Friday, October 29, 2010

Sejarah Yang Disembunyikan



Telah banyak entry saya berkenaan iluminati atau Freemason. Video di atas mungkin sedikit sebanyak boleh menjelaskan berkenaan sejarah penubuhan ilumintai atau Freemason. Ada yang bertanya kepada saya, "kalau dah tahu, kita nak buat apa?" Mungkin video di atas boleh memberi jawapan.

Wednesday, October 20, 2010

Bila Sekeping Gambar Berbicara

Saya pernah terbaca satu pernyataan yang mengatakan "setiap gambar mampu memberi 1001 tafsiran". Oleh itu, kali ini biarlah gambar pula berbicara. Sebelum itu, gambar-gambar di bawah merupakan kenangan saya, pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan ISDEV sewaktu hendak bertolak ke Acheh.


Semoga Allah permudahkan dalam segala urusan. Ameen...

Monday, October 18, 2010

Antara Dua Kapal: "...Apakah Kamu Tidak Berfikir".

Grafik Muzium Tsunami dari atas. Muzium ini bentuknya seperti Kapal Apung

Kisah kali ini masih lagi mengenai peristiwa tsunami di Acheh. Antara kesan tinggalan tsunami yang masih kelihatan di Acheh ialah dua buah kapal yang masih kekal kedudukannya sehingga ke hari ini.


Gambar Kapal Apung ini tidak saya ambik kerana terlalu besar. (Panjangnya 63 meter, lebarnya 19 meter, tingginya 19 meter dan beratnya ialah 2600 tan.) Saya perlu berjalan jauh menjauhi Kapal Apung untuk mengambil keseluruhan Kapal Apung. Jadi saya batalkan hasrat saya untuk mengambil keseluruhan kapal ini

Kapal pertama lawati adalah Kapal Apung Tenaga Listik PLN (Saya tidak pandai menterjemah ke dalam Bahasa Melayu). Kapal ini menurut pemandu bas kami semasa di Acheh, jaraknya di antara tempat ia berlabuh dengan tempatnya terdampar kini adalah kira-kira 4.5km.

Keadaan kapal nelayan tersebut dan persekitarannya yang telah dibersihkan selepas tsunami

Kedudukan kapal nelayan yang masih dikekalkan di tempat asalnya sehingga kini

Kapal kedua yang kami sempat kami lawati ialah sebuah kapal nelayan. Kapal nelayan ini terdampar di sebuah rumah milik seorang pekerja cari gali minyak. Pada ketika tsunami melanda beliau tidak ada di tempat kejadian sebaliknya isteri dan anak-anak beliau menetap di situ. Namun dengan kuasa Allah mereka diselamatkan oleh-Nya bersama-sama puluhan yang lain dengan kapal nelayan yang Allah terdamparkan di atas rumah mereka.

Pak Mujiburrizal menerangkan situasi genting ketika beliau, keluarga, jiran dan mangsa tsunami yang lain menghadapi tsunami. Beliau sebenarnya pernah menganggotai kumpulan nasyid Nada Murni dan Raihan satu ketika dahulu. Kini masih aktif bernasyid dan merupakan pengacara televisyen. Rumahnya tidak musnah teruk walaupun dilanda tsunami. Menurutnya bingkai-bingkai gambar, perabot dan peralatan yang terdapat di ruang tamu dan sebahagian besar bahagian lain kekaldi tempat asal dan tidak musnah walaupun dilanda tsunami. Kedudukan rumahnya adalah di sebelah rumah yang kapal nelayan tersebut terdampar.

Apabila ditanya oleh Prof Syukri, apakah amalan yang dilakukan oleh mereka sehingga Allah menghantar bantuan dalam bentuk sedemikian rupa? menurut jiran sebelah rumahnya, Pak Mujiburrizal mereka merupakan keluarga yang pemurah. Mungkin disebabkan itu Allah menghantarkan kepada mereka sebuah kapal nelayan. Begitu juga dengan keluarga Pak Mujiburrizal tadi juga memiliki amalan yang sentiasa mereka kerjakan secara berjemaah di dalam rumah tersebut sehingga rumahnya tidaklah musnah teruk berbanding yang lain.

Kedudukan kapal nelayan dari hadapan rumah Pak Mujiburrizal yang terletak di sebelah kiri rumah ini. Rumah beliau tidak kelihatan dalam gambar di atas.

Antara kapal kecil dan kapal besar tersebut, walaupun kedua-duanya telah dibawa arus tsunami, kapal apung yang besar tadi hanya berjaya menyelamatkan seorang jurutekniknya sahaja sedangkan kapal nelayan yang kecil itu berjaya menyelamatkan 59 orang mangsa tsunami. Kuasa Allah s.w.t telah menunjukkan kepada kita bahawa yang kecil jangan disangka tidak berguna, tidak berharga dan sebagainya. Terlalu banyak tafsiran yang mampu dibuat sewaktu mentafsir kedua-dua kapal ini. Apapun hanya manusia yang mahu berfikir sahaja mampu mentafsirkannya.

Terlalu banyak peringatan Allah s.w.t tinggalkan kepada kita. Namun sayang sekali, kita jarang-jarang sekali berfikir. Sehingga Allah s.w.t telalu bertanya kepada kita dalam firman-Nya yang bermaksud “…apakah kamu tidak berfikif”.

Kunjungi juga blog Dr. Suekainah;

Saturday, October 16, 2010

Di Sebalik Pintu Masuk Perkuburan Tsunami

Pintu masuk ke tanah perkuburan

Pintu masuk tanah perkuburan mangsa tsunami berhampiran Masjid Baiturrahman cuba saya tolak bersama Niza satu per satu. Ada tulisan yang menarik perhatian kami membuatkan kami teruja menolaknya. Pintunya sederhana berat berjaya kami tolak. Walaupun ahli rombongan yang lain sebahagian besarnya telah masuk ke tanah perkuburan tersebut mendahului kami, tetapi kawasan dalam tanah perkuburan tersebut tidak menarik perhatian kami untuk masuk berbanding pintunya yang berwarna hijau.

Saya cuba membaca patah perkataan yang terdapat pada daun-daun pintu tersebut tetapi tidak berjaya. Kelakuan kami rupa-rupanya diperhatikan oleh Pak Yasir yang masih berada di luar tanah perkuburan.

Tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.

“Sebenarnya ada maksud tersirat di sebalik pintu-pintu ini. Ia maksud ayat daripada surah al-Anbiya”. Terang Pak Yasir. Tetapi penerangan tersebut masih kabur bagi saya. Saya dapat merasakan bahawa Pak Yasir faham bahawa saya masih belum dapat mengerti apa yang diterangkannya tadi.

Akhirnya Pak Yasir menjelaskan satu persatu tulisan yang ada pada kelima-lima daun pintu tersebut. Luruh jantung saya setelah penjelasan Pak Yasir berikan saya fahami “Oooo… macam tu”. Ucap saya perlahan.

Pada daun-daun pintu tersebut sebenarnya menggabungkan maksud firman Allah s.w.t melalui Surah al-Anbiya, ayat 35 sebagai peringatan buat penggunjung yang menziarahi tanah perkuburan tersebut.

Ayat dan maksud firman Allah s.w.t yang saya maksudkan adalah sebagimana di bawah;

Tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.

Perkuburan yang tidak bernisan dan bernama. Hanya diletakkan tanda bagi menandakan tanah perkuburan mangsa tsunami kanak-kanak dan dewasa.

Setelah memahami erti tersirat di sebalik pintu-pintu tersebut saya dan rakan yang masih tertinggal di luar mula melangkah masuk ke kawasan tanah perkuburan tersebut. Sebagaimana tanah perkuburan pertama yang kami lawati, tanah perkuburan ini juga tidak mempunyai batu nisan, tidak tahu penghuninya. Cuma terdapat tanda yang memisahkan antara tanah perkuburan dewasa dan kanak-kanak.

Pak Suriya Darma dan Pak Yasir sedang menjelaskan peristiwa yang mereka alami semasa tsunami melanda kepada Prof Syukri, Dr. Fadzila Azni dan saya (sedang mengambil gambar).

Tanah perkuburan ini juga terdapat sebuah hospital yang hampir ranap yang sengaja ditinggalkan tidak diperbaiki sebagai maklumat kepada kita menenai tanda aras ketinggian air yang melimpahi kawasan tersebut semasa tsunami. Menurut Pak Yasir semua penghuninya pada ketika itu menjadi korban mangsa tsunami.

Pak Yasir menerangkan kedudukan aras air tsunami adalah setinggi tiga tingkat bangunan yang sengaja ditinggalkan sebagai bukti aras air tsunami yang melanda Acheh pada ketika itu

Tanah perkuburan ini juga dipagari dengan pagar berwarna putih yang dihiasi 99 nama-nama Allah sebagai peringatan buat penziarah dan sesiapa sahaja yang melintasi di jalan raya berhampiran tanah perkuburan tersebut. Semoga syahid itu menjadi milik mereka dan kita juga yang bakal menyusuli mereka. Ameen...

Saat Tsunami Melanda

Angka kematian di Indonesia sebenarnya tidak dapat dikenalpasti bilangannya secara tepat. Ada yang menyatakan lebih 200 000 mangsa yang menjadi korban pada ketika itu. Angka 200 000 mangsa ini adalah angka yang sering menjadi sebutan penduduk Acheh yang terselamat daripada menjadi mangsa korban tsunami.

Kederasan arus tsunami memang diluar jangkuan akal fikiran manusia. Menurut ayah Pak Riduan yang merupakan salah seorang mangsa yang terselamat daripada peristiwa tersebut, gempa 8.9 Skala Richter yang berlaku tidak banyak menggorbankan jiwa mahupun merosakkan harta benda. Tetapi yang banyak merosakkan jiwa dan harta benda adalah air yang deras melimpah ke daratan yang dikenali sebagai tsunami. Berbeza sekali dengan gempa yang berlaku di Padang, Indonesia yang telah menelan sebuah kampung dan ramai jiwa yang menjadi mangsanya. Peristiwa di Padang tersebut berlaku disebabkan gempa.

Menurut Pak Yasir, Pak Nizam, Pak Surya dan ramai lagi penduduk Acheh sama ada yang belajar di ISDEV atau penduduk Acheh yang kami temui sewaktu ke Acheh, sewaku mula-mula gempa berlaku, air laut surut sehingga lima kilometer daripada aras pantai. Keadaan ini menyebabkan ramai penduduk turut ke kawasan yang surut tersebut kerana ikan-ikan banyak terdampar di kawasan yang surut.

Pak Yasir menjelaskan kepada kami berkenaan gambar-gambar semasa peristiwa tsunami
yang terdapat d dalam Masjid Baitulrrahman


Secara mudahnya, menurut mereka surutnya air laut ini mungkin disebabkan rekahan permukaan bumi di dasar laut (plat bumi bergerak) lalu membawa air laut masuk ke dalam rekahan tersebut. Apabila permuakaan tersebut kembali normal, air laut tadi keluar daripada rekahan yang akhirnya menghasilkan tekanan/kelajuan yang amat dahsyat.
Air laut yang membanjiri daratan pada mulanya, selepas ia surut adalah separas lutut orang dewasa. Tetapi kederasan air tersebut menurut Pak Yasir adalah selaju 700km per jam yang hampir menyamai kelajuan Boeing 737 yang lajunya 780km per jam. Kederasan air ini lah yang menyebabkan semua rumah, bangunan, hospital, termasuk manusia, haiwan ternakan dan sebagainya musnah dan mati dirempuh.

Masjid Baiturrahim, Acheh yang merupakan antara masjid yang tetap utuh walaupun dilanda arus tsunami. Juga merupakan saksi bisu peristiwa tersebut

Menurut seorang saksi yang kami temui di Masjid Baiturrahim (klik link tersebut untuk melihat masjid tersebut sebelum dan sesudah tsunami), bunyi seolah letupan-letupan turut tercetus terhasil runtuhan bangunan yang bertembung di antara satu sama lain ditolak olah air yang amat deras tersebut turut terhasil. Keadaan ini menjadikan lapisan pertama yang merempuh bangunan, manusia dan sebagainya adalah serpihan bangunan serta sampah sarap yang ditolak oleh arus trunami tersebut.

Sampah-sarap yang terhasil selepas berlakunya tsunami

Sesudah air yang deras tersebut berlalu, barulah ombak setinggi dua batang pokok kelapa menghempas dataran Acheh. Pada ketika itu, gegaran susulan masih terus dirasai di Acheh.

Menurut Pak Nizam, tsunami yang berlaku di Acheh pada tanggal 26 Disember 2004 bukanlah tsunami tetapi bagi beliau ia adalah kiamat. Hal ini telah dikhabarkan kepadanya oleh seorang pakar berkenaan tsunami dari Jepun yang turut sama mengkaji dan melihat kemusnahan akibat tsunami di Acheh.

Mayat dicelahan sampah-sarap

Menurut Pak Yasir, yang rumahnya terletak satu kilometer daripada perkuburan tsunami yang menempatkan 4000 lebih mangsa tsunami (jumlah sebenar akan diedit kemudian) berhampiran Masjid Baiturahim, setelah dua minggu tsunami melanda, Masjid Baiturahim dan kawasan yang berhampirannya baru boleh dimasuki oleh sukarelawan, pasukan penyelamat dan bantuan-bantuan mulai sampai. Keadaan ini berlaku kerana seluruh kawasan ditumbuni sampah-sarap, yang terdiri daripada pokok-pokok yang tumbang, kenderaan, lumpur yang tebal, dinding-dinding bangunan dan juga mayat-mayat mangsa tsunami setinggi tiga meter. Terdapat juga kawasan yang setelah dua bulan dilanda tsunami baru boleh dimasuki oleh sukarelawan, pasukan penyelamat dan sebagainya.

Bantuan juga lambat tiba kerana mereka terpaksa membuat jalan baru ke tempat kejadian memandangkan jalan raya yang sedia ada bukan sahaja telah dilutupi sampah sarap tetapi juga tarnya telah hilang dibongkah oleh kederasan arus tsunami. Jentolak dan sebagainya terpaksa membuat laluan baru untuk memudahkan bantuan dan sukarelawan sampai. Sampah sarap hasil daripada peristiwa tsunami tersebut dikatakan dapat dibersihkan setelah dua tahun tsunami melanda dengan bantuan pihak antarabangsa.

Walaupun bantuan, sukarelawan, pasukan penyelamat anatarabangsa dan sebagainya lambat tiba, kuasa Allah s.w.t menjadikan mayat mangsa tsunami tidak busuk. Takdir Allah juga menjadikan air laut yang masin membantu mayat mangsa tsunami tidak busuk walaupun tidak dikebumikan selama dua bulan.

Bagi yang telah pergi, bermakna sudah selesailah tugas mereka selaku hamba dan khalifah-Nya. Tetapi bagi yang masih tinggal saat tsunami melanda seharusnya dijadikan pengajaran besar buat kita. Tsunami bagi saya, ia mengajar 1001 erti perjuangan, erti usah putus asa, erti bangkit semula.

Saya masih ingat dialog saya dengan Prof Syukri sewaktu kami melangkah keluar daripada Masjid Baiturrahman;
"Prof, mengeletar kaki saya Prof".
"Agak-agaknya kenapa Acheh jadi macam tu?" Tanya Prof Syukri kepada saya.
"Ustaz saya pernah cakap, Allah nak bagi mereka syahid dengan mudah. Tak mahu dosa mereka banyak".
"Mati ditimpa bencana itu syahid ye?" Tanya Prof.
"Ya, mati tengelam dalam air, mati ditimpa bencana itu syahid". Jawab saya ringkas.

Itu pengakhiran hidup sebahagian besar penduduk di Bandar Acheh. Bagaimana pula dengan pengakhiran hidup kita nanti? Syahidkah kita?

Wednesday, October 13, 2010

Menjejakkan Kaki di Bumi Acheh


Perjalanan selama satu jam 45 minit daripada Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang ke bumi Acheh yang pada mulanya agak membosankan bagi saya. Entah mengapa semua assignment student yang perlu saya tanda dan buku-buku yang saya bawa saya masukkan kesemuanya ke dalam luggage, yang akhirnya luggage tersebut dimasukkan dalam kargo. Jadi untuk mengambil semula perkara yang saya inginkan tadi adalah mustahil sekali.

"Kak, ada novel tak?". Kebosanan tersebut membuatkan saya memohon kepada salah seorang pramugari sebuah novel untuk dibaca. Entah kenapa dalam banyak-banyak bahan bacaan novel pula yang saya minta. Sudah hampir lima tahun lebih saya tinggalkan bentuk bacaan tersebut. Emmm... entahlah. Boring sangat kot.
"Tak ada lah sayang". Jawapan tersebut diucapkan kepada saya. Sambil menghulurkan sebungkus kecil kacang dan biskut kepada saya. Kecewa dengan jawapan tersebut saya minta pula pada adik-adik MISDEV10 (Master ISDEV 2010) yang turut mengikuti wisata tersebut.

"Tak ada lah Kak Radieah. Buku '7 Prinsip' adalah". Jawab salah seorang daripada mereka.
Alamak, '7 Prinsip' ke?, dalam kuliah dah 7 Prinsip, tesis 7 Prinsip, mengajar pun 7 Prinsip, takkan dalam kapal terbang pun nak 7 Prinsip lagi. Mengeluh saya keseorangan.
Kebosanan tersebut membuatkan saya berdoa supaya cepat-cepat kami mendarat.

Namun kebosanan saya terubat seketika apabila sampai di ruang udara Acheh. Kami disambut dengan pantai, daratan dan sawah padi yang terbentang luas menghiasi lanskap semula jadi Acheh. Suasana di bahagian belakang Firefly yang menempatkan kami semua agak riuh rendah apabila Pak Riduan dan Pak Yasir memberikan penerangan berkenaan kawasan yang dilanda tsunami dan rumah-rumah yang dibina selepasnya hasil bantuan kewangan daripada pihak antarabangsa. Pelbagai soalan sempat saya tujukan kepada Pak Yasir yang kebetulan tempat duduknya berada di hadapan saya. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain.


Melalui udara sisa-sisa kesan tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 masih kelihatan. Terdapat sebahagian daratan yang masih menakung air dan kelihatan agak lapang. Air masin daripada laut yang sampai ke daratan sewaktu peristiwa tsunami kira-kira enam tahun lalu meniggalkan kesan pada sebahagian daratan tersebut kerana kebanyakan tumbuhan tidak dapat hidup di kawasan air masin.

Setibanya di Acheh pada 9 Oktober 2010, kira-kira jam 2.45 petang waktu Indonesia Barat atau bersamaan 1.45 tengahari waktu Malaysia, saya dan rakan-rakan turut kagum dengan lapangan terbangnya yang cantik dan bersih jika dibandingkan dengan lapangan terbang di Medan, Indonesia. Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda ini dihiasi dengan ukiran-ukiran dan bentuk-bentuk geometri yang tidak asing dalam dunia Islam. Kubah yang menghiasi bumbung lapangan terbang ini juga seolah-olah memberi tahu kami bahawa kami sekarang tiba di tanah yang cuba menegakkan syiar Islam.


Selesai sahaja urusan imigresen kami terus dibawa dengan bas ke tempat penginapan. Semasa dalam perjalanan ke tempat penginapan kami di bawa singgah ke Kuburan Masal Siron. "Assalamu'alaikum buat saudaraku yang pergi dulu mendahuluiku".

Gambar di atas saya ambil daripada blog orang lain. Saya terlupa menyimpan linknya

Kami sempat berdoa beramai-ramai di sini dengan diketuai oleh Ust Shukri. Kawasan kubur ini seumpama kawasan tanah lapang yang dilitupi rumput yang menghijau sebenarnya telah menyimpan 46 817 mangsa tsunami. Kubur yang tidak bernisan dan tidak bernama. Semoga rahmat Allah mengiringi perjalanan mereka yang pergi dulu daripada kita. Walaupun hanya tanah lapang yang dapat saya perhatikan rasa sebak di dada tidak dapat saya sembunyikan. Air bening dari kelopak mata akhirnya gugur juga.


Terdapat sebuah tugu turut dibina. Tugu yang berbentuk ombak tersebut melambangkan kejadian tsunami yang telah mengorbankan lebih 200 000 nyawa penduduk Acheh. Angka sebenar kematian tidak dapat dikenal pasti sehingga kini.

Terdapat sebuah lagi kubur besar yang menempatkan mangsa-mangsa tsunami sempat kami kunjungi akan saya ceritakan dalam entry akan datang. Insya Allah. Bagi saya kisahnya adalah lebih menyedihkan berbanding kisah ini. Namun sedih itu tiada gunanya andai kita tidak mampu mengambil pengajaran daripadanya.

Wisata (Perlancongan) Spiritual Tsunami


Bagi saya Acheh bukanlah satu tempat perlancongan, bukan tempat untuk bersuka-suka atau berseronok-seronok. Sebaliknya Acheh adalah satu tempat yang dijadikan oleh Allah s.w.t untuk memperbaharui iman manusia, yang ada kalanya menaik dan ada kalanya menurun.

Sebetulnya terdapat 14 perkara yang sempat saya catatkan berkaitan khusus berkenaan dengan peristiwa tsunami di Acheh dan beberapa hal lain yang tidak tercatat dalam catatan saya. Saya berhasrat untuk berkongsi semuanya dengan anda. Tetapi saya tidak pasti sama ada dapat menceritakan semuanya, sesetengahnya sahaja atau langsung tidak berkesempatan untuk menceritakannya memandangkan keterbatasan waktu dan kekalutan rutin harian yang ada. Insya Allah, entry akan datang saya akan cuba menceritakan perkara-perkara tersebut satu persatu.

Apapun Acheh merupakan tempat yang cantik. Pantai yang bersih dan bukit bukau yang menghijau menghiasi lanskap semula jadi di Acheh. Pembangunannya lebih tersusun berbanding sebelum berlakunya tsunami. Infrastrukturnya sama ada jalan raya, lapangan kapal terbangnya, perumahannya dan pelbagai perkara lain adalah lebih baik jika dibandingkan dengan infrastrukur yang terdapat di Medan.Tsunami telah banyak merubah Acheh. Merubah konflik politik diantara GAM (Gerakan Acheh Merdeka) dengan TNA (Tentera Negara Acheh) dan cara berfikir penduduknya, pembangunannya, geografinya dan pelbagai lagi perkara lain.

Sebahagian pantai dan daratan Acheh dari kapal terbang Firefly.
Gambar tidak berapa cantik memandangkan hanya menggunakan kamera handset.


Rahmat di sebalik peristiwa tsunami tiada siapa yang tahu melainkan-Nya. Acheh merupakan bumi bertuah. Semoga rahmat Allah s.w.t sentiasa mengiringi Acheh.

Wednesday, October 6, 2010

Hitam Putih Dunia Kita

Justify FullJika anda tiada anak kecil pun, tolong sebarkan maklumat ini kepada sesiapa sahaja... Kita tidak tahu entah siapa yang dapat diselamatkan dengan menghantar e-mel ini. Tolong beri sedikit masa dan hantar kepada kawan yang ada anak-anak dan cucu-cucu... Terima Kasih.

Pernah terima e-mel seperti di atas? Sambungan e-mel tersebut adalah sebagaimana di bawah.

Kita mahu berkongsi apa yang berlaku hari ini semasa berbelanja di Carrefour JB. Seorang ibu sedang membongkok untuk membelek-belek daging, dan apabila berpusing mendapati anak perempuannya berusia 4 tahun telah hilang. Saya berdiri betul-betul bersebelahan dengan si ibu, sementara si ibu tadi terus memanggil-manggil anak perempuannya tapi hampa.

Saya meminta seorang pekerja lelaki Carrefour untuk umumkan kehilangan tersebut melalui sistem pembesar suara. Beliau terus melakukannya apabila diminta berbuat demikian, dan kemudian terus meninggalkan saya untuk membuat panggilan telefon. Panggilan itu untuk memaklumkan supaya semua pintu dan pagar dikunci menggunakan kata kod atau seumpamanya. Jadi mereka telah mengunci semua pintu dengan serta-merta.

Hanya 3 minit diperlukan untuk melakukannya selepas diminta.. Mereka menjumpai kanak-kanak perempuan itu 5 minit kemudian di dalam bilik air dalam keadaan masih khayal. Kepala budak perempuan itu sudah separuh dicukur, dan hanya berpakaian dalam. Ada sebuah beg mengandungi baju, pisau cukur, dan rambut palsu terletak di lantai bersebelahannya untuk menukar wajahnya.

Siapa pun yang melakukannya - iaitu mengambil lalu membawa budak perempuan ini ke dalam bilik air, cukur rambut dan tukar pakaiannya - melakukannya kurang daripada 10 minit. Ini bikin saya menggigil tak sudah-sudah. Tolong perhatikan anak-anak anda apabila berada di tempat luas di mana adalah senang untuk kita terpisah dengan mereka seperti di gedung beli-belah. Hanya beberapa minit diperlukan untuk melakukan semuanya. 5 minit lagi maka anak perempuan itu tentu sudah berjaya dibawa keluar.

Saya masih amat terkejut ada manusia yang sanggup melakukannya, apa lagi dalam masa hanya beberapa minit. Masa anak-anak kecil boleh berlari tanpa hirau telah berlalu. Budak perempuan itu kini selamat. Syukur ke hadrat Allah SWT, dan tahniah kepada pekerja Carrefour yang bertindak pantas.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Carrefour JB.
Menurut penghantar e-mel berkenaan perkara di atas taktik yang sama digunakan oleh penculik tersebut dua tahun yang lalu di Kelantan.

Bala (saya ingat namanya Bala je. Berketurunan India) yang merupakan seorang pakar dalam jenayah lebih kurang macam Kamal Afendi Hashim. Dia pernah datang USM, alhamdulillah saya berkesempatan menghadiri talknya. Dia juga menceritakan hal yang sama dan banyak cara yang boleh dilakukan oleh penjenayah untuk penculik. Antaranya memasukkan pil khayal ke dalam tin atau botol minuman dengan jarum yang halus. Sehinggakan air yang berada di dalamnya tidak keluar pun. Saya lihat demonstration tersebut. Memang tidak keluar air.

Bala juga menceritakan jika perempuan diculik setelah disuntik dengan ubat pelali, tidur atau yang seangkatan dengannya, mereka akan menukar baju, gunting rambut, make-up sikit dan membasahkan badan perempuan tersebut dengan arak. Semuanya bertujuan untuk mengelirukan pihak berkuasa, rakan yang ikut serta perempuan yang diculik tadi atau sesiapa sahaja. Bala menceritakan lagi, sekiranya kita menyedari rakan kita diculik, kita mungkin tidak dapat berjumpanya lagi kerana imej telah ditukar. Walaupun dalam masa yang singkat kita telah laporkan kepada pihak bertanggungjawab, dengan menyatakan rakan kita memakai baju warna ini, tudung begini, bawa beg begini dan begini tetapi hakikatnya semuanya tidak sama. Bahkan boleh jadi kita yang terserampak dengan rakan kita yang diculik tersebut tidak mengenalinya.

Menurut Bala lagi, mereka menggunakan kereta mewah bercermin gelap untuk membawa lari rakan kita tadi. Apabila polis mengadakan sekatan dan menahan kereta tersebut, mereka boleh menerangkan bahawa mereka mambawa anak VIP yang sedang mabuk, kerana bau simbahan arak ke badan rakan kita tadi seolah-olah mengiakan perkara tersebut. Menurut Bala, status VIP yang ada pada seseorang membuatkan pihak berkuasa tidak terlalu masuk campur perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka. Jadi keadaan ini membuatkan penculik mudah melakukan jenayah.

Tadi cerita tentang Bala. Sekarang cerita tentang Prof Syukri pula.

Kuliah undergrad petang tadi juga menceritakan hal yang sama. Prof Syukri memberi nasihat kepada pelajarnya berkenaan keadaan dunia hari ini. Banyak kisah yang prof ceritakan berlaku kepada pelajar universiti sekarang. Semuanya kisah yang bagi saya yang hanya mampu dilafazkan "... Allah bagaimana mungkin saya dan anak-anak saya nanti boleh hadapi dunia yang semacam ini".

Prof ceritakan kepada kami berkenaan beberapa kejadian pelajar perempuan yang tertipu dengan lelaki... bagi saya yang itu perkara biasa yang selalu kita dengar. Tetapi banyak juga dalam kalangan kita yang tertewas walaupun biasa kita dengar. Yang tu yang tertipu, tapi ada juga yang baik ditipu oleh lelaki. Bagi saya kisah ini kisah yang luar biasa seramnya... moga-moga Allah jauhkan kita dengan perkara yang semacam ini.

Kisahnya bermula bila seorang pelajar yang berkenalan dengan seorang lelaki. Lelaki ini seorang ustaz. Tetapi baru sahaja berkenalan terus diajak oleh lelaki tersebut untuk bernikah. Lelaki tersebut telah memiliki anak seramai dua orang hasil perkahwinannya dengan bekas isterinya. Mereka telah berpisah sepuluh tahun yang lalu.

Kemudian setelah buat kerap kali solat istiharah, setiap kali pelajar perempuan tadi sering bermimpi yang menandakan bahawa lelaki tersebut adalah pilihan terbaik untuk dijadikan suami. Jadi pelajar perempuan tersebut bersetuju. Masalahnya keluarga pelajar perempuan tadi tidak menerima pilihannya. Tetapi bila dah lama-lama keluarganya bersetuju dan tarikh pertunangan telah ditetapkan pada 10.10.2010. Cantik tarikh ni kan?. Tetapi apalah yang ada pada tarikh, mereka tidak jadi bertunang.

Prof menceritakan bahawa mak dan ayah pelajar perempuan tadi telah menerima dua pucuk surat supaya pertunangan sekaligus perkahwinan dengan lelaki tersebut jangan dilakukan. Akhirnya bila disiasat identiti lelaki yang dikenali sebagai ustaz ini tadi dengan menelefon majikan lelaki tersebut, ramai yang mengatakan jangan berkahwin dengannya.

Pelajar perempuan tadi dibawa berubat. Rupa-rupanya lelaki tersebut telah menggunakan ilmu supaya setiap kali dia bermimpi, mimpi tersebut menandakan lelaki tersebut adalah lelaki terbaik untuk dijadikan suami kepadanya. Ia berlaku melalui sentuhan. Menurut pelajar perempuan tadi, memang ada mereka bersentuhan tangan yang pada mulanya dirasakan oleh perempuan tersebut berlaku secara tidak sengaja. Rupanya memang disengajakan oleh lelaki tersebut (kurang ajar betuuuuul!!!). Kemudian lelaki tersebut juga pernah memberikannya sebungkus gula-gula kepadanya (tak ingatlah sebijik atau sebungkus). Juga ada ayat yang lelaki tersebut bacakan pada gula-gula tadi.

Bukan itu sahaja, lelaki tersebut juga telah memberikan air yang telah dijampinya kepada pelajar perempuan tersebut untuk diserahkan kepada kedua ibu bapanya supaya dapat melembutkan hati mereka untuk menerima lelaki tersebut sebagai menantu mereka. Tetapi berkat doa yang dibacakan oelah pelajar perempauan tadi sewaktu menuangkan air kepada kedua ibu bapanya, dia membaca doa sebagimana di bawah;

بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Dengan nama Allah, dengan nama-Nya tidak akan berbahaya sesuatu yang ada di bumi maupun yang ada di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".*

Dengan izin Allah s.w.t perkara yang tidak baik yang dirancang oleh lelaki tadi tidak berlaku kepada ibu dan bapanya.

Nasihat Prof pada kami tadi, yang lelaki jangan jadi jahat sebab takut bila sekarang kita buat jahat pada orang perempuan, nanti akan datang orang akan buat jahat pada anak kita. Kepada yang perempuan pula prof nasihatkan tak usahlah layan lelaki sangat. Bila kena usik sikit je terus nak layan.

Kesimpulannya hati-hatilah. Dunia kita ada hitam putihnya. Masalahnya sukar sekali untuk kita menilai mana yang benar-benar putih dan mana pula yang hitam. Moga Allah memelihara kita daripada yang hitam.. kelabu pun sama lah...



*Hadis:

عَنْ أَبَانَ بْنِ عُثْمَانَ عَنْ عُثْمَانَ رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ

Maksudnya:

Daripada Aban bin Utsman, daripada Utsman, Rasulullah SAW telah bersabda "Sesiapa yang berdoa, "Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika waktu subuh sebanyak tiga kali, dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya (Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi dan Ahmad)


Tutorial pagi esok Prof amanahkan saya untuk check hafalan pelajar berkenaan doa dalam hadis tu. Agak-agak ada tutorial di universiti mana ada silibus macam tutorial saya esok? Mungkin ada tapi payah nak cari... tapi kalau nak cari, paling senang kat ISDEV. Jangan marah..

Tutorial yang saya handle pernah saya buat asma ul-husna 5 minit 30 minit tazkirah, 20 minit je kelas.. tutorial tak sampai satu jam tau. Memang itu prosidurnya. Tapi selalunya time saya jadi lebih satu jam. Sebab student pun merapu juga.

Kuliah pun sama, kuliah dua jam jadi satu jam sebab satu jam lagi dok merapu bagi tazkirah+ asma ul-husna sebelum mula tazkirah@merapu.


Harap Prof tak baca entry kali ini. Terutama kat tulisan kecik ni...Tapi biasanya Prof baca... Sorry ye Prof..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...