Thursday, August 25, 2011

Anugerah Allah s.w.t Buatnya


Ramai yang mengatakan bila puasa biasanya penghasilan susu ibu akan berkurangan berbanding sewaktu tidak berpuasa. Sehinggakan ada ibu yang memberhentikan pemberian susu ibu kepada bayinya. Alasanya kerana susu tidak cukup bahkan ada juga yang mengatakan sangat letih kerana si bayi akan mengambil zat dan tenaga dari si ibu sedangkan si ibu dalam keadaan berpuasa.

Walau apapun alasannya pemberian susu ibu kepada bayi yang umurnya kurang dari dua tahun perlu diteruskan memandangkan susu tersebut merupakan hak bayi tersebut. Allah telah ciptakan susu tersebut buatnya mengapa perlu menidakkan hak tersebut.

Persoalan penat, tidak larat, susu tidak mencukupi dan sebagainya, pulangkan sahaja kepada Allah s.w.t. Insya Allah, semuanya ada ganjaran di sisi-Nya. Cadangan saya, sekiranya benar-benar tidak mampu, gantikan susu ibu dengan air zam-zam. Sebagaimana yang telah Allah s.w.t angugerahkan kepada Nabi Ismail a.s sewaktu ibunya Hajar berlari-lari mencari air di padang pasir untuk diberikan kepada Nabi Ismail a.s yang sedang menangis. Insya Allah, berkat air zam-zam ia juga akan mengenyangkan bayi anda. Sebagaimana maksud hadis di bawah;

"Air Zam-Zam akan melaksanakan pesanan dan niat yang meminumnya" Serta "Barang siapa minum supaya kenyang, dia akan kenyang. Barang siapa minum untuk menyembuhkan penyakit, dia akan sembuh."

Hadis berikunya yang bermaksud;

"Sebaik-baik air di atas muka bumi adalah Air ZAM-ZAM, ianya mengenyangkan dan menyembuh penyakit." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Walau bagaimanapun pemeberian susu ibu perlu diteruskan cuma diselang-selikan dengan air zam-zam sewaktu bayi anda sedang menyusu. Insya Allah, sebagai seorang ibu mithali anda akan lakukan segalanya yang terbaik untuk bayi anda walaupun pada ketika itu mungkin nyawa perlu dipertaruhkan untuk bayi anda. Betulkan?

Apapun siiru a'la barakatillah (berjalanlah engkau dengan rahmat/berkat Allah s.w.t). Semoga dipermudahkan segala urusan terutama kepada ibu yang terlalu banyak berkorban.

Selamat Menyambut Hari Kemenangan

Tahniah kepada mereka yang telah berjaya berpuasa khususan khusus (puasa orang yang khusus lagi khusus) kerana telah berjaya melakukan ibadah puasa dengan tidak sahaja mampu menahan lapar dan dahaga tetapi juga menjaga keseluruhan anggota zahir (mata, telinga, tangan dan lain-lain) dan batin (hati) daripada melakukan maksiat.

Mereka inilah yang lebih layak berhari raya berbanding mereka yang hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan tidak meninggalkan berkelakuan dusta (berdusta dengan anggota), maka Allah s.w.t. tidak akan memberikan apa-apa ganjaran ke atas keletihannya meninggalkan makan dan minum (berpuasa)". Hadis riwayat Bukhari

Dalam riwayat yang lain, sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi dari puasanya itu selain daripada lapar dan dahaga". Hadis riwayat Ibn Majah, Ahmad dan Al-Baihaqi

Sebab itu penilaian ibadah puasa hanya Allah s.w.t yang menentukan. Allah s.w.t yang memberi ganjarannya berbanding ibadah yang lain. Sebagaimana hadis berikut.

كل عمل ابن آدم يضاعف الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف، قال الله تعالى: إلا الصوم (فضله) ، فإنه لي، وأنا أجزي به، يدع شهوته وطعامه من أجلي، للصائم فرحتان : فرحة عند فطره، وفرحة عند لقاء ربه. ولخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك، والصوم جنة، وإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولا يصخب ، فإن سابه أحد أو قاتله، فليقل: إني امرؤ صائم

Petikan di atas adalah sepotong hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, mafhumnya:

“Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya; satu kebaikan diberikan pahala antara 10 hingga 700 kali ganda. Allah berfirman: kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku. Aku akan memberi balasan puasa itu. Dia (anak Adam) mengetepikan syahwatnya dan meninggalkan makanannya kerana-Ku. Untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: kegembiraan ketika dia berbuka dan kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya. Dan sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada haruman kasturi. Puasa itu perisai. Pada hari salah seorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata yang buruk dan membuat fitnah. Jika dia dicela oleh seseorang atau diperangi, maka hendaklah dia berkata: sesungguhnya aku orang yang berpuasa!”

Jadi beruntunglah mereka yang benar-benar Allah beri ganjaran kepada mereka berupa hari raya kerana pada ketika itu mereka berada dalam keadaan fitrah seumpama bayi yang baru dilahirkan tanpa dosa. Tahniah kerana ganjaran tersebut.

Tetapi malangnya kita hari ini, baju raya dah berli siap-siap sebelum tibanya bulan Ramadhan bahkan warna temanya juga telah ditentukan belumpun syawal tahun sebelumnya berlalu. Menang ke kita? Seronok dan bergembira di mata manusia tetapi di sisi Allah s.w.t lain pula penilaiannya.

Wednesday, August 24, 2011

Biasiswa vs Pinjaman


Antara biasiswa dan pinjaman sudah tentu kita selaku manusia yang normal akan pilih biasiswa. Tetapi tidak ramai antara kita yang mampu mendapat biasiswa kerana ia bergantung kepada pencapaian akademik masing-masing.

Biasiswa atau pinjaman kedua-duanya adalah pemberian daripada pembayar-pembayar cukai. Bukan hasil pemberian kerajaan. Kerajaan cuma mengurus wang tersebut. Jadi selaku peminjam atau penerima biasiswa ucapan terima kasih sepatutnya diucapkan kepada rakyat Malaysia bukan kepada kerjaannya. Kerajaan cuma pikul amanah supaya duit rakyat tersebut digunakan secara berhemah.

Bagi penerima biasiswa, anda beruntung kerana wang tersebut tidak perlu dikembalikan semula. Tetapi hati-hati. Ada amanah berat yang patut anda tunaikan sebaik mungkin. Jangan sia-siakan harapan atau hasrat rakyat Malaysia. Jadi gunakanlah biasiswa tersebut dengan sebaik mungkin.

Elaun-elaun yang andat terima juga perlu diurus dengan baik. Kadang-kala elaun yang diterima melebihi keperluan anda. Betulkan? Jadi hati-hatilah. Bimbang nanti di Akhirat anda perlu minta maaf kepada 27 juta rakyat Malaysia kerana anda telah mengkhianati amanah yang diberikan.

Jangan ingat biasiswa dan elaun yang anda dapat seumpama 'bulan jatuh ke riba' sebab boleh jadi di dunia ini anda puas dapat berseronok dan bergembira dengan wang tersebut. Akhirat nanti pula anda akan merana.

Jadi beruntung kepada peminjam pinjaman daripada rakyat Malaysia. Anda hanya ada satu tanggungjawab iaitu membayar wang pinjaman tersebut. Tidak ada tanggungjawab berat lain. Jadi bayarlah. Jangan tidak bayar. Anda sebenarnya sangat beruntung berbanding mereka yang menerima biasiswa. Sebab wang yang anda terima adalah hak anda. Insya Allah tiada keraguan untuk digunakan atau dibelanjakan. Boleh diserahkan kepada individu lain, contohnya ibu ayah, adik beradik dan sebagainya kerana setelah mambayar keperluan pengajian, selebihnya 100% hak anda.

Berbeza dengan biasiswa kerana kalau hendak menyerahkan kepada individu lain takut-takut rakyat Malaysia tidak benarkan. Maklum sajalah wang tersebut datang daripada rakyat Malaysia. Haram pula jadinya. Jadi berhati-hati dan berpada-padalah dalam setiap nikmat yang kita peroleh.
Terima kasih kepada pembayar-pembayar cukai Malaysia

Jadi kepada peminjam pinjaman pembelajaran tidak perlulah bersedih hati. Bayar cepat pinjaman tersebut. Kepada pembayar-pembayar cukai Malaysia pula, teriam kasih kerana sudi membiayai pembelajaran pelajar-pelajar sama ada dalam bentuk biasiswa ataupun pinjaman. Terima kasih daun keladi. Kalau boleh berilah lagi.

Tuesday, August 23, 2011

Setahun Lapan Bulan


Setahun lapan bulan. Lama bukan sekejap. Kalau bayi yang berusia setahun lapan bulan sudah tentu telah bebas berlari. Tidak lagi bertatih memberanikan diri untuk berjalan apatah lagi untuk berlari.

Setahun lapan bulan. Itulah tempoh masa perjalanan hidup saya yang telah saya habiskan sebagai calon doktor falsafah.

Setahun lapan bulan entah apa yang telah saya lakukan. Baru hari ini. Baru sebentar tadi. Objektif kajian PhD saya terbina. Baru terjumpa. Alhamdulillah. Berkat tahajud cinta malam tadi. Malam lailatul qadar mungkin. Entahlah saya tidak tahu. Tetapi yang saya tahu Allah telah memakbulkan doa saya supaya kajian saya dipermudahkan.

Setahun lapan bulan saya bergelumang dengan kajian berkenaan kemiskinan. Hari ini. Baru sebentar tadi Allah ilhamkan kajian yang sepatutnya saya lakukan. Berkat 23 Ramadhan 1432H.

Setahun lapan bulan bukan mudah untuk diharungi. Semata-mata untuk mencari kajian yang benar-benar 'valid' untuk dikaji. 'Valid' untuk diteliti. Tetapi baru tadi saya diilhamkan Allah objektif kajian yang panjangnya enam baris. Walaupun enam baris, enam baris inilah teras kepada kajian saya yang panjangnya nanti mungkin menjangkau 350 helai.

Setahun lapan bulan. Tempoh masa itu telah berlalu. Bagaimana pula akan datang?

Kecewa? Tidak pernah wujud rasa itu walaupun telah setahun lapan bulan berlaku baru hari ini Allah ilhamkan objektif kajian untuk tesis PhD. Kerana jihad itu menuntut kita untuk sentiasa berkorban.

Tempoh akan datang sudah tentu lagi panjang. Sudah tentu masih banyak yang perlu dikorban. Masa, wang ringgit, kudrat dan tenaga yang tidak seberapa. Semuanya harus dikorbankan untuk menyelam dilautan ilmu ketuhanan.

Monday, August 22, 2011

Zam-zam Je Ori


"Tak lama lagi insya Allah, pak cik sekeluarga akan ke Mekah buat umrah". Cerita seorang Pak Cik yang usianya hampir seusia dengan ayah saya.

"Seronoklah pak cik". Balas saya.

"Tak ada apa pun yang seronok kat Mekah tu. Kalau bukan kerana ibadat dan tempat nabi dah tentu tak ada orang yang akan datang".

"Kenapa pula Pak Cik?" Tanya saya ingin penjelasan.

"Kalau nak ikutkan barang-barang yang kita beli kat Mekah dan Madinah tu bukan keluaran orang Arab pun. Mukan made in Mekah atau Madinah tapi lebih banyak Made in China. Kalau waktu bulan haji lagi seronok orang Arab. Kita sibuk nak buat haji dan umrah. Dia orang bukan nak ambil peluang berniaga. Tapi ambik peluang melancong ke negara Eropah, Asia Tenggara. Malaysia pun samalah tempat mereka suka melancong. Penuh hotel mahal-mahal mereka sewa. Kedai mereka kat Mekah dan Madinah mereka sewakan pada orang lain. Ada yang sewa termasuk barang-barang yang ingin dijual kepada penyewa. Mereka nak untung cepat tak perlu sebuk-sebuk tunggu pelanggan datang. Cukup seorang penyewa sewa kedai dengan beli secara pukal barang dalam kedai tu. Dah dapat penyewa mereka pun seronoklah melancong".

"Abis tu Pak Cik, apa je yang ada kat Mekah atau Madinah?" Tanya saya.

"Air zam-zam je. Kurma pun bukan mereka yang tanam mereka impot dari luar. Dari Jordan biasanya. Kurma dari Israel pun ada. Jadi hati-hati kalau nak beli kurma. Orang Islam sekarang ni tak nak ambil peluang. Terlalu nak untung cepat. Pentingkan diri pula tu. Malanglah kita". Ada keluahan di hujungnya.

Sungguh-sungguh


Sungguh-sungguh kita berusaha sungguh-sungguh. Tetapi ada kala sungguh-sungguh kita jatuh merudum bukan seketika, ada kalanya boleh sampai bila-bila.

Atau boleh jadi juga jatuh sedikit berbanding sungguh-sungguh hari sebelumnya. Tetapi malangnya tidak mampu mencapai tahap sungguh-sungguh semasa tahapnya pada paras maksima.

Sebab itu andai dibandingkan sungguh-sungguh kita dengan sungguh-sungguh iblis dan syaitan, sudah tentu sungguh-sungguh iblis dan syaitan lebih hebat berbanding kita. Untungnya kita ada Allah yang sering bersama kita. Tetapi malangnya kita jarang-jarang merdoa kepada-Nya. Sedangkan itulah senjata penting perlu kita gunakan yang telah Allah anugerahkan kepada kita.

Bagus Kepada Lebih Bagus

Sedangkan pantai boleh berubah apatah lagi manusia

"Lain dah awak sekarang. Makin kurus pun ya juga". Sapa seorang sahabat lama setelah hampir sepuluh tahun tidak ketemu.
"Apa yang lain? Saya sama je. Sama macam dulu. Cuma cara berfikir saya dah lain. Tindakan saya juga dah berbeza. Matlamat saya juga dah berubah". Jawab saya bersahaja.

Setiap individu perlu sentiada berubah. Perlu sentiasa berhijrah. Berhijrah daripada yang tidak bagus kepada yang bagus. Daripada yang bagus kepada lebih bagus.

Jangan leka. Jangan alpa. Kerana iblis dan syaitan itu tidak pernah leka dan alpa menyesatkan kita.

Tuesday, August 9, 2011

Anak: Antara Perhiasan Dunia Atau Bekal Untuk Akhirat


Dikala si ibu menunaikan sembahyang si anak menangis minta dilayan karenahnya. Bukan kerana lapar tetapi sekadar minta ditemakannya bermain bersama. Tangisan manja tersebut berterusan sedangkan si ibu masih belum selesai menunaikan sembahyang. Si anak masih tidak berhenti cuba. Daripada tangisan kemudian si anak merangkak perlahan-lahan sambil menangis lalu berbaring dalam keadaan meniarap dengan meletakkan kepalanya dikaki si ibu yang sedang berdiri tegak bersembahyang.

Sudah tentu kekusyukan sembahyang si ibu makin tergugat. Usai sahaja sembahyang si ibu terus memanggil anaknnya sambil memeluk erat. Tangisan si anak terus hilang. Senyuman manja dihadiahkan kepada si ibu.

"Anak ummi, ummi kan tengah sembahyang. Janganlah menangis. Orang tengah sembahyang tak boleh menangis". Tidak putus-putus si ibu memberi nasihat buat anaknya yang masih kecil. Anak yang belum mumaiyyiz. Belum mengerti apa-apa.

Menjadi ibu kepada si kecil yang masih mahu dibelai manja membuatkan sering kali kita akan terlupa bahawa Allah s.w.t telah mengingatkan kepada kita bahawa anak itu walaupun ia adalah anugerah ia mampu bertukar menjadi fitnah.

Antara tanggungjawab kita/saya sebagai hamba dengan tanggungjawab kita/saya sebagai ibu, sukar sekali untuk diseimbangkan kedua-duanya. Jadi tidak hairanlah mengapa Allah s.w.t telah mengingatkan kita selaku hambanya tentang anak dan harta.

"Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu adalah fitnah dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (Al-Anfal: 28)

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”, (Al-Kahfi: 46)

Terdapat dua ayat yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran yang menjelaskan bahawa harta dan anak itu adalah fitnah. Fitnah bagi mereka yang tidak mampu menguruskannya dengan baik. Tetapi bagi mereka yang mampu menguruskan harta dan anak dengan baik, fitnah tersebut mampu bertukar menjadi anugerah dan rahmat dari-Nya.

Namun bukan mudah untuk menukar fitnah menjadi anugerah. Kegembiraan atau kesenangan berdamping dengan harta dan anak membuatkan kita selaku manusia biasa akan sering lalai daripada melaksanakan tanggungjawab kita kepada-Nya.

Menukarkan fitnah menjadi pahala bukan mustahil. Tetapi perlu disertai dengan mujahadah.

"Mujahadah itu perlu. Muhasabah itu selalu" - Fadhil Atari
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...