Tuesday, July 21, 2009

Memelihara Ketulenan Perjuangan

10 Muwasofat merupakan ciri-ciri utama pembinaan seorang kader dakwah

"Kita tidak berjaya mengikut satu amal bagi seorang anbiya' pun, walaupun kesemua amal kita hari ini dikumpulkan serentak. Kegopohan dan gejala ghulu' (melampau) serta isti'jal (melulu) adalah antara punca kita jauh daripada perjuangan Islam malah kita mungkin menikam kebangkitan Islam di tanah kita berdiri" kata-kata Imam Malik.

“Generasi akhir ini tidak akan baik kecuali dengan faktor-faktor yang membuatkan generasi pertama dulu baik” nukilan Imam Malik dalam kitabnya al-Muataq.

Maksudnya;

"Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah untuk didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafiq itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh sekali bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu". Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta"

(At-Taubah, ayat 42)

Monday, July 13, 2009

Disebalik Rintihan Hati Natrah

"Hukum syariah adalah untuk memelihara keamanan dan
kesinambungan peradaban" - Mukadimah Ibn Khaldun

Entry sebelum ini mengisahkan tentang pemergian Michael Jackson yang lahirnya bukan beragama Islam tetapi meninggal di dalam Islam, insya Allah. Begitu juga dengan Sheikh Fathi Yakan yang merupakan ulama terkenal yang menulis pelbagai kitab bahkan memiliki sebuah universiti yang bertujuan untuk mentabiyyah umat Islam. Tetapi entry kali ini menyentuh tentang pemergian Natrah dan cukup luar biasa tragedi yang dilalui olehnya.

Suatu ketika dahulu saya tidak mengenalinya. Tetapi apabila ada sebuah lagu nasyid yang dinasyidkan oleh sebuah kumpulan nasyid sewaktu di pertandingan sekolah menengah dahulu, saya mula merasakan perlu untuk mengetahui sejarah tentangnya. Sejarah yang disembunyikan daripada dicatatkan dalam teks-teks buku sejarah di sekolah.

Keghairahan saya untuk mengetahui sejarah tersebut membuatkan rakan sebilik saya membawa majalah-majalah lama yang menceritakan detik menyayat hati tersebut. Saya mula membelek-belek majalah tersebut. Saya tidak begitu mengingatinya.

Tetapi yang masih saya ingati, Natrah merupakan anak kepada ibu bapa yang berketurunan Belanda. Namun sewaktu penjajahan berlaku Natrah diserahkan kepada ibu angkatnya yang berketurunan Melayu. Kemudian nama asal Natrah ditukar kepada nama Islam (Natrah) yang pernah mencoret sejarah hitam kepada sistem perundangan Islam negara.

Rusuhan Natrah telah berlaku di Singapura berlaku pada tahun 12 Disember 1950 (sewaktu itu Singapura masih sebahagian daripada Malaysia) disebabkan mahkamah memutuskan Natrah perlu dikembalikan kepada ibu bapanya yang sebenar dan mereka berhak menentukan agama Natrah.

Keputusan mahkamah tersebut membuatkan orang Islam bangkit menentang keputusan mahkamah. Bahkan seorang ustaz pernah menceritakan kepada saya, pada waktu itu orang Islam sanggup mengayuh basikal daripada Terangganu ke Singapura semata-mata untuk menyelamatkan aqidah Natrah.

Kejayaan ibu bapa Natrah terhadap kes tersebut menyebabkan Natrah dibawa ke sebuah gereja yang terletak di Belanda. Lalu diberi minum holly water oleh paderi di gereja tersebut. Saya diberitahu sewaktu Natrah diisytiharkan keluar daripada Islam, seluruh gereja di Bumi ini membunyikan locengnya tanda mereka telah berjaya mengalahkan Islam.

Tetapi berita ini tidaklah terlalu digemparkan kerana bimbang mengganggu sentimen perkauman...inilah hakikat Malaysia. Antara kasih sayang Allah dengan kasih sayang manusia, Malaysia memilih untuk memperoleh kasih sayang manusia, walaupun kasih sayang Allah itu membatasi kasih sayang seluruh makhlukNya, tetapi kasih sayang manusia tetap menjadi pilihan.

Luahan hati seorang ustaz menambah mengecewakan saya. Katanya di atas meja pejabat agama Islam negeri (saya tidak ingat sama ada pejabat agama Islam atau mahkamah) terdapat ribuan borang permohonan untuk menukar agama daripada Islam kepada Kristian, Hindu dan sebagainya...yang itu yang mengisi borang.. yang tidak mengisi borang bagaimana pula? Murtad, syirik kepada Allah tidak berlaku hanya disebabkan mengisi borang. Ia cukup mudah berlaku sama ada dengan perbuatan, lidah atau hati kita...nauzubillahi minzalik..

Kita tidak lagi pedulikan isu murtad ini seperti mana kemurtadan yang terpaksa dilalui oleh Natrah. Mungkin kerana Natrah dipaksa untuk murtad membuatkan kita peduli akannya, tetapi mereka yang lain sukarela untuk murtad kita biarkan sahaja. Bahkan hari ini umat Islam sendiri menubuhkan pertubuhan-pertubuhan yang menjurus ke arah kesesatan...bahkan boleh jadi ke arah kemurtadan. Mereka berselindung di sebalik tujuan untuk menegakkan hak asasi manusia. Contohnya Sister In Islam (SIS) dan Suruhanjaya Antara Kepercayaan/Interfaith Commission (IFC).

Apa pun kata-kata mereka di bawah sebagai renungan bersama, yang saya copy paste daripada blog Akhi Muhammad Fadhullah Ismail.

William Ewart Gladstone (1809- 1898) bekas Perdana Menteri Britain zaman Queen Victoria "Selagi mereka ( umat Islam ) berpegang dengan kitab ini, selama itulah mereka bangkit dan kita tidak dapat menundukkan mereka. Oleh itu pisahkan mereka dari Kitab ini". - ( ucapan beliau sambil mengangkat Al-Qur'an dalam Parlimen Britain ketika membincangkan penentangan umat Islam terhadap penjajahan )

Theodore Hertzel - pencetus idea penubuhan negara Yahudi ( penulis buku Negara Yahudi : 1895 ) "Misi kalian bukanlah mengeluarkan mereka dari Islam, walaupun yang terakhir ini merupakan keberhasilan yang paling gemilang. Tapi lebih pada usaha bagaimana menjauhkan mereka dari Islam..jadikanlah mereka sebagai orang Islam yang tidak kenal agamanya sendiri, orang Islam yang gemar berfoya-foya, suka dengan kemaksiatan, hidup semata-mata untuk cari harta dan jabatan..jika umat Islam sudah menjadi seperti ini, maka misi kalian sudah berhasil..laksanakan dan tunaikan misi kalian ini dengan penuh kesedaran - ucapan di Persidangan Yahudi di Basle, Switzerland : 1897.

Lord Cromer - Gabernor Inggeris di Mesir & Sudan telah menulis " Bahawasanya tanah jahan yang diberi kemerdekaan itu perlu diserahkan kepada anak negeri yang dapat melangsungkan dasar-dasar dan polisi yang menjaga kepentingan dan keselamatan Barat "

Mereka telah berjaya memisahkan kita daripada Islam, maka disebakan itu kita tidak lagi ambil peduli akan isu yang melibatkan runtuhnya aqidah umat Islam si seluruh dunia. Kita telah ditimpa penyalit 'wahan' seperti mana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w... penyakit cinta akan dunia, takut akan mati...

Wednesday, July 8, 2009

Tinta Seorang Pejuang

Prinsip Pengurusan Pembangunan Islam Dalam Muqaddimah Ibn Khaldun, begitulah tajuk disertasi (tesis pendik) saya…satu kitab yang menarik untuk dikaji… walaupun saya bukanlah mahir berbahasa Arab. Tetapi nasihat Prof Muhammad Syukri Salleh, juga selaku supervisor saya… "jangan jadikan ia sebagai satu alasan untuk membataskan ilmu kita..."

Masih saya ingat pesanan daripada Prof sewaktu supervison pagi tadi... Hakikatnya saya masih belum bersedia untuk berjumpa dengan prof. Saya tidak tahu perkembangan yang sebagaimana harus sampaikan.. tetapi saya biarkan sahaja perasaan tersebut…yang pasti saya perlu berjumpa dengannya kerana saya tahu, saya bakal peroleh sesuatu…

Prof Dr Muhammad Syukri Salleh selaku supervisor saya

“….bila kita tahu orang tu nak belajar tentang Islam, kita bagi tahu semua benda tentang Islam. Sepatutnya tak boleh macam tu. Ibarat bila kita tahu orang tu nak secawan kopi, sepatutnya kita bagi kopi jelah.. tapi kita bagi dia kopi, teh, sirap… jenuh lah dia kalau kita buat macam tu.. bagilah apa yang diperlukan sahaja. Lain kali kita bagi yang lain pula.. sikit-sikit.. Sama juga macam kita nak buat tesis. Tulis apa yang perlu sahaja. Perlu tahu.. perlu ingat.. penyataan masalah, objektif kajian dan persoalan kajian kita apa… kalau tak semua benda kita nak tulis”.

Begitulah antara pesanan daripada Prof Syukri.

“…dalam kita nak menulis tesis ni, pergantungan dengan Allah perlu kuat. Macam saya, kalau saya baca semula tulisan yang saya tulis lima atau sepuluh tahun dulu, yang saya tulis waktu dekat dengan Allah, seronok saya baca.. rohnya ada berbanding dalam tulisan saya yang lain. Lebih cantik kalau sebelum menulis solat sunat dulu, minta pada Allah. Kalau tiba-tiba rasa buntu, berhenti dulu menulis, solat sunat dulu.. mungkin ada dosa kita sehingga Allah susahkan kita untuk menulis. Lebih cantik kalau Radieah boleh jadi macam Imam Al-Ghazali, waktu dia menulis tiba-tiba ada lalat hinggap pada dakwat dia, dia biar lalat tu terbang sendiri.. Imam Al-Ghazali tak halau.. tulah barakah…hubungannya sesama makhluk pun dia jaga”.

“Kalau Radieah kata, Radieah sibuk…saya lagi sibuk. Bulan ni sahaja dah ada lima paper untuk ditulis…. Bukan lima lebih ni…” kata Prof sambil menyemak diarinya. Saya dapat lihat melalui diari yang dilihatnya penuh dengan tulisan…seolah-olah tidak ada satu kotak pun yang kosong..

“Kalau orang lain, tidurnya tujuh..enam jam.. kita mungkin lima atau empat jam je”..

Terlampau banyak sebenarnya nasihat daripada Prof…sampai saya sendiri pun lupa. Jadi untuk saya berkongsi yang selebihnya, maaflah. Saya lupa. Peristiwa itu membuatkan Kak Sue berpesan; “Macam akak dulu, akak rekod guna MP3 apa yang Prof cakap..kalau tak mesti lupa.. nak tengok muka Prof lagi. Nak tulis lagi.. tak sempat…” Kebetulan, Kak Sue juga ada sewaktu berjumpa Prof… Tidak terfikir pula saya untuk rekod apa yang Prof cakap… Insya Allah lepas ni…

Menulis merupakan satu perjuangan... kerana ia merupakan sebuah ketetapan buat seorang pejuang.

Monday, July 6, 2009

Hakikat Sebuah Penulisan


Pena saya dirasakan terhenti seketika. Idea saya tidak mampu dicurahkan seperti dahulu. Entry saya sejak akhir-akhir ini dirasakan tidak mencapai maksud sebenar tujuan penulisan saya. Entah di mana silapnya. Saya menulis berdasarkan rasa hati saya.. menulis untuk memperingati diri yang sering tergelincir daripada landasan yang ditetapkanNya, supaya dapat kembali ke landasanNya semula. Bak kata Akhi Fadhli Athari, ‘muhasabah itu perlu, mujahadah itu selalu’.

Hakikatnya bukan mudah untuk menulis. Terpulang kepada niat masing-masing. Bagi saya, ilmu sahaja tidak cukup untuk kita menggarap satu penulisan yang baik untuk dibaca… dan sebenarnya yang paling sukar menjadikan tulisan tersebut terkesan di dalam jiwa si pembaca.

Kepada anda yang bercita-cita untuk menjadi penulis atau yang telah pun menjadi penulis, sama ada di majalah, buku, blog dan medium bacaan lain, tulislah entry anda dengan rasa hati anda. Tulislah sesuatu mengikut naluri yang disandarkan kepada Pencipta. Insya Allah, tulisan yang anda hasilkan mudah untuk difahami kerana anda sandarkan kefahaman tersebut kepada Maha Pencipta.

Jangan sekali-kali menulis sebab anda ingin menulis. Sebab bila kita rasa kita ingin menulis, secara automatik kita akan menulis berdasarkan apa yang kita rasa…apa yang kita mahu…yang secara tidak sengaja didasarkan atas kehendak akal kita..bukan hati kita. Entry-entry saya yang telah lepas ada menyatakan tentang perbezaan akal dan hati.

Saya masih ingat akan kata-kata Ustazah Hasnah di salah satu program Nisa’. Katanya lebih kurang begini “Selaku seorang dai’e, kita tidak mahu lagi menggunakan akal sebagai ukuran dalam setiap perbuatan. Sebaliknya kita perlu gunakan hati kita. Kerana akal hanya untuk individu yang baru mengenal Islam. Kita sudah lama kenal Islam. Kita berbeza dengan mereka…”. Akal tempat letaknya ilmu sedangkan hati tempat letaknya iman.

Akhirul kalam, semoga sukses dalam penulisan, juga dalam kehidupan. Saya turut doakan agar anda semua bertemu hakikat sebuah penulisan.

Thursday, July 2, 2009

Ukhuwwah Tanpa Sempadan

“Kak Long ni cakap je..tak nak pun tolong” adik bongsuku meluahkan perasaan hatinya apabila saya cuba memberitahu perkara yang terbaik seharusnya dilakukan.

Mahu saja saya gunakan alasan “Kalau Kak Long tolong macam mana nak pandai”.
Tetapi saya biarkan saja perkara itu berlalu.

Melihat kerenah dan telatah manusia, sama ada besar, kecil, tua ataupun muda, semuanya inginkan pertolongan…sebenarnya bagi saya bukan pertolongan yang terlalu kita inginkan tetapi kerjasama yang kita lakukan bersama-sama.

Dengan perkataan yang lebih mudah…lakukan semua kerja bersama-sama. Sama ada yang susah ataupun yang senang. Bak kata pepatah ‘berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing’….ukhwah akan terjalan melaluinya. Insya Allah.
Ukhuwwh umpama untaian tasbih...

Tetapi bagimana pula dengan istilah ‘berat sama dijunjung, ringan pikul sendiri’. Pepatah itu pernah diucapkan oleh seorang penceramah kepada saya sewaktu menghadiri satu program. Sebenarnya perkataan tersebut ditujukan buat individu yang sedang melakukan sebarang kerja. Sebaiknya janganlah menyusahkan individu yang lain. Tetapi seandainya memerlukan pertolongan, jangan segan untuk memintanya…

Jalinkan ukhwah tanpa sempadan. Antaranya dengan menghulurkan sebanyak-banyak kerjasama walaupun perkara tersebut hanya sekadar mengangkat pen rakan yang terjatuh daripada mejanya.

"Adiah tak buat mak..."

Pengalaman singkat mengajar di Nisa' Smart Class ,megajar saya makna 'air mata ibu'.
Jangan biarkan ia mengali walaupun dik fitnah.


“Mehnah dalam perjuangan, macam tulah Radieah” pujuk hati ku sendiri. Entah kenapa hati saya sedih melihat shout-box dan komen-komen yang ditinggalkan oleh para pelawat blog. Kata-kata penuh emosi yang juga berbaul fitnah membuatkan saya berfikir… “di mana salahnya?”

‘Fitnah’…saya cukup membenci perkataan itu.
Apatah lagi sejarah silam yang selalu saya kenang…selalu saya ingat.

“Radieah Mohd Nor dari kelas 4 Budi” Serta merta darahku tersirap waktu itu.
Masih saya ingat saat di mana nama saya di sebut sewaktu perhimpunan pada hari Isnin sewaktu saya di dalam darjah empat. Saya diminta berdiri di hadapan kira-kira 500 orang pelajar sekolah rendah kerana tidak menutip sampah bersama kira-kira 7 orang pelajar lain.

Balik sahaja dari sekolah.. “Kenapa buat macam ni?” Emak bertanya padaku sambil menangis.
“Adiah tak buat mak. Adiah tak tahu”. Saya juga turut menangis.

Ibu dan ayah saya adalah guru di sekolah tempat yang sama saya belajar. Jadi peristiwa berdiri di depan perhimpunan di pagi hari Isnin tersebut menjadi satu sejarah hitam dalam hidup saya. Seandainya ibu dan ayah tidak menjadi guru di sekolah tersebut, saya tidak kisah dituduh sedemikian rupa. Tetapi arang yang diconteng, hitamnya lebih tebal berada di muka ayah dan ibu saya. Itulah yang membuatkan saya terlalu marah..terlalu membenci pengawas yang bertindak sedemikian rupa.

“Saya tak tulis nama awak” kata sahabatku yang juga seorang pengawas selepas selesai perhimpunan. Saya hanya mendiamkan diri. Saya tahu saya tidak bersalah. Bahkan saya tidak melakukannya. Kemungkinan besar nama saya diambil di pagi hari sewaktu saya sedang menjalankan tugas saya sebagai pengawas perpustakaan. Jadi apabila ‘dia’ tidak melihat saya…tanpa usul periksa, nama saya dicatat…

Saya tidak kisah seandainya nama saya buruk.. tetapi janganlah libatkan individu yang tidak sepatutnya…kerana “Fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh

Jarang-jarang saya bercerita tentang sejarah hidup saya. Bagi saya biarlah yang berlalu terus berlalu. Moga ia menjadi sempadan untuk saya, supaya saya tahu peritnya bila orang lain turut mengalami perkara yang senasib dengan saya.

Kadang-kala terfikir juga saya "Mengapa sanggup mereka menabur fitnah yang sedemikian rupa?"...ah..mungkin kerana mereka belum tahu peritnya bila berada dalam fitnah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...