Wednesday, December 29, 2010

المراة الصالحة خير من الدنيا وما فيها


عن عبد الله بن عمرو أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال الدنيا متاع وخير متاع الدنيا المرأة الصالحة
Maksudnya;
Daripada Abdullah bin Amr sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda dunia ini penuh dengan kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan terbaik di dunia ini adalah wanita solehah.
Hadis riwayat Muslim.

Zaman yang cukup mencabar kini bukan suatu perkara yang mudah untuk kaum wanita menjadi solehah. Lahirnya laman-laman web, blog, facebook dan sebagainya lebih menyukarkan lagi untuk seorang wanita muslim itu menjadi wanita solehah.

Satu ketika dahulu saya pernah menulis secara ringkas berkenaan hal yang saya maksudkan ini. Walaupun ia hanyalah cerita tetapi ada perkara yang tersirat telah cuba disampaikan pada kesimpulan entry tersebut.

Kaum wanita menakluki sebanyak 2/3 daripada jumlah keseluruhan akaun Facebook seluruh dunia

Facebook, blog dan sebagainya merupakan satu medium yang terbaik untuk berdakwah. Namun, ia juga mampu menjadi medium yang paling jelek terutamanya kepada kaum wanita sekiranya ia digunakan untuk berseronok-seronok. Berseronok menggunakan medium tersebut adalah tidak salah. Tetapi seronok yang saya maksudkan di sini adalah menggunakan medium tersebut di luar batasan syariat.

Gambar-gambar yang dipertontonkan, untuk apa sebenarnya?
Komen atau status yang tidak berfaedah ditulis sedemikian rupa, kerana apa?
Video yang tidak mematangkan akal fikiran seorang muslim, kenapa?

Statistik pengguna facebook di seluruh dunia

Jika dilihat dari perspektif non-muslim yang cuba untuk memerangi Islam, terbukti bahawa mereka telah cemerlang menawan musuh di medan tempur. Orang muslim sendiri dengan rela hati ditawan oleh non-muslim. Kita jauh dari sifat dan ciri-ciri yang seharusnya dimiliki oleh orang muslim.

Buktinya, cuba anda tonton video-video dalam Youtube. Taip mana-mana nama sekolah agama yang ada di seluruh Malaysia. Anda pasti akan terkejut kerana banyak video yang di'upload' ke dalamnya adalah video yang mengambarkan kecelaruan identiti pelajar remaja yang mendapat pendidikan agama.

Saya tidak menyatakan bahawa ia adalah 100% benar sebagaimana paparan yang terdapat dalam youtube tersebut. Tetapi apabila perkara yang buruk atau mengaibkan yang dipaparkan, maka itulah kesan yang perlu kita terima. Sebab itu, perkara yang mengaibkan sama ada terjadi kepada individu di sekeliling kita atau diri kita sendiri tidak boleh sama sekali diceritakan kepada orang lain. Menutup aib itu adalah tanggungjawab dan amanah berat yang kita pikul. Ia juga merupakan rahmat Allah buat hamba-Nya kerana menutup keaiban kita. Tetapi bila kita membukanya, alangkah malangnya kita*.

Statistik pengguna facebook di Asia

Berkenaan dengan wanita solehah tadi, kecantikan yang dimiliki bukan untuk dipamerkan. Wanita bukan barang perhiasan, bukan juga barang dagangan. Jadi hati-hatilah dengan gambar yang diupload oleh kita, sama ada gambar kita sendiri ataupun wanita lain. Ia merupakan maruah seorang wanita. Cantik itu anugerah. Bila ada anugerah ia akan disusuli dengan amanah.

Mungkin ada juga yang bakal bertanya, 'takkan gambar pun tak boleh nak upload?' Ust Zul, salah seorang tenaga pengajar sewaktu pengajian hari Selasa di ISDEV pernah berkata lebih kerang begini apabila menceritakan tentang fitnah dari seorang wanita "Syahwat lelaki ini tidak boleh kita duga. Ada lelaki syahwatnya boleh terangsang hanya dengan melihat tudung yang dipakai sahaja". Berdasarkan keterangan Ust Zul tadi, ia baru kerana sehelai tudung. Bagaimana pula dengan gambar yang terang dan jelas mengambarkan wajah anda?

Pengguna facebook di Malaysia

Ada juga yang memberi alasan 'nanti orang tak kenal'. Antara manusia kenal dengan Allah kenal, biarlah Allah yang lebih kenal. Kenapa harus kita menjadi terkenal dalam kalangan manusia sedangkan Allah dan penduduk langit tidak mengenali diri kita.

Cukuplah sekadar itu dahulu. Prinsip saya mudah. Saya tidak mahu glamor di dunia kerana fitnahnya merata-rata. Tetapi saya mahu glamor di akhirat kerana Allah telah janjikan bahagia. Semoga Allah permudahkan jalan kita semua menuju redha-Nya kerana المراة الصالحة خير من الدنيا وما فيها (Wanita solehah adalah lebih baik dari dunia dan seisinya). Ameen.

* Hadis 1 :
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Sesiapa yang merungkaikan dari seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia niscaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya Allah akan memudahkannya di dunia dan nanti di akhirat. Siapa yang menutup aib seorang muslim niscaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya….” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Hadis 2 :
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Wahai sekalian orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum masuk ke dalam hati-hatinya. Janganlah kalian mengumpat kaum muslimin dan jangan mencari-cari keaiban-keaiban mereka. Kerana orang yang suka mencari-cari keaiban kaum muslimin, Allah akan mencari-cari keaibannya. Dan siapa yang dicari-cari keaibannya oleh Allah, nescaya Allah akan membongkarnya di dalam rumahnya (walaupun ia tersembunyi dari manusia).” (Riwayat ImamAhmad dan Abu Dawud )

Rujukan Gambar Rajah;
http://malaysiacrunch.blogspot.com/2009/05/has-facebook-beaten-friendster-in.html
http://techcrunch.com/2007/11/21/facebook-is-almost-23-women-and-other-stats/
http://blog.concentricsky.com/2009/04/facebook-passes-200m-users/

Di Persimpangan 'Mahu' dan 'Tahu'


Setiap individu ada peralihan hidupnya sendiri atau lebih mudah ia selalunya dikaitkan dengan perkataan 'hijrah'. Berhijrah dari keburukan kepada kebaikan, dari jahil kepada alim, dari hina kepada mulia, dari huru-hara kepada aman dan sebagainya. Bagi saya ia merupakan proses unruk mematangkan diri.

Proses kematangan diri sebenarnya berlaku hampir setiap ketika dalam diri manusia. Proses ini juga boleh dikaitkan dengan mengenal Rabb Yang Maha Esa. Sabda Rasulullah s.a.w من عرف نفسه فقد عرف ربه "Sesiapa yang mengenai dirinya, maka dia akan mengenali Tuhannya". Walaupun bagi seorang ulama besar, mufti dan sebagainya. Mereka masih tergolong dalam golongan mengenal Rabb. Ia tidak akan pernah berhenti. Sehinggakan seorang ulama pernah menyatakan 'semakin aku belajar, semakin banyak yang aku tahu yang aku tidak tahu'. Belajar juga adalah proses untuk mengenal Rabb.

Antara 'mahu' dengan 'tahu', kedua-duanya perlu sebagai batu loncatan untuk maju kehadapan. 'Mahu' dan 'tahu' perlu digandingkan kerana antara keduanya 'amal' itu lebih utama. 'Mahu' hanya sebuah keinginan. 'Tahu' pula merupakan ilmu yang ada pada akal. Jadi keinginan yang ada untuk melakukan sesuatu perkara tidak akan bermanfaat walaupun seseorang itu memiliki ilmu tentangnya. Amal pula akan menjadi sekadar ikut-ikutan andai ilmu tidak berganding dengan amal.

Antara 'mahu', 'tahu', 'amal' dan 'ilmu' terdapat satu perkara yang lebih besar lagi iaitu takwa. Besarnya perkara tersebut sehingga sebahagian ulama telah menjelaskan bahawa seandainya ilmu tanpa takwa itu menjadi ukuran sebuah kemuliaan, sudah tentu makhluk yang paling mulia di sisi Allah s.w.t adalah Iblis.

Saiydina Umar al-Khattab juga pernah menjelaskan bahawa 'perkara yang sangat aku bimbangi berlaku pada umat ini adalah akan lahirnya seorang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati'. Banyak sekali orang yang sebegini. Alim pada lisan tetapi sayang sekali, jahil pada hatinya. Sifat yang suka bercakap atau sebenarnya lebih bertujuan untuk menonjolkan dirinya untuk menyatakan kepada orang ramai bahawa 'Aku tahu. Aku lebih alim dari kamu'.

Keadaan sebegini sebenarnya boleh dirasai oleh si pendengar kerana roh tidak ikut serta dalam pertuturannya. Roh ini sebenarnya penting kerana ia memberi jiwa yang akan jatuh dalam hati si pendengar. Niat dan keikhlasan dalam menyampaikan ilmu juga penting untuk menghadirkan roh tersebut. Oleh itu, berhati-hatilah. Jangan sesekali tertipu dengan mainan syaitan.

Tuesday, December 28, 2010

Syair Imam al-Syafie

Saudaraku, ilmu itu tidak akan dapat diperolehi melainkan dengan enam perkara Akan aku terangkan dengan penjelasan yang jelas kecerdikan, kesungguhan, ketekunan, kecekalan, bersama dengan guru dan masa yang panjang.
(terjemahan masih belum tepat).

Alhamdulillah, sehari suntuk saya berpeluang untuk mendengar syarahan atau perkongsian dari Dr. Afifi al-Hakiti. Berdasarkan sebuah syair Imam as-Syafie beliau menerangkan kepada hadirin berkenaan sikap atau sifat yang seharusnya kita miliki sebagai seorang penuntut ilmu. Syair yang saya maksudkan adalah bukan sebagaimana yang tertulis dalam gambar di atas. Namun ada sedikit persamaan. Menurut Dr. Afifi, ada pelbagai riwayat atau versi syair yang diungkapkan tersebut. Entry ini akan menjelaskan syair sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr. Afifi, tidak sebagaimana syair yang diungkapkan seperti dalam gambar tersebut.

Akal yang sejahtera (aqlu salim)
Menurut Dr. Afifi, akal merupakan kurniaan Allah s.w.t kepada manusia untuk mengenali-Nya. Oleh sebab itu, haram hukumnya untuk seseorang itu merosakkan akal yang dikurniakan kepadanya. Contohnya dengan mengambil syabu, dadah, arak dan sebagainya. Ia membuatkan akal menjadi tidak waras sedangkan akal itu sebenarnya adalah umpama satelit untuk mengenal Allah.

Semangat / Kesungguhan
Semangat atau kesungguhan untuk memperoleh ilmu ini perlu disertai dengan niat yang betul dan ikhlas dalam melakukannya. Sebagai penuntut ilmu, kita perlu ingat bahawa semakin banyak kita tahu, semakin besar tanggungjawab yang perlu kita pikul.

Miskin (Iftikarun = miskin dengan ilmu)
Sifat sebegini akan melahirkan jiwa yang sentiasa berkehendak kepada ilmu. Sebagai seorang penuntut, sifat mengikut resmi padi perlu ada dalam diri. Semakin berisi, semakin tunduk menyembah bumi. Sebagaimana para ulama selalu menjelaskan 'semakin aku tahu, semakin banyak aku tahu perkara yang tidak aku tahu'. Walau bagaimanapun, Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah menjelaskan bahawa mengikut resmi pada tidak bermakna sebagai seorang yang berilmu kita tidak bercakap atau tidak ke hadapan kerana jika 'padi' tidak ke hadapan, 'lalang' akan ambil tempat 'padi'*.

Ghurbatun (negara asing)

Sebagai penuntut kita seharusnya tidak menjadi sebagaimana katak di bawah tempurung. Perlu keluar melihat negara orang. Merantau dan sebagainya. Memang benar. Berada di negara sendiri atau persekitaran sendiri akan membuatkan pemikiran kita menjadi sempat. Sebaliknya jika kita merantau melihat negara orang, kita akan belajar sesuatu yang baru tentang kehidupan dan secara tidak langsung ia memberi pengalaman baru kepada kita. Pengalaman juga adalah sebahagian daripada ilmu.

Taklimul Ustaz (Belajar dengan guru)

Sehebat manapun kita, kita perlu mencari guru untuk kita mempelajari sesuatu ilmu.

Tuluz Zaman (Masa yang panjang)
Masa yang panjang bermaksud kesihatan yang baik. Menurut Dr. Afifi, kesihatan perlu dipelihara dengan baik melalui pemakanan dan sebagainya.


*Niza kata dah lama 'lalang' ambil tempat 'padi'.
Memang betul pun kan? So janganlah biarkan 'lalang' terus menerus ambil tempat 'padi'.

Tuesday, December 21, 2010

Haram Halal


Perkara yang haram tetap haram. Perkara yang halal tetap halal. Walaupun dalam keadaan kita sedang memotivasikan manusia untuk berubah daripada buruk kepada baik.

Menurut Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, halal dan haram seharusnya tidak hanya dinilai hanya melalui sudut zahirnya sahaja. Tetapi ia perlu dikaitkan dengan ubiduyyah kita kepada Allah s.w.t. Dengan perkataan yang lebih mudah halal dan haram bukan sekadar hukum atau undang-undang yang ditaklifkan ke atas kita tetapi juga ia merupakan ukuran keimanan yang ada dalam diri kita.

Wednesday, December 15, 2010

Hadis: Perkara Yang Perlu Kita Ingat


عن أبي أمامة قال: قال رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم: " أنا زعيمٌ ببيتٍ في ربض الجنة لمن ترك المراء وإن كان محقّاً، وببيتٍ في وسط الجنة، لمن ترك الكذب وإن كان مازحاً، وببيتٍ في أعلى الجنة لمن حسَّن خلقه


Daripada Abi Umamah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Saya menjadi penjamin terhadap rumah di pinggir syurga kepada orang meninggalkan perbalahan walaupun dia yang betul, terhadap rumah di tengah-tengah syurga bagi sesiapa yang meninggalkan berdusta walaupun dalam bergurau senda dan terhadap rumah di bahagian atas syurga bagi sesiapa yang memperelokkan pekertinya. (Abu Daud, no: 4800)

Daripada Abi Umamah al-Bahili t, ia berkata bahawa nabi r telah bersabda:”Aku adalah ketua rumah di sekeliling Syurga, bagi sesiapa yang meninggalkan perdebatan dan perbalahan sekalipun ia berhak, aku adalah ketua rumah di tengah-tengah Syurga bagi sesiapa yang meninggalkan percakapan dusta sekalipun bergurau dan aku adalah ketua rumah di atas Syurga bagi sesiapa yang baik akhlaknya”. (Riwayat Abu Daud dan sanadnya sahih)

Dua hadis hampir sama dan membawa maksud yang juga hampir sama. Tetapi malangnya kita yang seharusnya mengamalkannya selalu meninggalkan ketiga-tiga perkara tersebut.

Pertama, semasa kita berbalah atau berdebat kita selalu ingin menang. Alangkah baiknya sekiranya kita mengundurkan diri sahaja daripada medan perbalahan tersebut. Biarkan sahaja mereka merasa menang dan puas hati dengan perbalahan tersebut. Kerana disisi Allah, kita yang menang bukan dia.

Kedua, kita selalu menyatakan suatu perkara yang tidak benar, berdusta, berbohong ataupun menipu. Ketahuilah alangkah jeleknya kita yang suka mereka-reka cerita atas suatu perkara yang tidak benar walaupun ia sebenarnya bertujuan mungkin untuk menyeronokkan si pendengar mendengar cerita kita.

Ketiga, asahlah akhlak kita dengan sebaik-baiknya. Akhlak bukan sekadaryang dapat dilihat oleh manusia sekeliling kita tetapi akhlak kita terhadap diri kita sendiri kerana kebanyakan daripada begitu sukar sekali untuk berlaku jujur dengan diri sendiri.

Monday, December 13, 2010

Syukur Di Saat Derita

Walaupun syukur merupakan tanda terima kasih seorang hamba kepada Rabb-Nya atas pemberian anugerah mahupun nikmat tetapi adalah tidak salah sama sekali andai kata syukur juga dizahirkan oleh kita sama ada dalam perbuatan, perkataan mahupun hati kita.

Pelik, jangal dan sebagainya andai kata syukur itu disandarkan kepada derita, sensara atau perkataan yang seangkatan dengannya. Tetapi jika kita singkat sejarah a`bid (ahli ibadah), ahli sufi, para sahabat nabi, tabit atau tabit tabiin, mereka di saat derita mahupun di saat Allah kurniakan nikmat, mereka tetap merasa syukur dengan setiap yang Allah kurniakan ke atas mereka.

Oleh itu, bersyukurlah walaupun pada saat itu kita dirundung kesedihan. Percayalah setiap kurnian Allah sama ada derita mahupun nikmat ia adalah yang terbaik untuk kita. Walaupun pada pemikiran manusia biasa seperti kita derita itu adalah musibah yang sudah tentu bukan untuk disyukuri tetapi adalah untuk disesali dan diratapi.

Sebagaimana firman Allah s.w.t;

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".

Thursday, December 9, 2010

Muslim Study vs Islamic Study


Muslim Study boleh jadi merupakan seorang doktor, seorang peguam, seorang pensyarah, seorang arkitek atau masyarakat awam yang tidak belajar secara mendalam mengenai bidang-bidang yang terdapat dalam bidang pengajian Islam tulen. Tetapi mereka ini berusaha sungguh-sungguh untuk memahami perkara berkaitan pengajian Islam tulen tersebut kemudian menulis, mengkaji dan sebagainya dengan mengaitkannya dengan bidang yang menjadi kepakaran mereka yang sudah tentu kepakaran tersebut bukan daripada bidang pengajian Islam tulen.

Kelemahan yang amat ketara bagi majority Muslim Study adalah kelemahan berbahasa Arab. Keadaan ini membuatkan mereka terpaksa menggunakan kitab-kitab terjemahan untuk merujuk kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama terdahulu.

Keadaan tersebut membuatkan ramai mereka yang berada dalam aliran pengajian Islam (Islamic Study) cukup tidak berpuas hati apabila rujukan yang digunakanoleh Muslim Study menggunakan kitab terjemahan. Mereka yang berada dalam bidang Islamic Study sentiasa menuntut mereka yang diluar bidang tersebut merujuk kepada kitab yang dikatakan muktabar atau rujukan asal kitab tersebut yang biasanya ditulis dalam Bahasa Arab apabila menulis perkara yang berkaitan dengan bidang pengajian Islam. Mereka berpendapat kitab terjemahan tidak mampu menyampaikan maksud sebenar penulis asal. Keadaan ini menurut mereka lagi membuatkan perkara yang diketengahkan oleh Muslim Study tidak sampai kepada maksud yang sebenar sebagaimana yang ditulis oleh penulis asal. Memang ada kebenarannya.

Kelemahan mereka yang berada dalam Islamic Study pula, mereka tidak mampu menghubungkan perkara-perkara yang bersifat semasa dengan perkara yang mereka pelajari. Keadaan ini berlaku kerana Islamic Study kebanyakannya dipelajari hanya berkisahkan ilmu fardu ain yang terdiri daripada feqah, aqidah dan tasawuf. Ilmu yang bersifat semasa yang lebih berbentuk fardu kifayah tidak dipelajari oleh mereka misalnya ilmu perubatan, perbankan, astronomi, bioteknologi dan lain-lain. Keadaan ini membuatkan hukum feqah misalnya tidak mampu berkembang seiring dengan tuntutan semasa. Keadaan sebegini akhirnya membuatkan perkembangan ilmu pengetahuan menjadi sempit dan kejumudan berlaku dalam pemikiran umat Islam kerana tidak berlakunya tajdid dalam ilmu pengetahuan.

Hakikatnya semua kita boleh menjadi Muslim Study tetapi tidak ramai daripada kita boleh menjadi Islamic Study. Apapun bagi saya tajdid perlu sentiasa berlaku. Jika tidak akan berlaku kejumudan dalam kehidupan masyarakat muslim pada ketika itu. Sama ada Muslim Study ataupun Islamic Study, janganlah jadikan kelemahan masing-masing lebih manjadi titik perbincangan berbanding memikirkan penyelesaian masalah umat pada hari ini.

Carilah titik pertemuan ataupun titik persamaan. Jangan dicari titik perbezaan kerana Rasulullah s.a.w pernah berpesan yang bermaksud “Sesungguhnya seorang muslim itu berada di atas kubu daripada kubu-kubu Islam, maka jangan sekali-kali dicerobohi dari tempatnya”. Jadi pertahankanlah Islam itu melalui kepakaran ataupun bidang masing-masing.

Tuesday, November 23, 2010

Disebalik Anugerah, Ada Amanah Bersamanya

Setiap anugerah atau nikmat yang Allah kurniakan kepada kita pasti akan ada amanah atau tanggungjawab yang perlu dipikul bersama. Anugerah atau nikmat akan hadir dengan pakejnya iaitu amanah atau tanggungjawab. Jadi hati-hatilah dengan setiap anugerah atau nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.

Andai kita dianugerahkan dengan kebijaksanaan, ilmu yang dikatakan membuatkan kita bijak itu menjadi amanah untuk kita mengamalkannya. Andai kita pandai menulis, kepandaian menulis itu mungkin menjadi satu amanah besar untuk kita menyampaikan dakwah melalui penulisan. Andai kita dikurniakan suara yang sedap jangan sesekali disalahgunakannya. Begitu juga andai kita memiliki rupa paras yang cantik, ia bukanlah untuk diperagakan sehingga terpesong dari syariat yang Allah s.w.t telah tetapkan.


Bagi saya begitu juga dengan teknologi yang ada di sekeliling kita. Telefon bimbit, SMS, Yahoo Messenger, Facebook, blog, laman web dan sebagainya, semuanya anugerah dan nikmat buat kita. Tetapi hati-hatilah sewaktu menggunakannya. Bagi yang bijak, anugerah dan nikmat tersebut akan mendekatkan kita lagi kepada-Nya. Tetapi bagi yang menggunakannya hanya sekadar untuk berseronok-seronok, tanpa ada tujuan yang jelas sewaktu menggunakannya, kita sebenarnya terperangkan dengan nafsu kita sendiri dan akhirnya perkara tersebut akan membuatkan kita semakin jauh dengan-Nya. Sepatutnya dengan anugerah tersebut kita peroleh pahala, rahmat disisi-Nya.. tetapi sebaliknya pula yang kita peroleh... dosa dan kemurkaan-Nya.

Jadi hati-hatilah. Gunakan ia sebaik mungkin. Semoga kita dijauhi dengan segala tipu daya syaitan yang sedaya upaya cuba untuk menampakkan segala yang dimurkai Allah itu suatu keseronokkan buat diri kita. Bagi yang merasakan dirinya adalah daie' (pendakwah, hakikatnya kita semua adalah pendakwah), jangan sekali-kali kita tertipu dengan dakwah yang sedang kita lakukan. Kerana dibimbangi dakwah yang sedang kita lakukan itu disulami dengan maksiat kepada-Nya. Semoga Allah menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang dimurkai-Nya. Ameen.

Wednesday, November 10, 2010

Ibrah Dari Seberang

Filem, drama dan sebagainya dalam sesebuah masyarakat sebenarnya secara tidak langsung mengambarkan mentaliti masyarakat tersebut. Jika diteliti filem-filem dan drama-drama Indonesia unsur mistik dan tahyul masih wujud. Malaysia juga begitu. Jadi adalah tidak menghairankan sekiranya di sebalik letusan Gunung Merapi di Indonesia baru-baru ini, unsur-unsur tahyul turut dikaitkan dengan peristiwa letusan tersebut. Pada hari yang sama berlaku kejadian tsunami juga di Indonesia.


Peringatan yang Allah hantar buat hamba-Nya yang berupa air (tsunami), debu halus (letusan Gunung Merapi). Objek yang lembut buat hamba-Nya. Allah s.w.t tidak hantar Burung Ababil sebagaimana peristiwa Abrahah (Surah al-Fiil, ayat 3 - 4), batu-batu daripada tanah yang dibakar dan diterbalikkan bumi dari atas ke bawah sebagaimana peristiwa Kaum Nabi Luth a.s (Surah Hud, ayat 82), suara yang keras sebagaimana kaum Tsamud yakni kaum Nabi Salleh (Surah Hud, ayat 67). Semoga ia menjadi pedoman buat kita yang masih hidup dan syahid buat mereka yang telah pergi.



Baca juga ibrah dari;
Laman Website Dr. Hasanah

Baca juga tentang langkah keselamatan ketika berlaku gempa bumi;
Dr. Faisal Tehrani

Gambar selebihnya;
Boston.com

Islam Jadi Sempit Dek Pemikiran Penganutnya Yang Sempit

Satu pameran seni di Sepanyol. Berani sungguh mereka mempermainkan aqidah kita.

Pulang dari ISDEV, akbar Metro yang terletak di atas katil rakan sebilik terus saya sambar. Helaian demi helaian saya semak dan cuba say a baca sepintas lalu. Isu yang dibincangkan hampir sama. Tiada yang baru. Tetapi suatu hal yang menarik adalah mengenai temuramah bersama Pang Chinn Fei, seorang pembaca berita TV3. Mungkin bagi mereka yang membacanya tidak ada isu penting di sebalik temuramah tersebut.

Tetapi bagi saya ada satu isu yang membuatkan saya tertarik untuk mengulasnya. Isu yang saya maksudkan adalah isu Fei ditegur oleh seorang penulis blog yang mengatakan Fei tidak boleh mambaca terjemahan al-Quran kerana dia bukan beragama Islam. Fei menceritakan dalam temuramahnya bahawa dia pernah membaca maksud sepotong ayat al-Quran semasa memlaporkan berita ditempat kejadian. Kemudian dia mendapat teguran yang saya maksudkan tadi. Keadaan ini membuatakan Fei berkata di masa akan datang dia kan lebih berhati-hati supaya tidak melibatkan sensetiviti masyarakat berbinang kaum yang terdapat di Malaysia. Suatu ketika dahulu juga pernah berlaku apabila seorang ADUN berbangsa Cina membaca ayat al-Quran semasa memberi ceramahnya. Beliau turut sama dikritik kerana perbuatannya itu.

Aneh dan pelik. Kenapa isu sebegini dijadikan isu hangat dan dipandang negative sedangkan isu kemurtadan umat Islam langsung tidak dipandang walaupun sebelah mata oleh masyarakat Islam kita walaupun yang berada di tampuk sesebuah pimpinan mahupun mereka yang sedang dipimpin. Walaupun tidak semua mengkritik perbuatan sedemikian rupa, tetapi perkara yang diperbesarkan oleh akhbar, berita, blog dan sebagainya adalah lebih kepada kritikan berbanding sokongan.


“Salah ke mereka membaca al-Quran?” Pelik sungguh saya. Al-Quran bukan mutlak orang Islam tetapi ia adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah untuk menjelaskan kebenaran tentang Islam, tentang kewujudan dan keesaan Allah serta kebenaran risalah yang Rasulullah s.a.w bawa. Kalau tidak mengapa ayat al-Quran ada perkataan يأيها الناس (Wahai sekalian manusia) yang membawa maksud ayat tersebut ditujukan kepada sekalian manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam, ada juga perkataan يأيها المؤمنون (wahai orang-orang mukmin) yang ditujukan khas untuk orang Islam. Bahkan ada juga perkataan يأيها الكفرون (wahai orang-orang kafir) yang ditujukan khas untung orang-orang yang kafir atau bukan Islam. Banyak lagi hujah lain yang membolehkan orang bukan Islam membaca al-Quran. Contohnya peristiwa bagaimana Saidina Umar al-Khattab masuk Islam. Tetapi cukuplah sekadar itu dahulu.

Kita perlu ingat. Mereka tidak hina al-Quran sebaliknya menjadikan al-Quran sebagai hujah. Ini bermakna mereka percaya kepada kebenaran al-Quran. Kalaupun ada agenda tersembunyi “Sudahkah engkau belah dadanya sehingga engkau mengetahui bahwa dia memang berdusta ?”. Saya tinggalkan maksud sepotong hadis tersebut untuk difikirkan. Ia disabdakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah perang. Apabila seorang sahabat ingin membunuh seorang musuh tiba-tiba musuh tersebut mengucapkan syahada. Tetapi sahabat Nabi tersebut tetap membunuhnya dengan alasan musuh tersebut berbuat demikian kerana takut dan berdusta sahaja. Peristiwa tersebut diceritakan kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w sangat marah sehingga ucapan tersebut keluar dari mulut baginda yang mulia.

Berdasarkan pengetahuan saya, saya dapati trend seorang yang bukan Islam memeluk agama Islam rata-ratanya bukanlah disebabkan melihat akhlak atau tingkah laku orang Islam. Trend ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Kebanyakan muallaf memeluk agama Islam bermula daripada membaca terjemahan al-Quran sama ada melalui kajian mereka, pembacaan secara tidak sengaja dan pelbagai cara lain yang kita tidak sangka. Lihat sahaja Peristiwa 11 September, selepas kejadian tersebut al-Quran di Amerika Syarikat dikatakan habis terjual kerana ramai orang bukan Islam ingin mengetahui apakah itu Islam melalui pembacaan al-Quran. Selepas peristiwa tersebut, akhbar , berita dan sebagainya menyebarkan perkara-perkara yang buruk mengenai Islam. Anehnya perbuatan tersebut membuatkan penduduk di sana ingin mengetahui secara lebih mendalam berkenaan Islam. Bermula dari peristiwa tersebutlah statistik penganut Islam di sana semakin bertambah. Saya pernah terbaca di sebuah masjid di Eropah, hampir setiap minggu akan ada majlis khas untuk mereka mengistiharkan mereka yang memeluk agama Islam selepas selesai Solat Jumaat.

Pengetahuan tentang Islam kebanyakannya diketahui melalui al-Quran. Sepanjang hidup kita, berapa ramai orang bukan Islam datang kepada kita bertanyakan tentang Islam?Agak-agak kenapa mereka cari al-Quran bukan orang Islam? Kesilapan kita sendirilah yang membuatkan mereka tidak cari kita, mereka tidak percayakan kita. Sikap kita tidak sebagaimana orang Islam yang sepatutnya. Jadi janganlah marah bila orang baca al-Quran. Umat Islam sendiri pun belum tentu baca al-Quran. Yang membaca belum tentu istiqamah membacanya.

Di Eropah, al-Quran bukan satu larangan untuk sesiapa ingin membacanya. Tetapi peliknya di Malaysia, orang bukan Islam dilarang untuk membacanya. Kes sebegini bagi saya sama dengan kes larangan orang bukan Islam memasuki masjid atas alasan untuk memelihara kesucian masjid. Bagi saya pemikiran sebegini adalah pemikiran orang Islam yang sempit. Pemikiran yang sempit sebeginilah membuatkan Islam di Malaysia dirasakan sempit untuk dilaksanakan kerana umat Islam sendiri yang berhujah ia adalah isu sensitive . Islam dikatakan adalah hak orang Islam bukan hak semua. Berbeza sekali di Eropah. Pemikiran orang Islamnya agak terbuka membuatkan Islam mudah diterima di sana berbanding kita. Malangnya kita (Lebih tepat lagi kalau ayat ni saya tukar kepada "Bodohnya kita").

Monday, November 8, 2010

Brain Juice

Doctors have concluded that if you find the man in the coffee beans in 3 seconds, the right half of your brain is better developed than most people.? If you find the man between in 3 seconds and 1 minute, the right half of the brain is developed normally.? If you find the man between 1 minute and 3 minutes, then the right half of your brain is functioning slowly and you need to eat more protein.? If you have not found the man after 3 minutes, the advice is to look for more of this type of exercise to make that part of the brain stronger!!! And, yes, the man is really there!!!

Terjemahan :

Doktor membuat kesimpulan bahawa, jika anda jumpa lelaki dalam gambar biji kopi di atas dalam masa 3 saat : bahagian otak kanan anda berfungsi lebih baik dari kebanyakan orang, dari 3 saat ~ 1minit : Fungsi bahagian otak kanan anda adalah normal, dari 1 ~ 3 minit : Otak kanan anda berfungsi perlahan dan anda perlu makan lebih protein, melebihi 3 minit : Anda dinasihatkan mencari latihan seumpama ini utk menguatkan lagi otak anda!!! Betul..! Memang ada lelaki dalam gambar ni!

* * * * * * * * *

Bagaimana? Jumpa?

Ada beberapa cadangan yang ingin saya kemukakan untuk tujuan tersebut. Pertama, banyakkan menghafal al-Quran dan tahajjud di sebelah malam. Kedua, ada satu game yang bagi saya ia mampu melatih otak kanan dan kiri kita iaitu 'Brain Juice'. Selamat mencuba...

Monday, November 1, 2010

Natrah: Cinta, Rusuhan & Air Mata

Antara babak Natrah (yang dilakonkan oleh Maya Karin) dan Che Aminah Mohamad (yang dilakonkan oleh Umi Aida) dalam pementasan teater Natrah sebelum ini.

Suatu ketika dahulu saya pernah menulis tentang hal yang sama mengenai Natrah. Teaternya juga bakal dipentaskan untuk kali kedua oleh pengarahnya yang sama iaitu Erma Fatimah yang sebelum ini turut mengarahkan teater yang sama. Khabarnya untuk pementasan teater untuk kali kedua ini, persembahan dan jalan ceritanya cuba diperbaiki daripada pementasan sebelumnya.

Bila mendengar sahaja berita semalam berkenaan teater tersebut yang bakal dipentaskan untuk kali kedua, saya cukup teruja untuk menontonnya. Menurut seorang senior yang berpeluang menonton pementasan tersebut pada pementasan yang lalu, teater yang dipentaskan sungguh mengharukan.

Tetapi hari ini Allah memakbulkan permintaan saya. Saya tidak lagi teruja untuk menonton teater tersebut selepas menemui satu buku yang bertajuk Natrah (1937 - 2009) Cinta, Rusuhan & Air Mata, saya tidak lagi teruja untuk menonton teater tersebut. Ada banyak sebab antaranya adalah disebabkan kritikan Datin Seri Fatini Yaacob yang merupakan penulis buku yang saya maksudkan. Walaupun menurut Erma Fatimah gaya penulisan tidak boleh sama sekali disamakan dengan gaya pementasan, tetapi saya tidak bersetuju dengan pernyataan tersebut. Bagi saya ia adalah sejarah besar dunia, sejarah besar Bangsa Melayu dan sejarah besar sebuah perjuangan. Mana mungkin ia boleh diketengahkan hanya mengikut gaya tanpa fakta dan sejarah yang benar. Seharusnya gaya tersebut perlu berlandaskan fakta dan sejarah.

Baru sebentar tadi buku ini berada dalam gengaman saya

Ucapan tahniah saya buat Datin Seri Fatini Yaacob (penulis) kerana beliau telah melakukan kajian menemui hampir kesemua individu yang terlibat dalam kehidupan Natrah. Berdasarkan buku tersebut yang baru bahagian pengenalannya saya sempat baca, beliau telah mengembara ke seluruh pelusuk dunia seperti Singapura, Amerika Syarikat dan England untuk menemui individu penting seperti Dr. Tom Eames Hughes di Bangor Wales, Barat England. Beliau merupakan Pegawai Inggeris yang menjadi Pegawai Kebajikan Masyarakat Singapura pada ketika itu. Dr. Tom pada ketika itu bertangungjawab menjaga Natrah sewaktu ditempatkan sementara di Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura.

Penulis juga telah mewawancara Allahyarham Tan Sri Prof. Emeritus Ahmad Ibrahim yang merupakan Peguam Negara Singapura bukan Inggeris yang pertama dan bertangungjawab mengasaskan Mahkamah Syariah di Singapura pada tahun 1966 dan juga Majlis Ugama Islam Singapura. Allahyarham merupakan saksi penting kisah hidup Natrah yang menyaksikan undang-undang sivil Inggeris mengatasi undang-undang Islam dalam kes tersebut kerana beliau adalah peguam bela Natrah pada ketika itu.

Penulis juga amat bertuah kerana beliau berkesempatan menemui Mansor Adabi, suami kepada Natrah ketika tragedi tersebut tercetus yang meninggal sehari selepas beliau menumuramahnya iaitu pada 14 Oktober 1988. (Al-Fatihah buatnya...) Beliau juga berkesempatan menemuramah individu di sebalik nama besar tersebut iaitu Natrah sendiri. Menyatakan tentang perasaannya yang jarang-jarang sekali diketengahkan oleh banyak penulisan.

Menurut penulis lagi pada mulanya beliau tidak berminat untuk menjalankan kajian mengenai Natrah kerana menurut beliau, kisah tersebut telah lapuk, kisah lama yang tidak mungkin dikenang orang. Namun disebabkan tugasnya sebagai wartawan Majalah Dewan dan untuk memenuhi permintaan ketuanya, beliau menjalankan juga kajian tersebut.

Ternyata pandangn negatifnya terhadap Natrah sama sekali berubah setelah membuka lembaran akhbar Utusan Melayu bertulisan jawi dan The Straits Times keluaran bulan Disember 1950 di Arkib Negara Malaysia. Menurut beliau gambar Natrah dan mereka yang berkaitan termasuk tragedi rusuhan terpampang pada halaman utama akhbar pada setiap hari selama sebulan. Jauh sekali bezanya zaman kita dengan mereka. Isu akidah umat Islam bukanlah persoalan yang boleh dipermain-mainkan di zaman tersebut. Pada zaman ini isu murtad, ajaran sesat dan sebagainya bukan lagi isu utama.

Apapun bagi saya, buku tersebuat merupakan antara buku wajib yang perlu dimiliki oleh setiap daripada kita. Menurut penulis

"...sejarah cinta, rusuhan dan air mata Natrah ini adalah milik bangsa Melayu dan orang Islam rantau ini. Saya hanyalah seorang kerdil yang cuba membawa sejarah hebat ini kepada bangsa Melayu dan Islam rantau ini.

... Kalau dahulu, semasa zaman Natrah, beliau menangis-nangsi dalam pelukan pemberita Utusan Melayu, Puan Rosewita Buang, minta beliau dikeluarkan dari gereja kerana tidak mahu dipaksa memeluk agama Kristian. Namun kini selepas 59 tahun berlalu, perkara sebaliknya berlaku. Setelah negara merdeka, Hartini Kamaruddin (1988), Aishah Bukhari (1997) dan Lina Joy (2000) menangis-nangis untuk mausk ke gereja".

Semoga ia memberi manfaat.



Judul: Natrah (1937 – 2009): Cinta, Rusuhan, Air Mata

Penulis: Datin Seri Fatini Yaacob
ISBN: 978-983-52-0729-7 (kulit lembut)
Penerbit: Universiti Teknologi Malaysia Press, 2010
Ketebalan dan harga: 474 muka surat dan RM75.00


Ulasan blogger lain mengenai buku tersebut:
http://pasalbuku.blogspot.com/search?q=natrah
http://zabidiskrip.blogspot.com/search?q=natrah&x=0&y=0

Friday, October 29, 2010

Sejarah Yang Disembunyikan



Telah banyak entry saya berkenaan iluminati atau Freemason. Video di atas mungkin sedikit sebanyak boleh menjelaskan berkenaan sejarah penubuhan ilumintai atau Freemason. Ada yang bertanya kepada saya, "kalau dah tahu, kita nak buat apa?" Mungkin video di atas boleh memberi jawapan.

Wednesday, October 20, 2010

Bila Sekeping Gambar Berbicara

Saya pernah terbaca satu pernyataan yang mengatakan "setiap gambar mampu memberi 1001 tafsiran". Oleh itu, kali ini biarlah gambar pula berbicara. Sebelum itu, gambar-gambar di bawah merupakan kenangan saya, pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan ISDEV sewaktu hendak bertolak ke Acheh.


Semoga Allah permudahkan dalam segala urusan. Ameen...

Monday, October 18, 2010

Antara Dua Kapal: "...Apakah Kamu Tidak Berfikir".

Grafik Muzium Tsunami dari atas. Muzium ini bentuknya seperti Kapal Apung

Kisah kali ini masih lagi mengenai peristiwa tsunami di Acheh. Antara kesan tinggalan tsunami yang masih kelihatan di Acheh ialah dua buah kapal yang masih kekal kedudukannya sehingga ke hari ini.


Gambar Kapal Apung ini tidak saya ambik kerana terlalu besar. (Panjangnya 63 meter, lebarnya 19 meter, tingginya 19 meter dan beratnya ialah 2600 tan.) Saya perlu berjalan jauh menjauhi Kapal Apung untuk mengambil keseluruhan Kapal Apung. Jadi saya batalkan hasrat saya untuk mengambil keseluruhan kapal ini

Kapal pertama lawati adalah Kapal Apung Tenaga Listik PLN (Saya tidak pandai menterjemah ke dalam Bahasa Melayu). Kapal ini menurut pemandu bas kami semasa di Acheh, jaraknya di antara tempat ia berlabuh dengan tempatnya terdampar kini adalah kira-kira 4.5km.

Keadaan kapal nelayan tersebut dan persekitarannya yang telah dibersihkan selepas tsunami

Kedudukan kapal nelayan yang masih dikekalkan di tempat asalnya sehingga kini

Kapal kedua yang kami sempat kami lawati ialah sebuah kapal nelayan. Kapal nelayan ini terdampar di sebuah rumah milik seorang pekerja cari gali minyak. Pada ketika tsunami melanda beliau tidak ada di tempat kejadian sebaliknya isteri dan anak-anak beliau menetap di situ. Namun dengan kuasa Allah mereka diselamatkan oleh-Nya bersama-sama puluhan yang lain dengan kapal nelayan yang Allah terdamparkan di atas rumah mereka.

Pak Mujiburrizal menerangkan situasi genting ketika beliau, keluarga, jiran dan mangsa tsunami yang lain menghadapi tsunami. Beliau sebenarnya pernah menganggotai kumpulan nasyid Nada Murni dan Raihan satu ketika dahulu. Kini masih aktif bernasyid dan merupakan pengacara televisyen. Rumahnya tidak musnah teruk walaupun dilanda tsunami. Menurutnya bingkai-bingkai gambar, perabot dan peralatan yang terdapat di ruang tamu dan sebahagian besar bahagian lain kekaldi tempat asal dan tidak musnah walaupun dilanda tsunami. Kedudukan rumahnya adalah di sebelah rumah yang kapal nelayan tersebut terdampar.

Apabila ditanya oleh Prof Syukri, apakah amalan yang dilakukan oleh mereka sehingga Allah menghantar bantuan dalam bentuk sedemikian rupa? menurut jiran sebelah rumahnya, Pak Mujiburrizal mereka merupakan keluarga yang pemurah. Mungkin disebabkan itu Allah menghantarkan kepada mereka sebuah kapal nelayan. Begitu juga dengan keluarga Pak Mujiburrizal tadi juga memiliki amalan yang sentiasa mereka kerjakan secara berjemaah di dalam rumah tersebut sehingga rumahnya tidaklah musnah teruk berbanding yang lain.

Kedudukan kapal nelayan dari hadapan rumah Pak Mujiburrizal yang terletak di sebelah kiri rumah ini. Rumah beliau tidak kelihatan dalam gambar di atas.

Antara kapal kecil dan kapal besar tersebut, walaupun kedua-duanya telah dibawa arus tsunami, kapal apung yang besar tadi hanya berjaya menyelamatkan seorang jurutekniknya sahaja sedangkan kapal nelayan yang kecil itu berjaya menyelamatkan 59 orang mangsa tsunami. Kuasa Allah s.w.t telah menunjukkan kepada kita bahawa yang kecil jangan disangka tidak berguna, tidak berharga dan sebagainya. Terlalu banyak tafsiran yang mampu dibuat sewaktu mentafsir kedua-dua kapal ini. Apapun hanya manusia yang mahu berfikir sahaja mampu mentafsirkannya.

Terlalu banyak peringatan Allah s.w.t tinggalkan kepada kita. Namun sayang sekali, kita jarang-jarang sekali berfikir. Sehingga Allah s.w.t telalu bertanya kepada kita dalam firman-Nya yang bermaksud “…apakah kamu tidak berfikif”.

Kunjungi juga blog Dr. Suekainah;

Saturday, October 16, 2010

Di Sebalik Pintu Masuk Perkuburan Tsunami

Pintu masuk ke tanah perkuburan

Pintu masuk tanah perkuburan mangsa tsunami berhampiran Masjid Baiturrahman cuba saya tolak bersama Niza satu per satu. Ada tulisan yang menarik perhatian kami membuatkan kami teruja menolaknya. Pintunya sederhana berat berjaya kami tolak. Walaupun ahli rombongan yang lain sebahagian besarnya telah masuk ke tanah perkuburan tersebut mendahului kami, tetapi kawasan dalam tanah perkuburan tersebut tidak menarik perhatian kami untuk masuk berbanding pintunya yang berwarna hijau.

Saya cuba membaca patah perkataan yang terdapat pada daun-daun pintu tersebut tetapi tidak berjaya. Kelakuan kami rupa-rupanya diperhatikan oleh Pak Yasir yang masih berada di luar tanah perkuburan.

Tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.

“Sebenarnya ada maksud tersirat di sebalik pintu-pintu ini. Ia maksud ayat daripada surah al-Anbiya”. Terang Pak Yasir. Tetapi penerangan tersebut masih kabur bagi saya. Saya dapat merasakan bahawa Pak Yasir faham bahawa saya masih belum dapat mengerti apa yang diterangkannya tadi.

Akhirnya Pak Yasir menjelaskan satu persatu tulisan yang ada pada kelima-lima daun pintu tersebut. Luruh jantung saya setelah penjelasan Pak Yasir berikan saya fahami “Oooo… macam tu”. Ucap saya perlahan.

Pada daun-daun pintu tersebut sebenarnya menggabungkan maksud firman Allah s.w.t melalui Surah al-Anbiya, ayat 35 sebagai peringatan buat penggunjung yang menziarahi tanah perkuburan tersebut.

Ayat dan maksud firman Allah s.w.t yang saya maksudkan adalah sebagimana di bawah;

Tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.

Perkuburan yang tidak bernisan dan bernama. Hanya diletakkan tanda bagi menandakan tanah perkuburan mangsa tsunami kanak-kanak dan dewasa.

Setelah memahami erti tersirat di sebalik pintu-pintu tersebut saya dan rakan yang masih tertinggal di luar mula melangkah masuk ke kawasan tanah perkuburan tersebut. Sebagaimana tanah perkuburan pertama yang kami lawati, tanah perkuburan ini juga tidak mempunyai batu nisan, tidak tahu penghuninya. Cuma terdapat tanda yang memisahkan antara tanah perkuburan dewasa dan kanak-kanak.

Pak Suriya Darma dan Pak Yasir sedang menjelaskan peristiwa yang mereka alami semasa tsunami melanda kepada Prof Syukri, Dr. Fadzila Azni dan saya (sedang mengambil gambar).

Tanah perkuburan ini juga terdapat sebuah hospital yang hampir ranap yang sengaja ditinggalkan tidak diperbaiki sebagai maklumat kepada kita menenai tanda aras ketinggian air yang melimpahi kawasan tersebut semasa tsunami. Menurut Pak Yasir semua penghuninya pada ketika itu menjadi korban mangsa tsunami.

Pak Yasir menerangkan kedudukan aras air tsunami adalah setinggi tiga tingkat bangunan yang sengaja ditinggalkan sebagai bukti aras air tsunami yang melanda Acheh pada ketika itu

Tanah perkuburan ini juga dipagari dengan pagar berwarna putih yang dihiasi 99 nama-nama Allah sebagai peringatan buat penziarah dan sesiapa sahaja yang melintasi di jalan raya berhampiran tanah perkuburan tersebut. Semoga syahid itu menjadi milik mereka dan kita juga yang bakal menyusuli mereka. Ameen...

Saat Tsunami Melanda

Angka kematian di Indonesia sebenarnya tidak dapat dikenalpasti bilangannya secara tepat. Ada yang menyatakan lebih 200 000 mangsa yang menjadi korban pada ketika itu. Angka 200 000 mangsa ini adalah angka yang sering menjadi sebutan penduduk Acheh yang terselamat daripada menjadi mangsa korban tsunami.

Kederasan arus tsunami memang diluar jangkuan akal fikiran manusia. Menurut ayah Pak Riduan yang merupakan salah seorang mangsa yang terselamat daripada peristiwa tersebut, gempa 8.9 Skala Richter yang berlaku tidak banyak menggorbankan jiwa mahupun merosakkan harta benda. Tetapi yang banyak merosakkan jiwa dan harta benda adalah air yang deras melimpah ke daratan yang dikenali sebagai tsunami. Berbeza sekali dengan gempa yang berlaku di Padang, Indonesia yang telah menelan sebuah kampung dan ramai jiwa yang menjadi mangsanya. Peristiwa di Padang tersebut berlaku disebabkan gempa.

Menurut Pak Yasir, Pak Nizam, Pak Surya dan ramai lagi penduduk Acheh sama ada yang belajar di ISDEV atau penduduk Acheh yang kami temui sewaktu ke Acheh, sewaku mula-mula gempa berlaku, air laut surut sehingga lima kilometer daripada aras pantai. Keadaan ini menyebabkan ramai penduduk turut ke kawasan yang surut tersebut kerana ikan-ikan banyak terdampar di kawasan yang surut.

Pak Yasir menjelaskan kepada kami berkenaan gambar-gambar semasa peristiwa tsunami
yang terdapat d dalam Masjid Baitulrrahman


Secara mudahnya, menurut mereka surutnya air laut ini mungkin disebabkan rekahan permukaan bumi di dasar laut (plat bumi bergerak) lalu membawa air laut masuk ke dalam rekahan tersebut. Apabila permuakaan tersebut kembali normal, air laut tadi keluar daripada rekahan yang akhirnya menghasilkan tekanan/kelajuan yang amat dahsyat.
Air laut yang membanjiri daratan pada mulanya, selepas ia surut adalah separas lutut orang dewasa. Tetapi kederasan air tersebut menurut Pak Yasir adalah selaju 700km per jam yang hampir menyamai kelajuan Boeing 737 yang lajunya 780km per jam. Kederasan air ini lah yang menyebabkan semua rumah, bangunan, hospital, termasuk manusia, haiwan ternakan dan sebagainya musnah dan mati dirempuh.

Masjid Baiturrahim, Acheh yang merupakan antara masjid yang tetap utuh walaupun dilanda arus tsunami. Juga merupakan saksi bisu peristiwa tersebut

Menurut seorang saksi yang kami temui di Masjid Baiturrahim (klik link tersebut untuk melihat masjid tersebut sebelum dan sesudah tsunami), bunyi seolah letupan-letupan turut tercetus terhasil runtuhan bangunan yang bertembung di antara satu sama lain ditolak olah air yang amat deras tersebut turut terhasil. Keadaan ini menjadikan lapisan pertama yang merempuh bangunan, manusia dan sebagainya adalah serpihan bangunan serta sampah sarap yang ditolak oleh arus trunami tersebut.

Sampah-sarap yang terhasil selepas berlakunya tsunami

Sesudah air yang deras tersebut berlalu, barulah ombak setinggi dua batang pokok kelapa menghempas dataran Acheh. Pada ketika itu, gegaran susulan masih terus dirasai di Acheh.

Menurut Pak Nizam, tsunami yang berlaku di Acheh pada tanggal 26 Disember 2004 bukanlah tsunami tetapi bagi beliau ia adalah kiamat. Hal ini telah dikhabarkan kepadanya oleh seorang pakar berkenaan tsunami dari Jepun yang turut sama mengkaji dan melihat kemusnahan akibat tsunami di Acheh.

Mayat dicelahan sampah-sarap

Menurut Pak Yasir, yang rumahnya terletak satu kilometer daripada perkuburan tsunami yang menempatkan 4000 lebih mangsa tsunami (jumlah sebenar akan diedit kemudian) berhampiran Masjid Baiturahim, setelah dua minggu tsunami melanda, Masjid Baiturahim dan kawasan yang berhampirannya baru boleh dimasuki oleh sukarelawan, pasukan penyelamat dan bantuan-bantuan mulai sampai. Keadaan ini berlaku kerana seluruh kawasan ditumbuni sampah-sarap, yang terdiri daripada pokok-pokok yang tumbang, kenderaan, lumpur yang tebal, dinding-dinding bangunan dan juga mayat-mayat mangsa tsunami setinggi tiga meter. Terdapat juga kawasan yang setelah dua bulan dilanda tsunami baru boleh dimasuki oleh sukarelawan, pasukan penyelamat dan sebagainya.

Bantuan juga lambat tiba kerana mereka terpaksa membuat jalan baru ke tempat kejadian memandangkan jalan raya yang sedia ada bukan sahaja telah dilutupi sampah sarap tetapi juga tarnya telah hilang dibongkah oleh kederasan arus tsunami. Jentolak dan sebagainya terpaksa membuat laluan baru untuk memudahkan bantuan dan sukarelawan sampai. Sampah sarap hasil daripada peristiwa tsunami tersebut dikatakan dapat dibersihkan setelah dua tahun tsunami melanda dengan bantuan pihak antarabangsa.

Walaupun bantuan, sukarelawan, pasukan penyelamat anatarabangsa dan sebagainya lambat tiba, kuasa Allah s.w.t menjadikan mayat mangsa tsunami tidak busuk. Takdir Allah juga menjadikan air laut yang masin membantu mayat mangsa tsunami tidak busuk walaupun tidak dikebumikan selama dua bulan.

Bagi yang telah pergi, bermakna sudah selesailah tugas mereka selaku hamba dan khalifah-Nya. Tetapi bagi yang masih tinggal saat tsunami melanda seharusnya dijadikan pengajaran besar buat kita. Tsunami bagi saya, ia mengajar 1001 erti perjuangan, erti usah putus asa, erti bangkit semula.

Saya masih ingat dialog saya dengan Prof Syukri sewaktu kami melangkah keluar daripada Masjid Baiturrahman;
"Prof, mengeletar kaki saya Prof".
"Agak-agaknya kenapa Acheh jadi macam tu?" Tanya Prof Syukri kepada saya.
"Ustaz saya pernah cakap, Allah nak bagi mereka syahid dengan mudah. Tak mahu dosa mereka banyak".
"Mati ditimpa bencana itu syahid ye?" Tanya Prof.
"Ya, mati tengelam dalam air, mati ditimpa bencana itu syahid". Jawab saya ringkas.

Itu pengakhiran hidup sebahagian besar penduduk di Bandar Acheh. Bagaimana pula dengan pengakhiran hidup kita nanti? Syahidkah kita?

Wednesday, October 13, 2010

Menjejakkan Kaki di Bumi Acheh


Perjalanan selama satu jam 45 minit daripada Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang ke bumi Acheh yang pada mulanya agak membosankan bagi saya. Entah mengapa semua assignment student yang perlu saya tanda dan buku-buku yang saya bawa saya masukkan kesemuanya ke dalam luggage, yang akhirnya luggage tersebut dimasukkan dalam kargo. Jadi untuk mengambil semula perkara yang saya inginkan tadi adalah mustahil sekali.

"Kak, ada novel tak?". Kebosanan tersebut membuatkan saya memohon kepada salah seorang pramugari sebuah novel untuk dibaca. Entah kenapa dalam banyak-banyak bahan bacaan novel pula yang saya minta. Sudah hampir lima tahun lebih saya tinggalkan bentuk bacaan tersebut. Emmm... entahlah. Boring sangat kot.
"Tak ada lah sayang". Jawapan tersebut diucapkan kepada saya. Sambil menghulurkan sebungkus kecil kacang dan biskut kepada saya. Kecewa dengan jawapan tersebut saya minta pula pada adik-adik MISDEV10 (Master ISDEV 2010) yang turut mengikuti wisata tersebut.

"Tak ada lah Kak Radieah. Buku '7 Prinsip' adalah". Jawab salah seorang daripada mereka.
Alamak, '7 Prinsip' ke?, dalam kuliah dah 7 Prinsip, tesis 7 Prinsip, mengajar pun 7 Prinsip, takkan dalam kapal terbang pun nak 7 Prinsip lagi. Mengeluh saya keseorangan.
Kebosanan tersebut membuatkan saya berdoa supaya cepat-cepat kami mendarat.

Namun kebosanan saya terubat seketika apabila sampai di ruang udara Acheh. Kami disambut dengan pantai, daratan dan sawah padi yang terbentang luas menghiasi lanskap semula jadi Acheh. Suasana di bahagian belakang Firefly yang menempatkan kami semua agak riuh rendah apabila Pak Riduan dan Pak Yasir memberikan penerangan berkenaan kawasan yang dilanda tsunami dan rumah-rumah yang dibina selepasnya hasil bantuan kewangan daripada pihak antarabangsa. Pelbagai soalan sempat saya tujukan kepada Pak Yasir yang kebetulan tempat duduknya berada di hadapan saya. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain.


Melalui udara sisa-sisa kesan tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 masih kelihatan. Terdapat sebahagian daratan yang masih menakung air dan kelihatan agak lapang. Air masin daripada laut yang sampai ke daratan sewaktu peristiwa tsunami kira-kira enam tahun lalu meniggalkan kesan pada sebahagian daratan tersebut kerana kebanyakan tumbuhan tidak dapat hidup di kawasan air masin.

Setibanya di Acheh pada 9 Oktober 2010, kira-kira jam 2.45 petang waktu Indonesia Barat atau bersamaan 1.45 tengahari waktu Malaysia, saya dan rakan-rakan turut kagum dengan lapangan terbangnya yang cantik dan bersih jika dibandingkan dengan lapangan terbang di Medan, Indonesia. Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda ini dihiasi dengan ukiran-ukiran dan bentuk-bentuk geometri yang tidak asing dalam dunia Islam. Kubah yang menghiasi bumbung lapangan terbang ini juga seolah-olah memberi tahu kami bahawa kami sekarang tiba di tanah yang cuba menegakkan syiar Islam.


Selesai sahaja urusan imigresen kami terus dibawa dengan bas ke tempat penginapan. Semasa dalam perjalanan ke tempat penginapan kami di bawa singgah ke Kuburan Masal Siron. "Assalamu'alaikum buat saudaraku yang pergi dulu mendahuluiku".

Gambar di atas saya ambil daripada blog orang lain. Saya terlupa menyimpan linknya

Kami sempat berdoa beramai-ramai di sini dengan diketuai oleh Ust Shukri. Kawasan kubur ini seumpama kawasan tanah lapang yang dilitupi rumput yang menghijau sebenarnya telah menyimpan 46 817 mangsa tsunami. Kubur yang tidak bernisan dan tidak bernama. Semoga rahmat Allah mengiringi perjalanan mereka yang pergi dulu daripada kita. Walaupun hanya tanah lapang yang dapat saya perhatikan rasa sebak di dada tidak dapat saya sembunyikan. Air bening dari kelopak mata akhirnya gugur juga.


Terdapat sebuah tugu turut dibina. Tugu yang berbentuk ombak tersebut melambangkan kejadian tsunami yang telah mengorbankan lebih 200 000 nyawa penduduk Acheh. Angka sebenar kematian tidak dapat dikenal pasti sehingga kini.

Terdapat sebuah lagi kubur besar yang menempatkan mangsa-mangsa tsunami sempat kami kunjungi akan saya ceritakan dalam entry akan datang. Insya Allah. Bagi saya kisahnya adalah lebih menyedihkan berbanding kisah ini. Namun sedih itu tiada gunanya andai kita tidak mampu mengambil pengajaran daripadanya.

Wisata (Perlancongan) Spiritual Tsunami


Bagi saya Acheh bukanlah satu tempat perlancongan, bukan tempat untuk bersuka-suka atau berseronok-seronok. Sebaliknya Acheh adalah satu tempat yang dijadikan oleh Allah s.w.t untuk memperbaharui iman manusia, yang ada kalanya menaik dan ada kalanya menurun.

Sebetulnya terdapat 14 perkara yang sempat saya catatkan berkaitan khusus berkenaan dengan peristiwa tsunami di Acheh dan beberapa hal lain yang tidak tercatat dalam catatan saya. Saya berhasrat untuk berkongsi semuanya dengan anda. Tetapi saya tidak pasti sama ada dapat menceritakan semuanya, sesetengahnya sahaja atau langsung tidak berkesempatan untuk menceritakannya memandangkan keterbatasan waktu dan kekalutan rutin harian yang ada. Insya Allah, entry akan datang saya akan cuba menceritakan perkara-perkara tersebut satu persatu.

Apapun Acheh merupakan tempat yang cantik. Pantai yang bersih dan bukit bukau yang menghijau menghiasi lanskap semula jadi di Acheh. Pembangunannya lebih tersusun berbanding sebelum berlakunya tsunami. Infrastrukturnya sama ada jalan raya, lapangan kapal terbangnya, perumahannya dan pelbagai perkara lain adalah lebih baik jika dibandingkan dengan infrastrukur yang terdapat di Medan.Tsunami telah banyak merubah Acheh. Merubah konflik politik diantara GAM (Gerakan Acheh Merdeka) dengan TNA (Tentera Negara Acheh) dan cara berfikir penduduknya, pembangunannya, geografinya dan pelbagai lagi perkara lain.

Sebahagian pantai dan daratan Acheh dari kapal terbang Firefly.
Gambar tidak berapa cantik memandangkan hanya menggunakan kamera handset.


Rahmat di sebalik peristiwa tsunami tiada siapa yang tahu melainkan-Nya. Acheh merupakan bumi bertuah. Semoga rahmat Allah s.w.t sentiasa mengiringi Acheh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...