Thursday, April 30, 2009

Tanggungjawab Kita Banyak Berbanding Masa Yang Kita Miliki



“Kak Radieah bila nak update blog?” Soalan ini sering kali diajukan kepada saya.
“Maaflah. Kak Radieah tak ada masa… tak sempat nak update”. Jawapan saya tetap sama.
Tetapi malam ini saya cuba untuk menulis serba ringkas tentang kisah saya…untuk kita fikirkan bersama.

Baru tadi saya dan rakan-rakan balik daripada Nisa’ Smart Class. Kami diamanahkan oleh kira-kira 20 orang lebih ibu bapa untuk membantu anak-anak mereka memahami pelajaran yang tidak difahami mereka. Tetapi bukan kisah itu yang ingin saya ceritakan…sebaliknya kisah ini…kekecewaan saya dan kebimbangan saya.

“Eh…abang, sebelum ni tak pernah tengok pun? Siapa nama?” Saya memulakan bicara.
Selepas memberitahu namanya. Kakaknya yang turut mengikuti kelas tersebut menambah,
“Sebelum ni dia selalu pergi masjid. Tapi hari ni abah tak bagi. Abah suruh pergi kelas”.

Jawapan tersebut agak mengejutkan saya. Kenapa begitu pula jadinya? Kalau anak yang seusia lapan tahun sudah mula suka untuk berada di masjid kenapa ditahan keinginannya? Keadaan ini membuatkan saya merasa serba salah. Bukankah sembahyang itu seharusnya diutamakan berbanding ke kelas tambahan?

Walaupun setiap kali sebelum memulakan kelas, soalan sudah sembahyang maghrib selalu saya tanyakan kepada mereka… ada yang sembahyang..ada juga yang tidak. Tidak kurang juga yang langsung tidak pandai membaca bacaan di dalam sembahyang.

Sedang saya membantu mereka memahami soalan yang dibekalkan…tiba-tiba saya dikejutkan oleh sepasang kembar seiras.. “Ustazah…ustazah, dia tidur” Sambil menunjukkan jari telunjuknya kepada individu yang dimaksudkan. Segera saya memerhatikan siapa yang dimaksudkan. Saya dapat mengenalinya dengan baik. Adik yang baru mendaftar masuk tadi…yang ayahnya tidak membenarkan dia untuk ke masjid.
“Biarkan dia. Dia penat tu” jawapan itu saya berikan kepada mereka supaya mereka tidak menggangunya.

Saya tidak kisah seandainya soalan yang saya bekalkan tidak dapat dijawab oleh mereka dengan baik. Bahkan saya juga tidak kisah seandainya mereka tidak mampu membaca. Tetapi yang saya kisah..yang saya bimbang soalan yang Allah tanya kepada mereka nanti tidak dapat dijawab dengan baik…dan saya juga akan dipertanggungjawabkan kerana saya adalah guru mereka…

Pertemuan kami hanya dua seminggu dan hanya memakan masa sejam setengah membuatkan masa yang kami miliki amat terbatas. Tapi mahu tidak mahu…kami perlu lakukan..kerana bagi kami..ia bukan amanah ibu bapa mereka, sebaliknya amanah Allah ke atas bahu kami… yang bakal ditanyaNya nanti.

Thursday, April 16, 2009

Tamadun Yang Beransur Hilang

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburan Parlimen
Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi
Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya
Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah sebelum lidahmu jadi bisu


Puisi Keranda 152 karya Usman Awang ini ditulis rentetan daripada perjuangan Bangsa Melayu terdahulu meletakkan Bahasa Melayu di tempat selayaknya. Keranda 152 yang dimaksudkan oleh Usman Awang ialah merujuk kepada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bagi Negara Malaysia.

Isu PPSMI yang pernah menjadi isu hangat diperkatakan oleh banyak pihak, saya mengharapkan bahangnya dirasai selagi mana PPSMI tidak dimansuhkan walaupun selepas Dato Seri Hisyamuddin tidak lagi dilantik menjadi Menteri Pelajaran.

UNESCO dalam laporannya yang dimuatkan dalam laporan Bank Dunia pada tahun 1997, menyimpulkan bahawa sesuatu pembelajaran menjadi matlamat, termasuklah pembelajaran bahasa kedua (Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Mandrin dan bahasa lain yang digunakan di Malaysia), penggunaan bahasa ibunda seseorang pelajar itu penting sebagi medium pembelajaran di awal-awal tahun persekolahnnya.

Memetik daripada sumber tersebut, adalah tidak wajar sekiranya Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar untuk pelajaran sains dan matematik di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Pada tahap tersebut mereka masih belajar untuk mengenali dan menyukai mata pelajaran tersebut. Tetapi adalah wajar bahasa pengantar mata pelajaran tersebut menggunakan Bahasa Inggeris di peringkat pengajian yang lebih tinggi kerana pada waktu ini tugas mereka adalah mengkaji dengan lebih mendalam dan menghasilkan penemuan-penemuan baru.

Memetik penyataan UNUSCO daripada ‘Education For All : Policy Lessons Form High-Achieving Countries (Staff Working Papers, New York, Unicef)’, “Dalam keadaan di mana ibu bapa itu buta huruf, jika medium pengajaran di sekolah bukan bahasa pertuturan di rumah, tambahan pula dengan masalah pembelajaran dalam suasana kemiskinan, maka peluang untuk berlaku keciciran dalam pembelajaran akan meningkat dengan mendadak”.

Pada ketika ini sama ada sedar atau tidak kita telah kehilangan tulisan jawi yang satu ketika dahulu merupakan tulisan yang digunakan pada Batu Bersurat, surat-surat, undang-undang, hikayat-hikayat, kitab-kitab pada Zaman Kesultanan Melayu satu ketika dahulu dan terus digunakan untuk satu ketika.

Namun khazanah yang cukup besar kita hapuskan. Hak milik kita...warisan bangsa kita...yang menandakan dekatnya kita dengan Tamadun Islam...walaupun bahasanya berbeza tetapi tulisannya sama...dan pada hari ini setelah kehilangan tulisan jawi kita ingin hilangkan bahasanya pula...

Mempelajari bahasa satu kemestian sebagai mana hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum itu, dia akan terselamat daripada tipu helah mereka[1] dan hadis yang lainnya bermaksud “Pelajarilah bahasa orang Yahudi kerana aku tidak merasa aman mereka menulis untuk kita”.

Peranan bahasa telah Rasulullah jelaskan seperti dua hadis di atas, bukan untuk cemerlang seperti bangsa tersebut tetapi menyelamatkan kita daripada tipu helah dan supaya kita tahu perkara yang sedang mereka lakukan ke atas kita.

Persoalannya sekarang kita mendalami Bahasa Inggeris seolah-olah untuk mencedok ketamadunan mereka kerana dikatakan apabila seseorang itu tidak menguasai bahasa tersebut dia akan ketinggalan di belakang. Secara tidak langsung kita sebenarnya menjadi penyambung ketamadunan Barat yang entah sampai bila kesudahannya.




[1] Albani berkata “Aku tidak menemui hadis ini dengan lafaz tersebut dan tidak ada seorang pun yang menulis mengenai hadis yang sering disebut oleh orang awam yang menyebutnya. Seolah-olah hadis ini disebarkan sejak kebelakangan ini. Tetapi hadis ini mempunyai makna yang sama dengan hadis yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi (bukan berkata hadis ini Hassan Sahih), Hakim, Abu Daud dan Ahmad.

Hadis riwayat Ibn. Ishaq secara mursal. Albani berkata “Hadis seperti ini diriwayatkan oleh Hakim dan beliau berkata “Sanadnya sahih dan Az-Zahabi bersetuju.

Hadis riwayat Ahmad. Ibn. Khathir berkata, “Sanadnya Jayyid Qawiyy”.

Hadis riwayat Abdullah Ibn Ahmad Ibn Hanbal dalam ‘Zawaid al-Musnad’, Al-Hafiz al-Sakhawi berkata, “Hadis ini diriwayatkan oleh ad-Dailami juga dan kedua-dua sanadnya lemah tetapi ia mempunyai banyak syawahid.

Wednesday, April 15, 2009

Petanda Kebahagiaan Dunia

Sedang saya menelaah pelajaran untuk menghadapi kertas peperiksaan seterusnya saya satu persatu slide presentation saya baca, saya bertemu dengan satu slide tentang athar (kata-kata sahabat) yang mengingatkan saya tentang peristiwa pagi tadi (14 April 2009).

Alhamdulillah walaupun baru sahaja habis kertas peperiksaan pertama, saya berkesempatan menziarahi seorang sahabat yang ibu kesayangannya telah pergi ke rahmatullah. Saya difahamkan arwah pening kepala akibat darah tinggi yang dihidapinya sehingga menyebabkan arwah terjatuh dan kepalanya terhentak. Akibat daripada hentakan tersebut berlakunya darah beku di otak sehingga menghalang darah mengalir ke seluruh bahagian otak. Keadaan tersebut membuatkan arwah koma dan membawa kepada kematiannya.

Melihat wajah si ibu, saya dan rakan-rakan yang berkesampatan menziarahinya, kami dapat merasakan bahawa senyuman di bibir yang terlukis di wajahnya petanda seni kehidupan yang dilukisnya telah dilukis dengan baik untuk dipersembahkan kepada Maha Pencipta sewaktu dipanggil kelak.

Melihat kepada ramainya individu yang datang menziarahai jenazahnya, amalan yang membuatkan individu yang masih hidup menggagumi dan menyebut-nyebutnya serta anak-anak yang soleh dan solehah ditinggalkannya menjadi bukti kepada kami kebahagiaan yang arwah miliki. Semoga rohnya dicucuri dengan rahmatNya… Amin.

Saya juga masih ingat akan cerita Dr Nizam. Dr. menceritakan bahawa beliau berpengalaman mengangkat jenazah yang sangat berat sehinggakan beliau merasakan tidak terpikul dan ingin melepaskannya dan pernah juga mengangkat jenazah yang sangat ringan sehingga terdetik dihatinya ‘moga-moga jenazahku adalah ringan sepertimana jenazah yang sedang aku pikul ini’. Semoga jenazah kita semua nanti tidak berat tetapi ringan kerana rahmat Allah mengiringi kita sama ada sewaktu kita masih hidup mahupun kembali kepadaNya. Jika diharapkan amalan…jauh sekali.

Kembali kepada slide yang saya maksudkan. Saya copy paste slide Dr Nizam Sahar untuk anda semua.. Slide ini saya kongsikan bersama supaya menjadi kayu ukur untuk hidup kita, sama ada kita bahagia atau sebaliknya…

Dari Ibnu Abbas ra, ada 7 petanda kebahagiaan dunia, iaitu :
1. Qalbun syakirun atau hati yang selalu bersyukur
2. Al azwaju shalihah, iaitu pasangan hidup yang soleh
3. Al auladun abrar, iaitu anak yang soleh
4. Al biatu sholihah, iaitu lingkungan yang kondusif untuk iman kita

(hidup dalam persekitaran masyarakat yang soleh dan solehah)
5. Al malul halal, atau harta yang halal
6. Tafakur fi dien, atau semangat untuk memahami agama
7. Umur yang barakah

Moga-moga seni kehidupan kita dapat kita aturkan dengan seni yang menarik. Perkara yang penting bukan menarik di pandang manusia yang kita harapkan tetapi menarik, indah, cantiknya… ialah apabila di pandang oleh Allah S.W.T.

Saturday, April 11, 2009

Apabila Kita Terlalu Mempermudahkan...

Islam itu mudah tetapi jangan terlalu mempermudahkan. Kebanyakan kita secara tidak sedar apapun sengaja buat tidak sedar, cuba mempermudahkan syariat Islam yang telah ditaklifkan keatas setiap orang Islam yang mukallaf. Ingin saya kongsikan sebuah kisah agar ia menjadi pengajaran kepada kita semua. Kisah ini saya perolehi daripada Dr Jasni Sulong, sewaktu beliau menyampaikan kuliah Pembangunan Modal Insan.

Seorang Gabenor Iraq yang bernama ‘Umar bin Hubairah telah memanggil dua orang tokoh ilmuan besar pada ketika itu. Ulama tersebut ialah ‘Amir al-Sya’bi dan al-Hasan al-Basri. ‘Umar bin Hubairah meminta pandangan daripada kedua-dua ulama tersebut mengenai arahan-arahan Khalifah Yazid bin ‘Abdul Malik (meninggal 105H) yang datang kepadanya. Terdapat arahan-arahan yang menyanggahi kebenaran.

Kata ‘Umar bin Hubairah “Jika aku taatkan khalifah, aku menderhakai Allah. Jika aku mentaati Allah, aku akan menderhakai khalifah. Apakah pendapatmu?”

Jawab al-Sya’bi, “Engkau hanya menjalankan tugas. Dosa ditanggung oleh khalifah”.
Tanya ‘Umar bin Hubairah kepada al-Hasan al-Basri, “Apakah pendapatmu pula?”
Jawab al-Hasan, “Wahai Gabenor ! Engkau telah pun mendengar pendapat al-Sya’bi tadi”.
“Aku mahu pendapatmu”. Tegas ‘Umar bin Hubairah.

Kata al-Hasan al-Basri, “Wahai ‘Umar bin Hubairah, akan datang kepadamu malaikat Allah yang bengis lagi tidak menderhakai perintah Allah. Dia akan mengeluarkan engkau daripada istanamu yang luas ke kuburmu yang sempit. Jika engkau bertakwa kepada Allah, dia boleh melindungimu daripada tindakan Yazid bin ‘Abdul Malik, adapun Yazid bin ‘Abdul Malik tidak dapat melindungimu daripada tindakan Allah. Tidak ada ketaatan kepadaNya, Dia memeliharamu daripada bahaya Yazid bin ‘Abdul Malik. Namun jika engkau bersama Yazid dalam menderhakai Allah, maka Dia serahkan engkau kepada Yazid”.

Lalu menangislah ‘Umar bin Hubairah.

Al-Hasan ditanya mengapa beliau melakukan demikian?. Jawabnya, “Kerana perjanjian yang Allah meterai untuk para ulama berkaitan ilmu mereka – dalam Surah ali-Imran 187, yang bermaksud “Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari mereka yang telah diberikan Kitab (iaitu); Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”.

Kisah di atas merupakan kisah tentang peranan ulama terhadap umara’(pemimpin) yang saling memerlukan. Ulama memerlukan umara’ dan umara’ juga memerlukan ulama. Namun begitu, konsep yang lebih luas dapat digunakan untuk pengajaran kita semua. Antaranya ialah… seandainya sistem yang diguna pakai oleh pihak pentadbir bercanggahan dengan syariat Islam, sudah tentu jawapannya adalah dengan mengguna pakai syariat Islam.

Namun begitu, tanpa kita sedari kita telah menolak untuk menggunakan syariat Islam. Contoh, syariat Islam telah menetapkan bahawa aurat di antara perempuan muslim dengan perempuan bukan muslim adalah sama seperti lelaki yang anjabi. Tetapi dengan mudahnya kita menggunakan konsep maqasid syariyyah, dengan meletakkan diri seolah-olah dalam keadaan darurat sehingga membolehkan kita membuka aurat sekiranya ditempatkan sebilik dengan rakan yang bukan Islam.
Apabila ditanya alasan sehingga kita boleh mempermudahkan hukum syariah tersebut, jawapan yang sering kita berikan, “ustazah tu cakap macam tu…”, “ustaz ni cakap macam ni…”, “Sebab darurat. Jadi tidak jadi masalah”.

Andai jawapan yang diberikan ‘…sebab orang tu, sebab orang ni cakap macam ni’, kita seolah-olah tiada pendirian…tidak berupaya menggunakan akal fikiran kita sehingga terpaksa bersandarkan pendapat individu lain. Ini dikatakan Iman Taqlid…iman ikut-ikutan. Para ulama berpendapat Iman Taqlid tidak sah. Allah S.W.T anugerahkan akal kepada manusia…jadi gunakanlah ia sebaik mungkin. Jangan terlalu mempermudahkan syariat yang telah Allah tetapkan. Rujuk kembali kisah yang saya ceritakan di atas sebagai pengajaran.

‘Sebab darurat. Jadi tiada ada masalah’…yang ini pula, lagi satu masalah. Kita perlu jelas apakah maksud ‘darurat’ itu sendiri. Adakah ia sampai memudaratkan agama, nyawa, keturunan, akal fikiran, dan harta. Al-Dharuriyyat itu sendiri menurut ilmu fiqh bermaksud ‘sesuatu yang kita tidak berupaya untuk hidup kecuali dengan kewujudannya’. Adakah dengan membuka aurat boleh dikatakan sebagai ‘darurat’? Jika hal sedemikian berlaku, ia sebenarnya bergantung kepada kebijaksanaan kita untuk bertindak.


Terlalu banyak perkara yang kita telah mempermudah-mudahkannya. Tanpa kita berusaha untuk menghindari perkara tersebut daripada berlaku. Contohnya menyimpan atau meminjam wang di dalam bank konvensional, makan makanan yang diragui kehalalannya, telur yang dimasak adakah dibasuh atau tidak? jika tidak najis. Bila najis sudah tentu haram…banyak lagi perkara lain. Dua perkara itu sahaja yang terlintas di fikiran saya setakat ini.

Saya cadangkan untuk anda semua membaca buku Fiqh Aulawiyyat (Fiqh Keutamaan) dan Madkhal Li Diraasaa asy-Syari’ah al-Islamiyah (Panduan Memahami Syariat Islam). Kedua-duanya adalah karangan Yusuf al-Qardhawi. Siiru a’la barakatillah.

Thursday, April 9, 2009

Kemampuan Mengubah

“Kak Radieah, Kak Radieah tak baca paper ke?”
“Radieah tak baca paper ke?”
Sejak akhir-akhir ini soalan sedemikian rupa sering diajukan kepada saya. Ya, memang saya tidak baca akhbar. Tidak berpeluang…bukan tidak mahu baca.
Tetapi kali ini saya ingin mengulas sedikit sebanyak isu semasa walaupun sudah lama isu tersebut berlalu. Tetapi saya rasa perlu untuk saya kongsikan pandangan saya dengan anda semua.

Pertama saya ingin sentuh tentang isu tentang Bajet Mini yang dilancarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. RM60 bilion diperuntukkan untuk bajet yang dikatakan sebagai ‘mini’. Bagi saya bajet tersebut sangat besar tetapi sayangnya masih dikatakan sebagai bajet mini. Saya berkesempatan membaca beberapa tajuk blog tentang bajet tersebut. Ada yang kata ‘mesra siswazah’, ‘untuk pertanian’ dan bermacam-macam lagi. Saya tidak nafikan ada kebenarannya…tetapi sentiasalah berwaspada dengan kemewahan.

Untuk pengetahuan semua bajet tahunan akan dibentang setiap bulan September atau Oktober setiap tahun. Tetapi jika sebesar RM60 bilion diperuntukkan untuk Bajet Mini, agak-agak bajet tahunan nanti berapa angka kosong Datuk Seri Najib akan letak? Di mana peruntukan sebanyak itu diperolehi? Sudah tentu daripada cukai-cukai, yang semua datang daripada rakyat.

Seterusnya saya ingin sentuh isu tentang pilihan raya di dua tempat iaitu Bukit Selambau dan Bukit Gantang. 15 calon bertanding di Bukit Selambau, Kedah merupakan rekod baru dalam sejarah pilihan raya Malaysia. Kenapa ramai sangat mahu jadi pemimpin…banyak sungguh wang mereka untuk masuk bertanding. Secara realitinya pilihan raya di Malaysia sama ada pilihan raya kecil, pilihan raya umum atau pilihan raya kampus…individu yang bertanding atas tiket bebas tidak akan menang. Mungkin ada konspirasi untuk melakukan ‘pecah undi’ (memerlukan penerangan yang panjang lebar). Entahlah saya tidak tahu.

"Engkau juga memuliakan siapa yang Engkau hendaki"
Apapun tahniah kepada Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin. Dato Seri mampu mengubahnya. ‘Sembah derhaka’ yang sering diguna pakai oleh Dato Seri memberi makna besar kepada semua penduduk Malaysia. Bagi saya kemenangan yang diraih olehnya bukan sahaja melambangkan kemenangan di Bukit Gantang tetapi ia adalah ke atas seluruh pejuang Islam. Insya Allah, ‘kemenangan itu semakin hampir’. Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai isi ini. Sila baca selanjutnya tentang hal tersebut dalam laman web. Ustaz Hasrizal. Semoga ia memberi manfaat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...