Monday, August 30, 2010

Nikmat Sepasang Jubah dan Beberapa Biji Kurma

Mengikut cara hidup Nabi Muhammad s.a.w merupakan satu sunnah yang mulia. Saya mengetahuinya dan saya percaya anda juga mengetahuinya. Tetapi berapa ramai di antara kita mengikutinya? Saya?.. Belum lagi rasanya. Anda pula bagaimana?

Cuba kita selidiki kehidupan kita seketika, bandingkan diri kita dengan Rasulullah s.a.w dan sahabat baginda.

Pakaian

Berapa helai pakaian yang Rasulullah s.a.w dan para sahabat ada?
Seingat saya, Rasulullah s.a.w memiliki dua pasang jubah.
Sehelai digunakan untuk pakaiannya sehari-hari dan sehelai lagi untuk Solat Jumaat.
Saidina Umar al-Khattab r.a pernah terlewat bersolat jemaah kerana menunggu jubahnya yang sehelai itu kering.
Saidatina Fatimah r.a pula pakaian pengantinnya diriwayatkan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a memiliki 12 tampalan termasuk dua daripadanya adalah tampalan daripada kulit (dalam buku lain yang saya baca, diriwayatkan bahawa baju bertampal yang dimaksudkan tadi dimiliki oleh Saidina Umar al-Khattab).

Demikianlah keadaan pakaian Rasulullah s.a.w dan generasi awal Islam. Meneliti keadaan pakaian mereka, sekiranya dinisbahkan dengan keadaan hari ini sudah tentu mereka merupakan golongan yang hina. Tetapi jika diteliti dengan mendalam, merekalah sebaik-baik generasi Islam, bukan kita yang pakaiannya tidak cukup diletakkan dalam satu almari pakaian.

Tadi pakaian, bagaimana pula dengan makanan?

Makanan

Kalau ada di antara kita maknannya sedikit, rasa pelik dalam kalangan kita adalah perkara biasa. “Sikitnya makan, tambahlah lagi”
Ucapan sebegini terlalu biasa berlaku di zaman ini. Pelbagai juadah makanan dihidangkan di hadapan mata kita. Sehinggakan kita tidak tahu mahu makan yang mana.

Melalui sirah-sirah yang sedia, Rasulullah s.a.w hanya akan dapat makan makanan yang lazat apabila ada seseorang menghadiahkan kepada baginda makanan tersebut.Tetapi makanan lazim bagi Rasulullah s.a.w adalah beberapa biji kurma. Begitu juga dengan sahabat baginda. Bahkan pernah diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a bahawa dapur rumahnya telah beberapa bulan tidak berasap.

Walaupun zaman tersebut, mereka makan tidak sebanyak kita makan tetapi tidak ada sirah yang menyatakan bahawa terdapat dalam kalangan mereka mati kebuluran atau mati disebabkan makanan kecuali daging yang diletakkan racun oleh seorang perempuan Yahudi untuk menguji kerasulan Rasulullah s.a.w telah menyebabkan salah seorang sahabat yang turut sama makan pada ketika itu meninggal. Tetapi kisah ini di luar topik perbincangan kita. Jadi kita ketepikan kisah tersebut.

Melalui pakaian dan makanan di zaman Rasulullah s.a.w dan zaman ini, mengapa terlalu jauh sekali bezanya? Apapun Rasulullah s.a.w pernah bersabda melalui hadith riwayat at-Tarmizi yang bermaksud;

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan diMekkah). Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi saw. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu".

Nikmat sepasang jubah dan beberapa biji kurma jauh sekali dengan nikmat beralmari pakaian dan berpingan-pingan makanan yang kita ada kerana sepasang jubah mereka dan beberapa biji kurma mereka ada rahmat dan berkah mengiringinya berbanding perkara yang kita ada.

Tuesday, August 24, 2010

You Still My Kid

She always still my kid

Antara teka-teki yang ditanya oleh Imam al-Ghazali kepada anak muridnya ialah perkara apa yang semakin jauh?. Jawapan yang diberikan oleh anak muridnya banyak sekali, ada yang kata bulan, matahari, bintang dan sebagainya. Malangnya satu pun tidak menepati jawapan yang dikehendaki oleh Imam al-Ghazali. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa perkara yang semakin jauh adalah masa yang telah berlalu.

Memang benar, masa yang telah berlalu tidak mungkin akan berpatah kembali. Bahkan kadang-kala kita lupa bahawa masa yang sedang kita lalui ini sedang meninggalkan kita.

Si abang dan Si adik hampir sepuluh tahun yang lalu

“Kenapa berhenti kat sini? Sekolah depan lagilah”. Si adik kehairanan apabila abangnya memberhentikan kereta yang dipandu abangnya untuk menghantarnya ke sekolah di hadapan sekolah rendahnya suatu ketika dahulu.

“Eh, lupa. Ingatkan awak sekolah rendah lagi”. Abangnya baru teringat bahawa adiknya tidak lagi bersekolah rendah.

“Teruk betullah dia ni”. Komen si adik bersahaja.

Si abang yang jarang-jarang menghantar adiknya ke sekolah membuatkan ingatannya terhadap adiknya masih lagi bersekolah rendah. Cepat sungguh masa berlalu. Mungkin abangnya masih merasakan bahawa adiknya masih tidak berubah. Masih seperti dulu. Still a kid. Apapun usia yang semakin meningkat remaja dan dewasa jangan dipersiakan begitu sahaja.

Saidina Umar al-Khattab pernah berpesan “Hitung diri kamu sebelum kamu dihitungkan, timbanglah diri kamu sebelum kamu ditimbang dan bersedialah kamu untuk perbentangan yang besar (Hari Qiamat)”

Monday, August 16, 2010

Zakat dan Iftar Buat Ahli Suffah

Makanan berbuka hari pertama di Masjid Al-Malek Khalid, USM.
Ramai juga ahli ISDEV yang berbuka di sini.


“Petang ni berbuka di mana?” Tanya Aya.
“Saya ni ahli suffah jadi berbuka di masjid lah tempat nya”. Jawab saya bersahaja.
“Ahli suffah tu, tahu tak siapa?” tanya saya selepas melihat Aya agak kebingungan.
“Tak”.
“Ahli suffah ni sahabat-sahabat nabi yang tinggal di anjung masjid nabi. Mereka tak ada rumah. Orang miskin. Disebabkan kemiskinan mereka itu mereka hanya makan bila ada orang yang beri sedekah kepada mereka”. Jelas saya berkenaan ahli suffah secara ringkas.

**********

Selesai sahaja memberi salam kepada individu yang berada di dalam Bilik Sumber ISDEV, saya terus mendapatkan sebuah kerusi sambil menunggu jam menghampiri 10.00 pagi.

“Ada kelas pagi ni?” Tanya Aya.
“Ya”. Jawab saya sepatah sambil menyemak perkara yang berkaitan sebelum masuk ke kelas.

“Radieah, kalau nak bayar zakat fitrah kat mana?” Tanya Aya.
“Kalau kat sini, di masjid lah. Tapi tak tahu di tempat spesifiknya. Mungkin boleh tanya pejabat. Nak bayar zakat fitrah ke?”
“Emm…”

“Ayah tak bayarkan?”
“Dah kerja. Kalau tak kerja ayah lah yang bayarkan. Radieah?”.
“Belum berkesempatan nak bayar sendiri. Nantilah bayar zakat bila dah kerja. Insya Allah”.

“Zakat Pendapatan kita perlu bayar ke? Kalau kerja kontrak kena bayar ke? Hutang kita banyak, perlu bayar Zakat Pendapatan ke?”
“Zakat Pendapatan tu kan fatwa kontempolari. Lagipun kalau tak silap ada item-item yang perlu kita tengok. Contoh, jumlah pendapatan, jumlah anak, macam-macam lagilah”. Agak pelik sedikit bila menjelaskan sesuatu perkara yang dikaji sendiri oleh individu yang bertanya.
Akhirnya Aya sendiri yang menjelaskan kedudukan Zakat Pendapatan sama ada perlu atau sebaliknya. Aya lebih arif berkenaan saya kerana zakat merupakan kajiannya.

“Takutlah bila kaji bab zakat tapi tak bayar zakat”. Aya meluahkan rasa hatinya.
“Sama juga macam saya. Nak hidup mewah, nak beli macam-macam, sedangkan orang lain lebih malang berbanding kita. Saya tak sanggup. Cukuplah apa yang ada. Yang dah ada pun lebih dari cukup. Eh.. saya perlu ke kelas ni, dah nak dekat pukul 10”. Terus sahaja saya bangun dan berjalan keluar dari Pusat Sumber ISDEV.

“Berbuka nanti, berbuka kat mana?” Sempat lagi Aya bertanyakan soalan dalam kekalutan tersebut.
“Macam biasa. Saya kan ahli suffah”. Jawapan saya disusuli dengan tawa kecil oleh Aya.

Tuesday, August 10, 2010

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Senja di kaki langit Danau Toba, Indonesia.
- Ketika Sya'ban melabuhkan tirai senjanya, fajar Ramadhan bakal menyinsing tiba -

Hampir sahaja selesai usrah muslimat peringkat Phd di ISDEV, ada di antara mereka menyangka bahawa saya akan memberi pengisian yang berkaitan puasa memandangkan esok adalah merupakan hari pertama Ramadhan.

Saya putuskan untuk tidak menyentuh tentang Ramadhan kerana sudah sering mendengarnya. Sebelah petang nanti juga saya percaya, pengisian yang sama turut akan diberikan dalam pengajian kami di ISDEV.

Bukan sengaja tidak mahu menyentuh tentang Ramadhan, sebaliknya saya lebih suka membiarkan ahli usrah yang lain bermuhasabah mengenai diri sendiri. Muhasabah mengenai Ramadhan yang dilalui tahun-tahun yang telah berlalu... bagaimana pula untuk tahun ini? Adakah masih sama atau berbeza? Berbeza yang saya maksudkan di sini bukanlah melalui suasananya sebaliknya adalah mengenai ibadahnya.

Dari kiri Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,
Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, TNC USM

Melalui ucapan Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas semalam, beliau mengatakan, kita sebenarnya terlalu banyak berslogan berbanding mengamalkan perkara yang sepatutnya kita amal. Sebab itu dalam ibadah puasa, takut-takut yang sering kita nanti-nantikan adalah ceramahnya berbanding ibadahnya. Ceramah atau kuliah hanyalah akan menjadi slogan jika tidak disertai dengan amal.

Semoga ibadah Ramadhan kali ini lebih baik daripada ibadah Ramadhan yang telah berlalu.
Selamat menunaikan ibadah puasa.

Monday, August 9, 2010

Lihat Dengan Mata Hati

“Pak, pak mahu beli garam?” Tanya kanak-kanak tersebut kepada sesoang pemuda yang sedang duduk melepak di tepi jalan sambil membawa sebakul garam.
“Berapa kamu jual?” tanyanya.
“Rp27 000 (kira-kira RM9.50) pak”. Jawapnya.
“Engak mahulah”.
“Belilah pak. Saya mahu beli buku pelajaran”.
Setelah beberapa kali merayu, pemuda tersebut tetap menolak untuk membeli garam tersebut. Kanak-kanak tersebut akhirnya mengalah.
“Pak, rambut panjang sekali. Engak panas ya?” Tanya kanak-kanak tersebut.
“Engak”. Jawab pemuda tersebut.
“Kalau tengok dari belakang, macam perempuan pak”. Sempat juga kanak-kanak ini berdakwah.

Kanak-kanak tersebut terus berjalan mencari sesiapa yang sudi membeli garamnya bermula dari golongan peniaga, pejalan kaki, dan ramai lagi. Ketika sepasang suami isteri yang sudah lanjut usianya lalu di hadapan kanak-kanak tersebut menggunakan beca yang dimuatkan dengan pelbagai barang di dalamnya, kanak-kanak tersebut terus mencuba nasib.

Beca yang merupakan kenderaan saya maksudkan

“Nek, nek mahu ke mana? Nek mahu beli garam?” Jerit kanak-kanak tersebut kepada nenek yang duduk di bahagian belakang beca . Perempuan tua tersebut turun dari boncengannya lalu menghampiri kanak-kanak tersebut.
“Nek mahu beli garam? Nek, kakek (atuk) belum berhenti”. Ujah kanak-kanak tersebut.
“Apa?” Nenek tersebut kurang pendengaran, jadi diminta kanak-kanak tersebut mengulanginya.
“Kakek belum berhenti”
Setelah perempuan tua tersebut menoleh ke belakang, dilihat becanya masih bergerak. Suaminya yang sedang mengayuh beca tersebut tidak menyedari bahawa isterinya turun dari beca tersebut. Perempuan tersebut berlari-lari anak mendapatkan suaminya supaya diberhentikan beca tersebut. Setelah itu perempuan tua tadi menyampaikan perkara yang sedang berlaku kepada suamiya.

“Terima kasih ya”. Ucap lelaki tua tersebut.
“Kakek mahu beli?” Tanya kanak-kanak tersebut. Lelaki tua tadi menyangka garam tersebut diberikan kepadanya. Sebab itu ucapan terima kasih dinyatakan kepada kanak-kanak tersebut.
“Kamu mahu jual ya? Berapa harganya?”
“Rp27 000”. Jawab kanak-kanak tersebut.
“Kakek tidak punya penghasilan (pendapatan)”.
“Belilah, saya mahu beli buku pelajaran”.
“Mengapa kamu tidak jual Koran (surat khbar)?”.
“Hanya ini sahaja yang saya ada. Belilah kakek”
Akhirnya lelaki tua tersebut membeli garam tersebut.
“Garam ini, kamu bawa balik sahaja. Ambil wang ini.” Kata lelaki tua tersebut.
“Ngak biasa, kakek telah membelinya. Terima kasih ya” Kanak-kanak tersebut terus sahaja berlalu setelah berjaya menjual garamnya.

Sebenarnya dialog di atas merupakan sebahagian dialog dalam sebuah rancangan Indonesia yang bertajuk ‘Minta Tolong’. Jika di Malaysia rancangan yang selalu kita lihat ialah rancangan ‘Bang Bang Bong’, sebuah rancangan yang bagi saya tiada motif dan selalunya tidak berakhlak. Berbeza dengan rancangan di Indonesia, walaupun banyak rancangan yang berbentuk hiburan tetapi rancangan yang saya ceritakan di atas merupakan salah satu rancangan yang mampu memberi pengajaran berbanding rancangan yang sama di Malaysia.

Sebenarnya terlalu banyak filem dan rancangan tv di Indonesia mutunya sangat baik. Tetapi malangnya filem dan rancangan tv Indonesia yang sampai ke Malaysia adalah sebaliknya seperti drama tv ‘Bawang Putih, Bawang Merah’. Salah satu rancangan tv yang baik adalah seperti ‘Minta Tolong’ dan filem yang baik pula ialah ‘Emak Ingin Naik Haji’.

'Emak Ingin Naik Haji' merupakan sebuah filem Indonesia yang diangkat daripada
sebuah cerpen pendek dengan tajuk yang sama


Rancangan ‘Minta Tolong’ sebagaimana yang saya ceritakan di atas mengajar manusia supaya melihat dengan mata hati kerana ternyata mereka yang miskin tidak bermakna tidak mampu memberikan sedekah berbanding mereka yang kaya. Saya cukup terharu dengan kedua-dua orang tua tersebut kerana mereka mampu membeli garam tadi walaupun pendapatan mereka tidak sebanyak mana.

Anehnya, walaupun memberi garam dengan harga Rp27 000, mereka menjualnya kembali dengan harga Rp1000 (kira-kira RM0.30) sahaja. Kisah tadi sebenarnya masih panjang tetapi saya tidak pandai bercerita dengan baik. Apapun kedua-dua pasangan suami isteri tadi bukanlah mereka yang kaya, tetapi boleh dikategorikan golongan miskin yang menjual hasil anyaman mereka di tepi jalan. Tetapi bila mereka membeli garam tersebut, kru rancangan tv tersebut membeli kembali garam tersebut dengan jumlah yang berganda-ganda yang saya sendiri pun tidak tahu jumlahnya. Saya lihat wang yang diberikan oleh kru rancangan tv tersebut melebihi Rp300 000 (kira-kira RM108.00) kerana di dalam gengamannya si isteri tersebut terdapat beberapa helai wang berwarna biru yang agak tebal. Satu-satunya wang yang berwarna biru di Indonesia ialah Rp50 000 (kira-kira RM18.00).

Bentuk wang yang dihulurkan kepada perempuan tua tersebut

Setelah menyerahkan wang tersebut kru rancangan tv tadi terus melarikan diri. Keadaan tersebut membuatkan perempuan tua tadi resah gelisah mungkin kerana serba salah kerana menerima wang yang banyak. Apabila kru-kru rancangan tv yang lain mendekatinya terus sahaja dia menceritakan keadaannya tadi. Setelah ditenangkan oleh kru-kru tersebut dengan menceritakan hal sebenar barulah dia kembali tenang.

Lelaki tua ini menceritakan keadaannya sewaktu menarik becanya

Saya kagum melihat mereka. Walaupun susah tetapi mereka mampu menghulurkan bantuan berbanding mereka yang hidup mewah. .. boleh anda lakukan macam mereka? Banyakkanlah sedekah sama ada di bulan Ramadhan mahupun di bulan lainnya… Moga Allah s.w.t melimpahkan rahmat buat kita semua. Ameen.

Sunday, August 8, 2010

Buku vs Baju

Kertas kerja yang tidak selengkap mana dibentangkan sewaktu di persidangan

Alhamdulillah, Allah masih memberi kesempatan untuk saya berkunjung ke bumi Medan, Indonesia selama seminggu bermula dari 1 Ogos 2010 sehinggalah 7 Ogos 2010. Setahun yang lalu saya turut ke sana dengan tujuan yang sama iaitu membentangkan kertas kerja dan mengikuti seminar yang dianjurkan bersama oleh ISDEV (Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, USM) dan UMSU (Universiti Muhamadiyyah Sumatera Utara).

Bila ada yang tahu saya ke Medan, perkataan yang terkeluar dari mulut mereka pastinya “Wah, bestnya”. Ya, memang seronok sekiranya ia mampu dimanfaatkan sebaik mungkin. Tetapi alangkah ruginya seandainya bila ke sana hanya sekadar untuk berseronok-seronok atau sekadar membeli-belah.

Pasar Ikan, Medan Indonesia

Membeli-belah bukan kegemaran saya. Bila rakan-rakan yang lain balik dari membeli-belah di Pasar Ikan (saya dapat tahu, dahulunya tempat tersebut dijual ikan-ikan tetapi kini ia menjadi gedung membeli-belah kain dan segala macam pakaian) saya sering dengan mereka sering membanding-bandingkan harga yang mereka berjaya tawar untuk barang yang mereka beli. Ia menjadi perbualan utama sesama mereka.

Lain pula dengan mereka yang ke kedai buku sama ada ke Gramedia atau Wali Songo. Mereka akan sentiasa membantu antara satu sama yang lain mencari buku berkaitan, terutama kajian masing-masing. Maklum sahajalah, setiap dari kami mengetahui bidang kajian individu yang lain. Jadi tidak menjadi masalah untuk membantu rakan yang lain mencari buku dikehendaki.

“Radieah, awak dah tengok ke buku ni?” tanya Kak Shereeza sewaktu kami di Kedai Buku Wali Songo.
“Tak”. Jawab saya sepatah.
“Buku ni tentang peranan masjid basmi kemiskinan”.
“Oh, ye ke. Terima kasih”. Sungguh, saya cukup gembira menerima bantuan tersebut. Kedai buku tersebut walaupun saiznya sederhana besarnya tetapi bukanlah satu perkara yang mudah untuk mencari buku yang dikehendaki kerana jumlahnya terlalu banyak. Oleh itu, bantuan daripada rakan yang lain memudahkan pencarian masing-masing.

Tidak cukup membeli buku di Medan, gerai buku di tapak konvo USM
turut menjadi sasaran ke esokan harinya setelah kami selamat tiba di tanah air.

Buku yang banyak dibeli membuatkan ada yang bertanya “Bila masa awak baca semua ni?”.
Entahlah, saya pun tidak pasti. Tetapi setiap buku yang saya beli ia tidak pernah mengecewakan saya kerana biasanya saya tetap akan membacanya walaupun bukan dalam masa terdekat. Pernah suatu ketika dahulu (rasanya sewaktu tahun dua, undergrad), Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan promosi bukunya di USM. Saya membeli sebuah kitab terjemahan iaitu Mukadimah Ibn Khaldun. Pada ketika itu saya tidak terfikir pun untuk membaca keseluruhan kitab tersebut sebaliknya hanya pada bab-bab yang saya tertarik untuk membacanya. Tetapi sewaktu membuat master, kitab tersebutlah menjadi rujukan utama saya dalam kajian. Bagi saya setiap buku yang saya miliki ia menjanjikan kepuasan bukan kekecewaan.

Adalah suatu kepuasan yang luar biasa andai anda telah membaca buku tersebut mendahului orang lain dan anda akan merasa rugi yang teramat sangat bila orang lain menyatakan bahawa dia telah membaca buku tersebut sedangkan anda tidak membacanya. Bagi saya itulah antara perasaan yang saya miliki bila ada orang lain mendahului sesebuah buku berbanding saya. Rasanya perasaan ini tiada pada mereka yang suka membeli-belah.

Perbandingan harga pula bukanlah isu besar bagi mereka yang menyukai buku berbanding mereka yang suka membeli-belah. Walaupun ada kata menyatakan ‘kalah membeli menang memakai’, kalau sehelai ia tidak menjadi persoalan tetapi andai berhelai-helai yang itu harus difikirkan. Hakikatnya banyak mana sangatlah pakaian yang kita mampu pakai. Ada juga yang menyatakan untuk dihadiahkan kepada keluarga dan saudara mara. Apapun terpulanglah kepada kebijaksanaan masing-masing.

Antara buku yang saya beli di Medan, Indonesia dan Gerai Buku, Tapak Konvo USM

Saya suka membeli buku di Medan, Indonesia. Ada tiga sebab utama. Pertama, bukunya banyak. Rambang mata semenangnya akan berlaku. Kedua, kerana mereka (ahli ISDEV) yang ke kedai buku mempunyai minat yang sama dan saling membantu mendapatkan buku yang diperlukan sesama mereka. Ketiga, terdapat banyak buku yang murah-murah berbanding Malaysia.

Namun begitu, untuk membeli buku di Indonesia perkara utama yang anda perlu perhatikan ialah penulisnya. Hal ini kerana penulisnya berkemungkinan mempunyai pengaruh Islam Liberal. Begitu juga dengan mazhab akidah yang berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saya tidak nafikan, banyak buku yang saya ingin miliki apabila diteliti isi kandungannya ia banyak berunsur aliran Syiah. Jadi bukanlah suatu perkara yang mudah juga untuk menapis setiap buku yang kita peroleh. Namun begitu, sedikit ilmu pengetahun tentang Syiah dan Islam Liberal amat membantu anda untuk memilih buku bila ke sana nanti.

Akhir kalam, kata-kata hikmah menyatakan ilmu itu letaknya di dalam hati bukan pada helaian-helaian (Al- ilmu fi sudur laisa fi sutur) dan antara buku dengan baju, ramai yang akan pilih buku berbanding pilih baju tetapi tidak ramai yang akan beli buku berbanding beli baju. Wallahu'alam...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...