Saturday, May 30, 2009

Siiru a'la barakatillah...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Doa saya semoga semua berada dalam keadaan sihat sentiasa. Semoga rahmat Allah S.W.T sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita. Terima kasih kerana sudi membaca.

Menulis dan membaca merupakan hobi saya. Namun untuk terus menulis blog ini.. hajat tersebut terpaksa ditangguhkan buat seketika memandangkan terdapat perkara-perkara yang harus saya aulakan (utamakan), walaupun bagi saya menulis blog juga merupakan perkara aula bagi saya kerana ia adalah salah satu medan dakwah saya.

Kesuntukan masa untuk menyiapkan disertasi (tesis pendek) memandangkan tempoh tamat pengajian saya semakin hampir. Terlalu cepat masa berlalu…sedangkan seolah-olah baru semalam saya mendaftarkan diri saya sebagai master student di Pusat Kajian Pembangunan Islam (ISDEV).

Jutaan terima kasih saya tujukan buat pensyarah-pensyarah terutama Prof Muhammad Syukri Salleh selaku supervisor saya dan Dr. Fadzilah Azni Ahmad (Kak Sue)…maaflah Kak Sue, saya selalu peningkan kepala Kak Sue. Nak cakap kat Prof tak berani…

Dikesempatan ini juga saya dengan berbesar hati, menjemput anda semua untuk bertandang ke walimah saya di No.3, Jalan Temerloh Makmur, Taman Temerloh Makmur, 28000 Temerloh, Pahang, pada 7 Mei 2009.

Maafkan segala kesalahan saya. Seandainya ini merupakan entry saya yang terakhir,insya Allah ia bukan penamat pertemuan kita (di alam maya). Kalau tidak di alam nyata insya Allah…di syurga sana.

Sekian, terima kasih.
Siiru a’la barakatillah.
(berjalanlah engkau dengan keberkatan-Nya)

Wassalam

Friday, May 29, 2009

Kesetiaan Si Pembawa Botol

Apabila diteliti, kebanyakan nama ulama, sahabat nabi, dan ramai lagi golongan terdahulu bukanlah nama asal mereka, contohnya Ibn Khaldun. Nama asalnya ialah Abdul Rahman Bin Muhammad Khaldun al-Hadrami. Khaldun merupakan mana keturunannya. Begitu juga imam besar yang saya ingin ceritakan riwayat hidupnya sebentar lagi.

Nama sebenar beliau ialah Nukman Bin Thabit. Dikenali dengan nama Imam Abu Hanifah kerana anak sulungnya bernama Hanifah. Selain itu, terdapat juga pendapat yang mengatakan nama tersebut diambil berdasarkan sifatnya yang suka berbuat kebajikan. Selain itu sifatnya yang suka membawa botol dakwat supaya senang untuk mencatit ilmu juga membuatkan nama Hanifah diberikan kepadanya kerana di dalam Bahasa Arab ‘Hanifah’ bermaksud botol dakwat.

Seumur hidup Imam Abu Hanifah, beliau tidak pernah menyimpan lebih dari 400 dirham dan pernah menghadiahkan sebanyak 500 dirham kepada guru anaknya kerana mengajar anaknya tentang al-Quran. Imam Abu Hanifah mempunyai seorang anak angkat yang bernama Abu Yusuf. Abu Yusuf merupakan seorang yang miskin tetapi kecerdikan dan kecerdasannya dalam menimba ilmu pengetahuan telah menarik minat Imam Abu Hanifah untuk mengambilnya menjadi anak angkat supaya kelebihan yang dimiliki oleh Abu Yusuf tidak dipersiakan.

Sifatnya yang terlalu berhati-hati membuatkan Imam Abu Hanifah tidak akan lalu di hadapan rumah orang yang diberi pinjam duit olehnya kerana bimbang ia akan menjadi riba. Sifatnya yang suka kepada ilmu dan suka menulis harus dicontohi oleh umat Islam.

Kegigihannya menulis tidak dapat kita bayangkan. Kemudahan yang ada pada ketika itu… mata pena dan dakwat di dalam botol yang hanya setiap kali menulis, mata pena tersebut hanya mampu menulis dua sehingga tiga huruf tetapi mampu manghasilkan Kitab al-Athar yang menjadi rujuk sehingga merentasi sempadan generasi. Kesetiaan mereka kepada ilmu membuatkan Allah S.W.T menerangkan hati mereka untuk memahami setitik air dari lautan ilmuNya.

Begitu juga ulama-ulama yang lain seperti Imam Malik menghasilkan kitab al-Muwatta, Imam al-Ghazali menghasilkan kitab Ihya Ulum Ad-Din dan pelbagai lagi kitab-kitab lain yang dihasilkan dengan susah payah ulama terdahulu. Pelbagai ilmu telah dimuntahkan oleh mereka sama ada sosiologi, astronomi, perubatan dan sebagainya.

Sebetulnya generasi Islam yang berada di zaman moden ini, dengan kemudahan teknologi, maklumat di hujung jari, kemudahan alat tulis dan pelbagai kemudahan yang lain seharusnya mampu menghasikan kitab-kitab yang lebih terkehadapan. Mampu memberi manfaat yang lebih luar biasa dari ulama zaman silam tetapi sebaliknya berlaku.

Jika dahulu orang bukan Islam mempelajari ilmu daripada cendiakiawan muslim, tetapi kini kita berlumba-lumba untuk mempelajari ilmu daripada mereka. Akhirnya, kita meneruskan ketamadunan mereka yang pada asalnya adalah bersumberkan daripada kita. Tidak salah untuk mempelajari sesuatu daripada mereka tetapi hati-hati. Sesungguhnya mereka tidak pernah redha akan orang mukmin selagi mana kita tidak mengikuti mereka…

Thursday, May 28, 2009

Buat Pencinta Buku

Entry kali ini khas saya tujukan buat individu yang tidak berpeluang ke Pesta Buku Antarabangsa 2009, di Kuala Lumpur baru-baru ini. Insya Allah, Pesta Buku Pulau Pinang 2009 akan diadakan di Tapak Ekspo Seberang Jaya bermula pada tarikh 29 Mei sehingga 7 Jun 2009. Tapak ekspo akan dibuka bermula jam 11 pagi sehingga 11 malam.

Pesta buku ini merupakan anjuran bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang dan Syarikat Adam. Penerbit-penerbit yang akan terlibat dalam ekspo tersebut antaranya ialah PTS, Alaf 21, SASBADI, Oxford Fajar, Longman, Pan Asia, dan Pelangi. Kalau tidak silap saya, penerbit Anbakri Publika, Pustaka Salam, Jundi Resources dan Al-Hidayah tidak ada di situ…(tak ada dalam iklan pun…) Jadi untuk mencari bahan berunsur agama agak terhad. Tetapi jangan bimbang PTS masih ada.

Selain itu terdapat aktiviti lain yang turut berlangsung antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak da keluarga, program setiap bayi satu buk, cari benda tersembunyi, roda ilmu, akal pantas, teka-teki jawi, dan cepat akal.

Potongan serendah 20% sehingga 70% kepada buku-buku yang dijual di sana akan diberikan kepada pengunjung. Jadi jangan lupa untuk berkunjung ke tapak pesta buku tersebut.

Wednesday, May 20, 2009

"Aku tidak tahu"

Sana sini perbincangan. Saya sendiri tidak tahu perkara yang
Dr. Zahari Hamat dan rakan-rakan bincangkan sewaktu setibanya kami di Danau Toba.
Bincang tentang research kot.

"Akak tak faham. Kenapa dia mulakan perbentangan dia dengan menyebut jumlah ayat dalam al-Quran yang dia kata dia kira?. Tak ada kaitan dengan tajuk dia pun”. Kakak yang duduk di sebelah saya bersuara sewaktu seminar tentang wakaf di Aula Asrama Haji Medan. Saya ingat saya seorang sahaja yang berfikiran sedemikian rupa tetapi ada juga yang sedar tentang hal tersebut.

“Entahlah, tapi yang lebih pelik dia kata dia yang kira jumlah ayat al-Quran yang diterima dari Mekah. Lagi satu, dia kata, bila kita nak berikan sesuatu pendapat jangan ambik apa yang orang cakap atau kaji tetapi terangkan apa yang kita kaji”. Saya juga kebingungan memikirkannya.
“Tapi kak, akak perasan tak sebelum dia bentang, panel yang sebelumnya banyak membentangkan pendapat orang lain…kajian orang lain. Sebab tu dia cakap macam tu kot.” Tambah saya.
“Betul juga”. Beliau mengiakan perkara yang saya katakan.

Kijang Inova merupakan kenderaan rasmi Universitas Muhammadiyyah Sumatera Utara (UMSU).
Juga merupakan kenderaan yang saya dan rakan-rakan sewaktu di sana. Papan berwarna-warni di belakangnya merupakan banner yang diperbuat daripada bunga tiruan membentuk huruf-huruf.
Banner tersebut digunakan untuk sebarang sambutan sama ada kematian, kenduri dan sebaginya.
Terdapat kedai khas yang menawarkan perkhidmatan tersebut.

“Saya tak kesah dia nak cakap atau nak perli ke..tapi masalahnya apa yang dia cakap seolah-olah al-Quran tu banyak versi…ada banyak ayat. Dia ada cakap juga, al-Quran yang ada 6666 ayat al-Quran apa…mana datangnya ayat yang lebih tu?" Saya mengemukakan ketidakpuasan hati saya.

"... Al-Quran tetap satu tapi yang kira jumlah ayat tu para ulama yang arif tentang al-Quran. Ada yang kira ikut tanda waqaf, ada yang mengira ikut tempat berhenti mengikut tanda-tanda yang wajib berhenti dan banyak lagilah cara. Contoh dalam Surah al-Baqarah. Pada awal surah ada tiga titik pada dua tempat dan bacaannya perlu berhenti pada salah satu tanda tersebut. Sebab tu jumlah ayat jadi berbeza. Tapi bila dia cakap di khalaya umum…ni yang masalah ni”. Saya cuba berhusnuzan dengan perkara yang berlaku…mungkin cara pembentang tadi begitu. Tetapi sukar sekali untuk berbuat demikian.

Bila terkenagkan peristiwa tersebut.. hati saya akan bertambah bimbang. Apabila masyarakat meletakkan seseorang itu di dalam kedudukan golongan yang bijak pandai dan menjadi rujukan tetapi perkara yang disampaikan olehnya bercanggahan sekali dengan ilmu pokok yang sepatutnya seseorang itu kuasai maka akan berlaku kekeliruan masyarakat Islam yang mengikutnya.

Namun kebimbangan saya sedikit terubat apabila ada hadirin yang bertanya tentang ayat al-Quran tersebut. Walaupun sebenarnya bagi saya masih belum tepat perkara yang sepatutnya disampaikan.

Beliau mengatakan setahu beliau ayat al-Quran ada 6666 ayat dan kemudia beliau membahagikan jumlah ayat tersebut kepada kategori-katogerinya seperti ayat hukum, ayat yang berkenaan dengan kisah para nabi dan ayat yang berkenaan dengan doa dengan menyebut jumlah ayat untuk setiap kategori tersebut. Tetapi jawapan yang sama tetap diberikan oleh pembentang tadi.

Saya masih ingat cerita yang disampaikan oleh Dr. Jasni Sulong (atau Dr Nizam Sahad, aya lupa siapa yang bercakap mengenainya) sewaktu kuliah Pembangunan Modal Insan. Suatu ketika Imam Malik pernah ditanya 40 soalan dalam satu kuliah ilmu dan 32 soalan daripada 40 soalan tersebut dijawab oleh beliau dengan jawapan "Aku tidak tahu".
Apabila diteliti, adakah benar seorang ulama besar tidak tahu jawapan. mungkin benar...tetapi bukan Imam Malik tiada jawapan tetapi ulama tersebut lebih suka membenamkan pendapatnya sendiri daripada dikemukakan kepada umum dan soalan yang dikemukakan kepadanya bukanlah soalan yang melibatkan hal-hal yang bercanggahan dengan akidah yang boleh merosakkan iman jika tidak dijawab oleh Imam Malik.

Bagi saya, selalu-selalulah belajar untuk menyebut perkataan 'saya tidak tahu'. Perkataan ini lebih baik berbanding menerangakn sesuatu yang ia merupakan pendapat kita... Renung-renunglah diri sendiri sebelum mengemukakan pendapat...takut dan bimbang membawa kerosakan kepada orang lain. Selalu saya ingatkan, supaya mencari titik persamaan, jangan cari titik perbezaan. Jika kita tahu sebab mengapa berlaku perbezaan, kita akan senang dengan perbezaan tersebut kerana terasnya sama. Cuma hujah yang kita kemukakan berbeza

Surah al-Rum ayat 41 juga ada mengingatkan kita, yang bermaksud; "Telah datang kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)" Ayat ini mengingatkan kita tentang bencana yang berlaku adalah disebabkan manusia itu sendiri.

Walau bagaimanapun, suatu perkara yang seharusnya kita contohi, masyarakat Indonesia sangat suka bertanya. Soalan yang ditujukan amat kritikal dan tajam. Apabila sesi soal jawab dibuka, maka akan ramai yang ingin bertanya. Fenomena ini jarang sekali berlaku di Malaysia. Kenapa? Entahlah…Malu atau malas…antara dua.. “Biarlah orang lain tanya?...sama je dengan apa yang saya nak tanya”…Tetapi sampai bila?

Tuesday, May 19, 2009

ايا جيك سيتي

ايا جيك سيتي فرمفوان بايق مودا
انا بايق سوسه جالن توتوف ماتا
واع دان ريعكية انا داه تق هيران
انت توتوف ماتا انا تق تنتو جالن

ماري له افيق اوى ماري له سايع
ايكوت له انا جاعن بيمبع
ماتا تق نمفق انا تنجوقكن جالن
كاكي ملعكه اوى فرلاهن-لاهن

انا تق نق بيمبع انا تق نق تاقوت
تافي انا جالن بايق ساعكوت-ساعكوت
سموا هيتم لاكي بايق كلاب
ماجم اورغ حبشي نكري عرب

اوه افيق سايع اوى جاعن سوسه
هابيس منجايت واع ماس انا اوفح
ماري له جالن انتي جفت له جفت

اوس فيق لوعكع اوى كاكي ملومفت
افيق جاك دافن ادا لوعكع

مانا؟
لومفت
ايا
لومفت
ايا
لومفت افيق لومفت
ايا...


Dulu penulisan Jawi digunakan secara meluas. Itu hak milik kita. Identiti kita selaku umat Islam Melayu. Dalam video lagu di atas pun banyak tulisan jawi digunakan. Tetapi sekarang segalanya telah berubah. Sayangnya...

Friday, May 15, 2009

Pria Punya Selera...

Gambar ini diambil melalui Google Image.
Kalau tidak silap, iklan ini dipaparkan di Merdeka Walk, Medan

Pada mulanya saya kurang memahami slogan ‘Pria Punya Selera’ yang sangat banyak di papan-papan iklan di sepanjang jalan di Medan, Indonesia. Tetapi setelah dijelaskan oleh sahabat saya yang turut sama ke Medan, baru saya memahami bahawa ia adalah merupakan iklan rokok. Maklumat tersebut sangat mengejutkan saya. Sepanjang berada di Malaysia saya tidak terdedah dengan iklan rokok. Iklan rokok tidak ada lagi di Malaysia.

Tetapi di Indonesia, iklannya bukan sahaja dipamerkan di sepanjang jalan raya tetapi juga di dalam iklan television. Iklan tersebut tidak jelas memaparkan bahawa ia adalah iklan rokok. Tetapi ia memaparkan kehebatan seorang lelaki digandingan dengan rokok. Iklan tersebut boleh saya gandingkan kehebatannya dengan iklan Petronas sewaktu musim Hari Raya Aidilfitri tiba. Sudah tentu ramai yang tertarik…

Iklan di television juga diberitahu oleh sahabat saya tadi sewaktu saya menonton television di bilik Royal Perintis Hotel…jika tidak saya juga tidak akan menyedari motif sebenar iklan tersebut.

Sempat saya menonton berita di kaca tv Indonesia. Sewaktu lawatan kami, kerajaan Indonesia sedang mengadakan kempen supaya tidak merokok di dalam keretapi. Sewaktu temuramah dengan masyarakat dijalankan oleh wartawan, semua mereka menyedari akan bahaya merokok. Tetapi apabila ditanya sama ada boleh berhenti atau tidak? Jawapannya “Sukar sekali, sudah kecanduan…”

Gambar sahabat saya yang berlatar belakangkan lobi Royal Perintis Hotel.
Beliau turut ditempatkan satu bilik dengan saya di hotel tersebut.

Merokok di Indonesia bukan suatu perkara yang dianggap salah. Malah di lobi hotel tempat kami menginap, kaum lelaki Indonesia tanpa segan silu menghisap rokok walaupun tempat tersebut berhawa dingin. Sesak nafas kami dibuatnya. Bagi saya mentaliti mereka masih rendah.. Tetapi mereka adalah masyarakat yang sangat rajin berbanding rakyat Malaysia.

Kita selalu dengan yang umat Islam di Indonesia ramai. Tetapi bagi saya, mungkin ramai tetapi tidak kelihatan…Mungkin saya yang tidak terlihat kelibat mereka. Entahlah…

Seminggu Di Rantau Orang

Sebahagian pensyarah dan pelajar PhD serta master yang turut ke Medan.
(Gambar ini diambil semasa lawatan ke Pulau Samose di Danau Toba)

“Kak Radieah, macam mana pi Aceh, best tak? Banyak shopping?”
“Bila masa pula awak dapat berita Kak Radieah pi Aceh?..Kak Radieah pi Medan lah”.
“Awak nak Kak Radieah shopping ape? Tak ada apa pun yang nak di shoppingkan”.
Soalan shopping apa..tidak pernah hilang dari pertanyaan setiap yang bertanya.. Hakikatnya memang tidak ada yang hendak saya belikan. Kata orang Indonesia adalah diantara syurga untuk membeli-belah. Tetapi bagi diri saya, saya tidak tahu ole-ole apa yang harus saya bawa pulang. Tetapi beg pakaian saya sarat dengan buku-buku yang dibeli di kedai-kedai buku di sana.

Indonesia sebuah negara yang sederhana pembangunannya. Walaupun sederhana, saya dapati ideologi politik tidak terlalu mencorak kehidupan mereka berbanding di Malaysia. Walaupun masyarakat Indonesia merasakan kekuasaan politik penting, tetapi bagi saya tempiasnya tidak keterlaluan berbanding di Malaysia. Buktinya mereka boleh menubuhkan universiti yang dikelola oleh ahli keluarga mereka sendiri, organisasi-organisasi untuk menjaga kepentingan mereka juga wujud. Contohnya organisasi yang mengelola harta wakaf.
Jadi tidak menjadi suatu perkara yang menghairankan, sekiranya di Medan sahaja, mereka memiliki hampir puluhan, malah hampir angka ratusan universiti yang dikelola oleh komuniti mereka sendiri.

Tempias politik juga tidak mengguasai penjual dan pembeli di Indonesia. Buktinya kedai buku yang saya kunjungi, mudah sungguh untuk saya temui buku-buku berunsur agama. Di Malaysia, buku-buku tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, buku-buku haraki dan sebagainya sukar sekali untuk ditemui. Hanya kedai-kedai buku tertentu sahaja yang menjual buku sedemikian rupa.

Pernah satu ketika saya bertanya kepada tuan kedai buku di salah sebuah kedai buku di Pulau Pinang, “Pak cik, buku tulisan Nik Aziz ada tak?”
“Maaflah, pak cik tak mahu terlibat dengan politik?”
Jawapan yang diberikan walaupun mengecewakan saya, tetapi saya faham situasi penjual buku seperti pak cik tadi. Di Malaysia, peniaga jika berpegang kepada ideologi politik maka pembeli yang berbeza politik dengannya tidak akan mengunjungi kedai tersebut. Akibatnya buku-buku terbaik yang seharusnya dibaca oleh masyarakat tidak mendapat tempat di kedai-kedai buku popular seperti Popular, Borders, di Queensbay Mall, Pulau Pinang dan banyak lagi kedai buku yang menjadi tumpuan umum.

Tetapi saya dapat merasakan situasi sebegini akan berkurang kerana kedai buku Popular, Bukit Jambul Pulau Pinang, misalnya telah mula menjual buku-buku karangan Tuan Guru Nik Abdul Azizi kira-kira sebulan yang lalu. Sebelum ini, sukar sekali saya temui. Terkejut juga saya apabila buku tersebut tersusun di rak kedai buku tersebut.

Saya dan rakan-rakan serta pensyarah-pensyarah yang ikut serta ke conference wakaf di Universitas Muhammadiyyah Sumatera Utara, Medan juga berkesempatan ke Danau Toba yang terletak di daerah Pharapat (how to spell). Perjalanannya dari Medan ke Danau Toba memakan masa kira-kira enam jam. Walaupun kami melalui lebuh raya, tetapi penyelenggaraan lebuh raya di sana tidak sebaik di Malaysia. Setibanya di Danau Toba, saya mengakui, alam yang dianugerahkan Allah kepada hambaNya sangat indah…sangat cantik. Tetapi ia hanya dapat dirasai dan dinikmati oleh manusia yang mahu berfikir.

Kubah ini adalah bersaiz paling kecil. Terdapat pelbagi saiz yang dipamerkan

Sepanjang perjalanan ke Danau Toba, saya dapat menyaksikan perusahaan membuat kubah masjid hampir menjadi perusahaan utama di sana. Hampir setiap tiga sehingga lima kilometer ada sahaja kubah-kubah masjid dipamerkan di tepi-tepi jalan bagi menarik pelanggan untuk membeli atau menempahnya. Pada mulanya saya agak pelik dengan situasi ini.

Tetapi apabila melihat suasana di situ, yang masjidnya hampir setiap tiga atau lima kilometer perjalanan terdapat sebuah masjid, dan keluasan masjid tersebut tidak terlalu besar yang mampu memuatkan kira-kira 50 sehingga 100 jemaah dalam satu-satu masa. Masjid yang banyak dibina secara tidak langsung memungkinkan perusahaan kubah masjid berkembang di sana. Malah tidak menjadi suatu perkara yang pelik sekiranya di sesebuah pasaraya terdapat masjid yang turut mendirikan solat Jumaat, seperti yang saya telah ceritakan di dalam entry yang lepas.

Danau Toba airnya hujau. Di waktu petang airnya berombak ditiup angin kencang.

Kata orang 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri'. Tetapi saya suka untuk menterbalikkan peribahasa tersebut menjadi 'hujan batu di negeri orang, hujan emas di negeri sendiri'… Rakyat Malaysia tinggal di dalam keadaan yang sangat selesa. Seharusnya keselesaan tersebut digunakan sebaik mungkin untuk menegakkan Islam di bumiNya. Tetapi masalah yang timbul kita terlalu alpa dengan nikmat keselesaan tersebut…kita kufur dengan nikmatNya.

Monday, May 11, 2009

Erti Hidup Dalam 'Laskar Pelangi'

Entah kenapa bersungguh-sungguh benar Niza, sahabat saya yang seorang ni ingin mencari VCD Laskar Pelangi. Di Malaysia, katanya VCD tersebut masih belum ada. Tetapi dengan izin Allah conference kami yang dianjurkan di Medan membuatkan VCD tersebut menjadi target utama ole-ole yang mahu dibawa pulang ke tanah air berbanding barangan lain.

Hari Sabtu (9/5/09) selepas perbentangan proposal daripada pelajar PhD bertempat di Universitas Muhammadiyyah Sumatera Utara (UMSU), saya, Prof Syukri, Dr Fadzilah Azni dan Niza serta ditemani oleh tiga orang teman daripada Indonesia yang merupakan pelajar PhD di USM bercadang untuk ke Carefur untuk membeli barangan komputer. Katanya di Indonesia murah. Sababat dan pensyarah yang lain ke Pasar Ikan tetapi yang ada di sana bukan ikan sebaliknya kain-kain. Jadi bagi yang suka shoping di situlah syurga mereka.

Hakikatnya memang murah. TV berjenama LG yang berskrin nipis, harganya kira-kira RM2000 sedangkan di Malaysia RM4000 lebih. Begitu juga dengan barangan lain termasuk kereta. Saya berhasrat untuk membeli dakwat printer, tetapi harganya hampir sama dengan harga di Malaysia. Jadi saya batalkan niat saya untuk membelinya. Mungkin harga standard bagi Cannon.

Dalam perjalanan ke Carefur kami singgah di sebuah kedai VCD. Kompleks membeli belah tersebut seakan-akan Quenbay Mall, jadi semua barang ada. Tetapi yang anehnya terlalu manusia membanjiri kawasan ini..setiap tingkat dan setiap tempat. Macam pasar malam di Malaysia. Rimas saya dibuatnya. Kebanyakan mereka menjadikan tempat tersebut untuk bersantai atau dengan istilah lainnya melepak. Tidak kira peringkat usia, semua ada. Tetapi yang perlu Malaysia contohi, di dalam Mall tersebut terdapat masjid yang memang didirikan Solat Jumaat…bila lagi Malaysia mahu meniru contoh tersebut?

Kembali kepada topik perbincangan. Laskar Pelangi merupakan satu kisah benar yang berlaku di Indonesia. Saya copy paste sahaja sinopsi kisah tersebut daripada Laman Web PTS. Sebenarnya ia juga terdapat dalam bentuk buku. Empat buah buku kesemuanya dan kemudian ia difilemkan.

Ia merupakan kisah perjuangan. Kecekalan dan ketabahan meraka mengharungi kepedihan dan kepayahan hidup yang akhirnya kini salah seorang daripada mereka telah menjadi seorang usahawan yang berjaya di Indonesia. Bagi saya membaca bukunya adalah lebih baik berbanding menonton filemnya kerana buku tersebut ditulis oleh usahawan yang saya maksudkan tadi.

Di saat saya menulis entry ini, saya masih belum berkesempatan membaca atau menonton filemnya. Namun feedback yang diberikan oleh penduduk Indonesia, teman-teman dari Indonesia termasuk sahabat saya yang hobinya membaca novel Faizal Tehrani membuatkan saya terpanggil untuk menulis entry ini. Feedback tersebut menyebabkan bukan Niza sahaja yang membeli VCD tersebut tetapi kami semua membelinya.


Semoga ini mampu membuka pandangan kita tentang seni dalam kehidupan yang telah, sedang dan bakal kita lalui.


Sinopsis Laskar Pelangi :
Pelbagai peristiwa menakjubkan terjadi pada zaman kecil para anggota Lasykar Pelangi. Sebelas orang anak Melayu Belitong yang luar biasa ini tidak menyerah kalah walau keadaan tidak selalu menyebelahi mereka. Lintang, si miskin cilik yang genius dengan senang hati berbasikal berulang-alik sejauh 20 kilometer untuk menuntut ilmu meskipun kadang-kadang hanya sempat menyanyikan lagu Padamu Negeri pada akhir waktu sekolah. Mahar, selain bersekolah dia turut memarut kelapa untuk biaya keluarganya, adalah seniman yang imaginatif dan kreatif meskipun dia sering dipersendakan sahabat-sahabatnya. Tetapi, dia berjaya mengangkat darjat sekolah Muhammadiyah di kampung mereka. Begitu juga kisah sembilan orang teman-temannya yang lain bersemangat menjalani kehidupan dan berjuang meraih cita-cita.

Monday, May 4, 2009

Lumpuh Dalam Perjuangan

Masa itu emas. Tetapi kalau ada emas, andai tidak tahu bagaimana
untuk menggunakannya ia akan jadi sia-sia

“Minta maaflah, saya sibuk sangat”.
“Hari ini penat sangatlah.. tak larat sangat”.
“Hari ni tak bolehlah, ada kerja kat lab yang belum selesai”
“Tengah writing ni…” (menulis tesis atau disertasi)
“Saya exam minggu depan..”

Seribu satu alasan kita lontarkan. Tidak hairanlah kenapa Allah S.W.T telah berfirman kepada kita “Dan sesungguhnya Kami telah menjelaskan berulang-ulang kepada manusia dalam Al-Quran ini dengan bermacam-macam perumpamaan. Tetapi manusia adalah memang yang paling banyak membantah”. Surah Al-Kahfi, ayat 54.

Membantah bagi saya adalah sama ertinya dengan memberi alasan. Sebab kedua-duanya bersifat menolak dan alasan pula walaupun ia seolah-olah bersifat menolak tetapi ia hampir kepada sifat ‘mengelak’….tidaklah seberat membantah atau menolak. Tetapi hati-hati sebab kita kata kita nak jadi pendakwah… mahu jadi penjuang…mujahid..mujahidah. Tetapi sayangnya sikap kita jauh sekali daripada perkara yang kita seru.

Islam itu agama yang bersifat haraki (deenul haraki – Agama yang bergerak). Ia tidak hanya terletak di masjid-masjid, ceramah-ceramah, forum ataupun sekadar menulis blog, artikel dan lain-lain. Saya tidak menafikan peranan masjid, ceramah,forum, penulisan blog dan sebagainya. Tetapi Islam itu adalah cara hidup dan peranan seorang pendakwah adalah memaparkan cara hidup. Masjid, ceramah, forum, penulisan blog… semuanya bersifat teori… teori itu mudah. Praktikal itu yang payah.

Ramai yang tahu tentang Islam tetapi disebabkan ia bersifat teori atau hanya sekadar ilmu, maka praktikalnya payah sekali untuk dilakukan. Ramai yang tahu tetapi tidak ramai yang peduli. Oleh itu tugas kita adalah supaya mereka peduli dengan perkara yang mereka tahu. Perkara yang tidak tahu kita wajib untuk beritahu.

Tetapi seandainya sikap kita yang cuba mencipta pelbagai alasan…saya bimbang yang kita sebenarnya tertipu dalam perjuangan atau perkataan yang lebih tepat Imam Al-Ghazali gunakan ‘ghurur dalam perjuangan’.

Muhasabah itu indah. Oleh itu, tanyalah diri kita sendiri, ‘hari ini perkara apa yang aku telah buat untuk Islam?’. ‘Sibuk sangatkah aku?’. Kalau sibuk kenapa kita masih sempat untuk menjamah makanan, masih sempat untuk tidur berjam-jam lamanya. Walaupun tidur dan makan merupakan keperluan kita, tetapi di antara tuntutan Allah dan tuntutan jasmani kita, kenapa jasmani itu yang menjadi misi utama?

Saidina Hassan Bin Ali K.W.H pernah berkata Agongkanlah urusan Tuhanmu, nescaya Dia akan agongkan urusanmu”. Bagi saya, kita akan jadi terlalu sibuk kerana kita bergantung kepada diri kita untuk selesaikan masalah kita, result experiment kita, exam kita, assignment kita, masalah hidup kita… kita lupa, masalah itu datang daripadaNya dan sewajarnya kita kembalikan kepadanya. Jadi agongkanlah urusan Tuhanmu, nescaya Dia akan uruskan kehidupanmu…

Alasan tiada masa, kesuntukan masa dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan masa… sebenarnya yang itu adalah salah kita. Adalah suatu perkara yang sangat tidak logik seandainya nanti Allah tanya tentang tanggungjawab yang sepatutnya kita buat tetapi kita abaikan, kita beri jawapan “Saya tidak ada masa”. Jawapan yang langsung tidak masuk akal.

Masa itu adalah suatu yang bersifat abstrak. Tidak hairan jika sahabat nabi boleh habiskan 30 juzuk al-Quran untuk satu rakaat bagi solat malamnya…Berapa rakaat sahabat nabi buat? 2, 8, 14? Tidak kesahlah, tetapi jika kita lihat melalui logik akal dalam masa satu malam untuk menghabiskan 30 juzuk Al-Quran untuk manusia seperti kita adalah mustahil sama sekali. Tetapi Allah beri kelebihan kepada sahabat dengan Allah panjangkan masa untuk sahabat tersebut.

Perkara ini tidak mustahil untuk berlaku kepada kita. Seandainya kita mahu buat kebaikan, Allah akan luaskan pintu rahmatNya. Tetapi masalah yang timbul sekarang kita terlalu banyak memberi alasan. Usah beri alasan kerana alasan itu yang membuatkan kita lumpuh dalam perjuangan.

Merendah Diri Itu Sifat Nabi

Insya Allah, kita semua tahu, sebaik-baik ikutan adalah Muhammad Rasulullah S.A.W. Terlalu banyak ikutan yang mesti kita ikut kerana ia adalah sunnah. Moga-moga dengan mengikut sunnahnya, kita mendapat perlindungan di hari yang tiada perlindungan kelak (di Padang Mahsyar). Seperti yang saya janjikan sewaktu artikel sebelum ini, saya akan menulis untuk post kali ini berkenaan dengan sifat rendah diri Nabi Muhammad S.A.W dan ulama, pewaris para nabi.

Pertama bagaimana sifat rendah diri seorang nabi.. Banyak kisah yang kita tahu. Tapi kisah yang saya ingin ceritakan ini, jarang-jarang kita tahu. Cerita ini diceritakan oleh Prof Haron Din sewaktu forum di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Suatu ketika Allah S.W.T bertanya kepada empat orang rasulNya iaitu Nabi Ibrahim A.S, Nabi Musa A.S, Nabi Isa A.S dan Nabi Muhammad S.A.W. “Wahai Ibrahim, engkau mahu dikenali sebagai apa?” Tanya Allah S.W.T kepada Nabi Ibrahim A.S. “Ya Allah, aku mahu dikenali sebagai khalilullah (orang yang rapat dengan Allah)". Soalan yang sama ditanya oleh Allah S.W.T kepada Nabi Musa A.S dan jawab baginda “…aku mahu dikenali sebagai Kalimullah (orang yang bercakap dengan Allah). Begitu juga dengan Nabi Isa A.S “…aku mahu dikenali sebagai Ruhullah”.

Kemudian Allah S.W.T bertanya kepada Rasulullah S.A.W “Wahai Muhammad, engkau mahu digelar sebagai apa, ya Muhammad?”, “Ya Allah, aku mahu dikenali sebagai orang yang miskin dan anak yatim”. Kemudian Allah S.W.T membalas, “Wahai Muhammad, sesungguhnya engkau adalah kekasihku (habibullah)”. Gelaran habibullah Allah berikan kepada Rasulullah S.A.W…nabi tidak minta tetapi Allah yang kurniakan. Sudah tentu lebih berharga daripada yang diberi tanpa diminta daripada yang diberi sebaliknya dengan meminta.

Berpandukan artikel saya yang lepas. Kalaulah kita bersikap macam itu sudah tentu ucapan sebegini akan keluar daripada mulut kita.. “La..orang tahulah awak tu yatim, miskin..tak payah lah nak besar-besarkan benda tu. Orang nak bagi ambik jelah”. Sebab yang cakap itu Rasulullah S.A.W kita tidak merasa pelik..tetapi kenapa bila manusia biasa gunakan perkataan “..saya hanya insan kerdil..saya insan lemah, …siapalah saya …pandangan dari insan yang dhaif..” Kita cukup marah. Tasawwur kita hilang sebenarnya. Kita tidak ada tasawwur…dengan kata lain kita tidak kenal akhlak kita…kita tidak pandai mencorak akhlak …peribadi kita sendiri… Sayang, seni dalam kehidupan kita, kita tidak mampu ukir, kita tidak mampu lukis yang terbaik..

Sekali lagi nasihat saya, jangan nilai sesuatu perkara dengan akal kita sahaja sebaliknya nilailah ia dengan hati kita. Insya Allah, Dia akan buka hijab kita untuk memahami perkara yang tersirat disebalik yang tersurat.

Seterusnya saya akan ceritakan sedikit kisah tentang renda diri seorang ulama. Saya ambil contoh Yusuf al-Qardhawi. Seandainya kita ingin baca buku, kitab dan sebagainya, jangan lupa baca muqaddimahnya atau kata pengantar pengarang tersebut. Anda akan mendapati satu kitab yang hebat yang dirujuk oleh begitu ramai ummat manusia, tetapi dipersembahkan oleh pengarang tersebut dengan penuh rasa rendah diri dan keinsafan.

Sebagai contoh, saya petik daripada Kitab Fiqh Aulawiyyah karangan Yusuf al-Qardhawi. ‘Saya tidak mendakwa bahawa kajian ini telah sempurna dan lengkap, tetapi ianya hanyalah merupakan suatu usaha awal dan permulaan sebagai pembuka jalan bagi mereka yang lain untuk melakukan kajian-kajian yang serupa…”

Bahkan saya cukup tersentuh dengan tulisannya apabila ulama besar ini mengakhirinya dengan sepotong ayat al-Quran yang dirakam daripada ucapan Nabi Syuaib A.S sepertimana saya tulisnya dalam blog saya di bahagian atas sebelah kanan blog…supaya saya selalu mengingatinya dan begitu juga saya mengharapkan anda semua turut mengingatinya.

Maksudnya, “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku, dan tidaklah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadanya jualah aku kembali.” Surah Hud, ayat 88.

Yusuf al-Qardhawi juga belajar cara merendah diri daripada seorang nabi, Nabi Allah Syuib A.S. Jadi belajar-belajarlah cara ulama dan nabi merendah diri. Wallahu’alam.

Saturday, May 2, 2009

Hanya Insan Biasa

Hati saya agak tersentuh dengan feedback seorang insan…entahlah saya tidak mengenalinya siapa. Kenal atau tidak, itu bukan persoalannya. Marah sangat nampaknya bila saya menggunakan ‘hanya pandangan dari insan dhaif’ lebih kurang macam tulah perkataan yang saya gunakan selepas saya utarakan pandangan saya tentang insan yang mengenepikan pandangan fatwa.

Katanya ‘…cukuplah kita seorang je yang tahu… tak payah tulis perkataan dhaif tu’. Saya balas kembali ‘itu cara saya untuk merendah diri…siapalah saya untuk memberi pandangan’. Tetapi perkara tersebut terus berlarutan. Penjelasan saya sukar sekali diterima olehnya. ‘..bukan begitu cara merendah diri …muak dengan perkataan tersebut… apa yang ditulis dalam blog tidak serupa dengan reality penulis blog’ begitulah antara jawapan yang saya terima…

Saya tidak salahkannya. Memang penjelasan saya tidak jelas…maklum sajalah, pandangan tersebut ditulis dalam shut box… jadi berapa patah perkataan sangatlah yang saya boleh jelaskan. Akhirnya saya mengambil sikap mendiamkan diri. Bukan tiada hujah, bukan sebab tiada fakta…tetapi pesan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, perkara yang melibatkan khilaf (perselisihan pendapat) ..tidak perlu diperdebatkan.

Bagi saya perkara tersebut bukan khilaf. Setahu saya khilaf adalah perkara yang melibatkan hukum fiqh. Betulkan pemahaman saya sekiranya saya salah. Entahlah, saya bukannya arif tentang itu semua. Tetapi bagi saya pesan As-Syahid bukan sekadar itu sahaja. Ia mengandungi makna yang mendalam. Perkara yang sedang dipertahankan oleh saya dengan penulis tadi adalah tentang perkara yang tidak membawa faedah…langsung tidak membawa faedah. Jadi untuk apa saya tegakkanya.

Malah yang paling membimbangkan sebenarnya saya adalah berada dalam golongan orang munafik. Hadith Rasulullah S.A.W ada bersabda, tiga ciri orang munafik ialah bila dia bercakap dia berdusta, bila dia berjanji dia mungkiri, dan bila diberi amanah dia khianati. Tetapi harus kita ingat ada satu lagi hadis sahih yang menambah lagi satu ciri iaitu bila dia bertengkar, berdebat dan seumpama dengannya dia melampaui batas…oleh itu hati-hatilah..

Saya menulis untuk ingatan diri saya…ingatan tersebut saya taip dan postkan dalam blog supaya ingatan tersebut boleh dikongsi bersama…bukan untuk diri saya sahaja. Macam Dr Jasni cakap ‘..tak best masuk syurga sorang-sorang…sunyi’. Macam sirah Nabi Adam a.s sewaktu di syurga sebelum dijadikan Hawa.. sunyi…walaupun tinggal dalam syurga.

Berbalik semula kepada perkataan dhaif yang saya nukilkan dalam shut box. Bagi saya seandainya kita tidak setuju dengan luahan hati seseorang…sama ada dia ingin katakana dia dhaif ke…pandangan insan yang hina ke.. ikhlas dari hati saya ke… dan banyak lagi perkataan, itu hak dia untuk mengatakan begitu.

Kita renung sama-sama kisah ini. Suatu ketika dalam sebuah peperangan, seorang sahabat nabi ketika mengangkat pedang ingin membunuh musuh Islam tiba-tiba musuh tersebut mengucap dua kalimah syahadah. Tetapi sahabat tersebut merasakan musuh tersebut mengucap kerana takut dibunuh. Lalu dibunuhnya musuh tersebut. Apabila selesai peperangan dan Rasulullah mendapat tahu kisah tersebut, Rasulullah S.A.W sangat marah lalu berkata kepada sahabat tadi “Adakah engkau belah dadanya dan mengetahui isi hatinya”. Begitulah lebih kurang kisahnya.

Berpandukan kepada sirah tersebut, apabila melibatkan hati atau niat seseorang…nasihat saya serahkan sahaja kepada Allah S.W.T dan cuba berhusnuzan dengan sesiapa sahaja. Jika tidak hati kita akan selalu menyalahkan orang lain bila pendapatnya dengan kita berbeza. Carilah titik persamaan, jangan cari titik perbezaan.

Tentang sifat rendah diri, nanti di post akan datang, saya akan cuba bawa kisah Rasulullah dan para ulama. Kita lihat dan pelajari daripada mereka..bagaimana mereka merendah diri. Insya Allah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...