tak salah untuk kita memuji. Walaupun pujian itu seharusnya hanya pada Allah tetapi manusia juga perlukan pujian. Bagi saya pujian itu membawa kepada kasih sayang, pengikat ukhuwah, penambah semangat dan lain-lain.
“Pandai anak ummi…”
“Comelnya adik hari ni…”
“Cantiknya kakak hari ni…”
“Wah..kuatnya abang…”
Selalulah lafazkannya. Tapi ada waktu dan ketikanya…

Tuesday, September 16, 2008

Suratku Di Bawah Rak Kasut

“Bukan senang untuk saya capai tahap saya sekarang…banyak ujian..dugaan..hatta dah jadi pensyarah sekarang pun saya masih tak tahu masa depan saya lagi bagaimana..”

“Selepas tamat matrikulasi USM, saya ditawarkan untuk sambung belajar di bahagian kedoktoran di Australia. Saya terima tawaran tu. Sebab itulah cita-cita saya dari kecil. Tapi sekejap je. Saya tak mampu, akhirnya saya minta nak balik Malaysia. Dapat tetapi USM tak benarkan saya untuk ambil bidang yang sama. Jadi saya buat keputusan untuk ambil bidang perakaunan”

“Saya tukar bidang pun ada sebab. Waktu belajar di Australia…pelajar perubatan terpaksa pegang anak khinzir untuk buat kajian…kat Malaysia..tikus tapi kat sana anak khinzir..setiap minggu dua kali saya samak badan, pen, cermin mata saya…waktu tu rasalah betapa kita ni dijadikan dari tanah…kat sana pelajar Malaysia lelaki perempuan sewa satu rumah perkara biasa…kes murtad dan lain-lain...kami kat sana kena baling dengan batu..air tu perkara biasa…sebab waktu tu Dr Mahathair bergaduh dengan pemimpin Australia..so kami lah jadi mangsa..banyak lagilah perkara lain yang membuatkan saya minta balik Malaysia”

“Cuba bayangkan…saya daripada bidang sains tulen pindah ke bidang sastera…memang susah..sebab tu CGPA saya waktu undergrad tak berapa baik”

“Saya minta jadi pensyarah di UUM…Saya sedih juga bila kawan-kawan semua dapat jadi pensyarah di UUM…pointer mereka lebih kurang sama je dengan saya”
“Akhirnya saya buat keputusan untuk sambung master di USM”
“Apabila dapat tawaran sambung master, kemudian saya terus sambung pHD…walaupun tak dapat biaya sebab USM stay nak tengok CGPA waktu undergrad sedangkan CGPA master saya baik…tapi Alhamdulillah..Allah aturkan segalanya…saya jadi pensyarah sambilan di PJJ dan jadi RA ”

“Akhirnya Allah tentukan ini yang saya dapat walaupun dulu waktu kecik-kecik sampai lah saya hampir capai cita-cita saya nak jadi doctor perubatan tapi Allah bagi saya jadi doctor falsafah, tidak di UUM tapi di USM”

“Sebenarnya waktu pindah rumah selepas dapat tawaran sambung master…. Saya kemas rumah nak pindah rumah jumpa surat di bawah rak kasut…Surat tu sebenarnya tawaran untuk saya jadi pensyarah di UUM… saya tak tahulah macam mana postmen campak surat saya sampai tercampak di bawah rak kasut…Allah dah aturkan segalanya”


Hanya kerana sekeping surat…kisah yang saya ceritakan serba ringkas sebentar tadi sebenarnya kisah Dr Fadzilah Azni Ahmad. Dr. pesan kepada kami “kita kena faham tugas Allah dan jangan lupa laksanakan tugas kita. Setiap perkara yang Allah tak bagi ia berlaku walaupun yang itu kita mahu… tapi bila Allah tak bagi ada hikmahnya…macam saya….Allah aturkan segalanya buat saya”
Kita atur hidup kita tapi pengaturan yang Allah buat Maha Hebat berbanding kita

Saturday, September 13, 2008

Hati Menangis Siapa Tahu...

Entah kenapa…saya cuba menulis sebaik mungkin untuk assignment yang perlu disiapkan. Walaupun dateline hantar assignment lambat lagi…saya perlu siapkannya secepan mungkin. Maklumlah kerja yang datang tidak menentu…ada je kerja tak berjadual datang…adik-adik minta tolong, program sana..program sini.. Tapi bila taip asyik kena padam je…taip padam..taip padam…macam web Dr Hasanah pula.

Bila cakap tentang Dr Hasanah saya sebak baca laman webnya…saya tak sangka dia adalah seorang ibu tunggal. Seronok belajar dengannya. Kuliah Epistemologi dan Tasawwur Islam diajar olehnya kepada kami dengan penuh bersemangat…humurnya menyebabkan kelas yang berlangsung selama tiga jam seolah-olah hanya satu jam…

Tapi hati menangis siapa tahu…semoga dirahmati Allah seluruh ahli keluarganya…
http://www.drhasanah.com/

Thursday, September 11, 2008

"Saya malu jadi orang Malaysia.."

“Dik, jalan ditutup tak boleh lalu. Saya cuma boleh bagi tahu yang ada batu tergantung hampir-hampir nak jatuh. Bila-bila masa je boleh jatuh” kata seorang anggota polis sebaik sahaja cermin tingkap kereta diturunkan.
“Oo ye ke..habis tu macam mana kami nak ke Balik Pulau, ada tak jalan paling dekat?” tanya pemandu kereta.
“Dik kena ikut jalan jauh. Lebih baik ikut jalan jauh lebih selamat berbanding guna jalan ni. Adik kena patah balik ikut Teluk Kumbar”
“Okeylah kalau macam tu. Terima kasih ye”
“Sama-sama”

Hujan yang turun sepanjang hari semalam membuatkan jalan-jalan masih dilimpahi air hujan yang menuruni cerun-cerun bukit. Kereta yang kami naiki menyusuli jalan ke Balik Pulau dipandu dengan perlahan.


“Bahaya laluan ni. Ni yang buat tanah mendap” kata pemandu yang juga seorang kakak yang telah lama saya kenalinya. Sejak saya first year undergraduate di USM.
Saya yang berada disebelahnya hanya menganggukkan kepala bersetuju dengan kata-katanya.

“Eh sabarlah sikit” jeritnya perlahan.
“Kenapa kak?” Tanya saya tidak perasan dengan perkara yang sedang berlaku.
“Tengok tu, tahulah kereta besar. Janganlah potong ikut suka-suka hati je…nasib baik tak berlanggar”

Saya ketawa kecil dengan gayanya. Keadaan jalan yang macam ular kena palu, dilimpahi air, lumpur dan batu-batu kecil yang memenuhi jalan membuatkan semua pemandu perlu berhati-hati. Tetapi apabila dalam keadaan yang semacam ini pun masih ada yang tidak dapat bersabar akhirnya orang yang sabar menjadi mangsa.

“Saya tak hairan bila Dr Sundramooty pernah cakap, orang Malaysia memang biadap bila dalam kereta berbanding bila dia tak memandu. Emm..kata budi bahasa budaya kita. Orang putih pernah dokumentarikan cara orang Malaysia memandu. Dr kata “Malu saya jadi rakyat Malaysia. Cuba kamu bayangkan pejalan kaki kat tepi jalan habis basah kuyup kena simbah dengan air lopak kat tepi jalan. Saja-saja je dia langgar lopak tu bagi orang yang jalan kaki tu basah. Yang tu baru satu cerita tak masuk lagi potong double liner, langgar trafik light, bunyikan horn tak tentu pasal. Tengok mat rempit dah lah. Very creative. Kita duduk atas motor dia tak cukup dengan tayar dua jadi satu, baring, berdiri pun ada. Superman pun tak boleh bawak motor macam dia. Kamu boleh bayangkanlah macam mana orang putih buat kajian. Kalau burung daripada ibu dia bertelur sampai burung tu mati, dia boleh ikut burung tu. So malu saya bila orang putih tayangkan dokumentari tu pada saya".


Kakak yang tadinya marah dengan sikap pemandu tadi tersenyum dengan cerita saya. Entahlah…saya pun tak tahu..it’s more about attitude…and the thing is very important, it’s about akhlak…akhlak tu kan buahnya iman. Iman lah puncanya…

Terima Kasih Ayah Ibu

“Pasal apa diam je ni..biasanya tak macam ni” Tegur Kak Ain

“Tak..tak ada apa. Cuma saya tak dapat nak bayangkan macam mana Ust Rohani boleh jaga budak-budak tu. Nakal sungguh…kalau saya, tak tahan dah. Yang tu baru dengar Kak Tati cerita. Tak tengok lagi…tapi nak tak nak, kena jaga juga sebab anak yatim. Selama ni saya bayangkan anak yatim ni baik…kudus..tapi tadi Kak Tati cerita lain pula jadinya” saya luahkan apa yang terpendam di dalam hati saya sewaktu dalam perjalanan pulang daripada melawat rumah anak yatim.

“Entahlah susah nak cakap…tapi yelah macam Kak Tati cakap. Kalau keluarga masalah, anak-anak pun akan jadi macam tu. Mereka tak boleh terima kenapa mereka tak macam orang lain…mak meninggal, mak ada kat Tanjung Rambutan… bila ayah meninggal mak kahwin lain. Budak-budak memang susah nak terima apa yang berlaku. Jadi cara nak protest macam tulah…buat nakal….ish, jahat sungguh” kakak yang tadinya kusyuk memandu kerana keadaan jalan bengkang bengkok dan dilimpahi air ke jalan yang menuruni cerun bukit akibat hujan sehari suntuk semalam masih kelihatan, tiba-tiba bersuara.

“Yang adik lima tahun tadi lagi kesian. Memang ust ada cakap kalau benih manusia bercampur dengan jin susah nak jaga. Susah nak ubat. Kelakuan diluar jangkaan kita. Tak suka dengar azan, orang baca Quran tak suka..Iss..susahlah nak cakap. Bukan salah dia pun. Salah mak dan ayah dia. Tadi dia salam dengan kita nampak baik je…tapi, yelah siapa tahu hakikat sebenar nasib dia” tambahnya lagi.

“Tak pelah kita bantu je apa yang termampu. Insya Allah” nada sedih datang daripada belakang tempat duduk saya.

“Em..” saya hanya mengiakannya. Saya tahu, memang saya tak mampu nak tolong adik yang malang tu.

Jadilah ibu bapa yang baik. Agar zuriat yang dilahikan nanti juga adalah yang baik-baik. Anak-anak soleh dan solehah. Orang lain tidak mampu mengubah mereka. Hanya ibu bapa yang mampu mengubah mereka sama ada hendak mencorak mereka. Em..entahlah. Saya tidak tahu mengapa adik-adik itu diperlakukan sedemikian rupa.

Thursday, September 4, 2008

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan... mungkinkah ini yang terakhir?

Andai kita renung usia kita yang telah habis digunakan dan kita tidak tahu berapa lagi baki usia kita yang masih tinggal, tentu banyak perkara yang sia-sia telah kita lakukan berbanding perkara yang berfaedah. Melihat kepada ibadah puasa yang kita lakukan…mungkin ada sesetengah daripada kita telah 19 kali, 20 kali, 10 kali atau 23 kali menempuh Ramadhan. Tetapi menggapa hasilnya di bulan-bulan yang lain kita masih sama seperti sebelum bulan Ramadhan. Di mana silap kita?


“Sesungguhnya solat itu mencegah seseorang melakukan perkara yang keji dan mungkar” tetapi mengapa selepas solat tingkah laku kita, akhlak kita sama seperti orang yang tidak bersembahyang…atau mungkin baik sikit daripada mereka? Kenapa sikit je baiknya..kenapa tidak banyak?

Sempena bulan Ramadhan ini, mari kita renung kembali puasa yang telah tiga hari berlalu. Kita renung kembali supaya di hari yang akan datang puasa yang kita lakukan mampu merubah akhlak kita daripada yang buruk kepada yang baik dan daripada yang baik bertambah baik.

Puasa ini ada kategori. Ada puasa orang awam, puasa orang yang khusus dan puasa orang yang khusus lagi khusus (khususan khusus) Puasa orang awam adalah puasa yang hanya menahan lapar dan dahaga. Kategori puasa ini tidak diterima oleh Allah. Walaupun individu ini berpuasa tetapi di sisi Allah dia tidak berpuasa.

Puasa orang yang khusus ialah puasa orang yang menahan lapar dan dahaga serta menahan ketujuh-tujuh anggota zahirnya iaitu mata, telinga, hidung, mulut, tangan, kaki dan kemaluan. Puasa ini terlepas daripada kategori orang yang tidak berpuasa bermakna dia tidak berdosa tetapi tiada pahala di sisi Allah S.W.T.

Puasa yang ketiga ialah puasa Khususan khusus. Puasa ini bukan sahaja menahan lapar, dahaga dan menjaga ketujuh-tujuh anggota zahirnya tetapi juga memelihara anggota batinnya iaitu akal, nafsu dan hati daripada melakukan maksiat contohnya u’jub, takkabur, riya’, sombong dan sebagainya. Hanya puasa yang sebegini layak untuk berhari raya.


Moga-moga puasa kita pada hari ini dan hari yang akan datang memberi kesan yang baik pada iman kita. Iman yang baik akan menghasilkan akhlak yang mulia. Sama-sama kita merebut peluang Ramadhan yang Allah kurniakan kepada kita. Siapa tahu..Ramadhan ini adalah yang terakhir buat kita.

Wallahu’alam.

Wednesday, August 27, 2008

Perkara Yang Susah Adalah Masalah


Lamunan saya terhenti apabila bunyi handset menandakan ada SMS masuk. Kekunci handset saya tekan untuk membaca sms tersebut.

Di dalam hati terdapat kekusutan yang tidak bisa diurai kecuali dengan menghadap Allah.
Di dalam hati terdapat kesepian yang tidak bias dihilangkan kecuali dengan menyendiri dengan Allah.
Di dalam hati ada kesedihan yang tidak terhapus kecuali dengan kebahagiaan mengetahui Allah dan berinteraksi secara sungguh-sungguh denganNya.
Di dalam hati terdapat kegelisahan yang tidak bisa tenang kecuali berkumpul dan datang kepadaNya.
Di dalam hati juga terdapat keperluan yang tidak bisa dipenuhi kecuali dengan cintaNya.
Kembali kepadaNya…selalu mengingatiNya dan ikhlas keranaNya…”


Walaupun sms tadi tidak saya balas. Tidak bermakna saya tidak hargainya. Biarlah…saya pulangkan rasa kesyukuran saya….rasa terima kasih saya kepadaNya kerana mengurniakan sahabat yang cukup memahami kesulitan saya. Walaupun duduk berjauhan…. Semoga dia dirahmati Allah selalu.

Tidak dapat dinafikan. Sebagai seorang hamba yang kerdil lagi hina, kita rasa penat dengan masalah yang kita hadapi. Selalu kita menilai perkara yang susah itu adalah masalah bagi kita. Kita lupa perkara yang susah itu adalah datang daripadaNya dan hanya kepadaNya sahaja perkara yang sedemikian rupa dapat dikembalikan.

Undian Penentu Corak Pemerintahan


“Ala kak, kenapa seluruh Penang cuti ? Permatang Pauh dah lah..Saya ada kelas hari Selasa, nanti kena ganti lagi. Saya tak suka kelas ganti” keluh saya.
“Lebih baik cuti seluruh Penang sebab tak semua pengundi Permatang Pauh kerja kat Permatang Pauh. Kalau tak, susah mereka nak mengundi” Jawapan yang ringkas tetapi padat diberikan kepada saya.
“Ooo.. ye ke.. Tak terfikir pula saya”


Sistem demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia memberi peluang kepada rakyatnya memilih pemimpin yang dirasakan berkebolehan untuk memimpin mereka. Sebagai umat Islam seharusnya pemimpin yang dipilih adalah pemimpin yang mampu menjaga agama Islam. Pemimpin yang bukan sahaja mampu menjaga perkara dunia tetapi juga mampu menjaga akhirat rakyatnya.

“Ya Allah ya Tuhanku. Hambamu ini tidak lagi mampu menjaga agamaMu di bumi Kelantan ini. Kami ditekan di segenap penjuru. Ya Allah, Engkau peliharalah negeri ini seperti mana Engkau memelihara rumahMu daripada serangan tentera Abrahah” Pemimpin mana lagi yang mampu mengungkapkan doa sedemikian rupa…

Mengenal Diri

Allah menganugerahkan manusia ini pelbagai karenah. Manusia boleh dikategorikan kepada tiga sifat iaitu akal, perasaan dan fizikal. Seseorang mampu menguasai individu lain apabila dia mampu meletakkan individu tersebut dalam ketiga-tiga sifat tadi. Manusia yang seimbang adalah manusia yang yang mampu menguasai ketiga-tiga sifat tersebut. Ketiga-tiga sifat tersebut ada pada Rasulullah S.A.W. Manusia biasa sukar untuk memiliki ketiga-tiga sifat tersebut.

Manusia yang sifatnya pada akal bermaksud dia merupakan individu yang memerlukan hujah yang berfakta untuk setiap persoalan yang dikemukakan olehnya. Manusia yang sifatnya pada perasaan pula tidak memerlukan kepada hujah tetapi cukup hanya dengan menyentuh hatinya. Contohnya melalui pujukan, atau dengan bercerita mengenai kasih sayang ibu. Manakala manusia yang sifatnya pada fizikal merupakan individu yang mempertahankan hujahnya dengan perbuatan. Contohnya bergaduh dan pukul.

Begitu juga dalam memahami hati manusia. Hati adalah perasaan. Jadi utuk memahami segala persoalan yang bersangkutan dengannya tidak boleh sama sekali untuk kita mencari hujah yang berlandaskan akal fikiran dan kekuatan fizikal kecuali sekiranya ada dalil-dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Sebab itu dalam memahami kewujudan Allah S.W.T, firman Allah banyak menyuruh kita berfikir melihat ciptaannya (perasaan), mengkaji (akal) dan merjalan keseluruh pelusuk dunia (fizikal). Semuanya adalah kerana manusia tidak mampu mengenal Allah S.W.T hanya melalui akal, fizikal ataupun perasaan semata-mata.

Malang Sungguh Diri Kita

Kita kadang-kadang lupa yang bala ditimpakan kepada kita ada empat bentuk iaitu bala menghapuskan dosa, bala berbentuk pembalasan Allah, bala untuk meninggkatkan darjat dan bala yang terakhir ialah bala untuk uji sekuat mana iman kita kepadaNya.

Sering kali apabila datang bala, musibah, masalah, ujian, dugaan dan perkataan-perkataan lain yang seangkatan dengannya kita terlalu cepat bersedih hati, sehingga kita lupa akan hikmah disebalik ujian yang Allah timpakan kepada kita.

Susah sungguh untuk kita berbaik sangka dengan Allah S.W.T sehinggakan kita menyalahkanNya di atas segala perkara yang tertimpa ke atas kita. Kita tidak sedar yang bala itu dikurniakan ke atas kita untuk kebaikan kita.

Kita lupa yang kita banyak buat dosa kepadaNya. Lalu Allah turunkan bala untuk menghapuskan dosa yang ada pada kita.

Kita langgar perintah Allah. Walaupun Allah kata jangan, tapi yang itulah kita buat. Tetapi dengan kasih sayang Allah, Dia turunkan bala kepada kita sebagai balasan kita di atas perbuatan kita. Supaya Akhirat nanti kita tidak dibalas olehNya kerana di dunia kita telah mendapat balasan tersebut.

Kita salahkan Allah S.W.T yang menurunkan pelbagai bala bencana kepada kita. Malang sungguh diri kita. Kerana kita tidak mampu menilai bahawa bala, ujian dan dugaan yang Allah turunkan kepada kita untuk menaikkan darjat kita. Supaya kita hampir kepadaNya berbanding manusia lain di sekeliling kita.

Kita kata, kita telah beriman kepada Allah tetapi rupa-rupanya iman yang kita katakan tadi tidak sampai piawaian yang Allah tetapkan untuk kita. Kita lupa firman Allah “…adakah kamu katakan kamu telah beriman, sedangkan kamu masih belum diuji”

Malang sungguh diri kita…

* Pembahagian bala tersebut diceritakan oleh Ust Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz dalam siri kuliah Tauhidnya yang bertajuk Hukum Allah

Kejayaan Itu Pemberian Allah, Usaha Itu Milik Kita


“Manusia ni macam-macam kak. Saya sendiri pun tak sangka. Lepas pergi camping hari tu, baru saya tahu pentingnya saya ada kat situ” Luah hati seorang junior kepada saya.

“Kenapa cakap macam tu, Kak Radieah tak faham?” tanya saya inginkan penjelasan.

“Mula-mula berat sangat hati nak pi. Tapi sebab kena penuhi syarat paper jadi terpaksalah pi. Tapi bila saya pi, saya rasa bersyukur sangat. Pergaulan tak payah cakaplah memang dah bebas tapi sekurang-kurangnya bila ada kami benda tu terkawallah sikit”

“Betul tu Kak Radieah. Saya pun rasa macam tu. Manusia ni macam-macam. Ada yang solat, ada yang tak kesah. Ada yang saya jumpa seorang sahabat ni, cukup jaga solat dia. Solat awal waktu, kalau orang lain lambat solat dia akan tegur. Kalau nak tidur dia akan ambil wuduk. Saya pun malu dengan dia. Tapi masalahnya dia tak pakai tudung. Entahlah..bagi saya mungkin solat yang dia tunaikan tak mampu lagi mencegah dia daripada melakukan perkara mungkar. Solat dia tak masuk ke dalam hati dia. Em...” Cerita seorang junior lain yang turut pergi di akhiri dengan keluhan kecil dihujungnya.

“Sama lah juga macam Kak Radieah pun. Ada sorang junior ni, setiap hari solat dhuha. Kak Radieah pun tak solat macam dia. Tapi pakaian tak berapa nak kena. Entahlah..”

Kata orang banyak udang, banyak garam, banyak orang, banyak ragam. Apa pun kalau tak boleh nak buat semua jangan tinggal semua. Sebab Allah tak menilai kejayaan kita tetapi yang Allah nilai usaha kita. Kejayaan itu pemberian Allah, usaha itu milik kita.

Percaturan Hidup


Konsep Imam As-Syafie dalam menentukan hukum-hukum fiqh adalah berat sedikit berbanding dengan mazhab fiqh yang lain. Ia berlaku kerana sikap hati-hati dan menjauhkan sifat ragu-ragu dalam menjalani ibadah telah membuatkan hukuman sedemikian rupa dijatuhkan terhadap sesuatu perkara. Contoh yang paling mudah ialah hukum bersentuhan antara kulit lelaki dan permpuan yang anjabi sama ada secara sengaja ataupun sebaliknya dihukumkan membatalkan air sembahyang. Namun menurut mazhab lain ia tidak membatalkan air sembahyang kecuali timbulnya syahwat.

Imam As-Syafie mengakui perkara tersebut kerana adanya hadis yang sahih berkenaan hal tersebut. Tetapi persoalan yang ditimbulkan oleh Imam As-Syafie dalam menentukan bagaimana untuk mengetahui timbulnya syahwat kerana perkara tersebut subjektif, jadi untuk menjauhkan perasaan ragu-ragu Imam As-Syafie telah menjatuhkan hukum batalnya air sembahyang. Perasaan ragu-ragu adalah mainan syaitan dalam kehidupan harian manusia terutama sewaktu melakukan ibadah. Hukum yang telah ditentukan oleh Imam As-Syafie telah menjauhkan umat Islam daripada bisikan syaitan yang tidak pernah putus asa dalam menyesatkan kita.

Hidup ini adalah satu percaturan. Sering kali akan timbul perasaan ragu-ragu, curiga dan sebagainya dalam kehidupan kita. Oleh itu, berusahalah untuk menjauhkan diri kita dari perasaan ragu-ragu. Perasaan ragu-ragu dapat di atasi dengan memberatkan sedikit sesuatu perkara yang membuatkan kita ragu-ragu seperti mana yang dilakukan oleh Imam As-Syafie.
Perasaan ragu-ragu selain dari mengganggu kita sewaktu melakukan ibadah, ia juga sering mengganggu kita sewaktu dalam perhubungan antara muslimin dan muslimat. Sebab itu, untuk menghilangkan perasaan tersebut, beratkanlah hubungan tersebut. Maksud memberatkan hubungan di sini ialah tidak perlulah selalu berhubung sama ada sewaktu bergerak kerja, sewaktu proses pembelajaran ataupun dalam usia pertunangan. Berhubung hanya pada perkara yang perlu. Janganlah pula dipersoalkan perkara yang perlu itu, perkara yang semacam mana. Sebab kita sebenarnya akan merumitkan lagi keadaan seperti mana peristiwa Nabi Isa A.S dan Bani Israel sewaktu baginda memerintahkan menyembelih seekor lembu. Apabila mereka terlalu banyak mempersoalkan tentang lembu tersebut, mereka hampir tidak dapat menemui lembu yang dimaksudkan.

Saya hanya melemparkan cadangan. Bukan untuk ikutan kerana saya bukanlah arif dalam hal yang sedemikian rupa. Bagi saya konsep ikhtilat itu mudah, tetapi kita merumitkan keadaan. Percaturan hidup kita tidak sukar sekiranya kita mampu menghilangkan perasan ragu-ragu, ditambah dengan ilmu yang kita amal untuk menempuh hidup yang Allah S.W.T tentukan sebagai medan perjuangan. Akhirat nanti perjuangan kita Allah akan tentukan sama ada kita berjaya atapun kecundang.

Alahai...Pak Cik Polis

Bila duduk berkumpul sudah tentu banyak cerita yang keluar. Ada saja perancangan yang ingin dibuat memandangkan Pulau Pinang diistiharkan cuti sempena pilihan raya (PR).
“Jomlah kita pi Darul Salam. Kat situ banyak buku. Kalau nak pi, ana bawa satu motor enti bawa satu motor”
“Yelah tu. Banyak buku nak beli? Pitih nak korek mana?. Nak bawa motor, ana mana ada lesen. Dahlah polis banyak jaga waktu PR ni. Enti tak dengar cerita ke ana kena tahan dengan polis?”
“Haa, ye ke?”
“Yelah…ana pi dengan Jannah. Jannah bawa motor. Jannah ada lesen tapi ‘L’. Tak sangka pula kena tahan. Bila kena tahan dengan polis, polis tu suruh bawa keluar lesen. Kami dah pucat dah. Bawa keluar lesen pun perlahan je…”
“Abis tu polis buat ape?”
“Jannah cakap, tengah buat lesen tapi tak dapat lagi. Polis tu cakap ‘kena saman dah ni, kena saman dah’ banyak kali dia ulang perkataan tu. Lepas tu polis tu tanya kami ni student ke?
“Lepas tu dia cakap ‘ha, ni nak motor ni baca doa tak? Jannah cakap, dia baca ‘Cuba baca sikit nak dengar’ Jannah pun bacalah ‘Subhannallazi…..’ sampai habis..dalam hati ana kata ‘biar betul polis ni, betul-betul k,e main-main?’ Ana takut pun ada, nak gelak pun ada masa tu, ada ke patut tanya macam tu, yang Jannah pula dok layanlah polis tu. Lepas tu polis tu tanya lagi Ha, terjemah maksud ‘alhamdulillahi rabbil ‘alamin……(Surah Al-Fatihah, ayat 2) Lepas tu Jannah macam pening-pening sikit nak jawap. Yelah dahlah tengah ketaq, tanya pula benda macam tu. Lepas tu Jannah kata ‘Ha..ingat dah, ingat dah.. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam’ Polis tu cakap ‘Emm..segala puji bagi Allah’ dia tekan sungguh lah suara dia kat ‘segala puji bagi Allah’ tu. Lepas tu dia lepas kami. Tak kena saman…adoi..lawa betul”
Kami semua menahan ketawa kerana geli hati dengan kisah yang berlaku.
“Muka polis tu macam mana? Boleh dia tanya soalan macam tu?” tanya seorang sahabat.
“Muka dia serius. Tapi tulah..ana pun pelik..takut pun ada nak gelak pun ada bila dia tanya soalan macam tu. Tapi tahan jelah, takkan nak gelak kot”

Banyak perkara yang berlaku sebenarnya berlaku di luar jangkaan kita. Kita rasa sepatutnya perkara yang akan berlaku begitu dan begini tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Kita selalu meramal perkara yang akan berlaku di masa hadapan tetapi kadang kala ramalan kita betul, kadang-kadang sipi-sipi, kadang-kadang tidak tepat langsung. Hakikatnya kita merancang, Allah juga merancang. Tetapi perancangan Allah membatasi perancangan manusia….wallahu’alam.

Di Mana Letaknya Penilaian Kita Pada Setiap Perkara?

Sebelum tajuk di atas disentuh. Kita perlu memahami erti hidayah dan taufiq terlebih dahulu barulah kita mampu memahami persoalan atau penilaian yang selalu kita buat dalam kehidupan harian kita.

Selalu kita akan berdoa kepada Allah S.W.T supaya memperolehi taufiq dan hidayahNya. Tetapi tahukah kita apakah itu taufiq dan hidayah yang dimaksudkan sewaktu kita menadah tangan berdoa kepadaNya?

Hidayah ada lima bentuk iaitu hidayah tabii, hidayah pancaindera, hidayah akal, hidayah agama dan peringgat hidayah yang tertinggi dipanggil taufiq.

Kehendak tabii ataupun hidayah tabii ini semua manusia memperolehinya. Contohnya marah, lapar, cinta, dan lain-lain. Kalau lapar, manusia perlu kepada makanan supaya hilang laprnya. Kalau mengantuk manusia perlu kepada tidur supaya hilang rasa mengantuknya dan begitulah juga lain-lain perkara.

Hidayah yang kedua, hidayah pancaindera. Mata untuk melihat, tangan untuk menyentuh, lidah untuk merasa, akal untuk menilai.

Perkara yang dilalui oleh pancaindera akan ditafsirkan oleh akal. Akal dikatakan sebagai hidayah akal. Akal menilai perkara yang mata lihat. Akal juga turut menilai semua perkara yang dilalui oleh pancaindera lain. Kadang kala perkara yang dilalui oleh mata tidak dapat dibenarkan oleh akal. Contohnya mata melihat adanya air di padang pasir, tetapi akal kata ‘itu bukan air tetapi ia adalah fatamorgana’ Tafsiran akal bergantung kepada ilmu yang dimiliki oleh akal.

Namun tidak semua perkara boleh dibenarkan dengan akal kerana adanya hidayah agama yang berada di tingkat yang tertinggi berbanding hidayah akal. Akal kata ‘Tidak boleh terima hukuman potong tangan…. Ya Allah zalimnya..tak ada undang-undang lain dah ke? Tak boleh tukar ke dengan cara lain’ Tetapi disebabkan agama kata ‘Mencuri hukumnya potong tangan’ Maka wajib potong tangan walaupun akal tidak mampu menerimanya. Akal kata ‘Kita seharusnya lebih baik mencarikan pekerjaan untuk dia dan kita berikan pekerjaan itu kepadanya. Supaya dia tidak mencuri lagi’ Penilaian akal memang singkat. Masalah yang berlaku sekarang, orang yang mencuri bukan yang tidak ada pekerjaan, tidak ada gaji dan sebagainya.

Sebab itu akal duduknya di bawah penilaian agama… Jadi apabila agama kata ‘wajib buat’, maka ketaatan kepada agama harus kita patuhi. Kepatuhan kepada agama dipanggil hidayatuddin (hidayah agama). Namun hidayah agama sahaja tidak akan cukup sekiranya tidak sampai kepada peringkat hidayah yang paling tinggi yang dinamakan ‘taufiq’. Hanya dengan memperolehi taufiq, manusia akan bersetuju dengan hukum-hukum dan undang-undang Allah S.W.T.

Jadi nilailah setiap perkara dengan penilaian agama, bukan akal semata-mata. Sebab itu, jangan menilai hubungan cinta sebelum kahwin atau selepas kahwin dengan penilaian nafsu ataupun akal semata-mata. Mungkin pada akal kita berhubung sebelum kahwin itu perlu tetapi hati-hati. Kita kata ia perlu kerana di usia pertunangan ia adalah untuk saling mengenali. Tidak salah tapi dibimbangi perkara yang kita rasakan perlu rupa-rupanya dinilai melalui akal kita bukan di nilai melalui penilaian pada agama kita. Nau’zubilla himinzalik…


* Konsep hidayah tersebut diceritakan oleh Ust Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz dalam siri kuliah Tauhidnya yang bertajuk Hukum Allah

"Takkan kita nak jaga agamaNya, Allah tak beri kemudahan untuk kita?"

Telalu banyak email, buku-buku, ceramah dan sebagainya menceritakan tentang persoalan hati dan perasaan. Namun ia dirasakan masih tidak mempunyai jalan penyelesaian apabila terlalu banyak antara kita bertanya tentang ‘bercinta sebelum kahwin’.

Bagi saya, saya tidak bimbang dengan persoalan bercinta sebelum kahwin. Perkara yang saya bimbang bercinta selepas kahwin. Sebelum kahwin usianya sangat singkat. Mungkin dua bulan, lima bulan, satu tahun dan yang paling lama saya pernah dengan usia pertunangan pensyarah saya, lima tahun. Tetapi Alhamdulillah, dia mampu menjaga keluarganya dengan begitu baik walaupun sibuk.

Bagaimana pula dengan kita? Andai kata kita tidak mampu menjaga hubungan kita sebelum kahwin, yang usianya tidaklah terlalu lama, bagaimana kita ingin lalui usia perkahwinan kita, mempertahankan masjid yang kita bina?. Kita mengharapkan redha Allah tetapi sayang.. kita tidak mampu menilai hubungan kita dengan agama…dengan pandangan Allah. Tetapi kita nilai dengan pandangan manusia. Kita diuji kerana Allah ingin tahu tahap keimanan kita sedalam mana kepadaNya.

Tanggungjawab selepas kahwin itu lebih besar berbanding sebelum kahwin. Bagi saya janganlah terlalu memikirkan hubungan sebelum berkhwin. Sibukkan diri dengan program-program yang berfaedah, bergaul dengan individu yang mampu memberi manfaat di dunia dan akhirat. Supaya kita tidak terlalu memikirkannya.

Jagalah hubungan dengan Allah…Insya Allah, Dia akan menjaga hubungan kita sesama manusia. Kalaupun manusia tidak dapat memahaminya…berdoalah supaya Allah memberi kefahaman kepadanya. “Takkan kita nak jaga agamaNya, Allah tak beri kemudahan untuk kita?” Persoalan ini Prof Syukri selalu lemparkan kepada kami, student master of Islamic Development Management. Sabarlah… “Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar” Takkan kita tak mahu Allah bersama dengan kita?

Wednesday, August 6, 2008

Kalaulah...

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud "Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap orang mempunyai kebaikannya (imannya) Oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas dan; sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata ''Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini'', tetapi katalah "Allah telah takdirkan" kerana perkataan 'kalau' itu membuka jalan kepada hasutan syaitan" (Hadis Riwayat Muslim. No.hadith : 4816)

Kalaulah aku kaya...

Alhamdulillah, akhirnya Allah izinkan juga saya bertemu dengan hadis yang telah lama saya cara. Semoga perkongsian saya pada kali ini memberi manfaat kepada semua. Saya akan menjelaskan maksud hadis yang tidak jelas. Bagi maksud hadis yang jelas nilailah dengan kebijaksanaan masing-masing.

Pada awal hadis Rasulullah S.A.W ada menggunakan perkataan yang bermaksud 'kuat', dalam hadis lain yang bermaksud "Tidak dikatakan seseorang itu kuat pada tubuh badan tetapi yang dikatakan kuat apabila dia mampu menahan marah" hal ini bermakna perkataan 'kuat' yang dimaksudkan dalam hadis bukan bermakna kekuatan tubuh badan dan menurut hadis ini juga setiap manusia mempunyai kekuatannya yang tersendiri, mungkin dalam satu aspek dia lemah tetapi dalam aspek yang lain dia mempunyai kelebihan.

Seperti mana dalam hadis ada menyatakan bahawa kita tidak boleh menggunakan perkataan 'kalau' kerana ia membawa kepada terbukanya jalan hasutan syaitan. Namun begitu adakah perkataan 'kalau' turut digunakan di dalam firman Allah, Surah Al-Anbiya, ayat 22 yang bermaksud "Kalaulah ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, nescaya kedua-duanya akan rosak binasa....." dan di dalam hadis juga ada menggunakan perkataan ini, seperti mana hadis yang bermaksud "Kalaulah tidak menjadi keberatan bagi umatku, nescaya akan aku wajibkan mereka bersugi sebelum sembahyang"

Persoalan yang timbul, adakah sabda Rasulullah tadi bercanggahan dengan firman Allah S.W.T dan sabda Rasulullah yang lain..Sebenarnya ini mustahil sama sekali. Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 156 menjelaskan penggunaan perkataan 'kalau' yang sebetulnya "Hai orang-orang beiman, janganlah kamu seperti orang-orang kafir (orang-orang munafik) itu, yang mengatakan kepada saudara-saudara mereka apabila mereka mengadakan perjalanan di muka bumi atau mereka berperang, "Kalaulah mereka tetap bersama-sama kita tentulah meraka tidak mati dan tidak dibunuh" Akibat (dari perkataan dan keyakinan mereka) yang demikian itu, Allah menimbulkan rasa penyesalan yang sangat di dalam hati mereka. Allah menghidupkan dan mematikan. Dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan"

Berpandukan firman Allah dalam Surah Ali Imran ini, Allah menerangkan kepada kita penggunaan perkataan 'kalau' sering digunakan oleh orang kafir atau munafik. Perkataan ini tidak boleh digunakan bila mana wujudnya unsur-unsur penyesalan, kesedihan, kekecewaan dan perkara-perkara yang lain seangkatan dengannya. Contoh perkataan yang sering kita ucapkan "Kalaulah saya berusaha bersungguh-sungguh sudah tentu saya akan berjaya" Pada ayat tersebut ada unsur penyesalan dan dengan menggunakan perkataan tersebut Allah menimbulkan penyesalan yang teramat sangat dalam diri individu yang mengucapkannya.

Pintu-pintu kepada hasutan syaitan ini banyak antaranya apabila seseorang itu terlalu sedih, terlalu stress dan terlalu gembira. Tidak hairanlah berlakunya histeria kerana kita telah membuka jalan kepada hasutan syaitan. Jadi berusahalah untuk menutup pintu-pintu syaitan tadi. Semoga dengan usaha itu, dengan izinNya kita terhindar daripada hasutan syaitan yang tidak pernah berputus asa menghasut kita.

Titik Perubahan

"Cuba tengok gambar Ina ni. Kening dia dah lebat dah. Hari tu waktu putus dengan Mawi, dia cukur kening. Lepas kahwin dengan Suhaimi dah berubah dah dia. Kening dah tak cukur, pakai stokin lengan" Kawan saya cuba menerangan perubahan Ina yang satu ketika dahulu pernah dilanda kontroversi selepas ikatan pertunangannya dengan Mawi terputus.

"Ye ke? Em… Berubah kerana lelaki" Lancang mulut saya melemparkan tuduhan.

"Ya, memang dia berubah kerana lelaki. Tapi sekurang-kurangnya dia mampu untuk berubah. Tak boleh kita lemparkan tuduhan macam tu. Yelah…sikap dan hati manusia siapa tahu" Penjelasan yang ringkat tetapi padat membuatkan saya terdiam mendengarnya.

Memang salah saya. Sungguh tidak patut untuk melemparkan kata-kata yang sedemikian rupa kepada individu yang mahu berubah. Kita hanyalah hambaNya. Diuji untuk Allah menilai kekuatan iman kita. Dugaan yang dilalui oleh Ina telah berjaya diharunginya tetapi siapa tahu dugaan yang sama suatu hari nanti bakal menimpa kita.

Kepada kaum Adam, nasihat saya bimbinglah kaum Hawa yang berada di bawah tanggungjawab anda. Sama ada tanggungjawab anda sebagai seorang suami, ayah, anak, adik, abang, bapa saudara dan lain-lain ikatan. Sekuat mana pun mereka, mereka perlukan anda untuk membimbing mereka menuju keredhaanNya. Seperti mana hadis daripada Rasulullah S.A.W yang bermaksud "Hawa dijadikan dari rusuk kiri Adam bukan dari kepala untuk dijunjungi, bukan dari kakinya untuk dijadikan pengalas, melainkan dari sisinya untuk dijadikan teman hidup, dekat pada lengannya untuk dilindungi dan dekat dihatinya untuk dicintai"*

* Hadis tersebut adalah marjuh kerana mengandungi unsur-unsur Israiliyyat dan tidak pula disokong dari Al-quran. Oleh itu, hadis ini tidak boleh dijadikan hujah atau mengambilnya sebagai sumber hukum tetapi untuk pengiktibaran ia dibolehkan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...