“Chik Lah, tolonglah baca. Nina tak pandai”. Pinta adik bongsu kami. Usianya pada ketika itu baru sahaja empat tahun.
Pada dinding yang bertentanggan dengan pintu bilik air rumah kami, ayah gantungkan white board padanya. Pada white board tersebut juga emak tuliskan cara mengambil air sembahyang untuk panduan anak bongsunya. Walaupun pada ketika itu dia baru sahaja mengenal huruf, baru sahaja pandai mengeja.
“Chik Lah, cepatlah” pinta Nina sekali lagi apabila permintaannya tadi tidak dilayan.
“Yelah..yelah. Haaa, cepat...” Kak Chik Lah merupakan adik kedua bongsu saya. Chik Lah membaca satu persatu cara mengambil air sembahyang tadi.
“Basuh muka pula...jangan lupa baca niat” Chik Lah cuba mengingatkan Nina.
“Yelah, Nina tahulah”. Sememangnya pada usia empat tahun lagi Nina telah menghafal lafaz niat wuduk. Malah dia juga menghafal doa naik kenderaan, menghafal Surah Tahaa, ayat 1 sehingga 5 dan banyak lagi ayat-ayat lazim yang lain. Semuanya kerana kesan pentarbiyyahan yang perolehinya di PASTI.
“Basuh kaki pula...”
“Dah siap”
“Okey last sekali, tertib”
“Haa, tertib tu ape?” Tanya Nina sedikit terkejut kepada Chik Lah. Mungkin dia tidak pernah dengar perkataan itu.
“Tertib itu adalah sejenis belalang”
“Haa, mufti mana yang ajar tertib tu belalang?” Saya yang tadinya hanya mendengar dari dalam bilik tiba-tiba bersuara. Chik Lah hanya tersengih memandang saya. Mustahil best student tidak tahu tertib tu apa. Saja dia ingin kenakan adiknya. Sepantas kilat Chik Lah masuk ke dalam bilik air. Mungkin tidak mahu mendengar bebelan saya.
“Tertib tu bila kita ambil air sembahyang kita tak boleh ikut suka hati kita je nak buat yang mana dulu. Mesti ikut turutan. Kalau mula-mula kita ambil air sembahyang kita kena basuh tangan lepas tu kita berkumur sampilah kita basuh kaki, macam tulah kita kena buat. Tak boleh kita basuh kaki dulu, lepas tu basuh muka, lepas tu basuh tangan. Mesti ikut turutan daripada yang mula-mula sampailah yang akhir”. Saya cuba menerangkannya menggunakan white board yang tertulis cara-cara mengambil air sembahyang tadi, supaya dia mudah faham.
“Oooo..” Muncung bibirnya sambil mengangguh-angguhkan kepala tanda memahami perkara yang ditanya olehnya tadi. Saya hanya tersenyum dengan telatahnya.
“Cepat pergi sembahyang, ayah dah nak sembahyang”. Ujah saya kepadanya. Terus sahaja dia berlari meninggalkan saya keseorangan.
Sememangnya usia yang sekecil itu terlalu banyak perkara yang ingin diketahuinya.
“Rindu tu ape, Kak Long?” Soalan sebegini pernah ditanya oleh adik bongsu saya ini sewaktu Hari Raya Aidil Adha. Waktu itu emak kami sedang menunaikan haji. Lalu saya ajukan soalan sama ada dia merindui emak, setelah dia mengatakan bahawa emak kami tentu berada di Masjid al-Haram kerana pada waktu tersebut, takbir hari raya di dalam televisyen memaparkan suasana di Masjid al-Haram.
“Kak Long, Allah tu kat mana?”
Soalan sebegini agak memenatkan saya untuk menjawabnya..Lebih penat daripada menjawab soalan exam di universiti yang lamanya tiga jam. Bagaimana untuk memahamkan kanak-kanak yang seusia ini untuk sesuatu perkara yang semestinya bersangkut paut dengan akidahnya...hendak kaitkan ilmu sains? Astronomi? Tarikan graviti? Hadis? Al-Quran? Mantik?..semuanya bergantung kepada kita... tetapi mahu tidak mahu, perlu untuk kita menjawabnya. Kerana jawapan yang kita berikan akan membuatkan mereka merasai kewujudan Allah di sisinya.