Thursday, April 22, 2010

Manusia Dengan Sangkaannya


Bagi saya dunia manusia adalah dunia yang pelik. Susah untuk difahami kerana ia terlalu abstrak. Ahli Sosial Sains atau Saintis Sosial Sains sudah tentu bersetuju dengan pendapat saya kerana manusia merupakan suatu makhluk yang sukar untuk difahami tingkah laku juga perasaannya. Sukar dikaji berbanding makhluk lain yang dikaji oleh ahli saintis.

Antara Hang Tuah dengan Hang Jebat, mana yang jahat? Biasa kita dengar Hang Jebat yang jahat. Tetapi jika mengikut teori Kassim Ahmad dalam tesisi masternya (kalau tidak silap saya, sama ada master atau PhD) mengatakan Hang Tuah yang jahat. Tidak kurang juga yang mengatakan kedua-duanya jahat. Tetapi jarang sekali ada yang mengatakan kedua-duanya adalah baik. Puncanya kerana manusia sifatnya suka menghukum sukar sekali untuk berlapang dada.

* * * * * *

"Maaflah saya tak cerita kat awak dulu". Saya cuba meminta maaf kepada seorang sahabat baik saya kerana berita tentang saya diketahuinya daripada individu lain terlebih dahulu berbanding dari diri saya sendiri.
Anehnya dia hanya tersenyum memandang saya.
"Awak tak bersalah pun. Masalah siapa yang awak nak bagi tahu, itu hak awak. Hak peribadi awak. Tidak layak untuk saya memaksa untuk awak bercerita. Pilihlah siapa pun yang awak selesa untuk berkongsi masalah awak. Jangan paksa diri untuk bercerita dengan saya semata-mata kerana awak merasakan saya adalah sahabat awak. Saya tidak terasa, jauh sekali untuk merajuk". Ada tawa kecil di hujung bicaranya.
"Betul ke ni?" Tanya saya benar-benar kehairanan. Hakikatnya saya telah buruk sangka dengannya. Tidak hairanlah mengapa saya cukup selesa bersahabat dengannya. Terima kasih kerana menjadi sahabat dunia dan akhirat saya.

Kisah persahabatan sesama muslimat. Muslimin dah tentu berbeza...

* * * * * *

"Macam mana nak jaga iman kita?" tanya Kak Shereeza pada suatu ketika dahulu.
"Sentiasa berlapang dada". Jawap saya ringkas walaupun saya sendiri tidak pasti dengan jawapan tersebut.

* * * * * * *

Bahkan sikap buruk sangka ini telah melanda masyarakat Madinah. sewaktu Saidatina Aisyah r.a difitnah. Jarang-jarang sekali umat Islam dapat mencontohi Abu Ayyub al-Ansari dan Ummu Ayyub al-Ansari dimana peristiwa tersebut telah dirakamkan di dalam sirah.

Kisahnya bermula apabila Abu Ayyub al-Ansari bertanya kepada isterinya "Apakah pandangan kamu tentang cerita yeng tersebar mengenai Aisyah r.a.?"
Isteri beliau lalu berkata " Kalau kamu berada di tempat Safwan, adakah kamu rela dituduh melakukan sesuatu ke atas Aisyah r.a.?
Abu Ayyub menjawab "Tidak".
Lalu Ummu Ayyub "Kalau aku pula berada di tempat Aisyah r.a., nescaya aku tidak akan mengkhianati Rasulullah s.a.w. Sedangkan Saidatina Aisyah lebih baik daripada aku dan Safwan itu lebih baik daripada kamu".

Bukan kisah itu sahaja yang sering kita cuba untuk mencari siapa yang salah, siapa yang jahat tetapi dalam kisah Peperangan Jamal, perang pertama yang berlaku sesama Islam yang terdiri daripada tentera Saidina Ali k.w.h dengan Saidatina Aisyah r.a. Perang di antara Muawiyyah dan Saidina Ali k.w.h. Semuanya kita cuba mencari siapa yang salah. Sedangkan kesemua mereka merupakan individu yang dijamin untuk masuk ke syurga Allah.
Persoalannya apakah hak kita untuk menghukum? Hadis akhir zaman Rasulullah s.a.w pernah bersabda maksudnya;

Sebaik-baik kalian adalah pada kurun aku, kemudian pada kurun yang mengikutinya, kemudian pada kurun yang mengikutinya.

Kemudian baginda menyambung:
Kemudian akan ada selepas mereka kaum yang bersaksi tanpa diminta menjadi saksi, yang akan mengkhianat dan tidak beramanah, yang berjanji tetapi tidak memenuhinya dan kegemukan akan kelihatan pada mereka.

Sekiranya dirujuk pada kupasan Ust Kazim mengenai hadis ini maksud 'kaum yang bersaksi tanpa diminta memberi saksi' bermakna mereka adalah individu yang suka menghukum, suka bercerita tentang hal orang lain dan mereka yang suka membuat analisis berdasarkan perkara yang mereka baca sedangkan mereka tidak layak pun menjadi saksi dan perkara tersebut tidak diminta oleh sesiapa melakukannya terutama oleh hakim. Contoh mudah pada zaman ini wujudnya tulisan-tulisan dalam blog yang cuba menjadi saksi di dalam sesuatu perkara terutama hal yang melibatkan politik sedangkan mereka tidakpun diminta oleh hakim untuk melakukannya. Oleh itu, saya berpesan untuk diri saya dan yang lain, hati-hati dalam menulis blog dan sebagainya.

Maksud 'kegemukan' pula adalah kehidupan yang dilimpahi nikmat yang melampau-lampau. Sentiasa memikirkan tentang makan, kereta, rumah, perhiasan, tidur di tilam empuk dan sebagainya. Tidak salah tetapi hal-hal 'kegemukan' inilah yang membezakan kita dengan mereka yang berada di kurun Rasulullah s.a.w, kurun para tabiin dan kurun tabik tabiin. Antara sebab utama kita semakin jauh denganNya.

Kita merasakan setiap perkara yang kita fikirkan adalah pengakhir bagi setiap persoalan atau masalah yang timbul. Kita mendapat solusi darinya. Malangnya yang kita cuba letakkan titik tetapi rupanya bukan noktah dalam setiap perkara. Bahkan ia adalah buruk sangka kita kepada mereka yang tidak mengerti apa-apa. Tidak hairanlah sekiranya peringkat ukhawwah yang paling tinggi ialah bersangka baik dengan sahabat yang paling rendah melapangkan tempat duduk untuknya... yang pertengahan tak ingatlah ...sorry...

1 comments:

Za's said...

kita kini berada diakhir zaman..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...