Wednesday, June 30, 2010

Sebut-Sebut Nama Allah

Ruang solat muslimin di Masjid Al-Malek Khalid,
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang


Berat kaki saya melangkah keluar meninggalkan Masjid al-Malek Khalid, USM yang sedang mengadakan majlis ilmu. Aulawiyat (keutamaan) saya bukan di situ, jadi saya melangkah juga untuk meninggalkannya. Sambil melangkah saya tetap curi-curi mendengar kuliah maghrib yang disampikan oleh Dr. Azizin Sabjan.

Kali ini kuliah tafsif yang disampikan olehnya pada setiap hari Isnin sebelah malam adalah berkenaan dengan ayat empat, Surah As-Sajadah.

Maksudnya;
"Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?"

Setelah ayat tersebut dibacakan, kupasan berkenaan ayat tersebut terus dilakukan olehnya. “Allah ni, suka menggunakan nama-Nya bagi melambangkan kebesarannya. Contoh dalam ayat tadi Allah mulakan dengan nama-Nya sendiri bagi menceritakan kekuasaannya menciptakan langit, bumi dan apa yang ada di antara keduanya. Macam tu juga dengan ayat-ayat lain. Contohnya waktu Nabi Musa a.s bersama isterinya di Bukit Tursina, baginda ternampak api dan pergi ke sana untuk mendapatkan api tersebut. Dalam Surah Taha, Allah memperkenalkan Dia kepada Nabi Musa dan Allah juga ada berfirman;

Maksudnya;
"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku".

“Sebab itu kita perlu selalu sebut nama Allah kerana Allah suka namanya disebut. Sebut nama Allah ada roh di dalam kalimah tersebut tetapi kalau kita sebut Tuhan, roh tiada di dalamnya. Jadi gunakan kalimah Allah jangan guna kalimah Tuhan”.

“Sebut nama Allah ini juga perlu setiap masa. Nampak kuil kita sebut, لا إله إلا الله. Kat keliling kita ni banyak kuli, jadi bila nampak sebut لا إله إلا الله ….”

Setelah pintu kereta ditutup, maka berakhirlah kuliah Maghrib yang sempat saya curi-curi dengar. Begitulah lebih kurang penerangan Dr. berkenaan ayat tersebut. Moga dilain masa, saya diberi kesempatan untuk duduk dan mendengar lagi.

Apapun jangan tiada masa dengan Allah, nanti Allah tiada masa dengan kita. Selalu-selalu lah sebuat nama Allah, moga-moga Allah selalu sebut-sebut nama kita.

Thursday, June 24, 2010

Helah Pada Statistik, Fakta dan Angka

Fenomena kemiskinan merupakan fitrah kehidupan. Ia tetap akan wujud dengan izin Allah.
Andai dikatakan zaman Umar Abdul Aziz tiada yang miskin, sebenarnya ada. Tetapi mereka merasakan ada ramai lagi yang memerlukan harta berbanding mereka. Bahkan mereka tidak merasakan mereka miskin. Sebab itu mereka tidak mahukan sedekah, zakat dan sebagainya. Kalau zaman sekarang di masjid-masjid diletakkan tabung derma yang kosong untuk sesiapa yang pemurah memenuhkan tabung tersebut tetapi di zaman tersebut, tabung tersebut diletakkan penuh berisi dengan wang dengan tujuan supaya sesiapa yang memerlukan wang mengambil wang yang terdapat di dalam tabung tersebut. Tetapi wang di dalam tabung tersebut tidak terluak pun. Berbeza dengan zaman sekarang... dengan tabung-tabung sekali hilang... Berbeza sungguh zaman kita - Tazkirah sewaktu Kuliah Pengurusan Dana dan Aset, Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam oleh Dr. Tajul Ariffin.



Walaupun fakta dan statistic berguna kepada ramai pihak tetapi sekiranya ia tidak diteliti dengan baik, kadang-kala kita akan tertipu dengan data tersebut. Misalnya tentang GST yang pernah saya tulis satu ketika dulu.

Baru-baru ini Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) telah diumumkan oleh perdana menteri. Tetapi saya percaya tidak ramai pihak menyedari bahawa kadar kemiskinan yang dicatatkan pada tahun 2009 yang merupakan statistik terkini kadar kemiskinan sebenarnya adalah meningkat berbanding 2007. Saya tidak peroleh kadar kemiskinan pada tahun 2008. Jadi kadar statistik 2007 menjadi perbandingan saya*.

Tahun

Bandar

Luar Bandar

Malaysia

19701

24.6

58.6

49.3

19752

15.4

45.7

37.7

1980

17.5

45.8

37.4

1985

8.5

27.3

20.7

1990

7.5

21.8

17.1

1995

3.7

15.3

8.9

1997

2.1

10.9

6.1

19993

3.3

14.8

8.5

20023

2.3

13.5

6.0

20044

2.5

11.9

5.7

20073

2.0

7.1

3.6

20094

n.d

n.d

3.8

Sumber: Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (pelbagai tahun).



Petunjuk :
1 Angka hanya mengikut perangkaan Semenanjung Malaysia sahaja.
2 Berdasarkan bancian pertanian dalam Rancangan Malaysia Keempat (RMK-4).
3 Berdasarkan metodologi 2005 .
4 Berdasarkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).
n.d Data tidak diperoleh.


Jika diteliti ucapan perdana menteri sewaktu mengumunkan RMKe-10, beliau membandingkan kadar kemiskinan yang berlaku pada tahun 2004 dengan 2009. Sudah tentu kadar kemiskinan pada tahun lepas kelihatan menurun kerana kadar kemiskinan pada tahun 2004 adalah 5.7%. Kesemua akhbar yang sempat saya baca juga mencatatkan perbandingan yang sama iaitu perbandingan kadar kemiskinan yang berlaku pada tahun 2004 dengan 2009.

Beberapa hari kemudian, sempat saya berbual dengan Kak Shereeza (ex-peguam) sewaktu sedang membaca akbar tentang MAS kecewa dengan Airbus tidak berjaya menepati perjajian supaya menyiapkan kapal terbang yang ditempah oleh MAS dalam masa yang ditetapkan. Kalau tidak salah saya kapal terbang tersebut akan siap pada tahun 2012 sedangkan tarikh yang patut MAS perolehi adalah lebih awal daripada tahun tersebut.

Menutut Kak Shereeza, sebenarnya MAS tidak punyai wang untuk membuat pembayaran kapal terbang yang ditempah. Jadi untuk mengaburi banyak pihak, kenyataan tersebut dikeluarkan. “Airbus tak boleh saman ke Kak Shereeza?” tanya saya.
“Mana ada bukti nak saman”. Jawabnya.
“Kenapa pula, ni dah keluar kenyataan akhbar ?” Soal saya tidak puas hati.
“Tak boleh. Bukan mudah. Tak ada fakta pun. Kalau nak saman, kena tengok kesan daripada kenyataan ni, berapa ramai yang batalkan kontrak dengan Airbus… banyak lagilah. Lagipun Airbus sebenarnya bukan Syarikat yang establish”.
“Oooo, ye ke. Mana akak tahu? Tanya saya kehairanan.
“Sedara akak ada kerja kat MAS”.
“Oooo…..”

Fakta, statistit dan data adalah penting. Namun ia tidak akan berguna sekiranya kita tidak mampu memprosesnya menjadi maklumat. Apapun nombor tidak penting... yang penting barakah dalam usaha yang kita lakukan. Andai ada barakah, muflis sekalipun kita tak akan kisah.


* Kajian tentang pengurusan kemiskinan yang saya lalukakan kini menyebabkan saya perlu banyak berurusan dengan Jabatan Statistik, Unit Perancang Ekonomi Malaysia. Jadi berdasarkan statistik terakhir jabatan tersebut yang saya peroleh daripada mereka pada awal tahun ini, mencatatkan data terakhir mereka adalah pada tahun 2007. Maklumat tersebut saya peroleh sebelum pengumuman RMKe-10.

Wednesday, June 16, 2010

Antara al-Insan dengan an-Nas


Perbincangan mengenai wahyu yang juga mukjizat agung Rasulullah s.a.w ini tidak pernah habis ilmu yang terkandung di dalamnya digali oleh manusia. Bukan sahaja dari sudut maknanya, perkataannya, hurufnya, hukumnya dan pelbagai lagi perkara lain ditemui di dalam al-Quran dengan izin Allah s.w.t. Namun, setiap perkara yang tersurat dan tersirat di sebalik mukjizat agung ini hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui perkara yang sebenar-benarnya.

Melihat kepada perkataan Ya Ayyuhan al-nas dan Ya Ayyuhal al-insan sahaja, ulama telah membahaskan maksud yang tersirat di sebalik penggunaan dua perkataan tersebut. Perkataan al-nas mengandungi sebanyak 283 kali yang diulang di pelbagai tempat di dalam al-Quran. Namun perkataan al-insan hanya terdapat sebanyak 93 kali di dalam al-Quran. Nisbah perkataan al-insan dengan al-nas adalah lebih kurang 1:3.

Ayat Ya Ayyuhal al-insan merupakan ayat makiyyah, yakni ayat-ayat yang diturunkan sebelum berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah. Sebaliknya ayat Ya Ayyuhan al-nas merupakan ayat madaniyyah yang diturunkan selepas berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w.

Perbezaan dua perkataan ini walaupun kedua-duanya bermaksud manusia tetapi manusia yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t menurut para ulama adalah berbeza. Perkataan al-nas merujuk kepada manusia yang jahat, suka melakukan maksiat, degil dan sebagainya. Berbeza dengan perkataan al-insan yang merujuk kepada manusia yang baik, suka kepada kebaikan dan sebagainya. Melihat kepada nisbah perkataan al-insan dengan al-nas adalah lebih kurang 1:3, ia turut dikaitkan dengan nisbah al-insan dengan al-nas pada hari ini. Mungkin nisbah tersebut tepat dengan nisbah manusia yang ada pada hari ini atau jumlahnya jauh lebih merosot wallahu’alam. Tetapi yang pasti, jumlah al-insan jauh lebih berganda berbanding dengan al-nas.

Melihat kepada situasi tersebut menurut Ustaz Hassan Din al-Hafiz, beliau menyarankan supaya dihidupkan kembali konsep ibu susuan kerana adalah tidak layak seorang bayi yang diciptakan oleh Allah s.w.t dengan sebaik-baik kejadian diberikan susu binatang. Katanya lagi, salah satu punca manusia hari ini berkelakuan umpama binatang bahkan lebih dahsyat lagi selain daripada pentarbiyyahan yang rapuh adalah disebabkan makanan yang dimakan yang diragui kehalalannya dan juga susu lembu yang diberikan kepada manusia.


Jadi tidak hairanlah hari ini kelakuan manusia semakin rakus dengan kes-kes yang tidak terjangkau dek akal manusia semakin menjadi-jadi. Kalau dulu di zaman Jahiliyyah bayi perempuan ditanam hidup-hidup. Tetapi di zaman ni bayi sama ada lelaki mahupun perempuan dicampak di merata tempat tanpa ada rasa belas kasihan. Zina, rasuah, rogol, buli, rompak, ragut dan pelbagai lagi jenayah dilakukan oleh manusia hari ini tidak lagi menjadi perkara yang luar biasa.

Antara Ya Ayyuhan al-nas dengan Ya Ayyuhal al-insan, terlalu ramai yang Ya Ayyuhan al-nas berbanding Ya Ayyuhal al-insan.



Sinopsis ceramah jemputan di Masjid At-Takwa, Taman Tun Sardon, Gelugor
oleh Ustaz Hassan Din al-Hafiz.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...